Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Sabah FA. Show all posts
Showing posts with label Sabah FA. Show all posts

Tuesday, January 8, 2013

Kedah, Sabah, Sarawak, Pos Malaysia Dan Polis Kutip Tiga Mata Penuh Liga Perdana


KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Kedah, Sabah, Sarawak, Pos Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan saingan Liga Perdana dengan langkah kanan apabila masing-masing berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan pembukaan Isnin.

PDRM mencatat kemenangan besar apabila membelasah Negeri Sembilan Betaria 5-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Pasukan Sarawak pula menang tipis 2-1 ke atas Perlis di Stadium Utama Kangar, sementara Impian Kedah untuk memperoleh kemenangan sulung menjadi kenyataan setelah mengalahkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2-0 di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mengalahkan pasukan berstatus kelab, S.P.A Putrajaya 2-1.

Pos Malaysia pula mencatat kemenangan tipis 3-2 kepada Kuala Lumpur di Stadium Majlis Perbandaran Selayang smentara pada perlawanan sebelah malam di Stadium Tan Sri Hasan Yunos, Larkin, pasukan Johor seri tanpa jaringan 0-0 kepada Sime Darby.

-- BERNAMA

Friday, February 17, 2012

Justin mahu Gan, Baird tingkat permainan

Wartawan Sinar Harian
16 Februari 2012
Michael Baird

PENGENDALI Sabah, Justin Ganai mahu gandingan import dari Australia, Brendan Gan dan Michael Baird meningkatkan corak permainan pada perlawanan akan datang.

Katanya, buat masa ini pemain berkenaan masih lagi belum menunjukkan potensi sebenar mereka.

“Saya tiada masalah dengan prestasi Gan dan Baird. Tapi saya masih menanti mereka menunjukkan keupayaan sebenar.

“Apa pun, saya berpuas hati dengan persembahan mereka setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur kelmarin, Justin ternyata gembira dengan permainan dipamerkan anak buahnya.

“Pujian harus diberikan kepada pemain kerana telah menunjukkan semangat yang tinggi untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukan,” katanya yang mahu memperbaiki beberapa kelemahan pemainnya terutama dari segi mencipta peluang untuk menjaringkan gol.


--- SINAR HARIAN

Thursday, July 7, 2011

Kelantan juara baru Liga Super

KOTA KINABALU – Kelantan menamatkan penantian sejak tiga tahun lalu untuk mengecapi kejuaraan Liga Super buat pertama kali apabila mengalahkan Sabah 2-1 dalam perlawanan terakhir liga di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi.

Kemenangan malam tadi mengesahkan The Red Warriors selaku pasukan keenam bergelar juara sejak ianya dipertandingkan lapan tahun lalu dan bakal membawa pulang wang tunai RM500,000. Selaku bergelar juara, Kelantan secara automatik menempah tiket layak beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun depan.

Sementara itu, juara baru Piala FA, Terengganu muncul selaku naib juara setelah berpesta gol mengalahkan KL Felda United FC 6-2 dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung Stadium Majlis MPBJ, Kelana Jaya.

Rentak cemerlang Kelantan bermula seawal minit kedua perlawanan menerusi rembatan jarak dekat Ketua Pasukan, Muhd Badhri Radzi terus ke dakapan penjaga gol Sabah, Azizon Abdul Kadir hasil hantaran lintang Mohd Izuan Salahuddin sebelum itu.

Tiga minit kemudian, Norshahrul Idlan Talaha menceriakan hampir 1,000 penyokong The Red Warriors apabila mudah menolak masuk untuk gol pertama Kelantan. Berpunca lontaran ke dalam Mohd Daudsu Jamaluddin, kesilapan pemain pertahanan tuan rumah gagal mengeluarkan bola dihukum menerusi rembatan mudah untuk menewaskan Azizon dipintu golnya.

Dua minit kemudian, kemaraan Kelantan untuk menambahkan jaringan tidak terhenti disitu apabila Muhd Bahri sekali lagi mempunyai peluang terbaik namun rembatan kencang jarak 25 meter sedikit melewati pintu gol Sabah.

Sabah yang turun dengan misi bermaruah untuk mencipta kemenangan turut mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan pada m-15 perlawanan. Berpunca serangan balas pantas, rembatan kencang Shahrul Azhar Ture dikeluarkan benteng pertahanan Kelantan sementara tandukan susulan penyerang veterannya, Zainizam Marjan terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Tujuh minit berselang, Shahrul Azhar sekali lagi mensia-siakan peluang terbaiknya untuk menyamakan kedudukan apabila rembatan kencangnya sekadar menerjah jaring sebelah kiri pintu gol Kelantan.

Malah, dua minit kemudian Shahrul Azhar sekali lagi terlepas peluang apabila gagal menolak masuk hantaran lintang Julamri Muhammad biarpun tidak dikawal benteng pertahanan Kelantan sebelum itu.

Tidak hanya berpuashati dengan satu gol, Kelantan terus melipat ganda asakan menyerang ke pintu gol Sabah namun rembatan kencang Muhd Badhri pada m-35 sedikit melewati pintu gol sementara percubaan Mohd Daudsu Jamaluddin pada m-44 juga hanya beberapa meter melepasi pintu gol.

Minit-minit akhir babak pertama, salah faham diantara Rosdin Wasli dengan Azizon didepan pintu golnya hampir membawa padah kepada pasukannya namun Norshahrul Idlan gagal memanfaatkan peluang tersebut.

Bersambung babak kedua, Sabah membuat percaturan dengan memasukkan Razlan Oto menggantikan Stanley Bernard Stephen Samuel bagi menguatkan jentera serangannya. Pada m-67, pintu gol Kelantan sekali lagi diuji apabila Julamri merembat kencang namun sempat ditepis keluar Khairul Fahmi.

Pada m-71, penyerang terbilang, Norshahrul Idlan terus mengukuhkan kedudukan 2-0 untuk Kelantan apabila sepakan lambungnya dari luar kotak penalti berjaya melepasi jangkauan Azizon dipintu golnya.

Namun, Sabah enam minit kembali merapatkan jurang apabila penyerangnya, Razlan Oto berjaya merembat masuk dari luar kotak penalti berpunca situasi kelam-kabut didepan pintu gol Kelantan sebelum itu.

Minit-minit akhir perlawanan, Norshahrul Idlan terlepas peluang untuk mencipta hatrik apabila rembatan kencangnya dalam kotak penalti dikuis keluar Azizon untuk menyaksikan keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.



Kesebelasan utama pemain:

SABAH: Azizon Abdul Kadir, Hariri Mohd Safii, Mohd Reithauddin Awang Emran (KP), Alto Linus, Mafry Balang (Rozaimi Abdul Rahman), Rosdin Wasli (Zuraindey Jumai), Radzi Md Hussin, Julamri Muhammad, Zainizam Marjan, Shahrul Azhar Ture dan Stanley Bernard Stephen Samuel (Razlan Oto).

FORMASI: 4-4-2



KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, S Subramaniam, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Shakir Shaari, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Izuan Salahuddin (Mohd Nizab Ayub), S Chanturu Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Mohamad Ab Aziz Ismail) dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI: 4-4-2

----- Sinar Harian Online

Wednesday, July 6, 2011

Kelantan Juara Liga Malaysia 2011

Kelantan berjaya mengalahkan pasukan Sabah dengan jaringan dia gol berbalas satu sekaligus melayakkan gergasi pantai timur tersebut dinobatkan sebagai Juara Liga Malaysia 2011.

Kedua-dua jaringan Kelantan dijaringkan oleh pemain paling bernilai 2010, Norshahrul Idlan Talaha.

Sabah 1 - 2 Kelantan



Tetap mahu menang lawan Sabah: Azman

PENGURUS pasukan Kelantan, Azman Ibrahim berkata, biarpun pasukannya sekadar mahukan satu mata untuk mengesahkan status juara baru Liga Super musim ini, namun beliau tidak mahu terlalu yakin sehingga boleh menjerat diri dan pasukannya.

Menurutnya, The Red Warriors mengharapkan kemenangan dengan menjaringkan gol bagi perlawanan terakhir menentang Sabah, hari ini.

“Matlamat sebenar kita bertandang ke Kota Kinabalu untuk mencatatkan kemenangan. Saya yakin kita mampu menamatkan penantian sejak tiga tahun lalu untuk bergelar juara,” katanya.

Azman berkata, andai kata Kelantan tewas sekalipun, The Red Warriors masih mampu bergelar juara sekiranya pencabar terdekat, Selangor sekadar seri atau tewas kepada Perak manakala Terengganu gagal mengalahkan KL Felda United FC dengan defisit sekurang-kurangnya enam gol.

Difahamkan, kesemua lima pemain Kelantan yang bersama skuad kebangsaan menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia di Taiwan kembali menyertai pasukan.

----- Sinar Harian Online

Friday, May 20, 2011

Yob gigit jari (Harian Metro Online)

Oleh Azizan Hashim

SABAH mengecewakan Perak pada saat-saat akhir melalui jaringan Md Rozaimi Rahman untuk mengikat skuad Seladang 1-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Lumut, petang semalam.

Begitupun perlawanan dalam keadaan cuaca panas itu menjadi bertambah panas apabila penyokong Perak menyerang pengadil, Mohd Sabri Mat Ladzim selepas perlawanan kerana memberikan sepakan percuma kepada Sabah yang menghasilkan gol penyamaan. Begitupun tindakan pantas pihak keselamatan stadium berjaya menghalang berlaku insiden tidak diingini terhadap pegawai perlawanan itu. Sebelum itu Perak tampak mengecap kejayaan melalui gol sepakan penalti kapten, Shahrulnizam Mustapha pada minit ke-52 selepas Mohd Shazuan Asyraff dijatuhkan lawan dalam kotak penalti.

Begitupun, bermula daripada sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalti, Rozaimi yang masuk menggantikan Razlan Oto memanfaatkan sepakan itu bola terkena benteng pemain Perak terlebih dulu, sebelum menggegar gawang untuk menyelamatkan pasukan bimbingan Justin Ganai itu.

Apa yang pasti, pemain Perak bagaikan menolak tuah kerana walaupun menguasai sebahagian besar permainan, mereka gagal menterjemahkan rentetan peluang.

Perak yang tampil dengan hasrat meraih mata penuh selepas seri dua perlawanan terakhirnya tampak bernafsu dan mengasak bertubi-tubi, tapi malangnya Akmal Rizal Ahmad Rakhili dan Wan Hossein Wan Abd Ghani gagal memanfaatkan peluang terhidang.

Saturday, February 26, 2011

Negeri Sembilan 'tempang' layan Sabah (Berita Harian Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my
2011/02/26

MASALAH kecederaan dan kad kuning dihadapi beberapa pemain utama Negeri Sembilan menjejaskan persiapan skuad itu untuk mencari kemenangan ke atas Sabah, pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.

Sekurang-kurangnya empat pemain utama pasti tidak dapat diturunkan iaitu kapten Mohd Shukor Adan, Idris Karim, Irwan Fadly Idrus dan Ahmad Aminuddin Shaharuddin.
Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan, mengesahkan khidmat empat pemain terbabit tidak dapat dimanfaatkan bagi perlawanan penting itu, sekali gus menyukarkan sedikit perancangannya dalam merangka strategi terbaik.

Namun beberapa pemain muda sudah dikenal pasti untuk menggalas tugas sambil berharap G Mahathevan dan Abdul Halim Zainal yang beraksi di jentera tengah dapat memainkan peranan lebih berkesan untuk membantu barisan depan.

“Ketiadaan Idris memang amat dirasakan kerana setakat ini pemain ini melakukan tugas dengan cemerlang dalam membantu menggerakkan jentera, selain turut menyumbangkan gol ketika Negeri Sembilan menang ke atas T-Team sebelum ini,” katanya, semalam.

Monday, February 21, 2011

Dollah belum puas hati aksi Pahang (Berita Harian Online)

Oleh Asrol Awang
bhsukan@bharian.com.my
2011/02/21

BIARPUN layak ke pusingan kedua Piala FA, jurulatih Pahang, Dollah Salleh masih belum berada pada prestasi sebenar jika mahu mencapai kejayaan bukan saja saingan Piala FA, malah Liga Super.

Menurut bekas pemain kebangsaan itu, corak permainan skuad kendaliannya itu tidak menepati keinginannya terutama dari segi ketahanan mental.

“Seperti dipersembahkan pada perlawanan dengan Sabah malam tadi (kelmarin, biarpun menang 2-1), pemain seakan hilang tumpuan selepas mendahului lawan dan mereka dilihat tidak mampu beraksi sepanjang tempoh 90 minit.

“Saya harap pada perlawanan selepas ini, pemain dapat mengawal permainan dengan baik bukan dalam tempoh tertentu, sebaliknya sehingga wisel penamat,” katanya semalam.

Pada perlawanan kelmarin, dua gol Pahang, masing-masing dijaringkan R Surendran dan R Karthigesu pada minit ke-57 dan 67 manakala gol tunggal Sabah pada minit ke-70.

Saturday, January 29, 2011

Liga Super: Pertemuan Terengganu-Sabah Sebelah Petang


KUALA TERENGGANU, 28 Jan (Bernama) -- Perlawanan sulung Liga Super antara Terengganu dan Sabah di sini pada Sabtu akan berlangsung pada waktu petang.

Setiausaha Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Abdullah Salleh berkata perlawanan tersebut akan diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) pada 4.45 petang.

"Kita tidak dapat mengadakan perlawanan itu pada sebelah malam seperti biasa kerana masih ada masalah teknikal lampu limpah," katanya kepada Bernama.

Abdullah berkata SSINS telah dipasang lampu limpah yang baru mengikut standard yang ditetapkan tetapi timbul sedikit masalah yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, beliau berkata untuk perlawanan akan datang akan dilangsungkan pada sebelam malam di SSINS apabila masalah itu dapat diatasi.

Abdullah memohon maaf kepada para peminat bolasepak yang tidak jemu-jemu memberi sokongan kepada pasukan Terengganu berikutan masalah itu.

-- BERNAMA

Tuesday, January 18, 2011

Sabah Hawk sedia hadapi Liga Super (Sinar HArian Online)




SETELAH enam tahun bergelut dalam Liga Perdana, skuad Sabah kembali semula ke kancah elit Liga Super dan bakal menghadirkan perasaan gerun buat pasukan lain, musim ini.

Penurunan pangkat ke Liga Perdana pada 2005 sedikit menjejaskan reputasi hebat wakil dari Malaysia Timur itu.

Namun, itu kisah lama. Sabah membuka lembaran baru untuk membuktikan antara pasukan digeruni satu ketika dahulu.

Bermula dengan kejayaan menjulang Piala FA pada 1995 dan Liga Perdana setahun selepas itu berjaya meletakkan nama Sabah sebagai pencabar utama dalam arena bola sepak tempatan.

Rekod dalam Piala Malaysia juga tidak mengecewakan biarpun sekadar menjadi naib johan dalam edisi 1996, 2002 dan 2003.

Kini, Sabah yang dikendalikan jurulatih asing dari Australia, Gary Philips sejak 2009 enggan mengorak langkah ke belakang.

Mereka turut diperkasakan dengan kehadiran bekas penjaga gol Kelantan, Syed Adney Syed Hussein.

Malah, penjenamaan semula pasukan Sabah yang dikenali sebagai Sabah Hawk turut menyuntik semangat barisan pemain untuk menghadapi saingan getir 13 pasukan lain yang bertanding kali ini.

Antara pemain Sabah Hawk yang perlu diberi perhatian pasukan lain adalah Stanley Bernard Stephen dan Mohd Farid Ideris

Saturday, January 15, 2011

6 muka baru mantapkan Sabah (Utusan Malaysia Online)


MUSA bersalam dengan pemain Sabah pada majlis penyerahan jesi pasukan itu dan pelancaran kelab penyokong skuad itu, Sabahawks di Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU – Setelah lima tahun berturut-turut beraksi dalam Liga Perdana, Sabah yang kembali ke kancah Liga Super bertekad untuk merebut kejuaraan itu musim ini.

Sabah, yang diperkuatkan dengan adunan pemain lama dan baru, berjaya memperbaiki prestasi hambar mereka sebelum ini, apabila meraih gelaran naib juara Liga Perdana lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA), Datuk Seri Musa Aman menegaskan, skuad yang dibimbing ketua jurulatih, Garry Philips perlu meningkatkan prestasi ke tahap yang lebih tinggi musim ini, bagi membuktikan mereka sememangnya berhak bermain dalam Liga Super.

‘‘Saya berpuas hati dengan pencapaian pemain musim lalu. Walaupun jarang berjumpa pemain, tetapi saya selalu berbincang dengan ahli Majlis Tertinggi Sabah mengenai prestasi pasukan Sabah.

‘‘Selama lima tahun kita dalam Liga Perdana, kini kita kembali ke Liga Super untuk bermain dengan pasukan yang handal-handal. Saya harap, pasukan Sabah mampu menjadi salah satu pencabar utama musim ini.

‘‘Kalau melihat kehebatan pasukan-pasukan Liga Perdana Inggeris seperti Manchester United, Arsenal dan Liverpool, kita pun boleh sekuat mereka, dengan syarat pemain perlu mempunyai kesungguhan dan usaha untuk berjaya,” katanya.

Beliau menyampaikan amanat itu ketika berucap pada majlis memperkenalktan pemain-pemain Sabah musim ini, jersi baru dan pelancaran kelab penyokong Sabahawk.

Pada majlis itu, turut diumumkan enam muka baru yang akan beraksi dengan skuad Sabah, termasuk dua bekas pemain Sabah, Zuraindey Jumai dan Sumardi Hajalan.

Safa tampil imej baru (Harian Metro Online)

SABAH menampilkan pembaharuan dalam pasukan bola sepak negeri itu sebagai langkah menyuntik semangat baru kepada pemain agar lebih menyerlah pada saingan musim ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) berkata, selain penampilan beberapa pemain baru, pengurusan pasukan juga dirombak dengan pelantikan pengurus dan pegawai baru yang berkeupayaan memberi komitmen tinggi ke arah pencapaian cemerlang.

“Sejak setahun lalu, kami menunjukkan peningkatan prestasi hingga dinobat naib juara Liga Perdana. Tahun ini, kami bermain di liga lebih tinggi dan berprestij.

“Semua ini menuntut permainan mantap daripada pemain dan pengurusan,” katanya pada majlis jamuan petang dengan pemain pasukan itu, semalam. - Bernama

Thursday, January 13, 2011

Kelantan hilang hak tuan rumah? (Utusan Malaysia Online)


Pekerja mengecat bahagian tempat duduk penonton di Stadium Sultan Muhammed IV, semalam sebagai persediaan untuk saingan Liga Malaysia 2011 tidak lama lagi. Gelanggang pasukan Kelantan itu merupakan antara stadium yang belum memenuhi syarat yang ditetapkan oleh FAM.


PETALING JAYA - Juara Piala Malaysia 2010, Kelantan bakal kehilangan hak dan kelebihan bermain di gelanggang sendiri serta sepak mula sebelah malam bagi beberapa perlawanan awal Liga Malaysia musim ini, apabila Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu masih belum memenuhi dua syarat utama pertandingan tempatan.

Gara-gara keadaan padang dan tahap pencahayaan kurang memuaskan, gelanggang keramat Wira Merah itu kini diarahkan diperbaiki dalam tempoh antara 15 hari sehingga seminggu sebelum perlawanan awalnya oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Kelantan bagaimanapun akan membuka Liga Super musim ini dengan bertandang ke Stadium Shah Alam bagi perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah dengan juara bertahan, Selangor pada 29 Januari ini, serentak dengan enam lagi perlawanan lain.

Turut mendapat amaran itu ialah empat lagi pasukan Liga Super; Terengganu, Sabah, Perak dan Johor FC manakala Sarawak, Sime Darby, PKNS, Angkatan Tentera Malaysia, Pos Malaysia, Harimau Muda B, Majlis Perbandaran Muar dan Johor mewakili Liga Perdana.

Gelanggang sendiri semua pasukan ini didapati rosak, botak, berumput tidak sejenis, tidak rata dan berlopak, selain tidak memiliki tahap pencahayaan lampu sehingga 800 lux untuk dilangsungkan perlawanan yang bermula pukul 8.45 malam.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Hamidin Amin berkata, gelanggang terlibat ialah Stadium Sultan Muhammed IV Kota Bharu, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, Stadium Likas Kota Kinabalu, Stadium Perak Ipoh dan Stadium JCorp, Pasir Gudang.

"Lain-lain stadium yang terlibat ialah Stadium Sarawak Kuching, Stadium Petaling Jaya, Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Stadium Larkin Johor Bahru," katanya yang juga Naib Presiden FAM selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kali kelima di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Katanya, jawatankuasa masih cuba bertolak ansur dengan kesemua pasukan terlibat dan pihak pengurusan gelanggang apabila mengurangkan tahap pencahayaan lampu stadium kepada cuma 800 lux sedangkan ia sepatutnya ditetapkan pada 1,200 lux jika menurut peraturan pertandingan antarabangsa.

"Kami bukan mahu menghukum secara melulu dengan memberikan tempoh muktamad ini tetapi kami mahu semua pihak terlibat, mengambil berat dan mengenakan langkah berjaga-jaga, sejajar syarat pertandingan dan kualiti Liga Malaysia mulai musim 2011," katanya.

Tegas Hamidin, kegagalan pihak berkenaan mematuhinya juga akan menyebabkan mereka terpaksa mengalihkan beberapa perlawanan awal di tempat sendiri ke stadium yang mungkin di tempat terdekat, negeri berjiran atau lebih jauh sekiranya tuan rumah asal di situ, dijadualkan bermain di gelanggang lawan pada hari berkenaan.

"Ini bererti ada kemungkinan Kelantan dan Terengganu umpamanya, terpaksa bermain di Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi perlawanan tempat sendiri, selagi gelanggang utama mereka masih gagal mencapai syarat utama pertandingan iaitu padang dan lampu.

"Jawatankuasa juga membenarkan permintaan Pulau Pinang untuk melangsungkan perlawanan Liga Perdana musim ini di Stadium Bandaraya mulai 4.45 petang, begitu juga di gelanggang yang dilarang dimainkan perlawanan sebelah malam atau 4.15 petang bagi Sabah dan Sarawak," katanya.

Wednesday, January 5, 2011

Tekad Adney rebut gawang Sabah (Utusan Malaysia Online)

Syed Adney Syed Hussein

KUALA LUMPUR - Penjaga gol baru Sabah, Syed Adney Syed Hussein menyifatkan kehadirannya bersama skuad Sang Badak dalam Liga Malaysia musim 2011, semata-mata atas hasrat untuk mendapatkan lebih banyak tempat dalam kesebelasan utama.

Sekalipun berat untuk meninggalkan Kelantan yang meminjamkannya ke sana, anak muda berusia 24 tahun kelahiran Liverpool, England ini ternyata lebih gemar melihatnya dari sudut positif, khususnya bagi masa depan karier bola sepaknya.

"Di mana-mana pun sama sebenarnya, malah bukan gaji lebih lumayan yang saya cari di sini, tetapi keinginan untuk bermain lebih banyak perlawanan seterusnya merebut posisi penjaga gol utama Sabah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Malah menyarung semula jersi negara masih meluap-luap di hati Syed Adney, setelah digugurkan pada hari ulang tahunnya ke-23, beberapa hari sebelum skuad bimbingan K. Rajagobal ke Sukan SEA 2009 dan mengakhiri kemarau pingat emas selama dua dekad di Laos.

"Saya rasa peluang yang diberikan oleh jurulatih Sabah, Gary Phillips sekarang seimbang buat ketiga-tiga penjaga gol kami (termasuk Azizon Kadir dan Salawi Ahmad Jasad) seperti mana terbukti dalam siri perlawanan persahabatan pramusim 2011, baru-baru ini.

"Pendedahan kerap bersama kesebelasan utama, bakal memudahkan keserasian dan kerjasama dimantapkan yang pastinya penting bagi sesebuah pasukan apatah lagi apabila kembali ke Liga Super bagi musim 2011," kata pemain lampai ini.

Tuesday, February 16, 2010

Liga M tetap perlukan pemain import (Utusan Malaysia)

KUANTAN – Sejauh manakah kemasukan jurulatih dan pemain import dapat membantu mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak negara?

Ini kerana, isu yang mendapat pelbagai reaksi daripada jurulatih sehingga ke badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sekali lagi dibangkitkan oleh jurulatih luar, yang membimbing skuad bola sepak tempatan.

Kali ini, perkara itu dibangkitkan oleh jurulatih Sabah, Gary Micheal Philips, yang berasal dari Australia dan telah membimbing beberapa kelab di negaranya dan negara luar seperti Vietnam.

Bagi banyak pihak, mutu dan kualiti bola sepak tempatan ketika ini dikatakan lebih rendah berbanding negara lain, sehingga gagal menarik penonton ke stadium.

Namun, di sebalik suara sumbang itu, ramai pula mula membuka mata terhadap potensi sukan No. 1 itu selepas kejayaan skuad Bawah 23 membawa pulang emas Sukan SEA Laos XXV.

Justeru, bagi Gary, sukan bola sepak tempatan bukan setakat memerlukan ‘sentuhan’ jurulatih luar, tetapi juga pemain import, untuk pemain tempatan mempelajari teknik dan taktik permainan bola sepak moden.

Melalui pendedahan demi pendedahan kata beliau, ia bakal membantu pemain tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa dengan lebih berkeyakinan.

Selain itu, beliau turut membangkitkan mengenai keperluan negara untuk mencungkil bakat pemain bola sepak seawal usia 10 tahun, yang bukan hanya tertumpu kepada satu-satu kawasan, tetapi dibuat secara menyeluruh dan bersepadu membabitkan semua pihak berkepentingan dalam membangunkan sukan tersebut.

“Sebagai contoh, kita lihat pasukan Barcelona dan beberapa kelab utama bola sepak dunia lain yang mempunyai barisan pemain pelapis yang diasuh sejak kecil lagi.

‘‘Pemain-pemain ini akan terus dibimbing sehingga mereka mencecah usia dewasa, seterusnya mewakili kelab terbabit,” katanya kelmarin.

Beliau ditemui selepas perlawanan Liga Perdana antara Sabah menentang Shahzan Muda, baru-baru ini.

Menurut Gary, kedatangan jurulatih dan pemain import dalam kancah sukan bola sepak Malaysia seharusnya disambut baik kerana ia bakal memberi banyak manfaat untuk pembangunan sukan tersebut pada masa hadapan.

Dalam soal ini, beliau mengambil contoh kerajaan Australia melahirkan ramai pemain bertaraf dunia dengan kira-kira 100 hingga 150 pemainnya kini bermain di beberapa kelab ternama.

“Malaysia pula bagaimana?, berapa ramai pemain Malaysia yang beraksi dengan kelab-kelab luar negara?.

“Justeru, seseorang perlu memikirkan tentang masa depan sukan bola sepak di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kejayaan Sabah mendapat tiga mata penuh selepas menundukkan anak didik Tajudin Nor, Gary masih tidak berpuas hati dengan prestasi anak buahnya memandangkan sasaran Sabah untuk berada di kedudukan empat teratas liga.

“Kami menguasai permainan tetapi pemain yang kebanyakannya masih muda banyak mempersia-siakan peluang.

‘‘Mereka juga kurang stamina dan lebih banyak latihan perlu dilakukan selepas ini,” katanya.

Tuesday, February 2, 2010

Sabah pertaruh gandingan Rosdin-Mafry (Utusan Malaysia)

KOTA KINABALU - Jurulatih Sabah, Gary Philips yakin kombinasi Rosdin Wasli dan Mafry Balang, mampu menguatkan barisan tengah pasukan itu menjelang perlawanan pertama Piala FA menentang Kedah, hari ini.

Jurulatih dari Australia itu berkata, jika percaturan tersebut menjadi, beliau tidak nampak mengapa skuad Badak tidak mampu menyaingi pasukan Liga Super itu dalam perlawanan di Stadium Likas.

''Barisan pemain tengah kami bersikap terlalu 'lembut' sebelum ini.

''Apabila bertemu Kedah nanti, kami memerlukan pemain yang mantap untuk merancang strategi permainan.

''Saya memikirkan untuk menggunakan gandingan pemain senior seperti Rosdin dan Mafry," katanya di sini, semalam.

Menurut Gary, dia juga menyandarkan harapan Zainizam Marjan dapat mengemudi jentera serangan selepas prestasi cemerlang ketika menewaskan MP Johor pada perlawanan Liga Perdana, minggu lalu.

''Saya mengharapkan Zainizam dapat beraksi esok, kerana dalam perlawanan Liga Perdana lalu, dia hanya beraksi pada separuh masa kedua, kerana masih belum cergas sepenuhnya.

''Apa pun, saya perlu melihat sama ada mahu menggunakan Zainizam di bahagian tengah atau sebagai penyerang," ujarnya.

Beliau menjangkakan perlawanan hari ini sengit, memandangkan ia merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan musim ini.

Sehubungan itu, katanya pemain perlu mengetepikan sikap bersahaja dalam padang, sebaliknya harus lebih agresif, jika mahu dihormati oleh pasukan lawan.

Katanya, meskipun misi sebenar Sabah musim ini adalah untuk kembali ke Liga Super musim depan, tetapi pemain juga perlu menumpu perhatian dalam saingan Piala FA.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...