Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Safee Sali. Show all posts
Showing posts with label Safee Sali. Show all posts

Thursday, January 5, 2012

Safee digesa buat pertimbangan


Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

PENYERANG sensasi negara, Mohd Safee Sali diingatkan supaya membuat pertimbangan sewajarnya berhubung kemelut Liga Super Indonesia (ISL) dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang masih belum menemui jalan penyelesaian, terutamanya sebelum membuat keputusan melanjutkan kontraknya yang berakhir 31 Januari ini.

Kapten Pelita Jaya FC (PJFC) itu berdepan kemungkinan beraksi di liga haram apabila berakhirnya tempoh dua minggu bermula 28 Disember tahun lalu yang diberikan PSSI terhadap pasukan beraksi dalam ISL.

“Menerusi perbincangan saya dengan pegawai tertinggi PSSI minggu lalu, kelab yang beraksi dalam ISL diberi tempoh dua minggu untuk menyertai Liga Primier Indonesia (IPL) dan sekiranya gagal, mereka akan diharamkan.

“Kami tidak mahu mencampuri urusan PSSI, namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa bertindak mengikut situasi semasa kerana arahan PSSI itu diiktiraf sah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ,” kata Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, petang semalam.

Sekiranya PJFC diharamkan Fifa, ia bakal menghalang penjaring terbanyak pada Piala AFF 2010 itu untuk mewakili Malaysia selepas ini.

Hamidin bagaimanapun menjelaskan sekiranya bekas penyerang Selangor itu berhasrat kembali ke saingan tempatan selepas kontraknya berakhir hujung bulan ini, ada jalan penyelesaian yang membolehkannya beraksi atas kapasiti pemain kebangsaan walaupun tempoh pendaftaran kedua pemain Liga Malaysia hanya bermula pada April.

“Sebagai pemain kebangsaan, kami tidak mahu dia tidak beraksi dalam saingan kompetitif untuk tempoh dua atau tiga bulan. Situasi ini mungkin boleh dirujuk kepada mesyuarat Exco FAM bagi mendapat perhatian sewajarnya.

“Namun ia terpulang kepada dirinya sendiri kerana saya difahamkan PJFC mahu menawarkan kontrak baru selama dua tahun kepadanya,” katanya.

Hamidin sebelum itu meninjau padang Stadium Nasional Bukit Jalil dan mempengerusikan mesyuarat berhubung perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara Kelantan dan Negeri Sembilan, Sabtu ini dengan harga tiket RM30 untuk tempat duduk utama dan RM15 terbuka dengan tiket di Stadium Nasional mula dijual pada pagi hari perlawanan.

--- Harian Metro

Sunday, September 11, 2011

Safee digesa manfaat peluang di Cardiff

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

2011/09/11

SELEPAS mendapat lampu hijau daripada majikannya, Pelita Jaya FC kelmarin, tawaran kepada penyerang negara, Safee Sali untuk menjalani ujian pemilihan dua minggu bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City bermula esok, turut mengundang reaksi positif beberapa jurulatih tempatan.

Tawaran kepada pemain kelahiran Kajang itu seperti sudah lama dinantikan ramai penggiat sukan bola sepak di negara ini yang mahukan satu dimensi baru dicipta pemain berkenaan selepas membuktikan kemampuan dalam Liga Super Indonesia (ISL) bersama Pelita Jaya.
Pengendali Perak, Norizan Bakar menganggap tawaran menjalani ujian latihan bersama Cardiff City boleh menjadi pembakar semangat kepada pemain tempatan lain.
Pemergian Safee untuk menjalani latihan bersama Cardiff boleh menjadi perintis kepada pemain lain di negara ini untuk terus meningkatkan prestasi bagi mengikut jejak langkahnya.

Pemilihan itu bermakna orang sudah mula melihat bakat dan kemampuannya. Saya harap dia (Safee) mampu membuktikan kepada pengurusan kelab berkenaan yang produk Malaysia juga mampu bersaing dengan pemain luar, kata bekas pengendali kebangsaan itu.

Sebelum ini kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim dan Safee ditawarkan menjalani latihan bersama kelab Inggeris berkenaan tetapi Safiq hanya akan menyertainya selepas tugasannya bersama Selangor dalam saingan Piala Malaysia selesai.

Jurulatih Pos Malaysia, Mat Zan Mat Aris pulberkata, peluang menjalani latihan dengan Cardiff perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan dia pasti Safee akan menjadi contoh terbaik kepada pemain muda lain.
Kutip pengalaman sebanyak mungkin. Memang diakui Safee terpaksa bersaing dengan pemain kulit putih dengan fizikal lebih besar dan usia lebih muda tetapi dia perlu buktikan sesuatu untuk membuktikan dia juga mampu menyerlah di peringkat tertinggi.

Saya tidak mahu orang bercakap dia dipilih hanya kerana disebabkan pengerusi kelab berkenaan (Datuk Chan Tien Ghee) juga rakyat Malaysia, kata bekas pertahanan Kuala Lumpur dan kebangsaan itu.

--- Berita Harian

Saturday, September 10, 2011

Pelita Jaya beri lampu hijau

Oleh Wan Fakhrul Bakar

2011/09/10

Safee dapat pelepasan majikan jalani ujian

PENYERANG kebangsaan, Mohd Safee Sali mendapat pelepasan daripada majikannya, Pelita Jaya FC semalam untuk menjalani ujian pemilihan dua minggu bersama kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City, bermula Isnin ini.

Ia pasti melonjak semangat pemain kelahiran Kajang berusia 27 tahun itu untuk berusaha mempamerkan aksi terbaik sepanjang tempoh ujian sehingga 27 September ini.
Pengurus Pelita Jaya, Lalu Mara Satria Wangsa memberi lampu hijau kepada saya. Jadi saya akan pulang ke Kuala Lumpur pagi Ahad (esok) dan terus berlepas ke Cardiff awal pagi Isnin.
Biarpun memberi pelepasan dan tidak berkata apa-apa, gaya percakapan Lalu Mara seolah-olah dia takut kehilangan saya. Apa pun, jurulatih (Misha Radovic) banyak beri sokongan dan nasihat untuk saya mencuba, kata Safee ketika dihubungi di Jakarta, semalam.

Namun timbul sedikit kebimbangan berhubung tahap kecergasan Safee kerana dia baru pulih daripada kecederaan berulang pada bahagian otot belakang lututnya.

Saya sangat berharap kecederaan ini tidak menghalang saya untuk beraksi cemerlang di sana. Dengan doa semua peminat, saya harap dapat mengatasi semua cabaran di sana.

Memang rasa tidak sabar menjalani ujian di Cardiff. Saya akan ikut segala arahan kelab itu dan berusaha memikat mereka dengan cara permainan saya. Harap semuanya berjalan lancar, kata bekas penyerang Selangor itu.
Dalam pada itu, Lalu Mara mendoakan kejayaan Safee dengan berkata: Kami berharap ia akan memberi kebaikan kepada Safee, Pelita Jaya dan seluruh peminatnya, sama ada di Malaysia atau Indonesia.

----- Berita Harian

Monday, July 11, 2011

Safee tak beraksi lawan Arsenal




DEMI membantu Malaysia melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2014, penyerang berbisa, Safee Sali terpaksa melupakan hajat beraksi menentang Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.

Safee, 27, masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring tendon di bahagian belakang lutut yang dialaminya ketika aksi pertama pusingan pertama menentang Taiwan pada 29 Jun lalu.

Menurut Safee, dia berharap kecederaannya itu dapat pulih dengan lebih cepat bagi membolehkannya turun beraksi ketika skuad kebangsaan bertemu pula Liverpool, Sabtu ini.

Namun fokus utamanya tetap untuk dapat tampil dengan aksi terbaik ketika skuad kebangsaan bertemu Singapura pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai depan.

“Buat masa ini, saya baru pulih 70 peratus dan memang kemungkinan besar tidak dapat beraksi untuk perlawanan menentang Arsenal pada Rabu ini.

“Memang rasa kecewa tidak dapat berdepan pemain-pemain Arsenal, tetapi perlawanan yang lebih penting bagi skuad kebangsaan ialah bertemu Singapura.

“Saya tidak mahu kecederaan ini bertambah teruk semula kerana mahu betul-betul cergas menjelang pertemuan dengan Singapura,” kata Safee ketika ditemui Kosmo! semalam.

Dengan ketiadaan Safee, jentera serangan skuad kebangsaan untuk membolosi gawang Arsenal yang dikawal Wojciech Szczesny bakal diketuai Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahaya.

Bagaimanapun, Safee tetap menyimpan hasrat untuk turun beraksi menentang Liverpool yang merupakan musuh tradisi pasukan kegemarannya, Manchester United.

“Mana tahu jika kecederaan saya ini pulih dengan lebih cepat, saya dapat berpeluang turun beraksi menentang Liverpool pada Sabtu ini.

“Sebelum ini pun saya hanya sekali bertemu kelab England iaitu Chelsea pada 2008 dan memang peluang keemasan seperti ini kalau boleh tidak dilepaskan,” ujar pemain kelab Pelita Jaya itu.

Dalam pada itu, skuad Arsenal tiba di ibu negara pada hari ini tanpa kelibat kapten, Cesc Fabregas yang masih cedera serta penyerang Lille, Gervinho yang belum melengkapkan perpindahannya.

----- Kosmo Online

Wednesday, March 9, 2011

Keluarga nombor satu (Harian Metro Online)

BERADA di negara orang, tidak bermakna budaya sendiri boleh terus dilupa dan mengekalkan budaya asal biarpun berada di tempat lain tidak bermaksud mengasingkan diri dari masyarakat setempat.

Begitulah gambaran yang boleh dibuat dalam kehidupan penyerang kebangsaan, Safee Sali yang kini menjadi tonggak kelab Pelita Jaya.

Di sebalik kehidupan menjalani latihan di kelab, Safee tetap meluangkan masa bersama keluarga jika ada masa terluang.

Safee bersama isteri Sabrina Yusof dan dua anak, Nur Syaza Syaqina, 3, serta Nursyasya Safirna, 1, tinggal di Apartmen Bona Vista, kediaman mewah yang disediakan kelab itu.

“Masa saya agak sibuk di padang sama ada berlatih mahupun menghadapi perlawanan. Tapi saya tetap luangkan masa bersama keluarga kerana mereka juga perlukan perhatian saya. Latihan di sini agak ringan kerana pendekatan jurulatih (Miodrag Radovic) berbeza dengan jurulatih lain,” kata Safee yang ditemui di apartmennya, kelmarin.

Selain anak dan isteri, Safee turut ditemani ibu bapanya Maripah Hussain, Mohd Sali Mian selain adik serta adik iparnya Hidayah Sali serta Ayu Yusof.

“Kami sekeluarga sering keluar bersama ke mana-mana sekalipun. Ada kalanya jika saya menjalani latihan mereka akan datang ke mes penginapan skuad Pelita Jaya di Sawangan menyaksikannya.

“Jika ada waktu lapang, saya kan bersantai di luar atau ke pusat membeli belah,” kata Safee.

Sabrina juga mengakui Safee sering sibuk, tapi perkara itu sudah biasa baginya kerana keadaan hampir sama di Selangor.

Dalam kesibukan Safee, Sabrina tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dengan memasak di rumah seperti mana hidangan masakan Malaysia.

“Saya lebih senang memasak sendiri kerana lebih sedap memakan masakan yang kita sudah biasa. Malah sebelum ini juga Safee pernah kena cirit birit selama seminggu kerana kami makan di luar, jadi saya ambil keputusan untuk memasak sendiri,” kata Sabrina.

Melihat sambutan peminat di seluruh Indonesia yang pantang melihat kelibat Safee apabila mereka terus menjerit dan mendekati untuk bersalaman, Sabrina berkata dia tidak terkejut dengan senario itu.

“Di Selangor, selepas Piala AFF, beginilah reaksi peminat. Tapi di sini bagaikan satu fenomena, namun saya tidak kisah,” kata Sabrina yang tidak lekang senyuman ketika kami bertamu di kediamannya.

Begitupun, Safee ketika ini bimbang kesihatan puteri keduanya yang demam selsema sejak tiba hingga ke hari ini.

“Saya agak bimbang dengan keadaan Syasya kerana demamnya masih belum reda. Dia sudah dirawat di klinik panel kelab, hingga pada satu ketika doktor terpaksa menyedut kahak keluar dari paru-parunya. Mungkin dia belum dapat membiasakan diri dengan cuaca di sini,” kata Safee.

Dalam pada itu, Mohd Sali yang berada di Jakarta dengannya sejak 13 Februari lalu berkata, beliau gembira melihat keadaan anaknya tapi berasa perlu berada di sana lebih lama kerana bimbang meninggalkan menantunya keseorangan di rumah ketika Safee menjalani latihan.

“Pak cik rasa tak senang jika pulang ke Malaysia ketika ini kerana bimbangkan keadaan menantu dan cucu bersendirian di rumah jika Safee tiada. Pak cik juga bimbang keselamatan mereka jika ke stadium menonton perlawanan membabitkan Safee. Penonton di sini tidak seperti di Malaysia, ada antara mereka bertindak ganas,” kata Mohd Sali.

Pada cuti hujung minggu, Safee mengakui pada awalnya dia bersama keluarga gemar bersiar-siar dan ke pasar raya, melihat perbezaan budaya masyarakat serumpun.

Namun kini pada cuti Ahad, dia berkira-kira untuk menaiki kenderaan kerana kota Jakarta mengalami kesesakan yang amat teruk.

“Dua perkara yang agak rumit dan memenatkan adalah kesesakan lalu lintas tanpa mengira hari dan masa serta jarak gelanggang sendiri yang terlalu jauh, lainnya tiada masalah bagi saya,” kata Safee.

Jarak pangkalan latihan Pelita Jaya di Sawangan ke Stadium Singaperbangsa, Karawang di Jawa Barat hampir 100 kilometer. Adakalanya kesesakan di Jakarta berlarutan ke lebuh raya menuju ke Karawang.

Tuesday, March 8, 2011

Minat Khairul, sambar Safee (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

LEPAS...Safee berjaya meloloskan diri daripada kawalan pemain import Sriwijaya FC, Claudiano Dos Santos di Stadium Singa Perbangsa,  Jumaat lalu.
LEPAS...Safee berjaya meloloskan diri daripada kawalan pemain import Sriwijaya FC, Claudiano Dos Santos di Stadium Singa Perbangsa, Jumaat lalu.

SAFEE SALI bukanlah permata dicari kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya pada peringkat awalnya, namun dia tetap bersinar di arena bola sepak negara jiran itu yang tersungkur di kakinya pada final Piala AFF Disember tahun lalu.

Tanpa niat memperkecil kemampuan Safee, Pengurus Pelita Jaya, Lalu Mara Satriawangsa mendedahkan pasukan itu sebenarnya terpesona dengan ketangkasan penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat.

“Kami pada awalnya mahukan penjaga gawang, Khairul Fahmi yang tangkas di benteng terakhir Malaysia pada final Piala AFF,” kata Lalu Mara.

“Saya turut terpesona dengan reaksinya yang pantas bertindak balas menangkap atau menepis bola. Tapi apakan daya amat sukar untuk mendapatkannya kerana pasukan asalnya (Kelantan) bagai tidak mahu melepaskan.

“Malah, di Pelita Jaya, antara kami sendiri ada juga yang tidak bersetuju membawa penjaga gol import kerana berasakan penyerang baru diperlukan untuk memulihkan semula reputasi pasukan yang berada di tangga paling corot ISL,” kata Lalu Mara.

Selepas melihat aksi Safee pada perlawanan pertama, Lalu Mara berkira-kira untuk membawa pemain tengah dari Malaysia, untuk mencipta peluang menjaringkan gol buat penyerang itu.

“Sekarang saya lihat Safee kurang mendapat umpanan yang membolehkannya menjaringkan gol. Kalau dia mampu memujuk rakannya dari Malaysia yang serasi dengannya saya sedia memberitahu pihak pengurusan untuk melaksanakan tindakan seterusnya,” kata Lalu Mara yang juga terpikat dengan aksi Nurshahrul Idlan Talaha dan Shafiq Rahim.

Begitupun, segala-galanya sudah terjawab dengan jaringan pertama Safee pada penampilan pertama di Stadium Singaperbangsa, Karawang.

Penyerang yang menjadi fenomena baru anak muda, gadis sunti dan ibu bapa di seluruh Indonesia itu membuktikan tuahnya ada di sana.

Jika di penghujung tahun lalu, Safee menjadi petualang buat Indonesia, kini namanya diangkat menjadi wira pasukan Pelita Jaya biarpun baru tiga minggu berada bersama kelab yang tidak berdaerah itu.

Malah, jurulatih, Miodrag Radovic mengaku mahu Safee terus bersama kelab itu untuk musim depan.

“Saya sukakan sikap dan gaya permainan Safee. Dia juga menjadi contoh yang baik buat pemain muda Pelita Jaya dan saya tidak teragak-agak mengatakan bahawa namanya tersenarai dalam perancangan saya untuk musim depan. Saya mahu dia berada lebih lama di kelab ini,” kata Miodrag.

Kontrak setahun Safee akan berakhir pertengahan musim depan dan jika benar Miodrag mahukannya kekal, ini bermakna Safee akan ditawarkan kontrak baru sehingga penghujung 2012.

Safee yang ditemui pula berkata, dia akan menilai terlebih dulu tawaran itu kerana dia ada misi tersendiri.

“Tengoklah macam mana tawarannya. Jika saya menerima tawaran kelab lain yang lebih baik sudah tentu saya pertimbangkan untuk beralih arah kerana saya mahukan lebih banyak pengalaman,” kata Safee.

Selepas menjaringkan satu gol ketika menentang Sriwijaya tiga hari lalu, Safee pastinya digeruni pasukan lain, apa lagi menjelang pertemuan menentang pasukan besar Persib Bandung di Karawang, Sabtu ini.

Menurut kakitangan kelab Pelita Jaya, pertembungan menentang Persib Bandung sentiasa sengit kerana ia membabitkan pertemuan dua musuh berjiran. Malah, Persib yang berpangkalan di Bandung lebih dekat dengan Karawang berbanding Pelita Jaya yang berlatih di Sawangan, Selatan Jakarta.

Monday, March 7, 2011

Devan hambur pujian untuk Safee (Sinar Harian Online)



PRESTASI cemerlang dipamerkan penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010, Safee Sali dalam Liga Super Indonesia (ISL) mendapat pujian bekas jurulatihnya, K Devan.

Pada debut pertamanya menentang Sriwijaya FC itu, Safee menggembirakan penyokong Pelita Jaya FC setelah melepaskan sepakan kencang dari luar kotak penalti sekali gus memastikan tiga mata penuh untuk pasukannya.

Devan ketika dihubungi Sinar Harian berharap Safee meneruskan momentum dalam permainan sambil menghamburkan kata-kata manis buat penyerang kebangsaan itu.

“Saya yakin keupayaan Safee untuk berjaya di sana (ISL). Dia pemain yang mempunyai kualiti dan penyerang terbaik pernah dimiliki Selangor.

“Semalam (kelmarin), Safee membuktikan dia patut mendapat penghormatan setelah menjaringkan gol kemenangan pasu-kan Pelita Jaya FC,” katanya.

Devan berkata, Safee adalah penyerang tulen dan berkebolehan menghasilkan jaringan menerusi tandukan serta memiliki kekuatan pada kedua-dua belah kakinya.

Menurutnya, pemain kelahiran Kajang itu mampu melepaskan sepakan leret yang kuat untuk menghasilkan jaringan jika tidak diawasi pertahanan lawan.

Difahamkan, Safee diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu.

Pemain tempatan wajar contoh Safee (Harian Metro Online)

Oleh Azlan Muhammad Zain

MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menganggap penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali yang kini mewakili kelab Pelita Jaya di Indonesia boleh dianggap sebagai model yang harus dicontohi pemain bola sepak tempatan.

Menurutnya, penampilan Mohd Safee pada perlawanan pertama kelab yang beraksi di Liga Super Indonesia (ISL) itu adalah satu kebanggaan dan Malaysia sudah menunjukkan mampu mempunyai produk yang baik serta menjadi rebutan kelab luar negara.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penampilan pertama bekas pemain Selangor itu di Indonesia serta jaringan tunggalnya yang membolehkan Pelita Jaya menewaskan Sriwijaya FC, kelmarin.

“Kita juga mesti fleksibel jika ada pemain mendapat tawaran bagus dari luar negara namun di samping itu pasukan tempatan juga perlu memikirkan cara untuk menyaingi apa yang ditawarkan bagi membolehkan liga tempatan juga mampu menarik pemain terbaik negara lain,” katanya.

Ahmad Shabery berkata. perkembangan seperti itu perlu dilihat dari skop luas bagi membolehkan sukan dilihat satu industri.

Sementara itu, mengenai perkembangan jaguh berbasikal negara Mohd Azizulhasni Awang, beliau berkata atlet yang berpangkalan di Melbourne, Australia itu kian pulih.

Populariti Safee atasi Gonzales (Harian Metro Online)

Daripada Syed Riduan Ahmad di Jakarta

2011/03/07

PENYERANG sensasi terbaru Pelita Jaya FC, Safee Sali buat pengurus dan jurulatih kelab Liga Super Indonesia (ISL) itu pening, bukan kerana persembahannya di atas padang tetapi disebabkan sambutan peminat yang tidak putus-putus ingin merakam gambar kenangan dengan penyerang negara itu.

Populariti Safee yang menjaringkan gol tunggal kemenangan dalam perlawanan pusingan kedua bertemu Sriwijaya FC kelmarin, bukan sekadar di atas padang ketika sesi latihan, malah turut berlarutan ketika menunaikan solat Jumaat di salah sebuah masjid di Karawang kelmarin hinggakan dia diserbu peminat ketika khatib sedang membacakan khutbah.

“Popularitinya kini boleh dikatakan mengatasi pemain lain seperti Cristian Gonzales dan Irfan Bachdim,” kata pengurus Pelita Jaya, Lalu Mara Satriawangsa. “Kadang-kala saya terpaksa menjadi seperti pengawal keselamatannya.

“Bagaimanapun, saya kagum dengan cara Safee menangani kerenah peminat. Dia sentiasa tersenyum dan sabar melayan mereka. Bagi saya kehadiran Safee bagai satu rahmat buat Pelita Jaya.”

Penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 itu bukan saja menarik perhatian peminat bola sepak Indonesia, malah penaja juga mula tertarik untuk menjadi rakan penaja Pelita Jaya walaupun ketika ini kelab itu menghuni kelompok bawahan ISL.

Pada perlawanan pertama pusingan kedua menentang Sriwijaya di Stadium Singaperbangsa, Karawang kelmarin, Pelita Jaya juga menampilkan rakan penaja barunya, Recapital.

Recapital adalah antara syarikat kewangan terbesar di Indonesia, dan Lalu Mara berkata, kemasukan penaja baru itu semata-mata kerana populariti diraih Pelita Jaya selepas kehadiran Safee.

“Mungkin pada masa akan datang kita terpaksa mengadakan sesi khas untuk pemain terutama Safee bersama peminat,” kata jurulatih Miodrag Radovic. “Ini demi memastikan sesi latihan tidak terganggu.”

'Saya akan buktikan' (Kosmo Online)


SAFEE mengelap kasutnya yang akan digunakan pada aksi sulung bersama Pelita Jaya hari ini.


JAKARTA – Mohd. Safee Mohd. Sali bakal mencipta sejarah hari ini apabila muncul sebagai pemain bola sepak pertama Malaysia tampil beraksi dalam saingan Liga Super Indonesia (ISL).

Safee bakal turun beraksi mewakili pasukannya, Pelita Jaya menentang Sriwijaya FC di Stadium Singaperbangsa, Karawang, Jawa Barat petang ini.

Safee, 27, tidak perlu menja- lani ujian pemilihan untuk memikat pasukan ISL itu tetapi aksi mantapnya ketika membantu Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dan muncul penjaring terbanyak kejohanan menjadikan ‘sahamnya’ terus melonjak.

Reputasi hebat Safee membuatkan Pelita Jaya serta dua lagi kelab ISL, Persib Bandung dan Persiba Balikpapan sanggup untuk mengeluarkan sejumlah wang bagi menebus baki kontraknya bersama pasukan Selangor tetapi akhirnya Pelita Jaya menjadi pilihannya.

Hari ini, Safee bakal memulakan tugasnya untuk membantu Pelita Jaya memperbaiki kedudukan tercorot ISL setelah berakhir 14 perlawanan pusingan pertama liga bulan lalu.

Selain itu, Safee turut mempunyai sasaran peribadi iaitu untuk meledak gol ke-110 peri- badi setelah sebanyak 109 gol berjaya dijaringkannya sepanjang beraksi bersama pasukan Kuala Lumpur, Sarawak dan Selangor dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

“Saya janji akan main bersungguh-sunguh esok (hari ini) kerana tahu selain penyokong Pelita Jaya, pelajar Malaysia di sini serta duta pun akan datang ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini.

“Saya nak buktikan bahawa anak Malaysia juga mampu beraksi baik pada saingan liga luar. Saya mahu mereka pulang dengan gembira,” katanya kepada Kosmo! malam tadi.

Penampilan sulung Safee petang ini turut ditunggu-tunggu para penyokong setia Pelita Jaya berdasarkan sambutan hangat yang diberikan mereka terhadap pemain kelahiran Kajang itu pada sesi latihan petang semalam.

“Sambutan penyokong tadi (semalam) memang luar biasa bagi diri saya. Saya rasa cukup bangga dengan sambutan meriah seperti ini.

“Seboleh-bolehnya untuk baki perlawanan ISL musim ini, saya akan cuba membalas kepercayaan para penyokong serta pihak pengurusan kelab ini,” jelas Safee yang turut menunjukkan but Nike yang bakal dipakainya petang ini.

Namun, ada sedikit kegusaran disuarakan Safee berhubung keadaan padang di Stadium Singaperbangsa yang baru diuji buat kali pertama olehnya petang semalam.

“Keadaan padang di stadium tak berapa bagus. Mungkin sukar untuk kami mempraktikkan apa yang dibuat semasa latihan.

“Tetapi saya akan tetap bermain seperti biasa. Apa pun saya mahu jadikan ia gelanggang keramat saya,” ujar Safee.

Safee bikin Stadium Singaperbangsa gegak gempita (Utusan Malaysia Online)


SAFEE Sali (dua dari kiri) merembat bola melepasi jangkauan penjaga gol Sriwijaya di hadapan lebih 6,000 penonton di Stadium Singaperbangsa dekat Karawang, Jawa Barat, semalam. Pelita Jaya menang 1-0. - MINGGUAN/ SAHARUDIN MUSTAFA


KARAWANG, Jawa Barat - Mohd. Safee Mohd. Sali tidak perlu menunggu lama untuk meledak gol kemenangan kelab barunya Pelita Jaya dalam aksi sulungnya, semalam.

Safee membuka gelanggang dengan langkah kanan menerusi jaringan tunggal perlawanan yang menggegar sorakan peminat pada minit ke-62.

Percubaan kedua bekas penyerang Selangor itu untuk menambah jaringan 11 minit kemudian bagaimanapun tersasar meskipun kedudukannya agak selesa di depan gawang.

Gol tunggal Safee, semalam sekali gus melengkapkan rekod peribadinya kepada 110 gol sejak mula terlibat sebagai pemain bola sepak profesional pada tahun 2003.

Apa yang menarik, rentak permainan Safee semalam berjaya memberikan tekanan pada pasukan lawan sehingga ke wisel penamat.

Safee yang beraksi cemerlang pada perlawanan menentang Sriwijaya juga mendapat sorakan gemuruh lebih 6,000 penonton yang memenuhi Stadium Singaperbangsa di sini.

Ternyata kehadiran Safee diterima baik oleh penggemar bola sepak negara ini sehinggakan pada satu ketika namanya bergema di seluruh stadium.

Pemain itu direhatkan daripada bermain ketika perlawanan memasuki minit ke-84.

Dalam pada itu, Safee ketika ditemui mengakui dia masih berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran tempat baru.

Katanya, fokus utamanya pada masa ini ialah meningkatkan pergerakan ketika beraksi kerana corak permainan di sini sama sekali berbeza dengan di Malaysia.

Safee juga menyatakan rasa bangga kerana muncul sebagai wira di padang apabila menjaringkan gol sulung membantu Kelab Pelita Jaya meraih kemenangan pada perlawanan menentang Kelab Sriwijaya.

"Syukur Alhamdulillah saya dapat menjaringkan gol pada masa kedua dan dapat membantu kelab saya meraih kemenangan menerusi tiga mata kemenangan," katanya kepada wartawan Malaysia.

Bersama Kelab Pelita Jaya, Safee menyarung jersi bernombor 55 yang membawa dua maksud yang cukup bermakna dalam dirinya.

Angka 55 katanya, membawa pengertian jumlah angka 10 seandainya kedua-dua nombor itu ditambah yang sekali gus bermaksud nombor jersi 10 yang sering digunakan sebelum ini.

"Nombor itu juga ada kena mengena dengan nama saya Safee Sali. Nombor 55 jika dilihat secara spontan seperti huruf SS," jelas Safee mengenai rasional dia menyarung jersi merah bernombor 55 itu. - mingguan

Friday, March 4, 2011

Safee tak sabar aksi sulung (Kosmo Online)


SAFEE akan memulakan tugas rasmi bersama Pelita Jaya esok.


PENYERANG skuad bola sepak kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali tidak sabar menghadapi perlawanan rasmi pertamanya bersama Pelita Jaya dalam saingan Liga Super Indone- sia (ISL) petang esok.

Pelita Jaya yang kini menduduki tangga tercorot daripada 15 pasukan selepas tamat pusingan pertama, bakal menanti kunjungan pasukan di tangga keenam, Sriwijaya FC di Stadium Singaperbangsa, Karawang.

"Memang tak sabar nak tunggu perlawanan pertama ini. Persiapan pasu- kan pun sudah cukup selepas dua minggu kami berlatih bersama.

"Cuma kami perlu membentuk keserasian dengan dua pemain import di bahagian pertahanan yang dibawa dari Australia dan Scotland kerana mereka baru menyertai pasukan minggu ini.

"Soal menjaringkan gol bukanlah satu bebanan kerana apa yang penting, saya mahu membantu Pelita Jaya mengutip tiga mata penuh pada aksi pertama saya ini," kata Safee ketika dihubungi Kosmo! di Jakarta semalam.

Sriwijaya FC bukan calang-calang pasukan kerana Safee, 27, ketika beraksi bersama Selangor pernah merasai kekalahan 1-6 kepada kelab Indonesia itu pada aksi Piala AFC musim lalu.

Namun, pada aksi di Stadium Jaka Baring, Palembang itu, Safee berjaya menjaringkan gol tunggal Selangor.

"Memang Sriwijaya FC sebuah pasukan yang kuat. Tetapi mereka baru beberapa hari lepas (Selasa) beraksi untuk perlawa- nan sulung Piala AFC 2011.

"Mungkin pemain Sriwijaya FC agak keletihan dan saya dengar beberapa tonggak utama mereka juga mengalami kecederaan. Jadi kami akan cuba manfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri ini," jelas Safee.

Antara pemain yang beraksi untuk Sriwijaya FC musim ini ialah Ponaryo Astaman, Budi Sudarsono, bekas penyerang import Sabah, Keith Gumbs serta tiga pemain kebangsaan Indone- sia, Firman Utina, Oktovianus Maniani dan Muhammad Ridwan.

Kehandalan Safee diuji esok (Utusan Malaysia Online)

SAMA ada keputusan penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali berhijrah ke Kelab Pelita Jaya, Karawang, Indonesia tepat atau sebaliknya, masih terlalu awal untuk dirumuskan.

Ini kerana kemampuan Safee hanya akan teruji apabila pemain berusia 27 tahun itu diturunkan pada perlawanan menentang Sriwijaya, esok.

Bagaimanapun, sejak menyertai kelab itu 14 Februari lalu, kehadiran Safee mendapat perhatian meluas media tempatan di sini.

Bahkan, peminat tegar bola sepak Indonesia turut memberi perhatian kepada Safee, yang memecah tradisi sebagai pemain Malaysia pertama beraksi dalam liga negara tersebut.

Lantaran itu, liputan meluas diberikan oleh media Indonesia terhadap Safee.

Misalnya baru-baru ini akhbar Kompas versi online mereka (kompas.com), menganjurkan sesi berbual antara Safee dengan pembaca-pembaca mereka.

Berikut adalah sebahagian daripada ulasan Safee yang dipetik dari laman web kompas.com, yang menjawab soalan yang diajukan oleh pembaca akhbar berkenaan menerusi versi online.

Apakah Safee tidak gentar bermain dalam Liga Indonesia sedangkan anda boleh dilabelkan sebagai 'musuh No. 1' bagi penyokong bola sepak Indonesia terutamanya selepas anda menewaskan Indonesia pada Piala AFF 2010?

SAFEE: Saya tidak gentar, kerana saya hanya datang untuk bermain di sini dalam satu pasukan bola sepak. Saya ingin belajar sesuatu di sini. Dalam permainan bola sepak itu sendiri, saya cuba ingin menyatukan Indonesia dengan Malaysia.

Liga Indonesia cukup sinonim dengan rusuhan penyokong, permainan yang kasar serta meningkatkan semangat fanatik yang berlebihan. Senario itu berbeza dengan Liga Malaysia yang lebih tenang. Apakah Safee siap menghadapi kemungkinan itu?

Saya sudah mengkaji liga di sini memang fanatik dan permainan kasar. Senario itu cuba menguji tahap saya di mana. Sekarang, saya bersedia dengan latihan yang diberikan dan InsyaAllah saya akan cuba menghadapi dengan sebaik mungkin.

Apa yang menjadi pertimbangan Safee memilih bermain di liga Indonesia daripada liga lain misalnya di Eropah?

Kalau saya menerima tawaran dari Eropah sudah tentu saya akan ke sana. Di negara Indonesia ini, saya cuba memulakan langkah untuk ke sana. InsyaAllah kalau ada rezeki.

Secara jujur dan terbuka, apa penilaian Safee terhadap pemain bola di Indonesia, khususnya yang bermain di pasukan nasional dan juga team nasional itu sendiri?

Pemain nasional Indonesia mempunyai kualiti yang bagus dari segi permainan dan aspek fizikal. Cuma konsentrasi pemain perlu ditingkatkan lagi.

Apakah penilaian paling utama Safee bagi pasukan nasional Malaysia pada Piala AFF 2010?

Penilaian paling utama ialah pemain-pemain muda yang bermain di pasukan nasional senior. Falsafah jurulatih Rajagobal sendiri suka menggunakan pemain-pemain muda walaupun kurang berpengalaman. Namun, dari segi tenaga, pemain muda banyak kelebihannya.

Adakah Safee fikir, Safee cukup maksimum tampil pada Piala AFF lalu?

Ya. Saya fikir itu adalah persembahan yang cukup maksimum daripada saya.

Apa tanggapan Safee mengenai isu rasuah pada liga final Piala AFF 2010?

Sewaktu Piala AFF 2010, tidak kedengaran apa-apa mengenai rasuah. Saya rasa pada final Piala AFF, permainan amat bersih dan tiada isu rasuah.

Menurut Safee apa yang membezakan bola sepak di Malaysia dengan Indonesia ?

Perbezaannya tidak terlalu jauh. Hampir sama. Namun yang terlalu ketara di sini, memerlukan kekuatan fizikal yang kuat untuk bermain bersama pemain-pemain asing. Kalau di Malaysia, saingan dengan pemain tempatan agak rendah.

Apa pula cara yang paling tepat yang harus digunakan oleh sesebuah negara yang ingin memajukan liga bola sepaknya?

Permainan bola sepak dengan politik tidak boleh disamakan. Kalau di Malaysia juga ada tetapi agak kurang sejak kebelakangan ini, Bagi saya, kedua-duanya tidak boleh disatukan.

Apa yang sudah dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memajukan sukan bola sepak?

Di Malaysia ketika ini, usaha membangunkan pembangunan bola sepak di kalangan anak-anak muda sedang sedang giat dilakukan.

Mereka menekankan pembangunan dari akar umbi di sekolah-sekolah rendah untuk memajukan dan membina suatu landasan yang kuat untuk pasukan nasional.

Berapa lama Safee akan berkarier di Indonesia?

InsyaAllah selama mana saya yang boleh dan saya akan cuba sebaik mungkin untuk bertahan lama di Indonesia.

Mengenai penerimaan orang-orang di Kelab Pelita Jaya dan persekitaran kediaman Safee? Menyenangkan atau tidak?

Ya, bagus sekali dan saya amat senang. Saya rasa seperti di Malaysia. Teman-teman amat mesra dengan saya di sini. Terkejut juga dengan layanan yang diberikan kepada saya.

Pandangan Safee mengenai pasukan bola sepak Selangor dan Kelab Pelita Jaya?

Pasukan Selangor dan Pelita Jaya banyak perbezaannya. Selangor tidak memiliki prasarana sebaik ini. Dari segi kewangan juga, saya tengok lebih banyak di Pelita Jaya.

Bagaimana Safee ingin dikenang dalam sejarah bola sepak Malaysia?

Di Malaysia saya ingin dikenal sebagai pemain yang pertama hijrah daripada luar Malaysia.

Apa benar Safee dibayar lebih murah di Indonesia dibanding di Malaysia?

Oh kalau itu... tidak benar.

Siapakah pemain team nasional Indonesia yang Safee fikir 'paling hebat' dan 'paling berbahaya'?

Kalau yang pernah saya lihat dulu zaman Bima Sakti dan Kurniawan Dwi Yulianto yang pernah mengalahkan Malaysia pada Piala Tiger dulu.

Siapa pula yang Safee fikir 'paling hebat' di rantau ASEAN sebagai bintang idaman Safee?

Kalau di Asean yang saya kenal dan saya sanjung ialah Kiatisuk Sinamuang pemain Thailand yang bermain di Liga Inggeris suatu ketika dulu. - Utusan

Tuesday, March 1, 2011

Safee hadapi kecederaan (Harian Metro Online)

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

DALAM keghairahan penyerang kebangsaan Mohd Safee Sali (gambar) mempersiapkan diri untuk membuat penampilan pertama dalam kancah Liga Super Indonesia (ISL) bersama kelab baru, Pelita Jaya FC, ada sesuatu yang mencetuskan kebimbangan dirinya ketika ini.

Selepas sebulan menjalani latihan pusat bersama kelab yang terkenal dengan jolokan Pendekar Gunung Parang itu, bekas pemain Selangor itu mengalami kecederaan ringan di lutut kanannya.

Menurut pengurusnya, Zakaria Rahim, walaupun tidak serius namun tahap kecederaan Safee di pantau rapi untuk memastikan dia dapat diturunkan pada perlawanan pertama menentang Sriwijaya FC di Stadium Singaperbangsa, Kerawang, Jakarta, Sabtu ini.

“Kesihatan dan kecergasan Safee berada di tahap baik walaupun dia mengalami sedikit kesakitan di bahagian tepi lutut kanan. Kecederaan itu dirasainya dua hari lalu, mungkin disebabkan latihan keras.

“Safee masih terus berlatih dan kecederaan itu tak menjejaskan apa-apa cuma kena berhati-hati dan meneruskan rawatan untuk mengelakkan kecederaan bertambah teruk.

“Buat masa ini, Safee mendapat rawatan dan pemantauan rapi doktor dan pakar fisioterapi,” katanya menerusi kiriman SMS kepada Arena Metro semalam.

Safee, 27, mula menunjukkan kehebatan bersama Pelita Jaya FC yang kini menduduki tangga tercorot liga apabila menjaringkan satu gol untuk membantu kelabnya menewaskan Pra PON DKI Jaya 2-0 dalam perlawanan persahabatan.

Penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF Disember lalu itu turut meledak dua gol ketika kelabnya membelasah Ragunan FC 6-0 dalam satu lagi perlawanan pemanas badan, Khamis lalu.

“Safee sudah mula serasi bermain bersama pemain Pelita Jaya FC dan kelab itu bakal diperkuatkan lagi dengan kehadiran dua pemain pertahanan import dari Australia yang turun berlatih hari ini (semalam),” kata Zakaria.

Monday, February 28, 2011

Sentuhan Safee berbisa (Kosmo Online)




SETELAH meledak dua gol pada aksi persahabatan pertamanya bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya, Khamis lalu, penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali (gambar) terus menunjukkan ketajaman sentuhan penyudahnya, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.

Pada aksi persahabatan kedua menentang Pra PON DKI Jaya di padang latihan kelab di Sawangan, Jawa Barat petang semalam, Safee, 27, berjaya menjaringkan satu gol untuk membantu Pelita Jaya mencatat kemenangan 2-0.

"Pada perlawanan tadi (semalam), saya beraksi penuh 90 minit. Saya menjaringkan gol kedua manakala Juan Ra- mirez (penyerang dari Paraguay) menjaringkan gol pertama pasukan.

"Perlawanan ini lebih sengit berbanding ketika kami menewaskan Ragunan FC 6-0 pada Khamis lalu kerana pasukan Pra PON DKI Jaya ini lebih kuat.

"Cuma hujan seharian di Jakarta menyebabkan perlawanan berlangsung di atas padang licin dan saya perlu berhati-hati untuk mengelak kecederaan," kata Safee ketika dihubungi Kosmo! di Jakarta petang semalam.

Namun ujian sebenar Safee bakal hadir pada Sabtu ini apabila dia akan turun beraksi untuk perlawanan rasmi pertamanya dalam saingan Liga Super Indonesia (ISL) bertemu Sriwijaya FC di Stadium Singaperbangsa, Karawang.

"Dari segi keserasian dengan rakan sepasukan lain, saya rasa tiada masalah kerana sudah dua minggu bersama mereka. Saya juga sudah membiasakan diri dengan corak 'one touch football'.

"Cuma dua pemain import baru Pelita Jaya yang dibawa dari Australia hanya akan tiba esok (hari ini) dan kami akan cuba untuk membentuk keserasian cepat dengan mereka," ujar Safee.

Safee yang menyarung jersi No. 10 pasukan Pelita Jaya mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain Malaysia pertama yang beraksi dalam saingan ISL dan diberi harapan besar untuk memperbaiki kedudukan kelab itu yang kini berada di tangga tercorot liga.

Friday, February 25, 2011

Safee mula menyengat (Kosmo Online)


SAFEE (kiri) mula melakar nama dengan Pelita Jaya apabila meledak dua gol pada aksi persahabatan, semalam.


PENYERANG kebangsaan Malaysia, Mohd. Safee Mohd. Sali mula mengukir nama di bumi Indonesia. Meskipun masih belum beraksi secara rasmi dalam saingan Liga Super Indonesia (ISL), namun dia mula memperlihatkan kualiti sebagai pemusnah di jentera serangan.

Semalam, Safee menjaringkan dua gol pada aksi persahabatan pertamanya bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya.

Pada pertemuan dengan kelab tempatan, Ragunan FC di padang latihan kelab di Sawangan, Jawa Barat itu, Pelita Jaya mencatat kemenangan besar 6-0 dengan kedua-dua gol Safee itu dijaringkan pada babak pertama.

“Sudah tentu perasaan saya sangat gembira kerana pada perlawanan pertama ini, saya sudah berjaya menjaringkan gol.

“Jaringan ini bagi saya penting kerana ia dapat menunjukkan yang saya mampu menggalas tugas sebagai penyerang kelab ini,” kata Safee ketika dihubungi Kosmo! di Jakarta petang semalam.

Namun aksi sulung Safee, 27, secara rasmi bersama Pelita Jaya ialah pada 5 Mac depan iaitu bertemu Sriwijaya FC di Stadium Singaperbangsa, Karawang untuk aksi pertama pusingan kedua saingan ISL 2011.

Menurut Safee, menjelang aksi tersebut, Pelita Jaya akan mengadakan satu lagi aksi persahabatan Ahad ini dan ia akan digunakan sepenuhnya untuk penyerang dari Paraguay, Juan Ramirez.

“Pada perlawanan tadi (semalam), saya digandingkan dengan Ramirez pada babak pertama sebelum kami berdua direhatkan untuk jurulatih mencuba pemain lain pada babak kedua.

“Persefahaman kami belum 100 peratus mantap tetapi menampakkan petanda yang baik. Komunikasi dengan rakan sepasukan lain tiada masalah, kecuali Ramirez kerana dia tidak boleh berbahasa Inggeris,” jelasnya.

Safee bagaimanapun tidak keseorangan di Jakarta kerana dia turut ditemani isteri dan dua anaknya, ibu dan ayahnya serta pengurus peribadinya, Zakaria Ab. Rahim sejak tiba pada 14 Februari lalu.

Dua ledakan Safee satu amaran awal (Utusan Malaysia Online)

JAKARTA - Dua jaringan gol penyerang Malaysia yang kini bermain untuk Kelab Pelita Jaya, Mohd Safee Mohd Sali pada aksi persahabatan di sini, semalam merupakan isyarat awal pemain itu kepada pasukan lain dalam Liga Indonesia.

Aksi cemerlang itu ditunjukkan Safee ketika beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Kelab Ranungan, di sini.

Apa yang membanggakan juga, Safee turut membantu rakan sepasukan, Juan Ramirez yang berasal dari Paraguay menyumbat gol ketiga dan keempat dalam perlawanan persahabatan itu.

Kesudahannya, Kelab Pelita Jaya menang 6-0 dalam perlawanan itu.

Menurut pengurus Safee, Zakaria Rahim, kecemerlangan pemain kelahiran Malaysia itu dan Ramirez benar-benar menarik perhatian seluruh pasukan Kelab Pelita Jaya dan pasukan lawan.

Kedua-dua pemain itu bagaimanapun hanya diturunkan pada separuh masa pertama dan direhatkan di separuh masa kedua

Kata Zakaria juga, Safee semakin jelas memiliki persefahaman dan keserasian bersama-sama rakan-rakan dalam pasukan barunya itu.

Safee juga sekali lagi akan turut beraksi pada perlawanan persahabatan kedua pada hari Ahad ini di Sawangan.

"Keseluruhan permainan Safee semakin mantap walaupun beliau bermain secara bersahaja bagi mengelakkan kecederaan menjelang perlawanan pertama liga lawan Sriwijaya pada 5 Mac ini di Kerawang," kata Zakaria kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Perlawanan menentang Sriwijaya pada 5 Mac ini merupakan aksi pertama Safee sejak perpindahan beliau ke sini. - Utusan

Thursday, February 24, 2011

Safee semakin serasi di bawah Radovic (Utusan Malaysia Online)

JAKARTA - Penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010, Safee Sali semakin selesa dengan kehidupan barunya di Indonesia dan pemain itu mula mempamerkan keserasian bersama rakan-rakan sepasukannya di kelab Pelita Jaya.

Menurut pengurusnya, Zakaria Rahim, bekas penyerang Selangor itu kini sedang giat menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih dari Serbia, Misha Radovic di pusat latihan kelab itu dekat Sawangan, Jawa Barat.

"Dia gembira dengan pasukannya dan Safee juga sudah mula menyesuaikan diri dengan rakan-rakan dalam pasukan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Pemain yang menjadi tonggak skuad bimbingan K. Rajagobal itu dijangka diturunkan pada perlawanan pertamanya menentang Sriwijaya pada 5 Mac ini di gelanggang sendiri dekat Kerawang.

Safee bakal digandingkan dengan seorang lagi pemain import dari Paraguay, Juan Ramirez di posisi depan bagi menggempur kubu pertahanan pasukan lawan, sambil dibantu Jajang Mulyana dan kapten Pelita Jaya, Ardan Aras yang mengemudi bahagian tengah.

Zakaria berkata, menjelang pertemuan tersebut, Pelita Jaya akan mengadakan satu perlawanan persahabatan yang berlangsung, hari ini pukul 3.30 petang di Sawangan.

"Saya difahamkan Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan akan turun menyaksikan perlawanan pertama Safee menentang Sriwijaya.

"Selain beliau, para penuntut Malaysia di negara ini dan juga wartawan serta penyokong Malaysia dikhabarkan akan hadir menyaksikan aksi Safee bersama Pelita Jaya," ujarnya.

Mengulas mengenai kesihatan Safee, Zakaria memberitahu, pemain itu berada dalam keadaan sihat, walaupun terdapat beberapa rakan sepasukannya yang mengalami jangkitan virus.

Katanya lagi, Safee akan berpindah ke sebuah pangsapuri di Jakarta yang disediakan oleh kelab di Lebak Bulus, Jakarta Selatan. - Utusan

Wednesday, February 23, 2011

Safee galas harapan tinggi rakan Pelita Jaya (Berita Harian Online)

2011/02/23

 SAFEE (dua dari kiri)  menjalani latihan fizikal pasukan Pelita Jaya di padang latihan kelab   di Sawangan, semalam.
SAFEE (dua dari kiri) menjalani latihan fizikal pasukan Pelita Jaya di padang latihan kelab di Sawangan, semalam.

LAIN berbanding pemain import lain!

Itulah gambaran dan persepsi awal rakan sepasukan Safee Sali di Pelita Jaya terhadap penyerang prolifik Malaysia itu.

Dan mereka meletakkan harapan tinggi kepada penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF itu untuk melakukan ‘sentuhan ajaib’ membantu pasukan keluar dari tangga tercorot dalam pusingan kedua Liga Super Indonesia (ISL), bermula menentang Sriwijaya, 5 Mac ini.

“Kami akui terkejut dengan keputusannya menyertai kelab ini, apa lagi dia mempunyai status tinggi selaku penjaring terbanyak Piala Suzuki sedangkan kami sebuah kelab yang terperosok di dasar ISL.

“Begitupun, kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan kehadirannya serta harap dia dapat membantu meningkatkan prestasi pasukan dalam pusingan kedua ISL,” kata kapten Pelita Jaya, Ardan Aros, 26.

Pendapat sama turut dikongsi penjaga gawang, Made Kadel Wardana, 30, yang mengakui rakan sepasukan meletakkan harapan tinggi kepada Safee.

“Walaupun baru tiga hari menjalani latihan bersama, tetapi dia cepat menyesuaikan diri. Rakan sepasukan juga amat senang dengannya. Keadaan ini mungkin disebabkan kami memiliki budaya dan bahasa yang sama,” katanya.

Tuesday, February 22, 2011

Naluri 'Pembunuh' Safee (Berita Harian Online)

Naluri ‘pembunuh’ Safee
Daripada Hussain Said di Jakarta
hussain@bharian.com.my
2011/02/22

SAFEE   (kiri) berbual dengan  jurulatih Pelita Jaya, Misha Radovic (tengah) dan  pengurus pasukan, Lalu Mara Satria Wangsa ketika  menjalani latihan fizikal di padang latihan kelab   di Sawangan, semalam.
SAFEE (kiri) berbual dengan jurulatih Pelita Jaya, Misha Radovic (tengah) dan pengurus pasukan, Lalu Mara Satria Wangsa ketika menjalani latihan fizikal di padang latihan kelab di Sawangan, semalam.

Pelita Jaya akur penyerang negara ada ramuan mujarab

NALURI ‘pembunuh’ di depan gawang gol dimiliki Safee Sali menjadi antara faktor utama yang mendorong dan memikat kelab Pelita Jaya untuk mendapatkan khidmat penjaring gol terbanyak Piala Suzuki AFF itu.

“Dia mempunyai naluri yang cukup tajam di depan gol. Kekuatan Safee terletak kepada kedua belah kakinya, selain mempunyai tandukan deras serta tajam,” akui penolong pengurus pasukan, I Made Pasek Wijaya, semalam.

“Lagipun, dia sangat popular di sini (Indonesia) sejak dan selepas pertandingan Piala Suzuki.”

I Made yang ‘membesar’ bersama Pelita Jaya yang ditubuhkan pada 1986 apabila pernah beraksi selaku pemain dan sekarang bertindak penolong pengurus pasukan, percaya kelab yang memiliki sejarah gemilang itu tidak membuat kesilapan mengikatnya.

Malah, dia yang pernah beraksi mewakili Indonesia termasuk pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur, yakin Safee yang muncul penjaring terbanyak Piala Suzuki dengan lima gol mampu membantu mengatasi ketumpulan penyudah pasukan.

“Kami yakin membuat keputusan tepat mengikatnya,” katanya. “Kami sebenarnya menghadapi masalah penyudah dalam pusingan pertama Liga Super Indonesia (ISL) hingga pasukan terpaksa terperosok di tangga tercorot liga.
“Namun, kami harap kehadiran Safee dapat meningkatkan prestasi pasukan yang sebahagian besar dibarisi pemain muda itu sekali gus membantu kami keluar daripada dasar liga,” katanya.

Ketika ditanya mengenai prestasi Safee sejak berlatih bersama kelab itu Khamis lalu, I Made tidak menyembunyikan hakikat berpuas hati dan gembira dengan komitmen yang ditunjukkan bekas penyerang Selangor itu.

“Dia tidak menunjukkan sebarang masalah dan cukup berdisiplin. Lebih menggembirakan dia cepat menyesuaikan diri selain disenangi rakan sepasukan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...