Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Simone Del Nero. Show all posts
Showing posts with label Simone Del Nero. Show all posts

Tuesday, January 8, 2013

Fandi rehatkan Del Nero

Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my

Bagaimanapun ketiadaan pemain dari Itali itu yang pernah beraksi dalam kancah Serie A bersama Lazio tidak membimbangkan ketua jurulatih skuad Harimau Selatan, Fandi Ahmad kerana mempunyai pengganti untuk mengisi posisi tengah itu.
Beliau berkata, Del Nero semakin pulih daripada kecederaan dan menjalani latihan ringan di bawah pengawasan pegawai fisioterapi dan kelibatnya hanya akan dipertaruhkan pada aksi kedua apabila Johor Darul Takzim menentang Perak di laman sendiri, Jumaat ini.

“Saya tidak mahu ambil risiko dengan menurunkan Simone. Sasaran kita tetap tiga mata walaupun saya akui bakal berdepan tentangan sengit Pahang. Tapi, saya lihat semua pemain sudah bersedia memberikan persembahan terbaik.

“Besar kemungkinan saya akan menggunakan rangkaian tiga penyerang iaitu Daniel (Guiza), Norshahrul (Idlan Talaha) dan Safee (Sali) walaupun formasi yang bakal dibentuk belum diputuskan kerana benteng pertahanan juga perlu kemas bagi mengelak Pahang mencipta kejutan,” katanya.

Walaupun pada awalnya Fandi tampak cuba melakukan perubahan taktik ketika mengubah posisi Aidil Zafuan Abd Radzak ke posisi bek kanan, namun selepas beberapa sesi latihan dan aksi persahabatan pra musim, jelas pemain pertahanan kebangsaan itu kekok beraksi di kedudukan baru itu.

“Pada awalnya memang ada rancangan mengubah posisi Aidil tapi saya lihat dia kurang selesa. Saya ambil keputusan untuk menggandingkannya bersama Muslim (Ahmad) bagi menguatkan pertahanan tengah dan saya harap kedua-dua pemain itu tidak mengecewakan.”

--- HARIAN METRO

Saturday, November 17, 2012

Del Nero tekad bantu Johor bolot semua kejuaraan

 
Johor Bahru: Pemain import Johor dari Itali, Simone Del Nero bertekad mempamer sentuhan magis bersama skuad Harimau Selatan ketika mengharungi kempen saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Del Nero yang sah menjadi milik Johor selepas bersetuju dengan kontrak setahun dan tambahan setahun lagi akan menggunakan segala pengalaman selama 20 tahun beraksi di Eropah terutama ketika mewakili kelab Lazio pada saingan Serie A Liga Itali.
Satu pengalaman baru beraksi di Asia malah ia juga membuka lembaran baru kepada bola sepak Malaysia yang mula dikenali di Eropah.

Ia bermula selepas PBNJ mengikat kontrak Guiza apabila media di Itali melaporkan mengenai penghijrahan pemain itu ke Johor.

Walaupun keadaan padang di Malaysia mungkin tidak setanding di Eropah, saya tidak anggap ia sebagai alasan untuk mempamer aksi terbaik kerana sebagai pemain profesional, saya harus bersedia dalam apa jua situasi, katanya di Hotel Thisle, petang semalam. Turut menyambut pemain berkenaan ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dia yang tiba ke Johor Bahru, petang semalam meletakkan sasaran untuk membantu Johor merangkul semua kejuaraan Liga M - Piala Liga, Piala FA dan Piala Malaysia musim depan.

Sementara itu, pengurus merangkap ketua jurulatih Johor, Fandi Ahmad mengakui betapa Del Nero memiliki kehebatan skil individu menarik.
Simone (Del Nero) akan menjadi perancang utama Johor dan saya tidak teragak-agak menggandingkannya bersama Safiq Rahim, katanya.

--- BERITA HARIAN

Friday, November 16, 2012

Johor ikat pemain Itali



IMPIAN skuad bola sepak Johor untuk merangkul kejuaraan sama ada Piala Liga, Piala FA mahu pun Piala Malaysia dilihat semakin membara apabila dikhabarkan bakal mengambil seorang lagi pemain bertaraf dunia, Simone Del Nero (gambar) untuk memperkuatkan benteng pasukan Harimau Selatan itu dalam saingan Liga Super musim depan.

Del Nero merupakan bekas pemain sayap kelab Seria A Itali, Lazio dan pernah membantu pasukan itu memenangi Piala Itali pada musim 2008.

Pemain kelahiran Carrara, Itali itu memulakan kerjaya profesionalnya sebagai pemain dengan kelab Empoli (1998-2000), Brescia (2000-2007) dan pernah menyarung jersi Livingston secara pinjaman selama setahun bermula tahun 2001 hingga 2002 dan sempat bersama kelab Palermo (2003). 

Pencapaian terhebatnya ialah apabila berjaya membantu pasukan bawah 21 Itali tahun bergelar juara pada Kejohanan Bola Sepak Eropah (UEFA) tahun 2004 dan memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Greece pada tahun sama.

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu tidak pernah dipanggil untuk bermain dengan pasukan kebangsaan negara kelahirannya itu.

Usaha mendapatkan Del Nero disifatkan sebagai pertaruhan terbaik pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) selepas berjaya menambat bekas pemain kelab La Liga Sepanyol, Getafe CF, Daniel Gonzales Guiza, 32, untuk bersama skuad Johor selama setahun.

Gandingan antara Del Nero dan Guiza disifatkan sebagai satu percaturan paling bijak dan mantap dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor.

Setiausaha PBNJ, Suhairi Hashim yang mengesahkan perkara itu berkata, Del Nero akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada pukul 2 petang ini.

"Sejurus selepas itu, satu sidang akhbar dan sambutan untuk meraikan kedatangan Del Nero akan diadakan pada pukul 3 petang di Hotel Thistle.

"Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dijadualkan turut hadir," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Suhairi berkata, PBNJ akan mengadakan mesyuarat khas Isnin ini yang akan dipengerusikan oleh Tengku Mahkota Johor bagi membincangkan isu perpindahan penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo ke pasukan itu musim depan.

"Kami seboleh-bolehnya enggan isu ini berpanjangan dan mahu mengelak salah faham dengan mana-mana pihak, mesyuarat pada Isnin ini akan memutuskan segalanya," tegasnya sambil menyatakan kesungguhan Johor untuk mendapatkan khidmat Mat Yo.

Selain isu tersebut, beliau memberitahu, pihaknya juga akan membincangkan hal-hal berbangkit lain seperti persediaan Harimau Selatan menghadapi Liga Malaysia musim depan termasuk hal penjualan tiket.

Kosmo! sebelum ini melaporkan KAFA membayangkan kesediaan untuk melepaskan penyerang Mat Yo jika tawaran yang diberikan oleh mana-mana pasukan berbaloi dengan nilainya.

Annuar melalui laman Facebook miliknya baru-baru ini berkata, perpindahan Mat Yo ke Johor hendaklah mengikut terma tertentu seperti mana yang telah disampaikan kepada pihak pengurusan PBNJ.

Menurutnya, PBNJ diberi tempoh selama tujuh hari untuk menjawab tawaran yang dikemukakan oleh KAFA.

--- KOSMO
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...