Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Aidil Zafuan Abdul Radzak. Show all posts
Showing posts with label Aidil Zafuan Abdul Radzak. Show all posts

Monday, June 20, 2011

Aidil cedera, Raja resah

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob

WALAUPUN menang 2-0 ketika menentang Myanmar malam kelmarin, pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal berdepan dilema apabila pemain pertahanan, Mohd Aidil Zafuan mengalami kecederaan serius sehingga berkemungkinan terpaksa membuat percaturan lain ketika menentang Taiwan untuk saingan kelayakan Piala Dunia 2014, 29 Jun ini.

Rajagobal berkata, kecederaan serius Mohd Aidil mengambil masa lama untuk pulih sekali gus membayangkan dia tidak dapat menyertai kesebelasan utama Harimau Malaya menentang Taiwan.

“Jika Aidil tidak dapat diturunkan menentang Taiwan, saya terpaksa membuat percaturan lain,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Rajagobal, dia tidak terlalu gusar kerana skuad Harimau Muda memiliki barisan pemain terbaik dan bersemangat tinggi.

Katanya, aksi memberangsangkan anak buahnya dibuktikan ketika menentang Myanmar.

“Walaupun hujan dan padang licin, keadaan itu tidak mematahkan semangat pemain untuk memberikan persembahan terbaik seperti dijanjikan, malah kemenangan dalam perlawanan persahabatan itu akan memberi keyakinan untuk perlawanan menentang Taiwan.

“Sebelum beraksi, kita dapat lihat pemain tidak mempunyai masalah untuk beraksi dan ini membuatkan mereka (pemain kebangsaan) tenang menghadapi tentangan lawan,” katanya.

Rajagobal turut memuji pemain baru seperti Mohd Shakir Shaari (pemain tengah), Mohd Farisham Ismail (pemain pertahan) dan Helmi Remeli (pemain pertahanan) yang menunjukkan satu persembahan mantap di posisi masing-masing.

“Kesemua pemain menunjukkan persembahan yang memberangsangkan terutama pemain baru seperti Mohd Shakir, Mohd Farisham dan Helmi yang berjaya menyesuaikan diri di dalam pasukan.

“Saya kagum dan puas hati dengan keupayaan serta komitmen mereka,” katanya.

----- Harian Metro Online

Wednesday, June 1, 2011

Aidil yakin pemain NS bersih

Sumber: Harian Metro Online

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

TONGGAK pertahanan Negeri Sembilan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak berasakan gejala mengatur keputusan perlawanan tidak merebak ke dalam skuad Liga Super negeri itu walaupun Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat laporan polis mengenai skuad Piala Presiden mereka.

Menurutnya prestasi merudum Negeri Sembilan tidak berkaitan dengan gejala itu, malah beberapa faktor lain perlu diambil kira seperti kecederaan sejumlah besar pemain utama dan tidak bernasib baik untuk meraih tiga mata.

Skuad Hoben Jang Hoben itu mengharungi prestasi buruk dalam Liga Super musim ini apabila hanya mengumpul 25 mata dan kini menduduki kedudukan ke-10 dengan berbaki tiga perlawanan manakala skuad Piala Presiden negeri itu berada di tangga ketujuh dari 11 pasukan Kumpulan B mengumpul 20 mata.

“Mungkin secara kebetulan ketika prestasi skuad Liga Super merosot, timbul pula dakwaan mengatur keputusan perlawanan membabitkan pemain skuad Piala Presiden.

“Apa yang saya nampak setakat ini ia tidak berlaku dalam skuad Liga Super, namun biarlah pihak polis meneruskan siasatan mereka dan saya sedia memberikan kerjasama sekiranya diminta berbuat demikian.

“Saya juga tidak pernah didekati mana-mana individu mempengaruhi saya cuba mengatur keputusan perlawanan namun bersedia bertindak membuat laporan sekiranya terdapat usaha seperti itu,” katanya.

Beliau juga turut menjelaskan kekecewaannya sekiranya benar perkara itu memang berlaku dalam skuad Piala Presiden yang akan menggalas cabaran negeri pada masa depan.

Tuesday, February 8, 2011

Rusa tekad pertahan kubu (Metro Online)

REPUTASI selaku satu-satunya pasukan yang mencatat dua kemenangan berturut-turut untuk menduduki tangga teratas carta Liga Super setakat ini perlu dipertahan dengan memastikan kejayaan itu diteruskan sebaik saingan liga bersambung Sabtu ini.

Pertahanan Negeri Sembilan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (gambar) berkata, kejayaan ke atas Harimau Muda A dan T-Team perlu diteruskan apabila turun menentang Perak di Stadium Perak.

“Memandangkan saingan Liga Super kian mencabar dan sengit, kami perlu berusaha mengekalkan prestasi seperti yang dipamer setakat ini dengan memastikan tidak terlepas mata dalam setiap perlawanan.

“Sekalipun bermain di tempat lawan, kami perlu menewaskan Perak,” katanya semalam.

Pemain pertahanan berpengalaman berusia 23 tahun itu yakin kemenangan yang dicatat mampu meningkatkan lagi semangat dan keyakinan pemain tapi perlu sentiasa berhati-hati.

Perak kali ini bukan pasukan belasahan kerana menampilkan ramai pemain berpengalaman yang mampu menghalang misi melebarkan rekod kemenangan.

“Kejayaan mereka menewaskan Johor FC dalam aksi sebelum ini pasti membangkitkan semangat untuk memberi tentangan dalam memburu kemenangan,” katanya.

Thursday, January 27, 2011

NS bakal gegar Liga M: Aidil (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Amin Jalil

2011/01/27

TONGGAK Negeri Sembilan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak yakin dia dan rakan sepasukan bakal tampil dengan persembahan lebih meyakinkan selepas diperkuatkan dengan ramai pemain kebangsaan dan berpengalaman, termasuk tujuh pemain baru bagi menggalas cabaran musim ini.

Skuad Hoben Jang Hoben akan menentang Harimau Muda A dalam saingan Liga Super, Sabtu ini dia percaya pasukan bimbingan Wan Jamak Wan Hassan berada pada tahap terbaik dari segi mental dan fizikal untuk mengutip mata penuh di laman sendiri.

“Sebagai antara pemain yang sudah lama bersama Negeri Sembilan, saya dapat rasakan persiapan yang dibuat kali ini jauh lebih baik berbanding sebelum ini dan saya amat yakin kami mampu melangkah lebih jauh terutama dalam merealisasikan sasaran pengurusan pasukan merangkul tiga kejuaraan.

“Kehadiran ramai pemain berprestasi sudah pasti dapat membantu merealisasikan sasaran itu walaupun saya akui cabaran yang bakal dilalui nanti dijangka lebih mencabar berikutan setiap pasukan yang bersaing turut memiliki kekuatan tersendiri,” katanya semalam.

Selain mengekalkan beberapa pemain berpengalaman musim lalu seperti Mohd Shukor Adan, Idris Karim, Shahurain Abu Samah dan S Kunalan, Negeri Sembilan turut diperkuatkan dengan tujuh pemain baru, iaitu Hairuddin Omar, Irwan Fadly Idrus, Mohd Farizal Marlias, Ahmad Fakhri Saarani, Ahmad Aminuddin Shaharuddin dan G Mahathevan.

Friday, January 14, 2011

Aidil sahut cabaran Rajagobal (Harian Metro Online)

PERTARUNGAN untuk merebut kesebelasan utama Harimau Malaya kini bermula apabila ketua jurulatih kebangsaan K Rajagobal memanggil 24 pemain untuk menjalani sesi latihan pertama selepas menjulang Piala Suzuki AFF, Disember tahun lalu.

Sesi latihan bermula 2 Februari depan adalah persiapan awal bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 yang dijadualkan berlangsung pada 29 Jun selain perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 9 Februari depan.

Antara pemain yang kembali tersenarai adalah bekas kapten kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak (gambar) yang mengalami kecederaan sebelum ini sehingga tersisih daripada saingan Sukan Asia di China dan Piala Suzuki AFF.

“Saya kini sudah menjalani latihan seperti biasa dan bersedia untuk kembali menggalas cabaran negara di peringkat antarabangsa namun sedar saingan untuk berada di dalam kesebelasan utama bukanlah perkara yang mudah.

“Mahu atau tidak, saya perlu membuktikan kemampuan dan keupayaan kepada jurulatih bagi memastikan tempat di pertahanan tengah terjamin,” kata pemain Negeri Sembilan berusia 24 tahun itu.

Mohd Aidil Zafuan sebelum ini menjadi pilihan utama untuk mengemudi pertahanan tengah namun kecederaan yang menimpanya pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2010 ketika menentang Kelantan memaksanya berehat panjang.

Ketiadaannya itu menyebabkan Rajagobal terpaksa memikirkan alternatif apabila menggabungkan dua pemain muda, Mohd Muslim Ahmad dan Mohd Fadhli Shas di pertahanan tengah sehingga berjaya membantu Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF untuk kali pertama selepas 14 tahun.

Selain Mohd Muslim dan Mohd Fadhli, Mohd Aidil Zafuan juga terpaksa bersaing dengan seorang pertahanan tengah Harimau Muda A, Mohd Faizal Muhammad yang turut mendapat perhatian Rajagobal.

“Walaupun lebih berpengalaman, saya tetap menghormati tiga pemain ini kerana corak permainan mereka di dalam padang adalah matang dan bagus,” katanya.

Dia juga tidak mempunyai masalah jika Rajagobal mahu mengekalkan perancang tengah Selangor, Mohd Safiq Rahim sebagai kapten.

“Terserah kepada jurulatih, namun apa yang penting adalah persefahaman antara pemain dan saya tetap akan bersuara seperti sebelum ini,” katanya.

Rajagobal turut memanggil enam pemain lain yang tidak beraksi di Piala Suzuki AFF seperti Mohd Farizal Marlias, Ahmad Fakri Saarani, Azmi Muslim, S Chanthuru, G Mahathevan dan Shahrizal Mohd Saad.

Thursday, January 13, 2011

Aidil kembali dalam skuad (Kosmo Online)


ZAFUAN (kiri) kembali disenaraikan dalam skuad bola sepak kebangsaan.


BEKAS ketua pasukan kebangsaan, Aidil Zafuan Radzak kembali dipanggil K. Rajagobal untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 9 Februari depan.

Selain Aidil, jurulatih kebangsaan itu turut memanggil enam lagi pemain yang tidak beraksi pada Piala Suzuki AFF 2010 iaitu Farizal Marlias, Ahmad Fakri Saarani, Azmi Muslim, S. Chanthuru, G. Mahathevan dan Shahrizal Saad.

Menurut senarai yang dikeluarkan di laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu semalam, hanya 17 daripada 22 pemain skuad yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 bulan lalu disenaraikan Rajagobal untuk latihan pusat kali ini.

Lima pemain yang tidak terpilih ialah Amri Yahyah, Razman Roslan (Selangor), Khyril Muhymeen Zambri, Faizal Abu Bakar dan Khairul Helmi Johari (Kedah).

24 pelatih bagi kem latihan kali ini akan mula menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 2 Februari depan, sehari selepas mereka beraksi untuk perlawanan kedua Liga Super 2011 bersama kelab masing-masing.

Aidil mengalami kecederaan lutut ketika beraksi untuk Negeri Sembilan pada final Piala Malaysia 2010 yang menyebabkan dia terpaksa diketepikan Rajagobal untuk Sukan Asia 2010 dan Piala Suzuki AFF 2010.

Persoalan kini timbul sama ada tugas kapten yang diambil alih Safiq Rahim pada dua kejohanan tersebut akan diserahkan semula kepada Aidil atau terus menjadi milik pemain tengah Selangor itu.

Farizal, Fakri, Azmi dan Chanthuru turut diketepikan daripada skuad Piala Suzuki AFF 2010 kerana kecederaan tetapi mereka kini sudah pulih sepenuhnya.

Mahathevan, bekas pemain tengah PKNS yang beraksi untuk Negeri Sembilan musim ini dan Shahrizal, bekas penyerang Perak yang kini bersama Johor FC pula pernah beberapa kali dipanggil Rajagobal sepanjang tahun lalu.

Namun, beberapa pemain yang masih belum pulih tidak disenaraikan.

Saturday, January 1, 2011

Aidil Zafuan kagum kejayaan rakan-rakan (Kosmo Online)




PEMAIN pertahanan kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Radzak (gambar) melahirkan rasa kagum dan gembira melihat rakan-rakannya dalam pasukan Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta, Rabu lalu.

Malah bagi Aidil Zafuan, dia yakin skuad bimbingan jurulatih K. Rajagobal yang berjaya mengakhiri penantian negara selama 14 tahun untuk mengungguli kejohanan berprestij Asia Tenggara itu mampu pergi lebih jauh dalam mengharumkan nama negara.

"Dengan barisan pemain yang ada, saya yakin kita boleh menjadi pasukan yang digeruni suatu hari nanti, bukan sahaja di rantau ini, malah di peringkat Asia juga.

"Apa yang penting, prestasi ini mesti dikekalkan dan semua pemain mesti berusaha lebih keras lagi un- tuk berjaya," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Aidil Zafuan bagaimanapun memberitahu, dia pada masa yang sama sedih kerana tidak dapat sama-sama beraksi bersama rakan-rakan seperjuangan pada kejohanan tersebut gara-gara kecederaan.

"Saya sedih kerana tidak dapat bersama mereka untuk berjuang dalam pasukan kebangsaan tetapi saya tetap berasa bangga dengan kejayaan ini," ceritanya.

Aidil Zafuan yang sebelum ini diketepikan daripada skuad negara setelah mengalami kecederaan berkata, kejayaan itu skuad negara itu merupakan detik gemi lang bagi bola sepak negara dan mampu meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.

Mengulas mengenai perkembangan terbarunya, Aidil Zafuan berkata, dia kini sudah pulih daripada kecederaan dan telah menjalani latihan penuh bersama skuad Negeri Sembilan.

Aidil tak sabar bersaing (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

PEMAIN pertahanan kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak yang menyifatkan dirinya sudah 100 peratus pulih daripada kecederaan, tidak sabar untuk bersaing dengan barisan pemain pertahanan sedia ada bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama skuad negara.

Sambil melahirkan rasa bangga di atas kesungguhan rakan-rakannya menjulang Piala Suzuki AFF buat kali pertama selepas 14 tahun apabila skuad negara menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2, pemain pertahanan Negeri Sembilan itu berkata dia kini sedang dalam proses meningkatkan tahap kecergasannya untuk menghadapi saingan musim ini.

“Tahniah buat rakan-rakan kerana berjaya muncul juara dan mengharumkan nama negara. Walaupun tidak bersama mereka dalam perjuangan itu, saya tetap berasa bangga dengan kejayaan mereka,’” katanya semalam.

Dia terlepas beraksi bersama skuad kebangsaan kerana cedera ketika beraksi di final Piala Malaysia yang menyaksikan Kelantan muncul juara dengan menewaskan Negeri Sembilan, 2-1.

Aidil Zafuan bagaimanapun menyatakan dia tetap gembira apabila pasukan negara bimbingan jurulatih K Rajagobal itu akhirnya dapat menamatkan kemarau menjulang piala paling berprestij di Asia Tenggara itu, sekali gus meletakkan pasukan negara kembali dihormati.

“Kejayaan itu detik gemilang dalam dunia bola sepak kita dan saya yakin skuad kebangsaan mampu meraih lebih banyak kejayaan pada masa depan. Berdasarkan barisan pemain sedia ada, saya yakin kita boleh menjadi pasukan digeruni satu hari nanti bukan saja di rantau ini, malah di Asia.

“Apa yang penting, prestasi ini mesti dikekalkan dan semua pemain mesti berusaha lebih keras untuk memartabatkan sukan bola sepak negara di pentas antarabangsa,” katanya.

Dia bagaimanapun tetap melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama rakan seperjuangan lain beraksi di kejohanan berkenaan untuk merasai sendiri suasana keceriaan kejayaan itu.

Mengulas mengenai perkembangan terbarunya, Aidil Zafuan berkata, dia kini sudah pulih daripada kecederaan lutut dan mula menjalani latihan penuh bersama skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan.

“Kecederaan yang saya alami sudah 100 peratus pulih dan saya kini sedang meningkatkan tahap kecergasan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2011,” katanya.

Thursday, November 4, 2010

Aidil terlepas aksi Sukan Asia (Kosmo Online)


AIDIL (kanan) terpaksa melupakan aksi pada Sukan Asia di Guangzhou.


KAPTEN skuad bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak terpaksa berehat selama enam bulan setelah ujian MRI (imbasan resonan bermagnet) semalam menunjukkan dia mengalami kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament) pada lutut kanannya.

Dengan perkembangan tersebut, Aidil, 23, terlepas untuk beraksi pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou minggu depan dan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta awal bulan depan.

“Hasil ujian MRI pagi tadi (semalam) menunjukkan bahawa ACL saya putus dan meniskus saya pula bengkak. Jadi saya terpaksa menjalani pembedahan pada Khamis ini (esok).

“Memang saya tak jangka ia akan seteruk ini. Sedih juga kerana saya jangka dapat kembali beraksi pada Piala AFF Suzuki tetapi kini hanya akan dapat kembali beraksi pada bulan Mei tahun depan,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-FAM 2010 semalam.

Pada majlis tersebut, Aidil dipilih sebagai Pemain Pertahanan Terbaik dan menjadi satu-satunya pemain yang berjaya mempertahankan anugerah yang dimenangi tahun lalu dengan baki pemenang lain adalah penerima baru.

“Anugerah ini sekurang-kurangnya dapat mengubat kekecewaan saya. Tetapi inilah risiko dan asam garam sebagai pemain bola sepak. Saya akan kembali nanti hampir sama dengan adik kembar (Zaquan Adha Abdul Radzak) yang turut menjalani pembedahan ACL bulan lepas.

“Kami berdua juga masih ada baki kontrak semusim lagi bersama Negeri Sembilan. Jadi untuk musim 2011, kami akan kekal menyarung jersi Negeri Sembilan,” jelas Aidil.

Sementara itu, pemenang anugerah Pemain Tengah Terbaik, Bad- drol Bakhtiar yang turut terlepas ke Sukan Asia akibat kecederaan lutut membayangkan dia bakal meninggalkan Kedah musim depan selepas menerima tawaran daripada enam pasukan.

“Saya ada terima tawaran dari- pada Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan, Felda United, Perak dan Sabah. Tetapi saya masih perlukan masa untuk fikir dan berbincang dengan keluarga sama ada mahu kekal di Kedah atau berhijrah ke pasukan baru.

“Semua ini akan saya putuskan dalam tempoh seminggu dua ini me- mandangkan saya tak dapat ke Sukan Asia kerana kecederaan lutut kiri ini hanya akan pulih dalam tempoh tiga minggu.

“Insya-Allah saya boleh kembali pada Piala AFF Suzuki bulan depan,” kata Baddrol yang turut ditemui pada majlis sama.

Harapan ke Piala AFF musnah (Utusan Malaysia Online)


PEMAIN pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Adha (kiri) tidak dapat beraksi mewakili negara gara-gara kecederaan yang dialaminya semasa mewakili Negeri Sembilan menentang Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia.


PETALING JAYA – Malang bertimpa buat pertahanan Negeri Sembilan dan kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Adha Abdul Razak selepas disahkan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan bakal menjalani pembedahan, esok di Hospital Pantai, Ampang.

Apa yang pasti, selepas pembedahan itu, Aidil terpaksa berehat sekurang-kurangnya enam bulan dan bukan sahaja terlepas peluang ke Sukan Asia malah terpaksa melupakan hasrat membantu skuad negara di Piala AFF.

Kecederaan itu mengikut jejak langkah kembarnya, Zaquan Adha Abdul Razak yang sebelum ini turut mengalami kecederaan ACL pada September lalu.

‘‘Melalui ujian imbasan bermagnet (MRI) yang dilakukan pada pagi tadi, doktor memberitahu ACL saya telah putus dan perlu menjalani pembedahan pada Khamis ini.

‘‘Jika sebelum ini saya fikirkan untuk beraksi di Piala AFF kerana menjangkakan hanya mengalami kecederaan meniskus tetapi keputusan MRI memusnahkan harapan saya,” katanya yang ditemui pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus-FAM, semalam.

Aidil mendapat kecederaan tersebut pada perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini selepas dirempuh oleh penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha.

Ketiadaan Aidil mungkin memaksa jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menyenaraikan pemain berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah di bahagian pertahanan untuk mengisi salah satu daripada tiga slot pemain senior di Sukan Asia.

Walaupun begitu, Aidil tetap berharap dapat membantu skuad kebangsaan di pusingan kelayakan Piala Dunia yang dijangka berlangsung pada bulan Mei atau Jun tahun hadapan.

‘‘Saya amat berharap Rajagobal dapat memberikan saya peluang beraksi bersama skuad negara selepas pulih nanti dan saya cuba untuk pulih secepat mungkin,” katanya.

Dalam masa sama, Aidil berkata, dia akan kekal bersama skuad Hoben Jang Hoben pada musim hadapan kerana masih mempunyai kontrak selama setahun.

‘‘Tahun hadapan, saya masih di Negeri Sembilan, begitu juga dengan kembar saya, Zaquan,” ujarnya.

Perkhabaran duka bagaimanapun terubat apabila Aidil diumumkan buat tahun kedua berturut-turut sebagai pemain pertahanan terbaik 2010.

‘‘Saya ucapkan terima kasih kepada panel pemilihan yang meletakkan saya sebagai pemenang di samping rakan-rakan dan jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan yang banyak membantu menaikkan karier saya sebagai pemain.” katanya.

Norshahrul paling bernilai 2010 (Utusan Malaysia Online)


(DARI kiri) B. Sathianathan, Khairul Fahmi Che Mat, Norsharul Idlan Talaha, Badrol Bakhtiar dan Aidil Zafuan Abdul Razak bersama anugerah masing-masing di Kuala Lumpur, semalam.


PETALING JAYA – Reputasi juara Piala Malaysia musim ini, Kelantan sebagai kuasa baru bola sepak tanah air semakin kukuh apabila mendominasi lima daripada sembilan kategori Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2010 100Plus-FAM, semalam.

Penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha paling mencuri tumpuan selepas dinobatkan Pemain Paling Bernilai 2010 selain turut merangkul Penyerang Terbaik 2010 menewaskan pencabar terdekat yang merupakan penjaring gol terbanyak Liga Super, Mohamad Ashaari Samsudin dari Terengganu.

Anak jati Besut, Terengganu itu berjaya meraih RM3,000 selaku Pemain Paling Bernilai dan RM500 untuk kategori penyerang selain menerima trofi daripada 100Plus selaku penaja utama.

Selain Norshahrul, Kelantan turut berbangga apabila penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat diangkat sebagai pemenang dalam dua kategori iaitu penjaga gol terbaik dan pemain muda terbaik.

Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan melengkapkan penguasaan skuad Red Warriors dengan berjaya muncul sebagai jurulatih terbaik mengatasi K. Devan, E. Elavarasan, Gary Phillip dan Ahmad Yusoff.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd, James Teo dan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Hamidin Mohd.Amin.

Tidak menyangka muncul sebagai Pemain Paling Bernilai 2010, Norshahrul yang menjadi salah seorang nadi kejayaan Kelantan pada musim ini anugerah itu sebagai pemangkin semangat untuk menyerlah di Sukan Asia dan Kelantan pada musim hadapan.

‘‘Akhirnya penat lelah saya selama satu musim ini berbaloi dan terima kasih kepada semua jurulatih yang pernah membimbing saya termasuk semua rakan sepasukan di Kelantan, tanpa anda semua, tidak mungkin saya akan berada di sini.

‘‘Hadiah ini ditujukan kepada isteri tersayang yang banyak menyokong karier saya dan insya- Allah saya akan terus mempertingkatkan prestasi selepas ini di Sukan Asia dan Piala AFF bersama skuad kebangsaan,” jelasnya.

Pada masa sama, Norshahrul memberikan bayangan bahawa dia akan kekal beraksi bersama skuad Kijang pada musim hadapan walaupun menerima tawaran daripada beberapa pasukan lain.

‘‘Memang ada saya dapat beberapa tawaran seperti dari Selangor, Perak dan Negeri Sembilan tetapi hati saya masih di Kelantan dan mahu kekal di sini kerana rasa sudah selesa dengan rakan sepasukan dan penyokong,” ujarnya.

Anugerah pemain tengah terbaik menjadi milik pemain Kedah, Baddrol Bakhtiar manakala Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak mempertahankan trofi pertahanan terbaik.

Kedah muncul kelab penyokong terbaik sementara Johor FC mengulangi kejayaan dua tahun berturut-turut sebagai kelab terbaik.

Persatuan Bola Sepak Terbaik dipegang Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Zaquan, Aidil senasib (Harian Metro Online)

NASIB malang yang menimpa penyerang kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak kini turut dialami abangnya, Mohd Aidil Zafuan yang terpaksa berehat panjang.

Tonggak pertahanan tengah kebangsaan dan Negeri Sembilan itu disahkan cedera Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kanan sekali gus tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan dan dijadual menjalani pembedahan Khamis ini.

Adiknya, Mohd Zaquan turut mengalami kecederaan ACL di lutut kiri September lalu ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang kelab Qatar, Al-Jaish dalam rangka persiapan skuad bawah 23 kebangsaan.

“Saya kecewa selepas menjalani ujian imbasan resonan bermagnet (MRI) dan diberitahu terpaksa berehat panjang serta terlepas Sukan Asia di China dan Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Disember ini,” kata ketua pasukan kebangsaan itu, semalam.

Menurutnya lagi dia mungkin akan kembali beraksi pada Mei 2011 dan berharap dapat menyumbang tenaga untuk skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan lain seperti pusingan kelayakan Piala Dunia.

“Saya terpaksa menerima hakikat kerana ini adalah asam garam seorang pemain bola sepak,” katanya yang turut dipilih sebagai pemain pertahanan terbaik di Anugerah Kebangsaan 100PLUS-Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2010

Aidil terpaksa lupakan Sukan Asia



PEMAIN pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Radzak kesal apabila terpaksa melupakan aksi di Sukan Asia, Guangzhou, minggu depan.

Aidil yang ditimpa kecederaan lutut ketika beraksi di perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan, Sabtu lalu, dan bakal menjalani pembedahan Khamis ini.

“Saya menerima berita ini pagi tadi (semalam), jadi selepas dapat tahu keputusan itu, saya rasa sedih dan agak kecewa kerana sasaran saya adalah untuk beraksi di Sukan Asia dan Piala AFF Suzuki.

“Jadi dengan ketiadaan saya berharap pemain yang lain akan berjuang habis-habisan,” katanya.

Selepas menjalani pembedahan, saya perlu berehat selama enam bulan dan dijangka pulih pada Mei 2011.

“Jadi saya berharap boleh beraksi pada perlawanan kelayakan Sukan Olimpik, Jun tahun depan,” katanya selepas Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM, semalam.

Namun kekecewaan Aidil sedikit terubat apabila dinobatkan Pertahanan Terbaik pada majlis itu.

Nasib sama turut menimpa adik kembarnya yang juga penyerang utama skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak yang tercedera ketika skuad kebangsaan menentang kelab Qatar, Al-Jaish di Doha pada 30 Ogos lalu.

Zaquan juga terpaksa melupakan terus saingan Piala Malaysia, Sukan Asia 2010 dan Piala AFF Suzuki 2010 dan akan berehat selama enam bulan selepas disahkan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kirinya.

Dengan ketiadaan Zaquan, jurulatih kebangsaan, K Rajagobal perlu mencari rakan gandingan baru buat Norshahrul Idlan Talaha untuk mengemudi jentera serangan skuad negara dalam Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China dan Piala AFF Suzuki 2010, Disember depan.

Sathia, dua anak buah sapu 5 anugerah utama (Berita Harian Online)

Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
2010/11/03

  DARI kiri    B  Sathiananthan,  Khairul Fahmi,    Norshahrul Idlan, Baddrol dan   Mohd Aidil Zafuan  bersama anugerah masing-masing.
DARI kiri B Sathiananthan, Khairul Fahmi, Norshahrul Idlan, Baddrol dan Mohd Aidil Zafuan bersama anugerah masing-masing.

Norshahrul menang dua trofi, Aidil Zafuan pertahanan terbaik

KEJAYAAN Kelantan muncul juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super musim ini diiktiraf Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan penaja, 100Plus apabila B Sathianathan mengetuai dua pemainnya menyapu lima gelaran utama pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2010, semalam.

Sathia dinobatkan selaku jurulatih terbaik dengan Khairul Fahmi Che Mat dipilih penjaga gol terbaik manakala Norshahrul Idlan Talaha dijulang sebagai penyerang terbaik.
Norshahrul yang lebih mesra disapa ‘Mat Yo’ membantu Kelantan menamatkan penantian 89 tahun untuk merangkul Piala Malaysia, Sabtu lalu turut diumumkan sebagai pemain paling bernilai.

“Pertama sekali, saya mengucapkan syukur Alhamdullilah atas anugerah ini. Ia akan memberikan saya semangat untuk bekerja lebih keras selepas ini,” kata Norshahrul yang ditemui selepas majlis anugerah.

Sementara itu, Khairul Fahmi, 21 yang memikul tugas berat mengawal gawang negara pada Sukan Asia nanti pulang dengan anugerah pemain muda terbaik.

Kekecewaan ketua pasukan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak yang tidak dapat beraksi pada Sukan Asia berikutan kecederaan lutut ACL (Arterior Cruciate Ligament) dialami ketika final Piala Malaysia sedikit terubat dengan pemilihannya sebagai pertahanan terbaik dengan kecemerlangan Baddrol Bakhtiar dari Kedah diakui dalam posisinya apabila dipilih sebagai pemain tengah terbaik.
Anugerah lain menyaksikan Persatuan Bola Sepak Selangor dipilih sebagai persatuan terbaik, Johor FC sebagai kelab terbaik dan kelab penyokong terbaik milik Hijau Kuning.

Monday, November 1, 2010

Alif tempang tanpa Aidil (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

MOHD ALIF SAMSUDIN mungkin boleh dianggap punca kekalahan Negeri Sembilan di tangan Kelantan pada final Piala Malaysia, kelmarin.

Alif, 21, diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Hoben Jang Hoben bagi memperkuatkan jentera pertahanan pasukan dibelenggu kecederaan itu hanya bermain dengan baik ketika ada dua pemain berpengalaman, Shukor Adan dan Mohd Aidil Zafuan Abd Razak di atas padang.

Namun, sebaik Aidil dikeluarkan, Alif mula goyah sekali gus mempengaruhi corak pertahanan Negeri Sembilan yang pantas menutup ruang di babak pertama, bertukar longgar.

Alif yang kali pertama beraksi di final mengakui gementar sebaik permainan dimulakan. Namun dengan arahan daripada Aidil dan Shukor, dia berjaya bertindak dengan baik sehinggalah Aidil mengalami kecederaan.

“Saya amat kecewa kerana banyak melakukan kesilapan. Sepatutnya saya dapat kejar Badri (Mohd Radzi), tapi saya gagal,” kata Alif mengakui kesilapannya itu.

Badri atau lebih dikenali dengan gelaran 'Piya' memperoleh peluang melarikan bola hasil lorongan cantik Mohd Norfarhan Muhamad dari sayap kanan, meluru ke gawang Negeri Sembilan sebelum melepaskan rembatan kencang. Alif yang berada di posisi terbaik untuk memintas dan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, hanya bertindak mengejar Badri yang ternyata lebih tangkas.

“Saya tidak perhatikan betul-betul situasi bola ketika itu, ternyata saya silap membaca permainan” kata Alif.

Negeri Sembilan bermain cemerlang di separuh masa pertama, biarpun menggunakan hanya satu penyerang.

Mereka mendahului 1-0 menerusi jaringan penalti Shahurain Abu Samah selepas S Kunalan dijatuhkan penjaga gol Kelantan, Khairul Fitree Ishak dalam kotak penalti pada minit ke-13.

Kehilangan Aidil punca Negeri Sembilan kecundang (Utusan Malaysia Online)



PEMAIN dan pegawai pasukan Kelantan berpelukan di tengah padang sebagai meraikan kejayaan bersejarah merangkul Piala Malaysia manakala dua pemain Negeri Sembilan tunduk kecewa selepas perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.


KUALA LUMPUR - Kehilangan bek tengah yang juga ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak dan kegagalan dua pemain muda menunaikan harapan tinggi, dirumuskan sebagai faktor utama tersungkurnya Negeri Sembilan dalam mempertahankan Piala Malaysia musim ini, semalam.

Tanpa menyembunyikan kecewa namun akur dengan kemampuan Kelantan menyambar kesempatan tersebut, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan menganggap Aliff Samsuddin dan Qhairul Anwar Roslani tidak dapat bermain seperti prestasi terbaik mereka sebelumnya.

"Prestasi Negeri Sembilan kali ini tidak seperti perlawanan akhir tahun lalu terutama apabila barisan pertahanan goyah setelah Aidil Zafuan tercedera lalu kesempatan ini diambil sepenuhnya oleh Kelantan dalam babak kedua," katanya selepas perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang dimenangi lawan 2-1.

"Perlawanan ini jelas menunjukkan dua pemain muda harapan kami tidak menunjukkan prestasi sebenar mereka tetapi saya tetap memuji aksi keseluruhannya kerana kami masih mampu mara hingga ke perlawanan akhir di sebalik pelbagai masalah yang melanda khususnya kecederaan tonggak," katanya.

Gol kemenangan Badri Radzi yang menyusuli tandukan penyamaan Hairuddin Omar sekali gus menenggelamkan jaringan penalti Shahurain Abu Samah itu turut meranapkan harapan dan impian Wan Jamak mencipta rekod dalam kariernya dengan membawa Si Rusa merangkul gelaran berganda selepas menjulang Piala FA, April lalu.

Malah setelah kehilangan penyerang Zaquan Adha Radzak sejak Ogos lalu kerana kecederaan lutut, kehampaan jurulatih Negeri Sembilan itu akibat terkeluarnya abang kembarnya, Aidil Zafuan Radzak pada pertengahan permainan, pasti dikongsi jurulatih negara, K. Rajagobal dalam menyediakan pasukan ke Sukan Asia, bulan depan.

Negeri Sembilan juga sebenarnya mampu beroleh satu lagi gol sekiranya tonggak depan seniornya, Idris Karim mampu menyudahkan peluang depan gol dengan satu tolakan kaki yang lebih deras untuk menghampakan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang hanya bersendirian pada babak pertama.

Namun Wan Jamak wajar turut berbangga dengan sumbangan sayap kanannya, S. Kunanlan yang banyak menggerakkan serangan Si Rusa dan mencipta lorongan tepat dan membuat larian yang menghuru-harakan kubu Kelantan untuk menyokong penyerang bidan terjun mereka, Shahurain dan Idris.

Tidak keterlaluan jika anak jati Semenyih ini sebenarnya mampu dijulang sebagai wira mahupun pemain terbaik jika Negeri Sembilan yang mengulangi kejayaan memiliki piala berprestij bola sepak negara dalam edisi ke-44 perlawanan akhir ini seperti ketika mereka menang 3-1, tahun lalu.

Namun corak pantas dan kemantapan pada semua bahagian turut memainkan peranan dalam kejayaan gilang-gemilang dan bersejarah Wira Merah ini selain sokongan padu ribuan penyokong mereka dan gaya kepimpinan tersendiri Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Saturday, October 30, 2010

Indra, Aidil tagih komitmen tinggi (Utusan Malaysia)


KUALA LUMPUR - Indra Putra Mahayuddin dan Aidil Zafuan Radzak pernah sama-sama menyarung jersi negara di pentas antarabangsa dan cukup arif dengan asam garam bola sepak biarpun masing-masing bakal bertembung sebagai dua pihak yang bertentangan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Ketua pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan itu akur dengan kesulitan jurulatih kedua-duanya dalam menampilkan barisan terbaik dalam merebut Piala Malaysia pada edisi ke-44, namun lebih yakin bahawa hanya prestasi malam ini yang bakal lebih dikenang peminat dan bukannya atas alasan siapa yang turun tanpa pemain bintang.

"Setiap pemain ada kelebihan masing-masing. Kalau tiada yang utama (Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam), yang kedua pun masih tidak kurang hebatnya dan mampu menggalas tugas yang diamanahkan jurulatih dengan baik. Yang penting kami kena fokus dan belajar daripada pengalaman perlawanan akhir tahun lalu,'' katanya.

Indra Putra pernah menjulang Piala Malaysia 2000 dengan Perak tetapi tuahnya itu belum berulang ketika berhijrah ke Pahang dan Selangor, malah sempat menjaringkan gol tunggal Kelantan yang dikecewakan Negeri Sembilan 3-1, tahun lalu dengan jaringan Shahurain Abu Samah, Hairuddin Omar dan Zaquan Adha.

''Saya akui sedikit sebanyak kehilangan tonggak senior (Rezal Zambery Yahya) pasti dirasai pasukan malah tanpa Zaquan (Adha Radzak, adik kembarnya), kami masih mara sejauh ini kerana kami sentiasa percayakan kerja sepasukan dan tidak terlalu bergantung kepada seseorang. Apa yang turut akan diutamakan (malam ini) ialah mengelakkan sebarang kesilapan,'' jelas Aidil Zafuan.

Indra Putra yang dihampakan Rezal dan rakan sepasukan Si Rusa 3-1 di gelanggang sama, tahun lalu, mengakui faktor pengalaman masih memainkan peranan dalam persembahan mereka malam ini, namun ia turut mampu ditampung dengan komitmen tinggi setiap pemain dalam memastikan Kelantan membawa pulang Piala Malaysia buat kali pertama selepas gagal pada 1955 dan 1970.

"Mungkin masih yang beranggapan bahawa tahun lepas kami kalah kerana ramai pemain muda yang belum pernah merasai pengalaman perlawanan akhir Piala Malaysia apatah lagi dengan dikelilingi ribuan penyokong sendiri dan lawan yang jumlahnya luar biasa.

"Kesilapan memang mudah berlaku dalam perlawanan segenting ini tetapi ingatan saya kepada rakan sepasukan ialah jangan terlalu takut jika tersilap kerana ia bakal mengundang kesilapan lebih besar, cuma sentiasa kena fokus permainan,'' kata Indra Putra.

Sementara itu, seorang lagi tonggak senior Piala Malaysia yang sudah enam kali merasai enam perlawanan akhir kejohanan berprestij kebangsaan ini, Shukor Adan secara berseloroh berkata, kelainan kali ini mungkin Hairuddin Omar bermain dengan Kelantan pula berbanding pada tahun lalu kerana bersama kami, Negeri Sembilan.

"Saya harap pasukan kami mengekalkan momentum permainan seperti menjuarai Piala Malaysia tahun lalu yang berasaskan semangat sepasukan dan hasil pengalaman dan kemampuan ketika berjaya berdepan ribuan penyokong Kelantan dalam Liga Super dan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

"Kami perlu kekang barisan serangan Kelantan yang diakui lebih berbisa bagi saya, tugas di bek tengah akan tetap ditunaikan dengan sebaik mungkin," katanya.

Aidil Zafuan sedia kemudi skuad NS (Berita Harian)

Oleh Harris Rajahdin, Syed Riduan Ahmad dan Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my
2010/10/30

  PASUKAN Negeri Sembilan menjalani   latihan terakhir untuk  aksi final  Piala Malaysia di Stadium Nasional, semalam. Gambar kecil, Mohd Aidil Zafuan.
PASUKAN Negeri Sembilan menjalani latihan terakhir untuk aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, semalam. Gambar kecil, Mohd Aidil Zafuan.

Galas misi pertahan gelaran juara kali kedua berturut-turut

PENGGANTI kapten, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, sudah bersedia mengambil alih tanggungjawab sebagai ketua pasukan Negeri Sembilan, menggantikan Rezal Zambery Yahya yang sekadar diletakkan pada bangku simpanan pada kali ini ekoran kecederaan pada saingan final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Aidil yang memegang peranan sama bersama skuad Bawah 23 kebangsaan, percaya tanpa Rezal sekalipun, ia tidak akan menjejaskan pasukannya selepas melihatkan kemampuan skuad pimpinan Wan Jamak Wan Hassan itu ketika menangani ketiadaan kembarnya, Zaquan Adha, sepanjang kempen Piala Malaysia ini.

“Kami main dengan 11 pemain, tanpa Zaquan kami masih boleh melayakkan diri ke final. Sekalipun kami mempunyai masalah dengan pemain yang cedera, kami masih boleh menggantikannya dengan dua atau tiga pemain muda lain pada posisi sama, jadi kami tidak begitu risau,” katanya.

Aidil juga tidak kisah akan tekanan yang menyelubungi setiap pemain pada perlawanan akhir kerana ia mengelakkan mereka daripada bersikap terlalu yakin.
“Memang tekanan ada pada setiap final. Jika tidak ada tekanan, kita akan menjadi terlebih yakin. Mempertahankan gelaran lebih susah daripada meraihnya buat kali pertama.”

Bagi Aidil, tiada pemain lawan akan diberikan perhatian khusus malam ini, dengan pertahanan tengah itu menyedari ancaman boleh hadir daripada semua pemain Kelantan, bukan hanya Norshahrul Idlan Talaha, Hairuddin Omar atau Akmal Rizal Rakhli semata-mata.

Aidil azam juara lagi (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Hilmie Hussin

GIGIH...skuad Negeri Sembilan menjalani latihan di Stadium Nasional, semalam.
GIGIH...skuad Negeri Sembilan menjalani latihan di Stadium Nasional, semalam.

KETIADAAN Rezal Zambery Yahya dalam kesebelasan utama Negeri Sembilan di final Piala Malaysia malam ini memberi ruang buat Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak menggalas cabaran berat itu.

Pemain pertahanan itu mengakui tugas berat menanti mereka, namun tiada mustahil kerana menganggap kekuatan Negeri Sembilan terletak kepada pasukan, bukan individu.

“Sebelas pemain akan menggalas tanggungjawab di atas padang, bukan seorang dua. Tanpa Rezal sekalipun kami yakin mampu menang. Selama ini tanpa kelibat Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak pun kami mampu melangkah ke final,” kata Aidil.


Dia menganggap persefahaman skuad Rusa cukup serasi dan masing-masing tahu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Biarpun Negeri Sembilan bergantung kepada seorang penyerang malam ini, Aidil tetap optimis skuad itu mampu mendapatkan jaringan.

“Bagi saya siapa jaringkan gol tidak penting kerana dalam bola sepak bukan mengharapkan seseorang. Ia hasil kerjasama semua pemain untuk mencipta dan menjaringkan gol. Pada saya pasukan ini menjadi hebat kerana satu pasukan, bukan kerana individu,” kata Aidil lagi.

Malah, ketua pasukan Negeri Sembilan itu mahu rakan sepasukan tidak gentar dengan jentera serangan Kelantan, biarpun Hairuddin Omar yang menjaringkan satu gol buat mereka di final tahun lalu kini menjadi musuh.

“Saya tidak kisah Hairuddin kini bersama Kelantan. Kami tidak takut tapi saya mahu rakan sepasukan sedar kekuatan kekuatan Kelantan juga berdasarkan satu pasukan. Mereka mampu pamer corak permainan terbaik ketika dalam kedudukan selesa,” kata Aidil lagi.

Thursday, October 28, 2010

Aidil nadi benteng NS (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

PENGALAMAN Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak di pentas antarabangsa mahupun pada saingan domestik ditagih Negeri Sembilan untuk mengekang asakan penyerang Kelantan ketika kedua-dua pasukan membuat perhitungan pada final Piala Malaysia, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Aidil, 23, diakui antara pemain pertahanan kebangsaan mantap berjaya dilahirkan Negeri Sembilan dan pada final itu, keupayaan mengawal benteng bakal menjadi antara faktor penentu misi skuad Hoben Jang Hoben mempertahankan kejuaraan.

Aidil, abang kembar Mohd Zaquan Adha, bertekad memastikan benteng pasukan kebal daripada ditembusi penyerang lawan yang dijangka melakukan serangan bertali arus ke kubu Negeri Sembilan untuk menebus kekecewaan tewas 1-3, pada final tahun lalu.


Dia yang bergandingan dengan Tengku Qayyum Ubaidillah, bersedia menggalas tugas sebaik mungkin seperti mana kepercayaan diberikan jurulatih Wan Jamak Wan Hassan dan berazam beraksi cemerlang bagi memastikan reputasi dan maruah pasukan dipertahankan.

“Saya akui tugas ini lebih mencabar berbanding tahun lalu berikutan barisan penyerang Kelantan kali ini lebih berwibawa membabitkan Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Mohamad dan Norshahrul Talaha.

“Namun saya bersedia melakukan tugas dengan baik dan tidak berdepan masalah bergandingan dengan Tengku Qayyum untuk pertahankan benteng kerana kami bukan kali pertama bertemu Kelantan dan berdepan barisan penyerang mereka.

“Kami termasuk penjaga gol Sani Anuar Kamsani akan pastikan mereka berdepan laluan sukar untuk melepasi benteng dan seterusnya menjaringkan gol,” katanya semalam.

Aidil berkata, walaupun ramai memilih Kelantan sebagai pasukan pilihan, dia berasa kecil hati kerana mengetahui kekuatan dan kelemahan skuad bimbingan B Sathianathan itu selepas bertemu sebanyak empat kali sepanjang saingan Liga M musim ini dengan rekod pertemuan memihak kepada Negeri Sembilan.

Justeru, dia yakin pemain Negeri Sembilan mampu membendung impian besar Kelantan yang berazam merampas trofi Piala Malaysia kali ini.

Dia yang turun buat kali ketiga pada pentas final berjanji memberikan tumpuan sepenuhnya bagi membalas kepercayaan pengurusan dan peminat untuk melakar sejarah gemilang merangkul trofi kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

“Saya akan menggunakan sebaik mungkin pengalaman untuk membantu pasukan mencapai kemenangan dan berharap misi kami direalisasikan Sabtu ini,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...