Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label S Chanturu. Show all posts
Showing posts with label S Chanturu. Show all posts

Sunday, May 11, 2014

Selangor Calar Rekod Bersih Pahang Di Laman Sendiri


KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Selangor mencalar rekod tanpa kalah Pahang di laman sendiri pada saingan Liga Super musim ini, selepas meraih kemenangan tipis 1-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam Sabtu.

Jaringan pemain sayap dari Indonesia, Andik Vermansah pada minit ke-64 membolehkan skuad 'Gergasi Merah' merampas kedudukan pendahulu liga daripada Pahang dengan mengumpul 31 mata selepas 15 perlawanan.

Pahang pula turun satu anak tangga dengan 28 mata.

Kelantan pula melonjak dua anak tangga ke kedudukan kelima liga, hasil kemenangan 2-0 ke atas Selangor PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Wan Zaharulnizam Wan Zakaria membuka tirai jaringan pada minit ke-44 sebelum penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe memastikan kemenangan mutlak skuad 'The Red Warriors' dengan gol kedua pada minit ke-88.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, wakil kelab Sime Darby FC mempamerkan kebangkitan sebelum mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Sarawak.

S. Chanturu meletakkan Sarawak di hadapan menerusi gol seawal minit ketujuh sebelum Ryan Griffiths menggandakan kedudukan pada minit ke-21.

Pemain import dari Uzbekistan, Dilshod Sharofetdinov bagaimanapun mengikat kedudukan selepas meledak dua gol untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-29 dan masa tambahan separuh masa pertama.

Mohd Syukur Saidin memusnahkan harapan Sarawak untuk meraih tiga mata dengan menjaringkan gol kemenangan Sime Darby FC pada minit ke-83.

Pertemuan wakil Singapura, Lions XII dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam ini terpaksa ditunda ke 20 Mei ini memandangkan beberapa pemain JDT terlibat dengan perlawanan amal Asean All-Stars menentang pasukan kebangsaan Indonesia di Jakarta, esok.

Dalam aksi tunggal Liga Perdana, UiTM FC dan Pulau Pinang berkongsi satu mata selepas terikat tanpa jaringan di Stadium UiTM, Shah Alam.

Perlawanan berkenaan diadakan semula pada hari ini selepas tertangguh akibat hujan lebat pada aksi berkenaan semalam.

-- BERNAMA

Sunday, March 4, 2012

Kelantan Tewaskan Negeri Sembilan 2-1

KOTA BAHARU, 4 Mac (Bernama) -- Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, Ahad malam.

Kelantan yang bermula garang di hadapan penyokong sendiri tidak perlu menunggu lama apabila memperoleh gol pertama seawal minit ke-2 hasil rembatan kencang ketua pasukan Mohd Badri Radzi.

Gol pembuka semangat itu menyaksikan pasukan The Red Warriors terus mengasak namun beberapa percubaan tidak membuahkan hasil.

Negeri Sembilan kemudian menyamakan kedudukan apabila tandukan Shakir Ali pada minit ke-53 menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Hasrat pasukan pelawat itu untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata bagaimanapun tidak kesampaian apabila S. Chanturu menjaringkan gol kemenangan Kelantan pada minit terakhir perlawanan.

-- BERNAMA

Wednesday, March 30, 2011

Karathu cari keserasian pemain (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Biarpun mencatatkan keputusan memberangsangkan setelah membelasah pasukan Wakaf Aik FC menerusi kemenangan 6-0 dalam perlawanan persahabatan petang semalam, namun Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu tidak melihat keputusan tersebut, sebaliknya sedang menilai keserasian pemain bagi menghadapi pasukan Harimau Muda ‘A’ di Kota Bharu, Jumaat ini.

Karathu berkata, perlawanan persahabatan itu menjadi penanda aras kepada beliau untuk menilai sejauh mana corak permainan anak buahnya setelah aksi liga terhenti selama hampir dua minggu.

“Walaupun pasukan lawan yang dihadapi tidak berapa kuat, apa yang penting saya dapat melihat bagaimana cara hantaran bola dan pergerakan pemain dilakukan. Tidak ada tekanan di bahagian pertahanan kerana ini merupakan perlawanan persahabatan biasa sahaja.

“Keputusan perlawanan tidak penting. Saya mahu mendapat idea bagaimana cara kita hendak bermain. Esok (hari ini) kesemua empat pemain yang bersama skuad kebangsaan akan melaporkan diri bersama pasukan.

“Kita ada masa tiga hari bagi melakukan persiapan menghadapi pasukan Harimau Muda setelah berehat sekian lama. Dari segi kecergasan pemain itu tidak ada masalah. Memang saya bagi rehat tiga hari kepada semua pemain selepas perlawanan suku akhir Piala FA tempoh hari,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, sebagai pemain profesional, mereka mesti memanfaatkan cuti tersebut dengan mengekalkan tahap kecergasan masing-masing kerana Kelantan terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang cukup padat pada bulan depan.

“Perlawanan akan datang, kita memang tidak boleh ambil mudah kerana kita akan bermain sebanyak sembilan perlawanan. Selepas berehat panjang, pemain kini giat menjalani latihan sebelah pagi dan petang bermula Jumaat lalu bagi mengekalkan tahap kecergasan pemainnya.

“Pasukan Harimau Muda ini berorientasikan corak permainan laju. Mereka merupakan pasukan kebangsaan yang menghimpunkan ramai pemain terbaik. Saya sudah mengkaji corak persembahan mereka ketika menentang pasukan lain.

“Ini satu perlawanan (menentang Harimau Muda) yang cukup sukar. Pemain kita mesti memahami corak permainan mereka dan berusaha keras dalam sesi latihan untuk menghadapi corak permainan seperti ini.

“Masalah kita hanya di bahagian serangan kerana kita kehilangan beberapa tonggak utama. Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) masih berehat panjang, Muhammad Khalid (Jamlus) juga mengalami kecederaan.

“Sebab itu saya mencuba Danial Fadzly dalam perlawanan persahabatan ini. Tidak banyak pilihan, yang tinggal Mohd Nizab dan S Chanturu sesuai digandingkan dengan Norshahrul Idlan di bahagian serangan,” katanya.

Wednesday, March 2, 2011

Kelantan tidak lepas cengkaman liga (Utusan Malaysia Online)


Pemain Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (kiri) diasak pemain pertahanan Negeri Sembilan, Mohd. Shukor Adan pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, malam tadi. Kelantan menang 3-0. - UTUSAN/Rosni Masri


KOTA BHARU - Juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan terus menguatkan cengkaman sebagai peneraju Liga Super 2011 dengan mengukir kemenangan selesa ke atas Negeri Sembilan 3-0 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, semalam.

Gol tuan rumah dijaringkan dua penyerang skuad negara, S. Chanturu pada minit ke-47 disusuli dengan rembatan kencang Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-74.

Selepas berbalas umpanan dengan Khalid Jamlus, Norshahrul menambah koleksi gol peribadinya pada minit ke-80 melalui bola voli yang memukau penjaga gol pelawat, Mohd. Farizal Marlias.

Wira Merah bagaimanapun terpaksa membayar harga yang tinggi dengan kemenagan tersebut apabila Chanturu dan Mohd. Ramzul Zahini masing-masing terpaksa dikeluarkan pada minit ke-60 dan 63.

Sementara itu, Perak terselamat dengan gol penyamaan Mohd. Noor Hazrul Mustafa pada minit ke-85 untuk menghampakan Harimau Muda A yang mendahului menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-11.

Satu mata yang dikongsi dengan skuad bawah 22 tahun negara di Stadium Perak, Ipoh itu bagaimanapun menjadikan skuad Seladang kekurangan dua mata untuk menghambat Kelantan dari tempat kedua liga.

Terengganu pula melonjak mengekori Perak di tangga ketiga setelah menumpaskan Johor FC 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu hasil jaringan Abdul Hadi Yahya (7), Ismail Faruqi (12) dan Ashari Samsudin (77).

Abdul Hadi merembat masuk hasil hantaran jauh Ismail Faruqi sebelum rakannya itu menyempurnakan sepakan bebas sejauh 40 meter diikuti rembatan kencang Ashari ke penjuru gol kelab dari selatan itu.

Dengan menumpaskan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam, juara bertahan Liga Super, Selangor turut melonjak ke tangga keempat sambil diekori Felda United yang menundukkan T-Team 2-0 di Stadium Petaling Jaya.

Terengganu, Selangor dan Felda United masing-masing terikat 11 mata tetapi kelebihan jaringan jelas menyebelahi Sang Penyu dengan 11 gol berbalas enam yang dibolosi.

Saturday, January 29, 2011

Kelantan hilang dua tonggak (Sinar Harian Online)

KHABAR malang buat pasukan Kelantan, apabila dua tonggak utamanya S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha dilanda kecederaan.

Pengurus pasukan The Red Warriors Azman Ibrahim berkata, Chanturu yang bermain di posisi serangan sudah pasti tidak dapat diturunkan pada perlawanan malam ini.

Bagaimanapun, Norshahrul yang membantu Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki buat pertama kali tahun lalu masih diragui sama ada dapat diturunkan atau sebaliknya.

“Chanturu tidak akan bermain malam ini kerana kecederaannya masih belum sembuh.

“Bagi Norshahrul pula, kita akan memantau keadaannya jika cergas dia akan diturunkan,” katanya.

Sementara itu, cerita sama melanda kem Selangor apabila pertahanannya Khairul Anuar Baharom dan perancang Mohd Bunyamin Umar tidak dapat diturunkan.

“Kita tidak dapat turunkan Khairul dan Bunyamin tetapi kita ada pemain lain yang mampu membawa cabaran Selangor malam ini,” katanya.

Tuesday, November 17, 2009

Kelantan usaha kumpul yang terbaik

KOTA BHARU - Shakir Shaari, pemain muda anak Kelantan yang beraksi dengan UPB MyTeam adalah antara beberapa nama yang dikatakan akan kembali ke negeri ini untuk menyarung jersi Kijang dalam saingan musim depan.

Ia dalam usaha persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menyiapkan pasukan terbaik untuk memberi cabaran sebenar bagi memenuhi harapan penyokong yang begitu tinggi.

Dia bersama dengan sekurang-kurangnya empat lagi pemain yang akan diserapkan dalam senarai baru skuad Kijang itu bagi meneruskan gelombang kebangkitan Kelantan ke puncak arena bola sepak tanah air.

Pemain yang dilihat mampu mencipta nama dalam arena bola sepak tanah air itu dikatakan bagi mengerakkan percaturan barisan tengah yang agak tempang dan beberapa nama lagi bagi mempertajamkan barisan serangan dan mengukuhkan benteng.

Shakir memiliki kelebihan melalui hantaran tepat selain mampu memberi kesan di bahagian tengah dengan teknik pengawalan bola yang dikuasainya.

Difahamkan penyerang kebangsaan yang juga bekas pemain UPB-My Team, Nurshahrul Idlan Talaha dan penyerang muda Pulau Pinang, S. Chanturu bakal menjadi jentera penggempur terbaru.

Mereka yang memiliki kelebihan melalui larian kencang akan digandingkan dengan Indra Putra Mahayuddin dan Norfarhan Mohamad yang sudah mengesahkan kekal bersama skuad Kelantan.

Penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussien juga turut dikaitkan sebagai antara pemain baru yang akan menyarung jersi Kelantan selepas pasukan lamanya UPB MyTeam menarik diri dari Liga Malaysia musim depan.

Kelantan dikhabarkan gagal untuk mendapatkan khidmat pertahanan Felda United, Nazrulerwan Makmor yang mewakili skuad Kijang sebagai pemain berstatus pinjaman pada aksi Piala Malaysia dan Norhafiz Zamani (Kl-Plus) kerana gagal mendapat pelepasan majikan masing-masing.

Bagaimanapun, Kafa dikatakan mendapatkan khidmat ketua pasukan Perak, S. Subramaniam yang mampu menampung kekurangan di bahagian pertahanan tengah dan dia memiliki kualiti yang baik untuk beraksi di bahagian kiri dan kanan benteng Kelantan.

Sementara itu, bekas penyerang kebangsaan yang beraksi bersama Kuala Muda NAZA (KM NAZA), Akmal Rizal Rakhli dan pertahanan Perlis, Azizi Che Ros serta pemain tengah Selangor, Hardi Jaafar turut disebut-sebut untuk membarisi skuad Kijang.

Hardi dikatakan gagal mencapai kata sepakat dengan pihak pengurusan pasukan manakala kedudukan dua lagi pemain itu dikatakan masih menjadi tanda tanya.

Walau apa pun, senarai 23 pemain skuad Kelantan bagi musim baru dijangka akan diumumkan oleh Kafa hari ini dan akan diperkenalkan kepada umum pada 21 November ini

--- UTUSAN MALAYSIA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...