Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Nwoha Onyekachi. Show all posts
Showing posts with label Nwoha Onyekachi. Show all posts

Monday, June 4, 2012

Keita Mandjou sarung jersi Kelantan

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob

2012/06/01

BEKAS pemenang Kasut Emas 2006, Keita Mandjou akan memperkuatkan cabaran The Red Warriors yang bercita-cita mahu melangkah jauh dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Keita, 32, yang menggantikan Nwoha Onyekachi yang tamat kontraknya, akan mengukuhkan jentera serangan Kelantan bersama-sama Mohammad Ghaddar dan Norshahrul Idlan Talaha.
Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dalam laman Facebooknya apabila menyatakan persetujuan sudah dicapai dan pemain Guinea itu dijangka tiba di Kota Bharu minggu depan.

Dalam kenyataan sama, Annuar berkata, Keita yang beraksi bersama kelab India, Pune FC akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Tentera di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 8 Jun ini.

Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim ketika dihubungi berkata, pengambilan Keita adalah untuk diserapkan dalam skuad AFC.

“Memang kita ambil dia (Keita) untuk menggantikan Nwoha yang tamat kontrak dan Keita bakal beraksi untuk saingan AFC. Dia dijangka tiba di Kota Bharu minggu depan.

“Setakat saya tahu, Keita akan diuji dalam perlawanan persahabatan menentang ATM, 8 Jun ini dan kita berharap kehadirannya akan menguatkan lagi pasukan,” katanya.

Selepas layak ke peringkat suku akhir Piala AFC, gergasi Pantai Timur itu kini tampak lebih serius untuk menempa nama di persada antarabangsa dan pengambilan Keita dilihat satu persiapan rapi untuk melakukan kejutan musim ini.

--- BERITA HARIAN

Pemain kasut emas ganti Nwoha

Wartawan Sinar Harian
27 Mei 2012
Pemain kasut emas ganti Nwoha
Gandingan Ghaddar (kiri) dan Obbina bakal dilengkapkan dengan kehadiran
pemain import baru untuk saingan AFC Top 8

TIDAK sampai seminggu Nwoha Onyekachi sah meninggalkan skuad Kelantan selepas kontraknya bersama pasukan The Red Warriors (TRW) itu tamat, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sudahpun menemui pengganti penyerang import Nigeria itu.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dipetik dari laman Facebooknya berkata, pengganti Nwoha itu merupakan seorang pemain beragama Islam yang sudah mencipta nama dan pernah memenangi Anugerah Kasut Emas.

"Beliau merupakan antara tiga penjaring terbanyak liga disebuah negara Asia. Rundingan dengannya telahpun selesai dilakukan petang tadi dan urusan hitam putih akan disempurnakan dalam bulan ini juga," katanya.

Menyifatkan pemain yang boleh beraksi di bahagian serangan tengah itu sebagai seorang yang berpenglaman, Annuar berkata pemilihan pemain itu turut dipersetujui oleh pengendali TRW, Bojan Hodak.

Nwoha beraksi buat kali terakhir dalam saingan perlawanan pusingan ke-2 Piala AFC menentang Terengganu nanti selepas empat bulan bersama pasukan Kelantan FA.

Dalam perkembangan lain, akan beraksi tanpa kelibat Obinna Nwaneri dalam pusingan suku akhir Piala AFC yang akan berlangsung pada pada 18 dan 25 September 2012 nanti selepas dilayangkan kad merah Rabu lalu, Kafa kini merancang untuk melakukan penambahbaikan kepada barisan kesebelasan utama mereka.

"Saya fikir TRW memerlukan seorang penyerang tengah dan seorang pertahanan tengah import untuk melengkapkan gandingan Ghaddar dan Obbina agar kita mampu bersaingan di AFC top 8.

"Alang-alang ke suku akhir, biarlah kita cuba sedaya upaya walaupun saya tahu kita bakal berdepan laluan cukup sukar terutama dari pasukan seperti Al Ettifaq Saudi, Al Shorta Syria, Kuwait SC, Arbil Iraq, Alwehdat Jordan, Chonburi FC dan Arema Indonesia," katanya.

Undian suku akhir Piala AFC akan diadakan pada 14 Jun ini.

--- Sinar Harian

Monday, April 16, 2012

Ghaddar ganti Nwoha

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
16 April 2012
Ghaddar ganti Nwoha

 PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) akhirnya memilih Mohammad Ghaddar menggantikan Onyekachi Nwoha bagi mengharungi baki perlawanan Liga Super dan kempen Piala FA.

Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail berkata, keputusan menyenaraikan kembali Ghaddar dicapai dalam satu mesyuarat tertutup semalam.

“Kita yakin pengalaman yang dimiliki Mohammad Ghaddar diharap dapat menyumbangkan sesuatu kepada pasukan terutamanya dalam keadaan di mana kita perlu mengharungi jadual perlawanan padat daripada beberapa pertandingan ketika ini,” katanya yang tidak menafikan Nwoha masih diperlukan dalam kempen dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC), namun tertakluk kepada perbincangan pihak pengurusan.

Penjaring terbanyak Kelantan dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC) itu dijangka diturunkan dalam perlawanan bertemu T-Team pusingan kedua Liga Super di Kuala Terengganu, Selasa ini.

Mohammad Ghaddar, 28, di awal penampilannya bersama Kelantan mencetuskan kontroversi apabila digelar ‘pakar sepakan penalti’ setelah hanya mampu menjaringkan dua gol menerusi cara tersebut dan memaksa beliau digantikan oleh Nwoha pertengahan Februari lalu.

Bagaikan sudah menemui tonik kebangkitan, Ghaddar kembali membuktikan sentuhan berbisa dengan meledakkan hatrik ketika Kelantan menewaskan Arema FC 3-0 dalam kempen Piala AFC di Kota Bharu selain turut menyumbang dua gol peribadi apabila menewaskan lawan yang sama 3-1 di Kota Malang, Surabaya pada 10 April lalu.

--- SINAR HARIAN

Monday, April 2, 2012

Kedudukan Nwoha jadi tanda tanya

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
2 April 2012
Prestasi Nwoha (kanan) semakin meningkat

STATUS pemain import dari Nigeria, Onyekachi Nwoha yang beraksi cemerlang dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini bakal terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dijangka membuat keputusan mengenai kedudukan beliau bersama Kelantan tidak lama lagi.

Nwoha, 29, di awal penampilannya bersama Kelantan mempamerkan prestasi hambar, namun bangkit membuktikan sentuhan berbisa dalam tiga perlawanan lalu termasuk menyumbangkan dua gol ketika membantu Kelantan membelasah Felda United FC 5-1 dalam perlawanan Liga Super di Kota Bharu, kelmarin.

Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak mengakui gembira dengan peningkatan prestasi ditonjolkan Nwoha, namun beliau masih belum buat keputusan sama untuk kekalkan pemain itu apabila pendaftaran pemain import dibuka semula hari ini.

“Saya akui beliau sudah mempamerkan peningkatan sejak tiga perlawanan yang lalu. Dalam masa terdekat, saya akan berjumpa dengan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dan pihak pengurusan bagi membincangkan kedudukan beliau bersama Kelantan.

“Kalau diberi pilihan memang saya meminati corak persembahan beliau, tetapi ini berkait rapat keputusan pihak pengurusan tertinggi. Ia bukan sahaja berkisar soal kedudukan pemain import kerana kita juga perlu mengambil kira pelbagai faktor lain termasuk kewangan.

“Sama ada kekal atau tidak bersama Kelantan, kita tunggu dan lihat,” katanya.

--- SINAR HARIAN

Kelantan kukuhkan cengkaman


NWOHA (kiri) meledak dua gol ketika membantu Kelantan membelasah Felda United di Kota Bharu, malam kelmarin.


KELANTAN terus mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Super apabila membelasah pasukan di tangga kedua tercorot Felda United 5-1 dalam aksi liga di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Kemenangan terbesar yang dicatatkan oleh skuad bimbingan Bojan Hodak itu membuktikan pasukan tersebut mempunyai ramuan lengkap dalam usaha mempertahankan gelaran yang diraih musim lalu.

Tanpa berselindung, jurulatih berusia 41 tahun itu menyifatkan kemenangan besar itu adalah hasil disiplin tinggi yang dijelmakan oleh barisan pemainnya sepanjang 90 minit perlawanan tersebut.

Katanya, meskipun pada awalnya dia risau barisan pemainnya akan mengalami kepenatan pada perlawanan tersebut selepas mengharungi ujian getir sebelum ini, namun jangkaannya itu meleset apabila pemain bangkit mempamerkan sentuhan juara.

“Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan kemenangan ini dan kita berjaya menjaringkan lima gol. Kita tidak sepatutnya memberikan jaringan kepada pasukan lawan.

“Walaupun bolos satu gol, namun saya tetap gembira dengan persembahan barisan pemain terutama pada babak kedua.

“Jadi saya harap pemain dapat meneruskan persembahan mantap ini kerana kita mahu bergelar juara," ujarnya ketika ditemui pemberita sejurus tamat perlawanan.

Pada perlawanan tersebut, Kelantan yang beraksi di gelanggang keramat mereka tidak perlu menunggu lama apabila berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Nwoha Onyekachi.

Gol tersebut hanya bertahan seminit apabila Azrul Ahmad yang tidak dikawal berjaya melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Nwoha terus membuktikan ketajaman penyudahnya apabila meledakkan gol kedua Kelantan dan peribadinya di minit akhir separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Kelantan terus mengamuk dengan menjaringkan tiga lagi gol menerusi Nor Farhan Mohammad (minit ke-66), Indra Putra Mahyuddin (minit ke-67) dan Mohd. Badri Radzi (minit ke-80).

Mengulas mengenai persembahan Nwoha, pengendali kelahiran Croatia itu menghamburkan pujian kepada pemain tersebut yang telah mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan.

“Seperti yang saya katakan dulu, dia (Nwoha) semakin mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan yang diharungi.

“Mengenai masa depannya, saya akan jumpa dengan Tan Sri Annuar dan pengurusan dalam beberapa hari lagi, barulah kita akan buat keputusan,” tegasnya.

--- KOSMO

Friday, March 9, 2012

Kelantan lepas peluang


Pemain Navibank Saigon, Edison Fonseca Pulgarin (tengah) diasak pemain pertahanan Kelantan, Nwaneri Obinna (kanan) dalam saingan Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, semalam. - UTUSAN/hafiz johari


KUALA LUMPUR - Kelantan gagal mengikuti jejak Terengganu apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan wakil dari Vietnam, Navibank Saigon dalam pertemuan pembukaan Kumpulan H Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Walaupun diramalkan mampu meraih kemenangan, Kelantan yang membariskan keempat-empat pemain importnya termasuk Mohamad Ghaddar dan Antwi Dennis Agyare dilihat gagal memberikan persembahan cemerlang di samping ketumpulan penyudah menyebabkan Red Warriors sekadar terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata.

Di hadapan 2,000 penonton, Navibank lebih banyak menguasai bola di awal perlawanan dan hampir mendahului pada minit ke-8 melalui Edison Fonseca, namun mujur kecekapan Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan keadaan apabila bertindak bijak menampan percubaan penyerang dari Colombia itu.

Kelantan yang bermula kurang menyakinkan dalam perlawanan itu perlahan-lahan mula mendapat rentak dalam perlawanan itu apabila banyak melakukan gerakan berbahaya melalui Ghaddar dan Badri Radzi.

Peluang terbaik menerusi Ghaddar pada minit ke-26, namun rembatannya tersasar ke arah kiri pintu gol walaupun hanya berhadapan dengan penjaga gol Navibank, Santos selepas berjaya mengatasi kawalan pertahanan Navibank, Vincent Bossou.

Namun, persembahan Nwoha dan Antwi dilihat tidak banyak membantu serangan Kelantan kerana mempamerkan prestasi hambar dan sering kali gagal membaca dengan baik hantaran-hantaran yang dilakukan oleh rakan sepasukan.

Sepuluh minit sebelum separuh masa kedua tamat, perlawanan berlangsung dalam keadaan hujan lebat dan kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dalam keadaan permukaan padang yang bertakung dan becak yang mengganggu tempo permainan.

Melalui hantaran lintang Mohd. Zamri Ramli, Nwoha sepatutnya boleh memecahkan kebuntuan pada minit ke-67 tetapi tandukannya tersasar ke arah kanan.

Kelantan melakukan beberapa pertukaran memasukkan S. Chanturu, Mohd. Norfarhan Mohd. dan Mohd. Ramzul Zaini Adnan pada penghujung separuh masa kedua tetapi ia tidak merubah keputusan perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

Dalam satu lagi pertemuan, Arema Indonesia sekadar terikat 1-1 dengan wakil dari Myanmar, Ayeyawady United di Stadium Gajayana.

--- UTUSAN

Monday, February 20, 2012

Nwoha kecewakan peminat Kelantan

KOTA BHARU - Aksi lemah pemain import Kelantan Onyekachi Nwoha sepanjang 83 minit mengecewakan hampir 10,000 penyokong setia The Red Warriors yang hadir menyaksikan perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, kelmarin.

Tanpa sebarang gerakan menarik serta kerap kali kehilangan bola membuktikan dia bukanlah pembelian terbaik buat penyandang juara Liga Super 2011 bagi mengharungi saingan musim ini.

Nwoha yang menggantikan tonggak kebangsaan Lubnan, Mohammad Ghaddar, selepas pemain tersebut gagal menemui sentuhan pemusnahnya, tidak seperti yang diharapkan apabila aksinya tidak setanding dengan tarafnya sebagai pemain import.

Ketua jurulatih Kelantan, Peter Butler ketika ditemui selepas perlawanan menentang Sarawak enggan mengulas mengenai persembahan pemain yang berasal dari Nigeria itu.

"Lebih bagus saya fokus kepada persiapan pasukan untuk perlawanan selepas ini. Pagi Isnin ini mungkin saya akan buat penilaian. Semua peminat yang berada di stadium dan di mana-mana boleh menilainya sendiri.

"Semua pemain bekerja keras tetapi saya boleh tengok dia (Nwoha) belum cergas sepenuhnya. Saya mesti adil dan berikannya masa," katanya.

Pengendali kelahiran Halifa,x England itu membayangkan mahu memberikan peluang kepada pemain tersebut untuk membuktikan kemampuan.

"Saya suka memberikan dia masa untuk membuktikan kemampuan tetapi, saya mahu lihat perkembangan yang bagus dan kita juga mengharapkan dia selalu bermain dengan baik dan menjaringkan gol.

"Saya harap dia dapat gunakan sebaik mungkin peluang ini," ujarnya.

--- UTUSAN MALAYSIA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...