Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Piala Presiden 2011. Show all posts
Showing posts with label Piala Presiden 2011. Show all posts

Thursday, March 10, 2011

Pemain masih cari keserasian (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Meskipun mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Selangor pada perlawanan Liga Piala Presiden malam kelmarin, namun kegagalan jentera serangan memanfaatkan deretan peluang terhidang menyerlahkan kelemahan skuad bimbingan Zahasmi Ismail sesudah mengharungi lima perlawanan setakat ini.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail mengakui faktor ketumpulan jentera serangan yang menghantui pasukannya antara penyebab utama Kelantan menghadapi kesukaran mencatatkan kemenangan dalam perlawanan menentang Selangor itu.

“Kita bernasib baik berjaya mencatatkan kemenangan pada perlawanan malam ini (kelmarin). Saya akui jentera serangan kita dilihat masih tumpul apabila gagal memanfaatkan banyak peluang terhidang untuk menjaringkan gol,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas perlawanan itu.

“Mungkin kerana saingan liga baru bermula membuatkan pemain masih tercari-cari keserasian antara mereka, tetapi masalah ketumpulan barisan serangan ini cukup serius dan menuntut kita mengatasinya dengan segera.

“Namun kemenangan tersebut memberi sedikit kelegaan kepada kita kerana mengekalkan rekod tiga kali menang di tempat sendiri selepas berjaya mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Perlis di Kangar pada perlawanan lalu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, secara keseluruhan berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan oleh barisan pemain.

“Mereka telah bermain bermati-matian dan menunjukkan semangat juang yang tinggi pada perlawanan malam ini (kelmarin). Semangat seperti inilah yang kita mahukan dalam setiap perlawanan dan kita lihat pemain kita tidak mudah berputus asa untuk mencari gol pendahuluan.

“Selepas kita mengeluarkan Mohd Khairul Izuan (Rosli) dan menggantikannya dengan Mohd Shawalrudin (Abdul Razak) pada pertengahan babak kedua, baru kita lihat corak permainan kita berubah dan bermain lebih agresif. Saya akui, prestasi Mohd Khairul Izuan sedikit merosot dan dia bermain dibawah tahap keupayaan sebenar dalam perlawanan ini.

“Kita terpaksa tunggu minit ke-77 untuk memperolehi gol pertama menerusi sepakan penalti Mohd Aris Zaidi sebelum jaringan gol kedua menerusi Tuan Mohd Norhafiziee Tuan Mahmood seminit sebelum wisel penamat.

Sementara itu, Kelantan akan bertemu Pulau Pinang pada perlawanan keenam Liga Piala Presiden pada 14 Mac ini di Stadium Mini Bertam, Kepala Batas.

Wednesday, March 9, 2011

Terus rentak kemenangan (Sinar Harian Online)

KOTA BHARU – Kelantan meneruskan rentak kemenangan di halaman sendiri setelah mengalahkan Selangor 2-0 pada perlawanan Liga Piala Presiden yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV Kota Bharu, malam semalam.

Namun pasukan yang terkenal dengan jolokan The President Warriors ini terpaksa menunggu sehingga m-77 perlawanan untuk memperoleh gol pertama menerusi sepakan penalti, Mohd Aris Zaidi dan jaringan pemain gantian, Tuan Mohd Norhafiziee Tuan Mahmood seminit sebelum perlawanan berakhir melengkapkan kemenangan bergaya ke atas pasukan Selangor.

Beraksi di hadapan hampir seribu penyokong setia, kedua-dua pasukan sekadar mempamerkan aksi hambar dengan banyak gerakan serba tidak menjadi pada separuh masa pertama walaupun Kelantan lebih mendominasi perlawanan pada babak itu.

Namun kejutan berlaku seawal minit kedua, bermula sepakan sudut pendek oleh Mohd Izuan Salahuddin kepada Mohd Khairul Izuan Rosli, rembatannya kencang singgah dipalang pintu gol Selangor tetapi tindakan susulan Mohd Faiz Suhaimi pula jauh tersasar.

Empat minit kemudian, giliran Selangor menguji pintu gol Kelantan apabila mempunyai peluang terbaik menerusi tandukan Mohammad Mazwan yang sedikit melewati pintu gol setelah menerima hantaran lintang Syafiq Azri.

Pada m-11 dan 15, Kelantan sekali lagi mempunyai dua peluang terbaik untuk berada di depan, namun sepakan percuma Mohd Khairul Izuan sedikit tersasar sementara rembatan Muizzuddin Marzuki pula mudah diselamatkan penjaga gol Selangor, Mohd Syafizullah.

Pada m-42, pasukan Selangor hampir memperoleh gol pendahuluan mereka namun sepakan percuma K Prabakaran sedikit melewati palang gol Kelantan.

Penguasaan pasukan Kelantan jelas ketara sebaik babak kedua disambung apabila melancarkan serangan bertali arus bagi mencari gol pendahuluan. Pada m-60, menyaksikan bermulanya babak ‘menggila’ anak didik Zahasmi Ismail apabila rembatan Mohd Aris tertampan benteng pertahanan Selangor dalam situasi kelam kabut di depan pintu gol pasukan pelawat.

Lima minit kemudian, giliran penyerang Mohd Farhan Yaakub pula mencemaskan pintu gol Selangor menerusi rembatannya yang diselamatkan Mohd Syafizullah setelah menampan kemas hantaran lintang Mohd Izuan Salahuddin sebelum itu.

Pada m-67, pemain tengah, Nicholas Chan Meng Jin turut mencuri tumpuan apabila sepakan lencongnya daripada luar kotak penalti menggegarkan palang gol Selangor. Tidak cukup dengan itu, tiga minit kemudian kuisan Mohd Aris dalam kotak penalti juga sekali lagi terkena palang gol Selangor.

Namun ‘badi palang gol’ Kelantan berakhir pada m-77 perlawanan. Tindakan pemain pertahanan Selangor, Choi Soon Seng menjatuhkan pemain gantian, Tuan Mohd Norhafiziee didalam kotak penalti akhirnya mengundang padah apabila pengadil perlawanan, Ismadi Ibrahim memberikan sepakan penalti kepada Kelantan.

Mohd Aris tenang menyepak masuk ke penjuru sebelah kiri pintu gol Selangor menewaskan Mohd Syafizullah untuk menghasilkan gol pertama Kelantan dalam perlawanan itu.

Ketinggalan satu gol, pemain Selangor mula bangkit mencari gol penyamaan. Pada m-80, bermula gerakan menarik di antara Mohamad Akbar Khamis dan Muhammad Khamis didepan pintu gol Kelantan tetapi rembatan Muhammad Khamis pula berakhir dengan kekecewaan apabila hanya melintasi pintu gol Kelantan biarpun penjaga gol, Judtanna Eh Put sudah pun tertewas.

Minit-minit akhir perlawanan, pemain gantian, Tuan Mohd Norhafiziee mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol kedua untuk Kelantan menerusi rembatan kencangnya dalam kotak penalti menewaskan Mohd Syafizullah.


Kesebelasan utama:

KELANTAN: Judtanna Eh Put, Mohd Faiz Suhaimi, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (KP), , Mohd Zamri Ramli, Nicholas Chan Meng-Jin, Muizzudin Marzuki (Tuan Mohd Norhafiziee Tuan Mahmood), Mohd Khairul Izuan Rosli (Mohd Syawal Rudin Abdul Razak), Mohd Norsyahrul Hawari (Mohd Azyu Ikmal Mat Nor), Mohd Izuan Salahuddin (Faizol Nazlin Sayuti), Mohd Aris Zaidi dan Mohd Farhan Yaakub (Md Shahiran Md Zin).



SELANGOR: Mohd Syafizullah, Reuben T Kathiripillai (KP), K Prabakaran (Mohamad Akbar Khamis), Mohamad Hafif Azhar (Khairul Anuar), Muhammad Farfizan (K Thiyagaraja), Mohammad Asraf, Mohamad Mazwan, Choi Soon Seng (Mohd Amiruddin), Syafiq Azri, Muhammad Zulhisyam dan Mohd Jamiuddin (A Puvanarajah).

Monday, March 7, 2011

Kelantan yakin benam Selangor (Sinar Harian Online)

KOTA BHARU - Berbekal tujuh pungutan mata di peringkat kumpulan selepas seri 1-1 semasa pertemuan dengan Perlis minggu lalu, skuad Piala Presiden Kelantan bersedia membenam lawan dari Selangor di Stadium Sultan Mohamed IV Kota Bharu, malam ini.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, mental dan fizikal kesemua pemainnya kini berada dalam situasi baik serta mampu untuk menghasilkan beberapa strategi serangan berkesan.

“Kekuatan fizikal pemain dikukuhkan lagi dengan tiada sebarang kecederaan menjanjikan aksi cemerlang untuk memperoleh kemenangan ke atas pihak lawan,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun beliau tetap mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada berdepan Selangor biarpun pasukan itu setakat ini belum lagi menang dalam empat perlawanan lalu.

Sebelum itu, skuad yang diberi jolokan ‘Presiden Warrior’ menang 4-2 pada perlawanan persahabatan menentang Tok Janggut FC Pasir Puteh, kelmarin.

“Melihat aksi sepanjang perlawanan sehingga semalam, saya berpuas hati dengan prestasi mereka, walau bagaimanapun, kekuatan pihak lawan tidak boleh dipandang mudah sama sekali,” katanya.

Beliau berkata, sesi latihan terakhir itu lebih tertumpu kepada usaha mempertajamkan jentera serangan yang sebelum ini dikatakan agak tumpul semasa perlawanan lalu.

“Saya harap kali ini mereka menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin serta mampu menyudahkan strategi serangan untuk mencipta beberapa gol malam ini,” katanya.

Menurut Mohd Yusri, beliau menghadapi kesukaran menetapkan kesebelasan utama berikutan jurang kebolehan pemain masing-masing tidak terlalu besar.

“Setiap pemain mempunyai kemahiran masing-masing dan mereka sentiasa bersedia memikul tanggungjawab yang diamanahkan pihak pengurusan.

“Walau siapa yang akan diturunkan, saya percaya kita mempunyai kelebihan untuk mencipta kemenangan kali keempat dengan beraksi di tempat sendiri ditambah sokongan padu penyokong negeri ini,” katanya.

Kelantan kini berada di tangga ketiga carta Kumpulan A di belakang SSBJ, sementara Sabah terus gah mengungguli carta dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu keputusan seri.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...