Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Arsenal. Show all posts
Showing posts with label Arsenal. Show all posts

Thursday, July 14, 2011

Arsenal 4 Malaysia 0


Tomas Rosicky menewaskan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat untuk gol keempat Arsenal pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.


KUALA LUMPUR - Belum terlambat buat Harimau Malaya mencari kesilapan setelah dibelasah 0-4 oleh kelab gergasi Liga Perdana England, Arsenal di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Memang benar kekalahan yang dialami oleh pasukan negara bukan satu perkara yang mengejutkan, namun apa lebih mustahak, perlawanan 90 minit yang dilalui skuad negara berdepan pemain-pemain berkelas dunia ternyata menjadi bekalan berguna bagi menghadapi Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014.

Corak permainan pantas dan hantaran tepat, dua elemen penting yang boleh dipelajari oleh anak-anak buah Datuk K. Rajagobal daripada Arsenal.

Apa pun, barisan Malaysia wajar dipuji kerana mampu memberikan saingan ke atas skuad bimbingan Arsene Wenger dalam perlawanan menghiburkan yang disaksikan kira-kira 50,000 penonton.

Cuma apa yang sedikit merisaukan ialah kecederaan yang dialami oleh tonggak pertahanan negara, Mohd. Aidil Zafuan yang mungkin terlepas peluang berdepan Singapura selepas dikasari Marouane Chamakh pada minit ke-42 sehingga digantikan dengan Mohd. Muslim Ahmad.

Arsenal semalam berpesta gol menerusi Aaron Ramsey daripada sepakan penalti seawal minit kelima sebelum pemain antarabangsa England, Theo Walcott menanduk masuk gol kedua pada minit ke-36.

Arsenal menambah dua lagi jaringan pada minit ke-57 menerusi Carlos Vela daripada gerakan cantik dan Tomas Rosicky mencipta jaringan keempat pada minit ke-90 bagi menutup kemenangan bergaya kelab dari London itu.

Walaupun dikejutkan dengan jaringan awal Arsenal, Harimau Malaya secara keseluruhannya bermain baik pada babak pertama.

Aksi serba pantas pemain sayap kiri negara, S. Kunanlan banyak mendapat sorakan daripada peminat setia negara selepas acap kali melepasi kawalan bek kanan Arsenal, Carl Jenkinson sementara Ahmad Fakri Saarani dan Norshahrul Idlan Talaha yang menjadi gandingan pilihan Rajagobal pula berjaya mempamerkan rentak agresif.

Namun, salah faham Mohd. Nasril Nourdin dan pertahanan membuka ruang kepada Walcott yang berlari pantas menanduk bola ke dalam gawang yang ternganga bagi mengukuhkan kedudukan 2-0.

Arsenal yang tidak menurunkan beberapa pemain utama jelas mempamerkan rentak hambar pada 45 minit perlawanan tetapi segalanya berubah apabila membawa masuk bintang-bintang mereka antaranya Andrei Arshavin, Robin Van Persie, Samir Nasri, Carlos Vela dan Bacary Sagna.

Peminat Arsenal bersorak gembira apabila bintang kesayangan mereka, Van Persie melangkah masuk ke padang pada minit ke-65 dan kehadiran pemain antarabangsa Belanda itu banyak memberikan masalah kepada pertahanan negara dengan aksi serba memukau di samping kehadiran Nasri dan Arshavin.

Bermula detik itu, pertahanan negara beraksi dalam keadaan kelam kabut ketika Arsenal memperagakan aksi bermutu tinggi.

Malaysia akan menentang Liverpool pada Sabtu ini.

----- Utusan Malaysia Online

Perlu konsisten 90 minit


Robin van Persie melontarkan topi kepada peminat-peminat Arsenal selepas menamatkan perlawanan persahabatan menentang Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia tewas 0-4 kepada Arsenal. - UTUSAN/Abdul Razak Latif


KUALA LUMPUR - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger memuji tahap motivasi di kalangan pemain Harimau Malaya yang tidak kenal erti mengalah ketika menentang pasukannya pada perlawanan persahabatan Siri Jelajah Asia skuad Gunners itu, semalam.

Katanya, pasukan tuan rumah beraksi dengan baik terutama pada separuh masa pertama, namun sedikit goyah ketika babak kedua bermula.

''Pergerakan pemain mereka (Malaysia) juga sangat laju dan pada separuh masa pertama cara permainan juga agak menarik terutama di bahagian pertahanan.

''Saya dapat lihat mereka mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, namun tidak dapat memanfaatkan peluang tersebut.

''Malah, corak pergerakan pemain mereka yang bermula dari bawah ke atas juga bagus dalam perlawanan tadi (semalam)," katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada perlawanan tersebut skuad Gunners memperoleh kemenangan 4-0 menewaskan Malaysia.

Tambah Wenger, dalam perlawanan tersebut kesemua pemainnya bebas daripada sebarang kecederaan dan bermain dengan baik.

Dalam pada itu, pengurus skuad Gunners itu turut meletakkan harapan pada pasukannya untuk memperoleh gelaran dalam Liga Juara-Juara musim depan selepas kecewa enam musim tanpa piala.

Arsenal akan meneruskan Siri Jelajah mereka ke China hari ini.

----- Utusan Malaysia Online

Rajagobal kecewa, Arsenal dedah kelemahan

KUALA LUMPUR - Kekalahan 0-4 kepada Arsenal jelas mengecewakan jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang menyifatkan kelemahan barisan pertahanan punca utama.

Tambah beliau, Malaysia banyak menghadiahkan beberapa gol mudah kepada pihak lawan yang menyebabkan mereka terpaksa berputih mata.

''Saya kecewa dengan mutu persembahan pemain saya secara keseluruhannya tidak bermain begitu baik pada malam ini.

''Walaupun kita berjaya menghadirkan tekanan menerusi S. Kunanlan, namun barisan pertahanan seolah-olah tidur dan hasilnya kita memberikan mereka gol-gol mudah.

''Ternyata kita perlu kerja keras lagi untuk memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan supaya lebih bersedia untuk menghadapi Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan Siri jelajah Asia 2011 Malaysia menentang Arsenal, semalam.

Tambah Rajagobal, selepas ini, beliau akan berjumpa dengan pemain- pemain dan berbincang supaya semangat mereka tidak akan luntur atas kekalahan besar tersebut.

''Arsenal memang pasukan yang berbeza tahapnya dengan kita, saya akui faktor berkenaan. Barisan tengah mereka bermain cukup bagus.

''Namun, kita sepatutnya memberikan tekanan semenjak sepak mula, namun sepakan penalti seolah-olah merencatkan rentak pemain saya untuk beraksi lebih baik," katanya.

Pada masa yang sama, Rajagobal berkata, beliau kini mengharapkan penyerang berbisa negara, Safee Sali segera pulih daripada kecederaan dan bersedia untuk berdepan Singapura.

''Saya kini tidak mempunyai ramai pilihan di barisan serangan dan amat berharap Safee sembuh daripada kecederaannya supaya boleh bermain ketika menentang Singapura," katanya.

Menyentuh kecederaan Aidil Zafuan, beliau memerlukan masa untuk melihat tahap kecederaannya sebelum membuat sebarang keputusan.

----- Utusan Malaysia Online

Harimau 'parah'

2011/07/14

 NORSHAHRUL Idlan Talaha (kiri) dikawal ketat pemain Arsenal,  Traoe dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
NORSHAHRUL Idlan Talaha (kiri) dikawal ketat pemain Arsenal, Traoe dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Arsenal peraga kelibat garang baham skuad negara 4-0

HARIMAU Malaya hilang taring, malam tadi buat memaksa anak didik Datuk K Rajagobal berundur dari Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan menggigit jari selepas dibaham Arsenal 4-0 dalam perlawanan Siri Jelajah EPL Asia 2011.

Empat gol daripada Aaron Ramsey, Theo Walcott, Carlos Vela dan Tomas Rosicky di hadapan 53,000 penonton tidak banyak menceriakan penyokong tempatan yang harus membicarakan betapa tiga gol mudah hasil kelalaian barisan pertahanan menyentap cabaran tuan rumah yang akur betapa jauh jurang antara mereka dan bekas juara Inggeris itu.
Skuad negara akan menentang Liverpool, Sabtu ini dan juara lima kali Eropah itu akan hadir dengan kemenangan 4-3 ke atas Guangdong Sunray Cave di China, malam tadi.

Harimau 'parah'

2011/07/14

 NORSHAHRUL Idlan Talaha (kiri) dikawal ketat pemain Arsenal,  Traoe dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
NORSHAHRUL Idlan Talaha (kiri) dikawal ketat pemain Arsenal, Traoe dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Arsenal peraga kelibat garang baham skuad negara 4-0

HARIMAU Malaya hilang taring, malam tadi buat memaksa anak didik Datuk K Rajagobal berundur dari Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan menggigit jari selepas dibaham Arsenal 4-0 dalam perlawanan Siri Jelajah EPL Asia 2011.

Empat gol daripada Aaron Ramsey, Theo Walcott, Carlos Vela dan Tomas Rosicky di hadapan 53,000 penonton tidak banyak menceriakan penyokong tempatan yang harus membicarakan betapa tiga gol mudah hasil kelalaian barisan pertahanan menyentap cabaran tuan rumah yang akur betapa jauh jurang antara mereka dan bekas juara Inggeris itu.
Skuad negara akan menentang Liverpool, Sabtu ini dan juara lima kali Eropah itu akan hadir dengan kemenangan 4-3 ke atas Guangdong Sunray Cave di China, malam tadi.

Pengajaran berguna: Rajagobal

Oleh Syed Riduan Ahmad dan Kharil S Iswan
bhsukan@bharian.com.my
2011/07/14

 PEMAIN Arsenal, Jack Wilshere (tengah)  menghalang pemain Malaysia pada  perlawanan persahabatan   di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
PEMAIN Arsenal, Jack Wilshere (tengah) menghalang pemain Malaysia pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Tidak adil banding dengan The Gunners

"INI satu pengajaran baik buat pemain," kata ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal selepas menyaksikan Harimau Malaya dibenamkan Arsenal 4-0, malam tadi.
Dia turut membicarakan betapa tidak adil untuk membandingkan kekuatan skuad kebangsaan dengan barisan The Gunners yang dipenuhi bintang malah tidak dinafikan terdapat jurang di antara kedua-dua pasukan berkenaan dalam saingan persahabatan Jelajah EPL Asia 2011 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
“Pemain kita harus pantas bangkit selepas ini dan belajar sesuatu daripadanya.

“Arsenal adalah pasukan bertaraf dunia, memiliki pemain hebat. Begitupun, saya tidak nafikan kami tidak bermain dengan corak sebenar. Memang kecewa dan selepas ini saya akan duduk berbincang bersama pemain untuk mengetahui di mana kesilapan kami.”

Bagi pengendali Arsenal, Arsene Wenger, ujian pertama menentang skuad kebangsaan tetap mengejutkannya dengan beberapa percubaan pantas dianggap berbahaya.

“Malaysia mempunyai pasukan yang teratur, bermain secara teratur dan tidak terlalu memikirkan tentang tekanan.
“Malah corak permainan di bahagian belakang dan depan juga baik dan pantas,” katanya yang percaya pasukannya turut belajar sesuatu menerusi perlawanan itu.

Meskipun hadir tanpa kelibat bintang utama yang juga kapten pasukan, Cesc Fabregas, Arsenal ternyata bukan lawan yang adil buat negara yang memiliki gabungan pemain senior Harimau Malaya dan Harimau Muda.

----- Berita Harian Online

Arsenal 'bedil' Harimau Malaya

Oleh Syed Riduan Ahmad dan Khairil S Iswan
bhsukan@bharian.com.my
2011/07/14

Anak didik Rajagobal hilang arah kena belasah 4-0 di Bukit Jalil

BUKAN kemenangan yang dicari, tetapi tiga gol mudah hasil kelalaian barisan pertahanan mencemari permainan mantap barisan tengah dan jentera serangan negara pada perlawanan persahabatan antara skuad kebangsaan dan Arsenal di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal yang gigih menyiapkan pasukan menghadapi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia bertemu Singapura pada 23 dan 28 Julai ini pasti mendapat pengajaran berharga hasil kekalahan 4-0 kepada kelab elit Inggeris itu.
Gawang negara dibolosi seawal minit kelima menerusi sepakan penalti Aaron Ramsey selepas pengadil, Yussof Mat Karim menyalahkan terjahan kasar Aidil Zafuan Abdul Radzak ke atas Jack Wilshere dalam kotak penalti.

Faktor kepantasan dan fizikal yang lebih memihak skuad kendalian Arsene Wenger menyaksikan serangan negara mudah dipatahkan. Minit ke-25, gawang Arsenal hampir dibolosi kapten kebangsaan, Safiq Rahim yang mengambil sepakan percuma dari jarak 35 meter, tetapi sempat ditepis penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny.

Ketika harapan lebih 53,000 penonton menyaksikan Malaysia menyamakan kedudukan semakin memuncak, Arsenal sebaliknya menambah jaringan menerusi Walcott yang berjaya melepasi barisan pertahanan pada minit ke-38, sebelum melambung bola menewaskan Nasril buat kali kedua malam tadi.

Pada babak kedua, Khairul Fahmi Che Mat masuk menggantikan Nasril, tetapi permainan licik penyerang Arsenal, Carlos Vela menyaksikan gol ketiga diraih pemain asal Mexico itu.
Pada masa tambahan, Arsenal terus menghukum kem kebangsaan kali ini Tomas Rosicky mudah menanduk masuk hantaran Robin van Persie untuk gol keempat pasukan.

Pujian harus diberi kepada barisan pemain negara yang bekerja keras cuba mengatasi kehebatan kelab gergasi Eropah itu dengan beberapa gerakan menarik dihasilkan sepanjang 90 minit permainan.

----- Berita Harian Online

Rajagobal naik angin

sukan@hmetro.com.my
Oleh Aziman Rosdi dan Azlan Muhammad Zain

TANGKAS...Norshahrul mengasak pemain Arsenal,  Ryo Miyaichi, semalam.
TANGKAS...Norshahrul mengasak pemain Arsenal, Ryo Miyaichi, semalam.

SEMANGAT wira 1975 gagal meresap dalam skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal apabila tumpas 4-0 pada aksi persahabatan menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal semalam.

Dua gol pada setiap babak The Gunners itu menceritakan betapa masih banyak kelemahan yang perlu dilakukan Rajagobal bagi menghadapi Singapura pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 Julai ini.

Dan apa yang dipamerkan pemain negara nyata mengecewakan Rajagobal.

“Saya kecewa dengan permainan yang ditunjukkan kerana mereka tidak menunjukkan permainan sebenar. Ini menyukarkan saya untuk menilai kemampuan pemain sebelum perlawanan dengan Singapura,” katanya pada sidang media selepas perlawanan berakhir.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu yang disaksikan lebih 50,000 penonton, kesilapan tonggak pertahanan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak menjatuhkan Jack Wilshere membawa padah apabila pengadil, Mohd Yussof Mat Karim menghadiahkan sepakan penalti kepada Arsenal.

Bintang Wales, Aaron Ramsey tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan itu menewaskan penjaga gol berpengalaman Mohd Nasril Mat Nourdin di minit kelima.

“Saya mahu pemain bermain dengan agresif pada babak pertama untuk memberi tekanan kepada pihak lawan, tapi gol awal Arsenal membunuh permainan ini.

“Kita kena terima realiti mereka pasukan hebat, saya harap pemain dapat mempelajari sesuatu,” kata Rajagobal.

Walaupun cuba mengancam menerusi larian deras di sebelah kiri S Kunanlan namun satu-satunya percubaan bahaya yang dihasilkan Malaysia menerusi sepakan percuma kapten Mohd Safiq Rahim di minit ke-38 berjaya ditepis keluar penjaga gol Wojcieh Szczesny.

Biarpun tanpa bintang Samir Nasri dan Robin Van Persie yang hanya masuk pada babak kedua, The Gunners berjaya menggandakan jaringan menerusi pemain sayap England, Theo Walcott dengan melambungkan bola memerangkap Nasril.


Arsenal terus selesa pada babak kedua apabila percubaan pemain gantian Carlos Vela gagal diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat yang masuk menggantikan Nasril pada minit ke-58 dan Tomas Rosicky minit ke-90.

Selepas Malaysia, anak buah Wenger akan berlepas ke China bagi meneruskan Jelajah Asia menentang Hangzhou Greentown, Sabtu ini.

Pada kunjungan pertama Arsenal ke negara ini pada 13 Mei 1975 mereka tumpas 2-0 kepada skuad Malaysia bimbingan Datuk M Chandran menerusi jaringan legenda Datuk Mokhtar Dahari.

Dua hari selepas itu giliran Isa Bakar pula mencipta nama dengan menyumbat gol untuk skuad Harimau Malaya mencatat keputusan seri 1-1 pada perlawanan kedua.

Bagaimanapun zaman berubah, skuad The Gunners ternyata lebih hebat apabila menumpaskan Malaysia 2-0 pada 1999.

----- Harian Metro Online

Rajagobal naik angin

sukan@hmetro.com.my
Oleh Aziman Rosdi dan Azlan Muhammad Zain

TANGKAS...Norshahrul mengasak pemain Arsenal,  Ryo Miyaichi, semalam.
TANGKAS...Norshahrul mengasak pemain Arsenal, Ryo Miyaichi, semalam.

SEMANGAT wira 1975 gagal meresap dalam skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal apabila tumpas 4-0 pada aksi persahabatan menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal semalam.

Dua gol pada setiap babak The Gunners itu menceritakan betapa masih banyak kelemahan yang perlu dilakukan Rajagobal bagi menghadapi Singapura pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 Julai ini.

Dan apa yang dipamerkan pemain negara nyata mengecewakan Rajagobal.

“Saya kecewa dengan permainan yang ditunjukkan kerana mereka tidak menunjukkan permainan sebenar. Ini menyukarkan saya untuk menilai kemampuan pemain sebelum perlawanan dengan Singapura,” katanya pada sidang media selepas perlawanan berakhir.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu yang disaksikan lebih 50,000 penonton, kesilapan tonggak pertahanan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak menjatuhkan Jack Wilshere membawa padah apabila pengadil, Mohd Yussof Mat Karim menghadiahkan sepakan penalti kepada Arsenal.

Bintang Wales, Aaron Ramsey tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan itu menewaskan penjaga gol berpengalaman Mohd Nasril Mat Nourdin di minit kelima.

“Saya mahu pemain bermain dengan agresif pada babak pertama untuk memberi tekanan kepada pihak lawan, tapi gol awal Arsenal membunuh permainan ini.

“Kita kena terima realiti mereka pasukan hebat, saya harap pemain dapat mempelajari sesuatu,” kata Rajagobal.

Walaupun cuba mengancam menerusi larian deras di sebelah kiri S Kunanlan namun satu-satunya percubaan bahaya yang dihasilkan Malaysia menerusi sepakan percuma kapten Mohd Safiq Rahim di minit ke-38 berjaya ditepis keluar penjaga gol Wojcieh Szczesny.

Biarpun tanpa bintang Samir Nasri dan Robin Van Persie yang hanya masuk pada babak kedua, The Gunners berjaya menggandakan jaringan menerusi pemain sayap England, Theo Walcott dengan melambungkan bola memerangkap Nasril.


Arsenal terus selesa pada babak kedua apabila percubaan pemain gantian Carlos Vela gagal diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat yang masuk menggantikan Nasril pada minit ke-58 dan Tomas Rosicky minit ke-90.

Selepas Malaysia, anak buah Wenger akan berlepas ke China bagi meneruskan Jelajah Asia menentang Hangzhou Greentown, Sabtu ini.

Pada kunjungan pertama Arsenal ke negara ini pada 13 Mei 1975 mereka tumpas 2-0 kepada skuad Malaysia bimbingan Datuk M Chandran menerusi jaringan legenda Datuk Mokhtar Dahari.

Dua hari selepas itu giliran Isa Bakar pula mencipta nama dengan menyumbat gol untuk skuad Harimau Malaya mencatat keputusan seri 1-1 pada perlawanan kedua.

Bagaimanapun zaman berubah, skuad The Gunners ternyata lebih hebat apabila menumpaskan Malaysia 2-0 pada 1999.

----- Harian Metro Online

Wenger puji Malaysia

PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger tetap memuji permainan skuad kebangsaan biarpun anak buahnya bermain secara bersahaja ketika mencatat kemenangan 4-0 pada perlawanan persahabatan siri Jelajah Asia kelab gergasi Inggeris itu semalam.

Menurut pengendali dari Perancis itu, skuad Harimau Malaya mempunyai kepantasan namun kurang sengat di bahagian serangan.

“Mereka mengatur permainan dengan pantas, bermotivasi serta tersusun di bahagian pertahanan tapi serangan kurang menjadi,” katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi dengan disaksikan lebih 50,000 penyokong, The Gunners membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pemain tengah Aaron Ramsey pada minit ke-5.

Arsenal yang menamatkan musim lalu di tangga keempat liga menambah jaringan pada minit ke-38 hasil percubaan bintang England, Theo Walcott yang memperdayakan penjaga gol Malaysia Mohd Nasril Mat Nourdin.

Dominasi Arsenal berterusan di babak kedua selepas kemasukan pemain perancang, Samir Nasri dan penyerang Robin Van Persie.

----- Harian Metro Online

Tuesday, July 12, 2011

Mat Yo yakin bolos Arsenal


PENYERANG negara Norshahrul Idlan Talaha tidak akan mensia-siakan peluang bertemu Arsenal, esok dan tekad menggegar gawang lawannya meskipun sedia maklum kekuatan lawannya itu.

:Walaupun ketua jurulatih Datuk K Rajagobal masih belum mengumumkan senarai kesebelasan utama, namun janji Mat Yo adalah memastikan sekurang-kurangnya satu gol me-nembusi pertahanan kental The Gunners.

“Ini janji saya. Saya akan lakukan yang terbaik sekiranya diberi peluang jurulatih pada saingan malam esok.

“Sekarang kami bersedia sepenuhnya berhadapan dengan pasukan Big Four EPL itu,” katanya.

Rabu ini, pasukan Harimau Malaya bakal memulakan pertarungan pertama dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum memberi tumpuan kepada aksi menentang Singapura pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014.

Berdasarkan rekod pertemuan terakhir pada 1999, pasukan negara pernah meratah Arsenal 2-0, selepas pasukan sama membelasah Malaysia 2-0 pada 1975.

----- Sinar Harian Online

Pentas uji barisan Malaysia


KITA JUMPA MALAM ESOK... Rajagobal (kiri) berjabat tangan dengan Wenger pada sidang media di Subang semalam.


BIARPUN mungkin dianggap bukan perlawanan penting bagi Arsenal, jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tetap menagih aksi terbaik dan menghiburkan daripada anak-anak buahnya.

Arsenal yang baharu seminggu menjalani latihan pramusim di London tiba di ibu negara tengah hari semalam bagi program Jelajah Asia 2011 ke Malaysia dan China.

Tatkala skuad bimbingan Arsene Wenger itu mungkin belum mencapai momentum terbaik, Rajagobal mahu menjadikan pertemuan dengan Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok sebagai pentas menilai para pemainnya.

Ia bagi membolehkan Rajagobal mendapat bayangan kesebelasan terbaik untuk diturunkan pada aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura pada 23 dan 28 Julai ini.

“Saya cukup teruja dapat berdepan Arsenal. Begitu juga para pemain kebangsaan. Kita akan gunakan sebaik mungkin peluang ini untuk persiapan menghadapi Singapura.

“Saya harap para pemain tidak gentar berdepan Arsenal kerana inilah masa yang sesuai untuk saya menilai mana pemain yang layak untuk beraksi menentang Singapura.

“Sama seperti ketika kita bertemu Manchester United pada 2009, saya mahu pemain beraksi lebih baik daripada itu dan menghiburkan para penyokong,” kata Rajagobal pada sidang media di Hotel Saujana, Subang petang semalam.

Pada Julai 2009, skuad kebangsaan yang ketika itu baru tiga bulan dibimbing Rajagobal tewas tipis 2-3 kepada United pada aksi pertama dan tewas 0-2 pada aksi kedua.

Kali terakhir Arsenal berkunjung ke Malaysia adalah pada 1999 yang mana mereka menewaskan skuad kebangsaan 2-0 hasil jaringan Nicolas Anelka dan Emmanueal Petit.

Rajagobal turut mengesahkan bahawa penyerang utama skuad kebangsaan, Safee Sali tidak akan beraksi malam esok kerana belum pulih sepenuhnya tetapi penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat sedia untuk diturunkan selepas pulih dari- pada kecederaan bahu.

----- Kosmo Online

Wenger tidak tahu kemampuan Malaysia

KUALA LUMPUR – Serius atau sekadar bergurau? Jika diperhalusi apa yang dilontarkan oleh pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengenai Harimau Malaya pada sidang media Jelajah Asia Arsenal 2011 di Hotel Saujana, Subang semalam, jelas ada satu mesej yang perlu direnungi.

Ketika ditanya oleh wartawan tempatan sama ada pernah melihat persembahan skuad Harimau Malaya, melalui secara langsung atau rakaman video, dia berkata: ‘‘Tidak, saya belum pernah melihat persembahan Malaysia.

‘‘Mungkin ini pertemuan baru buat kami,” katanya kepada pemberita, semalam sambil tidak mahu mengulas lanjut mengenai Harimau Malaya.

Apa yang diperkatakan oleh Wenger itu bagaikan satu cabaran kepada Rajagobal dan anak-anak buahnya untuk mempersembahkan sesuatu kepada pengurus yang berasal dari

Perancis itu bahawa cabaran Harimau Malaya sama sekali tidak boleh dipandang rendah.

Mungkin ramai melihat peluang Malaysia untuk menang mungkin dilihat sesuatu yang mustahil tetapi jika para pemain Harimau Malaya dapat mempersembahkan aksi ketika melayani Manchester United pada tahun lalu, ruang melakukan kejutan tetap ada.

Ditambah dengan tahap kecergasan pemain Arsenal yang belum berada di tahap 100 peratus kerana perlawanan menentang Malaysia adalah ujian pertama Wenger bagi menghadapi musim baru, Harimau Malaya yang sedang ‘panas’ boleh menewaskan Arsenal jika beraksi cemerlang.

Berdasarkan rekod pertemuan terakhir pada tahun 1999, Arsenal yang pada masa itu dibarisi pemain-pemain seperti Tony Adams, Emmanuel Petit dan Marc Overmars namun pada tahun 1975, Malaysia pernah mengalahkan Arsenal dengan keputusan 2-0.

Menyentuh persiapan bagi menghadapi musim baru, Wenger berkata, dia gembira dapat membawa beberapa pemain muda seperti Ryo Miyaichi, Carl Jenkinson serta Emmanuel Frimpong.

‘‘Miyaichi merupakan satu prospek yang mengagumkan buat Arsenal dan datang dari sekolah sukan, dia mampu menyinar di Arsenal.

‘‘Frimpong pula mengalami kecederaan panjang pada musim lalu dan saya gembira dia dapat kembali bersama kami manakala Jenkinson diharapkan dapat sesuaikan diri dengan kelab barunya,” katanya.

Dalam masa sama, dia memberitahu tidak akan mendapatkan pengganti Gael Clichy di bahagian bek kiri kerana sudah mempunyai dua pemain setanding iaitu Kieran Gibbs dan Armand Traore.

‘‘Kami sudah mempunyai pemain mencukupi di posisi bek kiri kerana sudah mempunyai Gibbs, Traore dan Thomas Vermaelen,” katanya.

----- Utusan Malaysia Online

Jangan takut meriam Gunners


Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Subahan Kamal (kiri) menyaksikan K. Rajagobal bersalaman dengan Arsene Wenger selepas sidang akhbar di Subang, semalam. Turut hadir dua pemain The Gunners, Robin van Persie dan Bacary Sagna. Pasukan Arsenal yang tiba pagi semalam akan menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok. – UTUSAN/Izham Jaafar


KUALA LUMPUR – Perlawanan persahabatan menentang Arsenal dalam Siri Jelajah, esok akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal untuk menguji pemain penyerangnya sebelum menghadapi Singapura dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014.

Rajagobal berkata, melalui perlawanan sebegini beberapa kombinasi bahagian serangan akan diketahui keserasiannya menembusi pertahanan skuad gergasi Liga Perdana England itu.

Tambahnya, perlawanan esok di Stadium Nasional, Bukit Jalil juga adalah peluang terbaik buat semua pemain kebangsaan mempelajari corak permainan skuad Gunners sekali gus akan menjadi bekalan bermakna apabila berkunjung ke Singapura pada 23 Julai ini.

‘‘Saya harap semua pemain tidak gentar ketika menghadapi Arsenal walaupun kita tahu mereka ini mempunyai pemain yang hebat di setiap posisi.

‘‘Mungkin dalam perlawanan ini akan memberikan saya idea untuk mengunakan kombinasi yang lebih baik ketika menentang Singapura,’’ katanya pada sidang akhbar bersama Arsenal di sini, semalam.

Dalam pada itu, Rajagobal memberitahu penyerang, Safee Sali mungkin tidak dapat diturunkan pada perlawanan, esok kerana memerlukan rehat manakala penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan bersedia untuk beraksi.

‘‘Khairul Fahmi telah pulih dan sepatutnya diturunkan, namun saya tetap akan memberi peluang kepada semua pemain lain beraksi bersama skuad Arsenal dan Liverpool nanti.

‘‘Biarlah pemain muda yang ada dalam skuad kebangsaan belajar sesuatu daripada perlawanan ini dan saya yakin dengan keupayaan pemain kita,’’ jelas Rajagobal.

Kali terakhir skuad Gunners berkunjung ke Malaysia ialah pada tahun 1999 yang menyaksikan skuad kebangsaan tewas 0-2, malah pasukan negara sebelum ini juga pernah memperoleh kemenangan 2-0 ketika melayan kunjungan Arsenal pada tahun 1975.

----- Utusan Malaysia Online

Serang, serang!

Oleh Hussain Said

2011/07/12

pix_gal0

Rajagobal mahu Harimau Malaya turun dengan ‘hati besar’ hadapi Arsenal

“BERMAIN dengan strategi bertahan bukan formula terbaik menentang lawan hebat seperti Arsenal. Jadi, kami akan bermain secara menyerang dan menyerang,” kata jurulatih negara Datuk K Rajagobal menjelang pertemuan aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris itu, malam esok.

Mengakui lebih meminati Manchester United dan menjadikan aksi persahabatan itu sebagai medan menguji pemain, Rajagobal mengharapkan pemain yang melangkah masuk ke Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti turun dengan ‘berhati besar’ dan tidak gentar dengan reputasi lawan itu.
“Saya dan pemain tidak sabar menanti perlawanan ini kerana ia medan terbaik mereka memperagakan aksi masing-masing kerana saya menjadikan perlawanan menentang Arsenal dan Liverpool (Sabtu) sebagai medan menilai keupayaan menjelang tugasan lebih penting menentang Singapura dalam pusingan kelayakan Piala Dunia,” katanya dalam sidang media bersama pengurus Gunners, Arsene Wenger di Subang, semalam.
Rajagobal yang mengakui berkongsi falsafah dengan Wenger mengenai bakat dan potensi pemain muda berjanji mencatur permainan menarik serta menghiburkan, sekali gus cuba memberi tentangan sengit kepada lawan yang diketuai Robin Van Persie.

Penyerang terbanyak Piala AFF, Safee Sali tidak akan diturunkan kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan tetapi jurulatih Harimau Malaya itu mengakui ia bukan masalah besar kerana ada beberapa calon pengganti.

“Begitu juga penjaga gol, Khairul Fahmi (Che Mat) yang sudah pulih dan sedia beraksi. Namun, saya mungkin memberi peluang kepada semua pemain untuk mengutip pengalaman berharga dalam perlawanan istimewa dalam karier mereka,” katanya.

Malaysia pernah menewaskan Arsenal 2-0 dalam perlawanan persahabatan pada 1975 hasil jaringan Mokhtar Dahari, tetapi lawan menebus kekalahan itu dengan angka jaringan sama ketika pada 1999 menerusi Nicolas Anelka dan Emmanuel Petit.

----- Berita Harian Online

Mahu Fabregas kekal

PENYERANG utama Arsenal, Robin Van Persie mengaku ketiadaan kapten Cesc Fabregas bakal memberikan kesan kepada corak permainan mereka dan beliau mengharapkan agar pemain Sepanyol itu akan kekal di Stadium Emirates musim depan.

“Saya fikir sukar tanpa Fabregas. Menilai mengenai situasi saya sendiri, saya dan Fabregas mempunyai persefahaman yang baik. Dia tahu bila mahu membuat hantaran dan membuat keputusan. Dia seorang yang pantas membuat keputusan dan juga pemain yang sangat istimewa.

“Sebagai contoh dalam satu perlawanan menentang Blackpool di gelanggang lawan, dalam 18 minit pertama, dia mencipta empat hingga lima peluang kepada saya cuma saya yang gagal menyempurnakan dengan baik. Dia sangat istimewa dan ketiadaannya bakal dirasai oleh mana-mana pasukan, saya harap dia akan kekal,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sebaik tiba ke Kuala Lumpur semalam.

Bintang Belanda itu tiba bersama 22 pemain Gunners serta pengurus Arsene Wenger bagi menghadapi perlawanan dengan skuad kebangsaan dalam rangka Jelajah Asia 2011 di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Bagaimanapun Fabregas yang dikaitkan dengan perpindahan dengan kelab dari Catalan, Barcelona tidak dibawa bersama kerana mengalami kecederaan.

----- Harian Metro Online

Monday, July 11, 2011

Safee tak beraksi lawan Arsenal




DEMI membantu Malaysia melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2014, penyerang berbisa, Safee Sali terpaksa melupakan hajat beraksi menentang Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.

Safee, 27, masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring tendon di bahagian belakang lutut yang dialaminya ketika aksi pertama pusingan pertama menentang Taiwan pada 29 Jun lalu.

Menurut Safee, dia berharap kecederaannya itu dapat pulih dengan lebih cepat bagi membolehkannya turun beraksi ketika skuad kebangsaan bertemu pula Liverpool, Sabtu ini.

Namun fokus utamanya tetap untuk dapat tampil dengan aksi terbaik ketika skuad kebangsaan bertemu Singapura pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai depan.

“Buat masa ini, saya baru pulih 70 peratus dan memang kemungkinan besar tidak dapat beraksi untuk perlawanan menentang Arsenal pada Rabu ini.

“Memang rasa kecewa tidak dapat berdepan pemain-pemain Arsenal, tetapi perlawanan yang lebih penting bagi skuad kebangsaan ialah bertemu Singapura.

“Saya tidak mahu kecederaan ini bertambah teruk semula kerana mahu betul-betul cergas menjelang pertemuan dengan Singapura,” kata Safee ketika ditemui Kosmo! semalam.

Dengan ketiadaan Safee, jentera serangan skuad kebangsaan untuk membolosi gawang Arsenal yang dikawal Wojciech Szczesny bakal diketuai Norshahrul Idlan Talaha dan Abdul Hadi Yahaya.

Bagaimanapun, Safee tetap menyimpan hasrat untuk turun beraksi menentang Liverpool yang merupakan musuh tradisi pasukan kegemarannya, Manchester United.

“Mana tahu jika kecederaan saya ini pulih dengan lebih cepat, saya dapat berpeluang turun beraksi menentang Liverpool pada Sabtu ini.

“Sebelum ini pun saya hanya sekali bertemu kelab England iaitu Chelsea pada 2008 dan memang peluang keemasan seperti ini kalau boleh tidak dilepaskan,” ujar pemain kelab Pelita Jaya itu.

Dalam pada itu, skuad Arsenal tiba di ibu negara pada hari ini tanpa kelibat kapten, Cesc Fabregas yang masih cedera serta penyerang Lille, Gervinho yang belum melengkapkan perpindahannya.

----- Kosmo Online

Tuesday, March 8, 2011

Arsenal perkukuh kubu pertahanan (Berita Harian Online)

2011/03/08

The Gunners sedia hadapi asakan Barca

LONDON: Arsenal akan memperkukuhkan benteng pertahanan berdepan Barcelona yang pasti akan membuat asakan berterusan dalam pertembungan Liga Juara-Juara awal pagi nanti, bagi mengelakkan kunjungan kedua mereka ke Nou Camp dalam tempoh kurang setahun berakhir dengan mengecewakan sebagaimana kunjungan sebelum ini.

Pada suku akhir April tahun lalu, kelab London itu bertandang ke Sepanyol dengan harapan tinggi selepas seri 2-2 di gelanggang sendiri, malah mereka menjaringkan gol pendahuluan tetapi akhirnya dikecewakan oleh Lionel Messi yang meledak empat gol untuk kemenangan agregat 6-3 pasukannya.

Bagaimanapun kali ini, pasukan bimbingan Arsene Wenger itu beraksi lebih baik di Emirates apabila berjaya mengekang Messi, membolehkan Arsenal menang 2-1 hasil jaringan Robin van Persie dan Andrei Arshavin, walaupun selepas ketinggalan oleh jaringan David Villa.

Meskipun strategi bertahan bukan corak permainan Arsenal — mereka lebih menggemari menyimpan bola dengan membuat hantaran pendek — Barcelona kali ini mungkin berdepan lawan yang lebih sukar terutamanya kerana Arsenal boleh untuk tidak memberi tumpuan kepada corak menyerang.

“Cabarannya ialah untuk mencari keseimbangan antara pasukan yang boleh bertahan, serta yang boleh mencipta peluang setiap kali menguasai bola dan bergerak ke depan,” kata Wenger, yang tidak akan dapat menurunkan van Persie dan Theo Walcott akibat kecederaan, kepada laman web kelab itu www.arsenal.com

Wednesday, February 9, 2011

Fabregas pula jadi sasaran Chelsea (Kosmo Online)


FABREGAS (kiri) dilaporkan bakal menjadi buruan pemilik Chelsea, Abramovich pada musim panas ini.


LONDON - Selepas Fernando Torres, kini giliran Cesc Fabregas pula dilaporkan bakal menjadi buruan Roman Abramovich. Pemilik jutawan kelab Chelsea itu dikatakan mahu mendapatkan Fabregas dengan harga £50 juta (RM245 juta) pada musim panas nanti, sekaligus merampas kapten Arsenal itu daripada tangan Barcelona.

Hajat Abramovich ini adalah satu lagi kejutan selepas Chelsea telah pun berjaya membawa Fernando Torres dari Liverpool dengan harga yang sama.

The Blues menganggap perancang Sepanyol itu adalah gandingan paling ideal buat Frank Lampard di bahagian tengah.

Namun Abramovich mungkin berdepan tugas sukar untuk memujuk The Gunners melepaskan tonggak utama mereka itu yang pernah meminta kebenaran untuk menyertai Barcelona.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger meletakkan harga £60 juta (RM294 juta) ke atas Fabregas bagi menghalang kelab Catalan itu dan akhirnya berjaya memujuk kaptennya untuk kekal di Emirates.

Fabregas pula agak terkilan kerana Barca tidak bersungguh-sungguh untuk menyakinkan Arsenal supaya menjualnya sedangkan dia telah mengambil langkah besar dengan meminta Wenger melepaskannya.

Peluang untuk pulang beraksi di negaranya bersama pemain hebat dunia seperti Gerard Pique, Andres Iniesta dan Lionel Messi sukar untuk dilepaskan Fabregas. - Agensi

Setaraf bintang filem (Metro Online)

pix_middle

NICKLAS Bendtner (gambar) mendakwa pemain bola sepak berhak mendapat gaji lumayan kerana kemasyhuran itu terlalu mahal harganya.

Penyerang Arsenal itu berpisah dengan tunangnya dari Denmark, Caroline Luel-Brockdorf hanya tujuh minggu selepas tunangnya itu melahirkan cahaya mata sulung.


Ia menyebabkan Bendtner, yang menerima gaji STG50,000 (RM245,000) seminggu menjadi tumpuan ramai di Denmark menjelang perlawanan persahabatan mereka menentang England di Copenhagen hari ini.

Bendtner berkata pemain bola sepak masa kini patut dibandingkan dengan bintang filem apabila berbicara mengenai gaji kerana kedua-duanya berada dalam perniagaan hiburan.


Bintang Piala Dunia Denmark itu berkata: "Saya berada dalam perniagaan bola sepak dan di peringkat tertinggi, kerana Arsenal mempamerkan bola sepak kelas pertama yang menghiburkan. Jadi adalah salah membandingkan gaji saya dengan ahli perniagaan, sebaliknya bandingkan dengan aktor filem.


"Saya pasti berbohong, jika saya berkata saya tidak menikmati wang yang saya raih dalam bola sepak. Saya fikir kami menghabiskan banyak masa, tenaga dan tumpuan terhadap karier bola sepak kami, kerana apabila kami tidak berlatih atau bermain, kami masih hidup untuk bola sepak.

"Adalah tidak salah bertanya sama ada pemain memang berhak untuk mendapat wang yang banyak dan bertanya sama ada kami menerima terlalu banyak.


"Saya percaya kami perlu berbaloi dengan gaji kami kerana itulah mekanisma kemasyarakatan. Selagi saya bekerja keras sedaya mungkin, saya percaya saya berbaloi dengan apa yang saya dapat.

"Ada harga juga yang perlu dibayar bagi kami pemain, dan secara peribadi, saya fikir harga yang besar perlu dibayar dengan badan saya, masa saya dan tiadanya privasi apabila saya keluar dan dikelilingi orang lain.


"Jangan silap faham, saya tidak merungut mengenainya. Ia satu kebiasaan bagi seorang pemain bola sepak profesional, tapi pastinya ada harga yang perlu dibayar, sebagai contoh, anda tidak boleh keluar sewenang-wenangnya makan di sebuah restoran dengan teman wanita anda tanpa ada orang yang mengejar anda."

Bendtner enggan menceritakan mengenai kegagalan cintanya dan berkata: "Saya tidak pernah memberi ulasan mengenai desas-desus di majalah mengenai kehidupan peribadi saya. Pastinya saya tidak bercadang melakukannya, sekarang."

Bendtner sudah kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama di Arsenal dan mengakui kecuali dia lebih kerap bermain, dia terpaksa mempertimbangkan mengenai masa depannya pada musim panas ini.


"Saya gembira untuk menjadi seorang pemain Arsenal, tapi pastinya saya perlu bermain lebih banyak perlawanan. Saya sudah cukup bagus untuk berada dalam kesebelasan utama.


"Saya akan bermain musim ini hingga ke penghujungnya dan kemudian membuat keputusan pada musim panas. Jika saya masih gembira maka saya akan kekal, sebaliknya kita perlu lihat apa yang akan berlaku."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...