Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Wan Zaharulnizam Wan Zakaria. Show all posts
Showing posts with label Wan Zaharulnizam Wan Zakaria. Show all posts

Sunday, May 11, 2014

Kelantan Seri 3-3 Dengan Felda United

KOTA BAHARU, 6 Mei (Bernama) -- Kelantan gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelangang sendiri apabila seri 3-3 kepada Felda United pada aksi separuh akhir pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, malam ini.

Pada separuh masa pertama Kelantan memulakan perlawanan dengan aksi hambar apabila pasukan pelawat lebih banyak melakukan serangan menerusi tiga penyerangnya iaitu Indra Putra Mahyuddin, Edward Junior Wilson dan Zah Rahan Krangar.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-17 selepas hantaran dari Zah Rahan Krangar dimanfaatkan oleh Edward Junior Wilson yang bijak menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Pada minit ke-24, pelawat menggandakan jaringan menerusi bekas pemain Kelantan iaitu Indra Putra Mahyuddin yang menanduk hantaran Zah Rahan Krangar.

Kelantan kemudiannya memperoleh peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-33 tetapi tandukan Brendan Gal hanya melewati palang gol.

Pasukan pelawat yang kelihatan seperti bermain di tempat sendiri memperoleh gol ketiga pada minit ke-35 hasil jaringan Mohd Khairul Ismail selepas pertahanan pasukan Kelantan gagal mengeluarkan bola dalam kawasan kotak penalti.

Selepas tersentak dengan tiga gol awal dari pasukan pelawat, Kelantan kemudiannya memperoleh gol pertama pada minit ke-40 hasil jaringan Francis Forkey Doe yang bijak membaca hantaran kapten pasukan Mohd Badri Radzi.

Kelantan yang seakan-akan mendapat rentak permainan merapatkan kedudukan jaringan pada minit ke-43 hasil tandukan Ahmad Fakri Saarani.

Pada aksi separuh masa kedua, skuad 'The Red Warriors" memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan Mohamed Shawky Aly, Mohd Fitri Omar dan Khairul Izuan bagi memburu gol penyamaan.

Kelantan kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit ke-50 hasil jaringan Wan Zaharul Nizam menewaskan penjaga gol pelawat Mohd Farizal.

Felda United hampir memperoleh gol kemenangan pada minit ke-89 selepas Indra Putra Mahyuddin menewaskan Khairul Fahmi Che Mat namun sepakan leretnya itu diselamatkan Nik Shahrul Azim.

Pada aksi separuh akhir kedua, Kelantan akan menentang Felda United pada 31 Mei ini.

KELANTAN Khairul Fahmi Che Mat (GK), Nik Shahrul Azim, Farisham Ismail, Wan Zaharul Nizam Zakaria, Francis Forkey Doe, Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Badri Radzi, Zairul Fitree Ishak, Hussein Ala Salman, Brendan Gan.

FELDA UNITED Mohd Farizal (GK), Mohd Rahman Zabul, Yaroslav Krushelnitskiy, Mohd Khairul Ismail, Zah Rahan Krangar, Thanaraj, Solihin Kanasian, Mohd Aizulridzwan, Edward Junior Wilson, Indra Putra Mahyuddin. Mohd Syahid Zaidon.

-- BERNAMA

Selangor Calar Rekod Bersih Pahang Di Laman Sendiri


KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Selangor mencalar rekod tanpa kalah Pahang di laman sendiri pada saingan Liga Super musim ini, selepas meraih kemenangan tipis 1-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam Sabtu.

Jaringan pemain sayap dari Indonesia, Andik Vermansah pada minit ke-64 membolehkan skuad 'Gergasi Merah' merampas kedudukan pendahulu liga daripada Pahang dengan mengumpul 31 mata selepas 15 perlawanan.

Pahang pula turun satu anak tangga dengan 28 mata.

Kelantan pula melonjak dua anak tangga ke kedudukan kelima liga, hasil kemenangan 2-0 ke atas Selangor PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Wan Zaharulnizam Wan Zakaria membuka tirai jaringan pada minit ke-44 sebelum penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe memastikan kemenangan mutlak skuad 'The Red Warriors' dengan gol kedua pada minit ke-88.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, wakil kelab Sime Darby FC mempamerkan kebangkitan sebelum mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Sarawak.

S. Chanturu meletakkan Sarawak di hadapan menerusi gol seawal minit ketujuh sebelum Ryan Griffiths menggandakan kedudukan pada minit ke-21.

Pemain import dari Uzbekistan, Dilshod Sharofetdinov bagaimanapun mengikat kedudukan selepas meledak dua gol untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-29 dan masa tambahan separuh masa pertama.

Mohd Syukur Saidin memusnahkan harapan Sarawak untuk meraih tiga mata dengan menjaringkan gol kemenangan Sime Darby FC pada minit ke-83.

Pertemuan wakil Singapura, Lions XII dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam ini terpaksa ditunda ke 20 Mei ini memandangkan beberapa pemain JDT terlibat dengan perlawanan amal Asean All-Stars menentang pasukan kebangsaan Indonesia di Jakarta, esok.

Dalam aksi tunggal Liga Perdana, UiTM FC dan Pulau Pinang berkongsi satu mata selepas terikat tanpa jaringan di Stadium UiTM, Shah Alam.

Perlawanan berkenaan diadakan semula pada hari ini selepas tertangguh akibat hujan lebat pada aksi berkenaan semalam.

-- BERNAMA

Tuesday, March 8, 2011

Zaharulnizam waspada helah Pakistan (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - Bintang skuad Olimpik yang semakin menyinar, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria akan lebih berwaspada dengan gaya permainan fizikal Pakistan pada pertemuan timbal balik kedua pusingan pertama kelayakan Olimpik di Lahore, esok.

Mengakui cara permainan Pakistan yang agak kasar ketika beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini, dia sudah bersedia menangani sebarang tekanan atau helah yang cuba dimainkan oleh lawan pada perlawanan kedua itu nanti.

Malah, melalui pengalamannya pada perlawanan lalu, Wan Zaharulnizam berkata, dia sering menjadi mangsa terjahan kasar lawan yang cuba menyekatnya melakukan larian pantas sehingga membuatkan dia sering berada di dalam risiko untuk dicederakan lawan.

''Masa perlawanan tempoh hari, saya sering menjadi sasaran pemain Pakistan dalam usaha menyekat pergerakan saya daripada melakukan hantaran kepada rakan sepasukan.

''Cara mereka bermain memang sedikit membimbangkan saya memandangkan mereka mempunyai kelebihan fizikal yang agak ketara walaupun tidak boleh dinafikan daripada skil, kita sedikit lebih baik.

''Pada pertemuan kedua di Lahore nanti, saya akan memperkuatkan ketahanan mental kerana sudah tentu mereka akan menerapkan taktik yang sama supaya kami tidak beraksi mengikut rentak sebenar.

''Saya dan rakan-rakan lain sendiri tidak tahu bagaimana tahap kualiti padang atau suasana stadium di sana tetapi bagi diri saya, saya sudah bersedia apa sahaja kemungkinan yang akan timbul," katanya yang dihubungi, semalam.

Friday, February 25, 2011

'Kecik' tak sabar gegar Lahore (Kosmo Online)


IRFAN (tengah) meraikan jaringannya ketika menentang Pakistan di Stadium Shah Alam malam kelmarin. Malaysia menang 2-0.


SEMANGAT pemain sayap skuad Olimpik kebangsaan, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria kini semakin membara. Pemain yang turut dikenali sebagai ‘Kecik’ itu menjaringkan gol pertama Malaysia ketika menewaskan Pakistan 2-0 pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam kelmarin.

Gol kedua Malaysia pada perlawanan tersebut dijaringkan pemain tengah, Irfan Fazail.

Menurut Wan Zaharulnizam, 20, dia sudah tidak sabar menunggu aksi kedua di tempat lawan dan kini terus bekerja keras untuk meningkatkan tahap kecer- gasannya agar terus mendapat kepercayaan jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee.

“Selepas pulih daripada kecederaan buku lali, saya baru dapat beraksi sepenuh masa dalam dua perlawanan bersama skuad Harimau Muda A iaitu ketika menentang T-Team dan Perlis.

“Jadi pada aksi bertemu Pakistan se- malam (kelmarin), tahap kecergasan saya sebenarnya masih kurang tetapi alhamdulillah saya berjaya juga menja- ringkan satu gol.

“Memang jaringan tersebut meningkatkan tahap keyakinan diri dan saya harap dapat meng- ulangi pada aksi kedua di Lahore pada 9 Mac depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ditanya tentang bekalan dua gol ke Lahore, pemain kelahiran Tumpat, Kelantan itu berkata, ia memang sedi- kit mengecewakan tetapi yakin Malaysia mampu mara ke pusingan kedua.

“Memang agak kecewa. Peluang kami pada perlawanan tersebut memang banyak tetapi gagal disudahkan dengan baik. Apa pun, dari sudut positif kami berjaya menguasai sepenuhnya permainan tersebut.

“Jadi kami akan mempersiapkan diri dari segi mental kerana apa pun boleh terjadi pada aksi kedua. Kami tetap perlu berhati-hati kerana Pakistan pasti mahu menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri,” ujarnya.

Pemain skuad Olimpik kebangsaan semalam kembali ke pasukan masing- masing untuk dua aksi Liga Super sebelum mereka kembali menjalani lati- han pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya, Rabu depan.

Andai berjaya melepasi Pakistan, skuad muda negara ini akan melangkah ke pusingan kedua yang dijadualkan ber- langsung pada 19 dan 23 Jun depan.

Malaysia bakal diundi bertemu salah satu pasukan yang mendapat bye pada pusingan pertama sama ada Australia, Bahrain, China, Korea Utara, Korea Selatan, Jepun, Iraq, Lebanon, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan atau Vietnam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...