Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Syed Adney Syed Hussein. Show all posts
Showing posts with label Syed Adney Syed Hussein. Show all posts

Tuesday, April 10, 2012

Adney kekasih Saleha


SITI SALEHA tidak kisah berkongsi cerita tentang hubungan cintanya dengan Syed Adney (foto kiri).


JIKA sesetengah artis wanita popular mengambil langkah berdiam diri atau mengelak apabila disoal mengenai kekasih, tetapi tidak bagi pelakon wanita yang popular menerusi watak Nora Elena, Siti Saleha, 22.

Adik kepada penyanyi Sam (Bunkface) itu mengakui dia kini sedang intim dengan seseorang. Jejaka tersebut juga dikenali ramai. Dia yang dimaksudkan ialah penjaga gol negeri Sabah bernama Syed Adney Syed Hussein yang juga merupakan adik kepada pelakon Sharifah Sofea.

Saleha turut memberitahu Adney merupakan bekas kekasihnya sebelum ini dan hubungan mereka putus di tengah jalan kerana salah faham. Masih sayang antara satu sama lain, hubungan mereka kembali bertaut dan kini sedang menuju ke arah satu hubungan yang lebih serius dan matang.

Ikuti perbualan Kosmo! bersama pelakon itu mengenai kekasih hatinya ketika ditemui di set penggambaran filem KL Zombie yang berlangsung di Nilai, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Kosmo!: Boleh berkongsi dengan kami tentang kekasih anda? Khabarnya ada gosip yang mendakwa anda bercinta dengan penjaga gol Kelantan?

SALEHA: Dia seorang penjaga gol Sabah. Kenapa pula penjaga gol Kelantan yang disebut. Dia juga merupakan adik kepada pelakon Sharifah Sofea.

Sejak bila kalian bercinta sedangkan sebelum ini anda menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka Inggeris bernama Robin Coenraad berikutan beberapa kali anda berdua muncul bersama dalam beberapa acara hiburan sebelum ini?

Oh itu dulu. Saya dengan dia sudah lama putus. Putus dengan dia sebab dia tak faham kerjaya saya sebagai artis. Misalnya, kalau tengok saya berlakon dengan artis lelaki dia akan cemburu.

Sudah berapa lama anda dan juga penjaga gol Sabah iaitu Syed Adney bercinta?

Sudah dua tahun dan dia merupakan bekas kekasih saya tetapi tak perlulah saya terangkan lebih lanjut.


SYED ADNEY


Anda begitu terbuka bila bercerita tentang kekasih. Tidak takut pada pandangan peminat dan masyarakat?

Apa salahnya bercerita tentang kekasih, tetapi biar ada hadnya. Saya juga tahu had untuk saya bercerita tentang kekasih.

Apakah yang membukakan hati anda untuk menerima Syed Adney semula sedangkan anda berdua pernah berpisah sebelum ini?

Saya dan keluarga dia baik terutama sekali dengan kakak dia, Sharifah Sofea. Saya selalu datang ke rumah mereka jika ada majlis. Ibu dia juga saya sudah anggap seperti ibu saya sendiri. Bila terserempak dengan dia, perasaan sayang antara satu sama lain masih ada. Disebabkan itu, kami bersama semula. Walaupun jarang berjumpa sebab masing-masing sibuk tetapi dia sangat memahami.

Hubungan anda berdua semakin serius. Sudah ada sebarang perancangan di masa hadapan?

Buat masa ini kami belum fikir lagi tentang masa depan. Umur saya juga masih muda baharu 22 tahun.

Menyentuh mengenai filem KL Zombie, boleh anda cerita mengenai watak anda dan gandingan anda bersama pelawak terkenal Zizan?

Dalam filem arahan M.J Woo ini, saya memegang watak Nora, seorang gadis yang menceburi perniagaan Skim Jualan Langsung (MLM). Satu peristiwa telah berlaku hingga menyebabkan dia terheret sama dalam serangan zombie di ibu kota Kuala Lumpur. Ini kali kedua saya bekerjasama dengan Zizan Raja Lawak. Sebelum ini kami pernah berlakon bersama dalam Cintaku 120 KM/J.

Begitu sibuk dengan kerjaya lakonan bagaimana pula perancangan anda untuk menyambung pelajaran?

Buat masa ini saya terpaksa menangguhkan pelajaran seketika. InsyaAllah tahun depan saya akan sambung pengajian di United Kingdom. Mungkin dalam bidang perniagaan.

Tidak sayang untuk meninggalkan dunia lakonan seketika dan juga kekasih hati apabila mengambil keputusan menyambung pengajian tahun depan?

Itu adalah pengorbanan yang perlu saya lalui. Saya dan dia memang jarang berjumpa. Kami hanya berhubung melalui Skype dan pelbagai teknologi komunikasi lain. Saya juga tiada masalah kalau tidak berjumpa dengannya. Asalkan masing-masing tahu menjaga hubungan.


--- KOSMO

Wednesday, January 5, 2011

Tekad Adney rebut gawang Sabah (Utusan Malaysia Online)

Syed Adney Syed Hussein

KUALA LUMPUR - Penjaga gol baru Sabah, Syed Adney Syed Hussein menyifatkan kehadirannya bersama skuad Sang Badak dalam Liga Malaysia musim 2011, semata-mata atas hasrat untuk mendapatkan lebih banyak tempat dalam kesebelasan utama.

Sekalipun berat untuk meninggalkan Kelantan yang meminjamkannya ke sana, anak muda berusia 24 tahun kelahiran Liverpool, England ini ternyata lebih gemar melihatnya dari sudut positif, khususnya bagi masa depan karier bola sepaknya.

"Di mana-mana pun sama sebenarnya, malah bukan gaji lebih lumayan yang saya cari di sini, tetapi keinginan untuk bermain lebih banyak perlawanan seterusnya merebut posisi penjaga gol utama Sabah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Malah menyarung semula jersi negara masih meluap-luap di hati Syed Adney, setelah digugurkan pada hari ulang tahunnya ke-23, beberapa hari sebelum skuad bimbingan K. Rajagobal ke Sukan SEA 2009 dan mengakhiri kemarau pingat emas selama dua dekad di Laos.

"Saya rasa peluang yang diberikan oleh jurulatih Sabah, Gary Phillips sekarang seimbang buat ketiga-tiga penjaga gol kami (termasuk Azizon Kadir dan Salawi Ahmad Jasad) seperti mana terbukti dalam siri perlawanan persahabatan pramusim 2011, baru-baru ini.

"Pendedahan kerap bersama kesebelasan utama, bakal memudahkan keserasian dan kerjasama dimantapkan yang pastinya penting bagi sesebuah pasukan apatah lagi apabila kembali ke Liga Super bagi musim 2011," kata pemain lampai ini.

Thursday, September 23, 2010

Syed Adney membara julang Kelantan (Kosmo)


SYED ADNEY tidak mahu mempersia-siakan peluang yang diberikan oleh jurulatih musim ini.


PENJAGA gol Kelantan, Syed Adney Syed Hussain bersedia meneruskan aksi cemerlangnya pada pertarungan menentang KL Plus dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

Keyakinan tersebut diluah Syed Adney selepas dia mendapat semula sentuhan kemas dalam dua perlawanan terdahulu.

Menurutnya, peluang yang diberikan oleh ketua jurulatih, B. Sathianathan tidak akan dipersia-siakan, malah menganggap ia sebagai peluang terbaik buatnya untuk membuktikan sesuatu selepas gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama sebelum ini.

Katanya, inilah masa terbaik buat dirinya untuk meneruskan rentak cemerlang dan merampas semula tempat dalam kesebelasan utama Kelantan.

"Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana memberikan peluang kepada saya untuk membuktikan sesuatu dan akhirnya saya berjaya melakukanya.

"Selepas ini, saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik buat pasukan," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ketika ditanya mengenai peluang Kelantan pada pertemuan menentang KL Plus malam ini, Syed Adney memberitahu, dia yakin pasukannya mampu meraih tiga mata penuh.

"Berdasarkan persembahan semasa, saya yakin kita mampu meraih tiga mata ditambah pula beraksi di tempat sendiri.

"Dengan sokongan padu dari penyokong setia, kami sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan tersebut," katanya.

Pada perlawanan menentang PKNS di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Jumaat lalu, Syed Adney muncul wira Kelantan apabila menyelamatkan sepakan penalti untuk memastikan pasukannya membawa pulang tiga mata hasil kemenangan 1-0.

Kemenangan tersebut menyaksikan Kelantan kembali menghidupkan peluang untuk mencabar kedudukan juara bertahan, Negeri Sembilan selaku pendahulu Kumpulan A.

Thursday, February 4, 2010

Syed Adney Syed Hussein


Nama : Syed Adney Syed Hussein

Tarikh Lahir : 29 November 1986

Tempat Lahir : Liverpool, England

Tinggi : 189 m

Sukan : Bola Sepak

Posisi : Penjaga Gol

Pencapaian :
Juara Pestabola Merdeka 2007 (Malaysia)
Juara Piala Malaysia 2010 (Kelantan FA)
Naib Juara Liga Super 2010 (Kelantan FA)

Pasukan :-
Selangor (2006 - 2007)
UPB My-Team (2007 - 2009)
Kelantan (2010)
Sabah (2011 - Skrg)

Thursday, January 21, 2010

Sathianathan buat rombakan pemain atasi permainan hambar

KOTA BHARU - Tekanan yang dihadapi oleh jurulatih Kelantan, B. Sathianathan memaksanya membuat rombakan bagi menghadapi perlawanan bertemu Johor FC, Sabtu ini.

Bagaimanapun, beliau akan terus mengekalkan penjaga gol utama skuad Kijang, Syed Adney Syed Hussin walaupun telah melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya untuk memberikan gol mudah kepada Kedah, kelmarin.

Sathianathan ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam berkata, rombakan itu sememangnya penting dalam mengembalikan semula prestasi skuadnya ke landasan sebenar selepas beraksi hambar dengan ketumpulan jentera serangan.

"Saya akan buat sedikit rombakan di semua posisi termasuklah jentera serangan yang tidak mampu untuk menjaringkan gol sebelum ini.

"Keadaan sekarang amat tertekan bagaimanapun saya mengambilnya sebagai positif untuk membina sebuah pasukan yang lebih mantap bagi mengharungi perlawanan akan datang," ujarnya.

Bagi bekas jurulatih skuad kebangsaan itu, tiga gol yang dihasilkan daripada empat perlawanan membuktikan bahawa jentera serangannya masih belum serasi dan memerlukan sedikit masa bagi membentuk gandingan yang benar-benar mantap.

"Kita masih lagi mencari keserasian terutama di posisi serangan dan berharap agar dapat mencarinya dalam masa yang terdekat," katanya.

Pada perlawanan, kelmarin, Kelantan gagal meraih tiga mata berharga di laman sendiri gara-gara sikap sambil lewa penjaga gol, Syed Adney.

Segalanya bermula pada minit ke-41 apabila Syed Adney yang menerima hantaran rakan sepasukan gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sehingga mengundang padah dengan memberikan kemenangan kepada Kedah.

Gol tersebut ternyata mengecewakan lebih 20,000 peminat setia Kelantan yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Kekalahan kepada Kedah menyaksikan Kelantan hanya mengumpul lima mata hasil daripada satu kemenangan dan dua seri untuk menghuni tangga ketujuh liga.

Mengulas lanjut mengenai prestasi penjaga gol kelahiran Liverpool itu, Sathianathan berkata, Syed Adney perlu lebih fokus.

"Kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku tetapi saya lupakan kesilapan tersebut. Saya masih percaya kepada kredibiliti Syed Adney berdasarkan persembahannya dalam tiga perlawanan sebelum ini dan kita amat berharap dia akan menunjukkan prestasi yang sebenar," katanya.

Dalam pada itu, Sathianathan menyeru semua pemain supaya bangkit dan melupakan kekalahan kelmarin dengan menjadikannya sebagai pengajaran yang amat berguna.

"Para pemain harus menunjukkan kebolehan mereka demi mengembalikan semula kepercayaan penyokong setia.

"Saya berharap penyokong bersabar dan beri sedikit masa kepada pasukan untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada," katanya.

--- UTUSAN

Wednesday, November 18, 2009

Syed Adney, Akmal perkuat skuad Kelantan

Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my


ANNUAR menunjukkan senarai baru pemain bola sepak Kelantan untuk musim 2010 di pejabat Kafa, semalam.

KEKECEWAAN menjuarai Piala Malaysia sekadar menguatkan lagi azam Kelantan untuk tampil lebih perkasa musim depan, apabila menamakan penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussin dan Akmal Rizal Rakhli dalam senarai 25 pemainnya untuk mengharungi saingan Liga Super 2010.

Kehadiran dua pemain dari UPB-MyTeam dan Kuala Muda (KM) Naza itu juga menyaksikan penjaga gol kontroversi, Halim Napi dan penyerang, Khalid Jamlus diketepikan bersama empat lagi pemain skuad musim ini, manakala lima lagi pemain dibawa masuk.

Turut bergelar The Red Warriors kini ialah dua lagi pemain MyTeam - Nor Shahrul Idlan Talaha (penyerang) dan Shakir Shaari (tengah) - bekas pertahanan KM Naza, Azizi Mat Rose; bekas kapten Perak, S Subramaniam (pertahanan) dan penyerang Pulau Pinang, S Chanturu.

Difahamkan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) juga sedang dalam rundingan mendapatkan khidmat pertahanan kebangsaan yang kini beraksi bersama KL Plus, Nor Hafiz Zamani Misbah, sebelum menumpukan perhatian menghadapi musim baru yang bermula Januari depan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, ketika mengumumkan senarai pemain terbabit, berkata semua pemain berkenaan sudah menandatangani kontrak bersama Kelantan dan akan diperkenalkan kepada peminat pada majlis di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Sabtu ini.

"Sebahagian besar pemain musim ini termasuk kapten, Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Mohamad dan Azlan Zainal dikekalkan selepas pengurusan berpuas hati dengan prestasi mereka terutama kejayaan memasuki final Piala FA dan Piala Malaysia.

"Kami berharap kehadiran tujuh pemain yang masing-masing mempunyai kelebihan dan pengalaman tersendiri itu dapat mengatasi kelemahan ketara Kelantan musim ini terutama di posisi penjaga gol, pertahanan dan tengah," katanya.

Annuar berkata, Kafa sudah mengemukakan tawaran kepada Halim untuk mengisi jawatan penolong jurulatih kepada penjaga gol kerana pengalaman luasnya dalam liga tempatan dan Kafa kini masih menunggu jawapan daripada pemain berusia 38 tahun itu.

"Khalid pula diketepikan kerana pada musim depan kerana kami mahu mengamalkan corak permainan pantas yang menuntut setiap pemain memiliki tenaga, daya tahan dan stamina dan atas sebab itu kami membawa masuk pemain baru yang lebih pantas," katanya.

Beliau turut mengumumkan B Sathianathan terus diberikan kepercayaan memikul tanggungjawab selaku ketua jurulatih bersama pembantunya, Hashim Mustapha, Sidek Shamsuddin dan Ismail Bakar.


--- BERITA HARIAN

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...