Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, May 5, 2014

FAM Belum Ada Dasar Ambil Pemain Naturalisasi - Tengku Abdullah

KUANTAN, 4 Mei (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum mempunyai dasar untuk mengimport pemain dari luar negara untuk dinaturalisasikan ke dalam skuad kebangsaan, titah timbalan presidennya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah badan induk bola sepak negara itu tidak pernah membincangkan rancangan itu serta menegaskan ia lebih kepada kehendak individu dan bukan merupakan dasar FAM.

Bagaimanapun, Tengku Mahkota Pahang itu tidak menolak kemungkinan itu pada masa depan.

"Saya tak kata ia tak akan berlaku, mungkin dia (pemain) dapat passport (Malaysia) atas sebab-sebab tersendiri, mungkin dia kahwin dengan orang Malaysia atau dia ada anak orang Malaysia.

"Tapi kalau nak ambil orang luar nak bagi passport Malaysia, saya pun tak setuju. Kalau dia bagus sangat mungkin kita boleh tengok...dia perlu pemain yang luar biasa," titahnya kepada pemberita di sini, Ahad.

Baginda mengulas berhubung hajat penyerang Selangor, Paulo Rangel, 29, untuk beraksi dengan skuad Harimau Malaya jika diberi peluang mewakili negara di pentas antarabangsa.

Terdahulu, Tengku Abdullah, yang juga Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), merasmikan Seminar Kejurulatihan dan Pengadilan Hoki di sini.

Sebelum ini, hasrat Rangel, pemain kelahiran Brazil itu mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan malah jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee turut memberikan reaksi positif terhadap perkara itu.

Kim Swee menyatakan pemain yang berjaya menghasilkan 10 gol dalam 13 penampilan sepanjang saingan Liga Super musim itu diyakini mampu menambah lebih sengat di jentera serangan.

Sebaliknya, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pula menyatakan pendirian sebaliknya atas alasan ia akan membunuh karier seseorang atlet atau pemain bola sepak tempatan.

Sementara itu, Tengku Abdullah, yang juga merupakan calon untuk jawatan Presiden FAM pada Kongres ke-50 FAM, 25 Mei ini, mengingatkan ahli gabungan untuk memilih presiden yang terbaik, tanpa rasa takut atau berpihak pada sesiapa.

"Semua (calon) ada kelebihan tersendiri, itu (pemilihan) kuasa yang ada pada ahli gabungan. Saya tak pergi kempen, saya tak buat kempen, saya tak paksa. Pilihlah yang terbaik berdasarkan merit-merit tertentu," titahnya.

Penyandang Presiden FAM Sultan Ahmad Shah sebelum ini bertitah bahawa baginda akan mempertahankan jawatannya walaupun ditentang oleh anakanda, Tengku Abdullah dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...