Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label K Rajagobal. Show all posts
Showing posts with label K Rajagobal. Show all posts

Monday, April 1, 2013

Tidak Ada Konspirasi Dalaman Untuk Singkir Rajagobal - FAM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak andaian wujudnya konspirasi dalaman untuk menyingkirkan ketua jurulatih skuad kebangaan Datuk K Rajagobal seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

FAM Isnin menyifatkan kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad berhubung pengendali skuad Harimau Malaya itu sebelum ini telah disalah tafsir beberapa media tempatan.

Kenyataan itu menyebut bahawa Azzuddin diajukan soalan oleh tiga wartawan akhbar berbahasa Inggeris dalam satu wawancara minggu lepas, sama ada wujudnya konspirasi dalaman FAM untuk menggugurkan Rajagobal.

"Jawapan spontan Setiausaha Agung adalah di dalam semua isu, segala kemungkinan tidak boleh diketepikan. Dukacitanya jawapan ini dipetik sebagai kenyataan utama yang disiarkan di dalam akhbar.

"Justeru itu, FAM ingin memperjelaskan bahawa kenyataan Setiausaha Agung itu disalah ertikan. Dengan ini FAM ingin menyatakan bahawa tidak ada sebarang konspirasi dalaman sebagaimana yang dilaporkan," menurut kenyataan FAM itu.

Sebelum ini, Azzuddin dipetik sebagai berkata bahawa wujudnya konspirasi dalaman di FAM untuk menggugurkan Rajagobal.

Rajagobal bakal berdepan tindakan tegas daripada Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas dikatakan melanggar Artikel 88 iaitu membuat kenyataan media tanpa mendapat kebenaran FAM.

Jurulatih berusia 56 tahun itu dikatakan mengeluarkan kenyataan bahawa kekalahan 1-4 skuad kebangsaan kepada Arab Saudi pada 17 Mac lepas di Stadium Shah Alam, disebabkan lambakan penyerang import dalam kancah Liga Malaysia.

Beliau didakwa menyentuh dasar FAM dengan menyatakan penyerang import lebih mendapat tempat dalam pasukan utama Liga Super yang mengakibatkan skuad kebangsaan ketandusan penyerang semulajadi.



-- BERNAMA

Sunday, December 16, 2012

Lupakan Piala AFF Suzuki, Fokus Kepada Pusingan Kelayakan Piala Asia 2015 - Rajagobal


SEPANG, 14 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal meminta anak buahnya supaya melupakan episod duka kekalahan kepada Thailand pada aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki di Stadium Supachalasai, Bangkok, Thailand, semalam.

Beliau sebaliknya menuntut komitmen kesemua pemain skuad Harimau Malaya itu untuk memberikan fokus sepenuhnya pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 yang bermula Februari depan.

"Saya mahu (semua pemain) lupakan (kekalahan) pada Piala AFF Suzuki dan fokus kepada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di mana kita akan bertandang ke Qatar untuk perlawanan pertama," katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba bersama skuad kebangsaan dari Bangkok di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di sini, Jumaat.

Kekalahan tersebut dengan agregat 1-3 itu sekali gus meleburkan hasrat skuad Harimau Malaya untuk mempertahankan Piala AFF yang dimenangi mereka pada 2010 di Indonesia.

Rajagobal, 56, berkata beliau tidak menyangka bahawa skuad bimbingannya bakal mengalami kekalahan pada perlawanan itu memandangkan mereka telah membuat persiapan rapi.

-- BERNAMA

Rajagobal Tidak Harus Dipecat - Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Ketua jurulatih Datuk K Rajagobal tidak harus dipecat atas kekalahan skuad kebangsaan Harimau Malaya pada separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012, Khamis lepas, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata adalah tidak adil untuk menjatuhkan hukuman terhadap jurulatih itu malah beliau perlu diberi peluang melakukan penambaikan dan pembaharuan dalam skuad bimbingannya dalam menghadapi kejohanan seterusnya.

"Kita tidak harus lupa Rajagobal yang bertanggungjawab mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap pasukan negara dan menaikkan imej pemain sehingga dikenali ramai...tidak seperti sebelum ini.

"Bagaimanapun beliau harus mencari jalan dalam meningkatkan lagi prestasi skuad kebangsaan," katanya kepada pemberita pada majlis perkahwinan anak perempuannya Nurkhalida dan pasangannya, Qaiyum Hasnul, kedua-dua berusia 25 tahun, di Stadium Juara Bukit Kiara, di sini, Sabtu.

Ahmad Shabery berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga bertanggungjawab untuk melihat pembangunan mutu sukan itu secara lebih menyeluruh.



-- BERNAMA

Wednesday, February 9, 2011

Rajagobal enggan pisang berbuah dua kali (Metro Online)

INSIDEN kekalahan kepada Hong Kong tujuh tahun lalu masih tersemat dalam ingatan ketua jurulatih bola sepak kebangsaan, K Rajagobal yang pastinya tidak mahu pisang berbuah dua kali apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam ini.

Walaupun kekalahan itu dianggap satu sejarah buat Rajagobal yang ketika itu bertindak sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan, beliau mengingatkan anak buahnya tidak memandang remeh keupayaan Hong Kong.


“Perlawanan 2004 itu sudah jadi sejarah, sewaktu itu saya menjadi pengendali sementara di mana Malaysia kalah kepada Hong Kong. Tapi perlawanan esok (hari ini) adalah perlawanan yang berbeza. Dalam bola sepak semuanya boleh berubah dalam satu minggu.

“Secara jujur, saya tidak mempunyai banyak maklumat mengenai Hong Kong tapi sebelum ini pertemuan Hong Kong dan Malaysia sengit. Kami tidak boleh mengambil mudah perlawanan ini,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri ketua jurulatih Hong Kong, Tsang Wai Chung di Wisma FAM di Kelana Jaya semalam.


Mengimbas pertemuan dengan Hong Kong pada perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2004, Malaysia kalah 0-2 di gelanggang lawan sebelum tumpas 1-3 di Kuantan. Walaupun Hong Kong menduduki tangga ke-143 berbanding Malaysia di ranking 140 dunia, mereka mempunyai rekod pertemuan lebih baik sejak 1968 dengan memenangi lima kali dan seri sekali dalam sembilan perlawanan.


Namun, senario sudah berubah dengan anak buah Rajagobal akan turun beraksi bagi menguji sejauh mana prestasi mereka selepas bergelar juara Piala Suzuki AFF Disember tahun lalu.

Jurulatih negara tidak mahu pemain enak dibuai kejayaan itu sebaliknya menampilkan aksi terbaik biarpun sekadar perlawanan untuk menguji pemain buat dirinya.

Monday, February 7, 2011

Siapa kapten tidak penting (Metro Online)

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Mohd Safiq Rahim
Mohd Safiq Rahim

PENGHORMATAN diraih Mohd Safiq Rahim selaku ketua pasukan kebangsaan yang menjuarai Piala Suzuki AFF Disember lalu bakal tergugat dengan kembalinya tonggak utama pertahanan Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak.

Safiq, 23, memainkan peranan berkesan selepas ditugaskan oleh pengendali, K Rajagobal untuk mengemudi barisan negara mengharungi kejohanan itu ketika Aidil Zafuan terpaksa disisihkan selama hampir enam bulan angkara kecederaan lutut.


Namun, besar kemungkinan kedudukan itu bakal berubah apabila Aidil Zafuan yang kembali dipanggil menyertai skuad akan diberi tanggungjawab memakai lilitan di lengan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam, Rabu ini.

Tapi persoalan itu bukan menjadi keutamaan buat Safiq kerana dia berjanji memberikan komitmen tidak berbelah bahagi walaupun tidak bergelar ketua pasukan.


“Tugas itu satu penghormatan besar bagi saya, apatah lagi berjaya memenangi Piala AFF. Setakat ini belum tahu siapa yang menjadi kapten, kena tunggu Rabu ini. Tapi bagi saya, siapa yang menjadi kapten pasukan tak penting sebaliknya kami perlu terus bekerjasama dalam satu pasukan.


“Aidil sebelum ini cedera dan sekarang kembali bersama pasukan, kehadirannya pasti menguatkan semula pasukan,” katanya yang kini mengikuti latihan pusat bersama 23 lagi pemain bermula Rabu lalu di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Bagi persediaan menghadapi perlawanan pertama menentang Hong Kong, tahun ini, Rajagobal memanggil enam pemain yang tidak beraksi di kejohanan Piala AFF lalu iaitu Aidil Zafuan, Mohd Farizal Marlias, G Mahathevan, Shahrizal Saad, Ahmad Fakri Saarani dan S Chanturu.


Safiq, pemain tengah yang kini beraksi bersama negeri kelahirannya, Selangor berkata, walaupun sekadar perlawanan persahabatan, kemenangan ke atas Hong Kong penting buat pasukan kebangsaan mengekalkan aksi konsisten.

“Saya harap kami mampu mengekalkan prestasi di Piala AFF untuk mendapat keputusan positif bertemu Hong Kong. Semua pemain sedar, kami tidak mahu pasukan kebangsaan terus dilabel mudah tenggelam selepas mencapai kejayaan.


“Kami tidak tahu sejauh mana kekuatan Hong Kong tapi tidak boleh mengambil mudah perlawanan itu,” katanya yang melabel pasukan lawan itu mempunyai corak permainan seperti China yang agresif dan memiliki kelebihan fizikal.


Skuad kebangsaan kini dalam rangka persiapan untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Dunia 2014, Jun ini.

Thursday, January 13, 2011

Habuan suntik semangat (Harian Metro Online)

K Rajagobal


PENGHARGAAN diterima menerusi ganjaran RM65,000 setiap seorang daripada kerajaan sudah cukup membuatkan anggota skuad bola sepak kebangsaan terharu. Bagi jurulatih K Rajagobal, ganjaran daripada kerajaan itu sudah mencukupi untuk mengiktiraf kejayaan memahat sejarah menjuarai Piala Suzuki AFF buat kali pertama bulan lalu.

“Bagi saya, sebagai permulaan ini sudah cukup. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana sumbangan ini dan saya percaya ia dapat memberi perangsang kepada semua pihak untuk berkerja lebih keras lagi,” katanya yang turut membimbing skuad bawah 23 tahun kebangsaan memenangi pingat emas pada Sukan Sea Laos 2009.

Sementara itu, kapten pasukan, Mohd Safiq Rahim pula berkata, ganjaran yang diterima serta komitmen ditunjukkan kerajaan dalam membantu membangunkan bola sepak tanah air membakar semangat mereka untuk melakar kejayaan di peringkat lebih tinggi.

“Saya terharu dengan sumbangan kerajaan ini kerana menghargai usaha kami. Bagi saya ini satu suntikan semangat untuk kami meningkatkan prestasi kerana kami sedar, banyak lagi tugasan lebih mencabar selepas ini,” katanya.

Perasaan gembira itu turut dikongsi bersama penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang menyifatkan segala limpahan ganjaran yang diberikan tidak akan sekali-kali membuatkan mereka leka.

Saya tidak fikir ganjaran ini boleh membuatkan kami leka sebaliknya berusaha lebih keras kerana sasaran selepas ini adalah bersaing di peringkat Asia,” katanya yang akan beraksi bersama Kelantan musim ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...