28 Januari 2012
BAGI seseorang pemain bola sepak, anggota mereka yang paling bernilai ialah kaki.
Kerana itu, ia perlu dilindungi sebaik mungkin dengan kasut atau but yang bersesuaian.
Bukan sahaja keselesaan, malah but itu semestinya yang benar-benar
menepati rasa hati kerana ia juga adalah pencetus semangat atau sumber
inspirasi.
Tanpa but yang sesuai, seseorang pemain mungkin tidak dapat beraksi seperti yang diharapkan.
Bagi Ketua Pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Radzi atau dikenali
Piya, dia mempunyai kegilaan yang tersendiri terhadap but. Koleksi
butnya kini sudah mencecah 18 pasang.
Memakai but bersaiz tujuh, pemain yang berusia 30 tahun itu berkata,
koleksi peribadinya itu sentiasa dijaga dan disimpan rapi di dalam
almari. Daripada 18 pasang but itu, dua daripadanya berjenama Puma, Nike
(empat) dan 12 lagi jenama Adidas. Jenama Adidas F50 yang dijahit
dengan nama ‘Piya 16’ merupakan but bola termahal yang dimiliki oleh
Mohd Badhri.
Menceritakan mengenai but pertama yang dimilikinya, Mohd Badhri
menjelaskan jenama Pro Spec merupakan but yang pertama dipakai ketika
dia mula-mula mewakili Kelantan ke Kejohanan Bola Sepak Piala Milo pada
2001.
“Selepas dua tahun, saya menukar kepada jenama Nike yang cukup popular
ketika itu. Malah but jenama tersebut paling lama saya gunakan bermula
2003 hingga 2008. Kemudian saya bertukar kepada jenama Puma namun hanya
sempat bertahan setahun sahaja.
“Kalau diikutkan memang saya lebih menyukai jenama Puma kerana selesa
digunakan namun kerana model yang saya pakai tidak lagi dikeluarkan
memaksa saya beralih kepada jenama Adidas sejak tahun lalu.
Sejak itu saya terus jatuh cinta dengan jenama tersebut,” katanya.
Paling mahal bernilai RM1,500
Menurut Mohd Badhri, but paling murah yang pernah digunakannya berharga
RM400 berjenama Puma sementara but termahal pula bernilai RM1,500
berjenama Adidas.
“Paling mahal pernah saya gunakan ialah model Adidas F50 yang turut
dijahit nama timangan saya sendiri. Terbaru pula, saya menggunakan
jenama Adidas model Adizero yang baru sahaja berada di pasaran.
“But baru ini berharga RM780 sepasang dan satu lagi model berharga
RM1,300 yang mana ia dilengkapi dengan cip pintar yang dapat mengukur
kepantasan dan berapa jauh jarak larian dilakukan ketika beraksi di
padang.
“Memang sebelum ini saya mempunyai berpuluh-puluh pasang but namun ada
yang sudah dijual secara ‘secondhand’ atau pun diberi percuma kepada
saudara mara dan juga rakan-rakan.
“Seumpama kita jaga diri kita, begitu jugalah saya menjaga but bola saya.
Sebaik sahaja menggunakannya, tidak kira selepas sesi latihan atau pun
perlawanan, saya akan pastikan but saya dibersihkan sepenuhnya,"
katanya.
But bola ini sebenarnya ibarat ‘nyawa’ bagi seseorang pemain bola
sepak. Biar berharga beribu sekali pun tapi kalau tidak serasi dipakai,
pun tidak ada guna juga.
Yang penting setiap but yang dipakai harus sesuai dengan kita.
---SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.