Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, October 5, 2012

Piala Malaysia: Piya terkilan dengan kecaman

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
5 Oktober 2012
Mohd Badhri Radzi
Mohd Badhri Radzi
 
KOTA BHARU – “Sebagai pemain, kami juga manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan," luah Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi yang nyata kecewa dengan kecaman hebat dilontarkan segelintir penyokong terhadap prestasi terburuk The Red Warriors dalam saingan kempen Piala Malaysia musim ini.

Mengakui terkilan dengan situasi tersebut, Mohd Badhri atau dikenali Piya berkata, tidak ada salah untuk para peminat menyuarakan rasa tidak kurang puas hati mereka, namun biarlah secara berlapik dan tidak menjatuhkan maruah seseorang pemain.

“Memang saya akui itulah aksi terburuk saya (perlawanan dengan Felda United tempohari) pada musim ini. Kalau peminat mahu 100 peratus komitmen dari pemain, kami sebenarnya beri lebih daripada itu. Tak ada mana-mana pasukan pun bermain untuk kalah,” katanya semalam.

Menurutnya, namun, janganlah sampai mengeluarkan kata-kata kesat atau cercaan kepada pemain sehingga melibatkan ibu-bapa mereka.

"Kalau main teruk sedikit kena kutuk, apatah lagi jika kalah, pasti pelbagai tohmahan dilemparkan. Sehingga ada yang menganggap kami jual permainan.

“Kadang-kala saya sedih dengan situasi seperti ini. Kami pun ada keluarga, hati serta maruah yang perlu dijaga.

"Tapi itulah adat bola sepak, ketika menang disanjung, apabila kalah macam-macam kata cacian kami terima. Apa pun kami terima semua ini dengan hati terbuka,” katanya.

Isi hati jeneral padang berusia 30 tahun itu diluahkan setelah tindakan jurulatih, Bojan Hodak mengeluarkannya rentetan prestasi buruk mengundang cemuhan penyokong ketika pertemuan suku akhir kedua menentang Felda United FC di Kota Bharu pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, pemain yang pernah menyarung jersi pasukan PDRM musim 2005 hingga 2007 itu menolak andaian prestasi buruk Kelantan berpunca daripada kemerosotan permainan beliau sendiri.

“Tak adil untuk membuat penilaian sedemikian. Kalau orang kata saya main bagus, jadi Kelantan pun main bagus, itu pendapat yang tidak betul. Bola sepak dimainkan dengan 11 pemain. Semua pemain ada peranan masing-masing, bukan saya seorang yang bertanggungjawab jika pasukan kita beraksi cemerlang,” katanya.

Justeru, menjelang aksi separuh akhir pertama menentang Selangor malam esok, Mohd Badhri mengharapkan sesuatu kelainan daripada penyokong setia Kelantan dengan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi bagi menenggelamkan kehebatan pemain Gergasi Merah di Kota Bharu.
Dalam perkembangan sama, pemain sayap Kelantan, Mohd Norfarhan Muhammad menganggap prestasi rakan sepasukannya itu tidak seburuk yang disangka.

“Saya harap peminat faham, prestasi pemain ada turun naiknya. Ada hari kita boleh bermain dengan cemerlang, ada hari kita main teruk. Begitulah yang terjadi kepada Piya.

"Saya pun pernah melalui perkara yang sama. Janganlah nilai prestasi buruk pemain hanya menerusi satu perlawanan sahaja,” katanya.

--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...