Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Liga Malaysia 2014. Show all posts
Showing posts with label Liga Malaysia 2014. Show all posts

Sunday, May 11, 2014

Selangor Calar Rekod Bersih Pahang Di Laman Sendiri


KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Selangor mencalar rekod tanpa kalah Pahang di laman sendiri pada saingan Liga Super musim ini, selepas meraih kemenangan tipis 1-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam Sabtu.

Jaringan pemain sayap dari Indonesia, Andik Vermansah pada minit ke-64 membolehkan skuad 'Gergasi Merah' merampas kedudukan pendahulu liga daripada Pahang dengan mengumpul 31 mata selepas 15 perlawanan.

Pahang pula turun satu anak tangga dengan 28 mata.

Kelantan pula melonjak dua anak tangga ke kedudukan kelima liga, hasil kemenangan 2-0 ke atas Selangor PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Wan Zaharulnizam Wan Zakaria membuka tirai jaringan pada minit ke-44 sebelum penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe memastikan kemenangan mutlak skuad 'The Red Warriors' dengan gol kedua pada minit ke-88.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, wakil kelab Sime Darby FC mempamerkan kebangkitan sebelum mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Sarawak.

S. Chanturu meletakkan Sarawak di hadapan menerusi gol seawal minit ketujuh sebelum Ryan Griffiths menggandakan kedudukan pada minit ke-21.

Pemain import dari Uzbekistan, Dilshod Sharofetdinov bagaimanapun mengikat kedudukan selepas meledak dua gol untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-29 dan masa tambahan separuh masa pertama.

Mohd Syukur Saidin memusnahkan harapan Sarawak untuk meraih tiga mata dengan menjaringkan gol kemenangan Sime Darby FC pada minit ke-83.

Pertemuan wakil Singapura, Lions XII dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam ini terpaksa ditunda ke 20 Mei ini memandangkan beberapa pemain JDT terlibat dengan perlawanan amal Asean All-Stars menentang pasukan kebangsaan Indonesia di Jakarta, esok.

Dalam aksi tunggal Liga Perdana, UiTM FC dan Pulau Pinang berkongsi satu mata selepas terikat tanpa jaringan di Stadium UiTM, Shah Alam.

Perlawanan berkenaan diadakan semula pada hari ini selepas tertangguh akibat hujan lebat pada aksi berkenaan semalam.

-- BERNAMA

Wednesday, April 30, 2014

PBNJ Perlu Tamatkan Kontrak Baihakki - Afandi


PETALING JAYA, 29 April (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) perlu menamatkan kontrak dengan pertahanan antarabangsa Singapura, Baihakki Khaizan bagi membolehkan pemain itu beraksi semula dengan kelab asalnya, Lions XII.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, pihaknya memberi tempoh seminggu kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

"Jawatankuasa beri pertimbangan bahawa Baihakki adalah pemain import JDT tetapi jika kembali kepada Lions XII, beliau dikira sebagai pemain tempatan (dalam pasukan Lions XII).

"(Ini bermakna) kontrak JDT dengan Baihakki kena tamat dahulu sebelum beliau boleh mewakili Lions XII dalam Liga Malaysia...Ini adalah ketetapan yang telah kita putuskan," kata Afandi kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Baihakki, 30, dilaporkan berhasrat kembali semula ke pangkuan Lions XII dalam mencerahkan peluangnya beraksi dengan pasukan kebangsaan Singapura pada kempen Piala AFF Suzuki 2014 yang bakal dianjurkan bersama oleh Singapura dan Vietnam, November depan.

Beliau yang dikatakan mengikat kontrak selama empat tahun bersama PBNJ, telah dilepaskan baru-baru ini atas alasan prestasi dan tempat beliau telah diisi oleh pemain dari Brazil, Marcos Antonio Elias Santos.

Dalam perkembangan berasingan, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan FAM, Datuk Osman Salleh berkata, pasukan Terengganu diberi kemenangan percuma 3-0 ke atas Kelantan selepas pasukan pelawat didapati menurunkan pemain yang digantung perlawanan pada aksi Liga Super, 29 Mac lepas.

Kedua-dua pasukan seri 1-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

"Kita telah mengenalpasti satu kesalahan telah berlaku dari segi 'eligibility' pemain dan jawatankuasa turut mengambil kira pandangan daripada AFC dan juga pesuruhjaya perlawanan.

"Kelantan diberi amaran kerana supaya tidak menurunkan pemain yang tidak sepatutnya (pada perlawanan seterusnya)," kata Osman tanpa menyatakan nama pemain berkenaan.

-- BERNAMA

Tuesday, April 22, 2014

Muhammad Nazmi Sah Sertai Selangor, Tinggalkan PKNS FC


KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Bekas pemain Harimau Muda A, Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang beraksi dengan kelab Liga Super Selangor PKNS FC, bakal menyarung jersi Selangor dalam pusingan kedua Liga Super musim ini.

Presiden PKNS FC Siti Zubaidah Abdul Jabar berkata perpindahan pemain muda berusia 19 tahun itu dipersetujui oleh pihak pengurusan pasukan setelah mengadakan beberapa perbincangan dengan pasukan Selangor.

"Kami melepaskan Nazmi Faiz demi pembangunan bola sepak Selangor. Walaupun beliau tidak lagi bersama pasukan, saya percaya ia tidak akan menjejaskan semangat pemain-pemain lain untuk mengharungi baki saingan liga musim ini.

"Semoga perpindahan ini dapat menjadikan beliau seorang pemain yang lebih baik seperti yang diharapkan oleh peminat-peminat bola sepak tanah air," katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Nilai perpindahan pemain posisi tengah itu tidak didedahkan.

Siti Zubaidah berkata mereka akan terus bekerjasama dalam pertukaran pemain pada masa depan memandangkan kedua-dua pasukan adalah dari negeri yang sama.

Dalam pada itu, Pengurus Pasukan Mahfizul Abdul Rashid mengesahkan skuad 'The Red Ants' berjaya mengikat kontrak dengan pemain Felda United FC, Shahurain Abu Samah bagi memantapkan pasukan berkenaan.

"Kami akan menggunakan masa rehat liga untuk membuat post mortem dan mengenal pasti mana-mana kekurangan yang ada.

"Saya yakin jurulatih Wan Jamak Wan Hassan akan membaiki segala kelemahan dan kembali bangkit selepas liga bersambung nanti," katanya.

Muhammad Nazmi mengejutkan peminat tempatan selepas membuat keputusan berpindah ke PKNS FC daripada kelab Portugal, SC Beira Mar pada tahun lepas setelah berkelana selama enam bulan di Eropah.

-- BERNAMA

FAS Akan Dapatkan Penjelasan Salibasic Berhubung Dakwaan Pemain Kelantan

KUCHING, 21 April (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) akan mendapatkan penjelasan daripada penyerang importnya Muamer Salibasic dari Bosnia berhubung dakwaan pemain Kelantan Mohd Fitri Omar bahawa pemain itu melemparkan kata-kata kesat terhadap ibunya semasa perlawanan Jumaat lalu.

Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi berkata langkah tersebut adalah prosedur biasa jika timbul sebarang tuduhan atau perselisihan faham dalam kalangan pemain skuad Ngap Sayot itu.

"Salibasic bermain untuk Sarawak hampir dua tahun, apa yang saya boleh katakan beliau merupakan seorang pemain yang profesional dan berdisiplin.

"FAS dan peminat bola sepak Sarawak mengenali beliau sebagai pemain yang kuat malahan kehadiran Salibasic banyak membantu pasukan sehingga menjuarai Liga Perdana musim lalu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Fitri meminta Salibasic memohon maaf kerana didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ibunya sebanyak dua kali pada perlawanan itu.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata pada perlawanan tersebut beliau turut berada di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu namun tidak nampak sebarang pertelingkahan berlaku antara pemain.

Sementara itu, usaha Bernama untuk mendapatkan penjelasan daripada Salibasic di Stadium Negeri, Petra Jaya tidak kesampaian kerana pasukan Sarawak tidak menjalani latihan hari ini.

-- BERNAMA

Saturday, March 15, 2014

Terengganu Rampas Tangga Teratas Liga Super


KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Pasukan Terengganu merampas tangga teratas Liga Super daripada jiran mereka, Kelantan, selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Sabtu malam.

Gol tunggal pemain import dari Cameroon, Vincent Bikana pada minit ke-16 membolehkan skuad 'Penyu' menduduki tangga teratas liga dengan 13 mata bersama-sama Kelantan, namun dibezakan oleh jumlah jaringan.

Kelantan pula turun ke tangga kedua liga selepas mencatat keputusan seri 2-2 menentang Pahang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu.

Dua gol skuad 'The Red Warriors' dijaringkan oleh kapten pasukan Mohd Badhri Mohd Radzi seawal minit pertama dan Khairul Izwan Rosli pada minit ke-80 manakala dua gol pasukan pelawat dijaringkan Mohd Saiful Nizam Miswan dan Mohd Faizol Hussein, masing-masing pada minit ke-13 dan 70'.

Sementara itu, Sarawak merampas tangga ketiga daripada JDT selepas menewaskan Lions XII dari Singapura menerusi kemenangan 3-1 di Stadium Negeri, Kuching.

Tiga gol skuad 'Ngap Sayot' dijaringkan S. Chanturu pada minit ke-16 dan 40' serta Mohamad Rashid Aya (75') manakala gol sagu hati pasukan pelawat dihasilkan Muhammad Nazrul Ahmad Nazari pada minit ke-35.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) gagal menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri selepas terikat seri 1-1 ketika berdepan Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Penyerang import dari Brazil, Paulo Rangel terlebih dahulu meletakkan skuad 'Gergasi Merah' di hadapan seawal minit ketiga perlawanan sebelum Juan Manuel Arostegui menyamakan kedudukan untuk ATM pada minit-minit terakhir separuh masa pertama.

Sementara itu, pasukan Perak kalah mengejut 0-2 kepada wakil kelab Lembah Klang, Sime Darby FC di Stadium Perak, Ipoh.

Bekas pemain mereka, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri menjadi watak pemusnah pasukan tuan rumah selepas meledakkan dua jaringan masing-masing pada minit ke-16 dan 41'.

Terdahulu, pasukan tuan rumah ditimpa malang selepas pemain import dari Myanmar, Kyaw Zayar Win dilayang kad merah oleh pengadil perlawanan kerana melakukan kekasaran ke atas pemain Sime Darby FC.

--BERNAMA


Friday, March 14, 2014

PKNS FC Lonjak Ke Tangga Kedua Liga Super


KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Wakil kelab Lembah Klang, Selangor PKNS FC mencatatkan kemenangan selesa 3-1 ke atas T-Team pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini, malam ini.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan itu melonjak enam anak tangga ke kedudukan kedua liga, di belakang Kelantan dengan mengumpul 11 mata selepas tujuh perlawanan.

Tiga gol PKNS FC dijaringkan oleh Shahrul Azhar Ture pada minit ketujuh, kapten pasukan, Helmi Remeli (45+1') dan Khairu Azrin Khazali (60') manakala gol tunggal skuad 'The Titans' dihasilkan oleh Mohd Mazuki Yusof pada minit ke-29.

Dalam pada itu, pasukan kelab Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengukuhkan cengkaman di persada Liga Perdana selepas mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang FC (PBAPP FC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Kemenangan itu turut menyaksikan skuad 'The Cops' melebarkan rekod tanpa kalah kepada enam perlawanan dan mengumpul 18 mata.

Empat gol PDRM dijaringkan oleh Bobby Gonzales pada minit ke-23, Munir Amran (47'), Mat Saiful Mohamad (50'-gol sendiri) dan Ali Ashfaq (72').

Pulau Pinang mengekalkan kedudukan kedua liga dengan 16 mata walaupun sekadar terikat seri 1-1 dengan Felda United FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Andre Titi Buengo membuka tirai jaringan untuk pasukan tuan rumah seawal minit keempat sebelum Indra Putra Mahayuddin menyamakan kedudukan untuk Felda United FC pada minit ke-46.

Johor Darul Ta'zim (JDT) II melonjak empat anak tangga ke kedudukan ketiga liga hasil kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Dua gol skuad 'Harimau Selatan' itu dijaringkan oleh kapten pasukan, Shahril Ishak pada minit ke-51 dan Braulio Nobrega Rodriguez (71').

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, pasukan Kedah meraih tiga mata penuh selepas menang besar 4-1 ke atas SPA Putrajaya FC.

Empat gol skuad 'Helang Merah' dijaringkan oleh Jose Franco Gomez pada minit ke-14, Mohd Syazwan Zainon (58'), Adam Aidil Iskandar (68') dan Billy Osman Mehmet (71') manakala gol saguhati pasukan tuan rumah disumbangkan oleh Fadzly Iskandar pada minit ke-50.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pasukan Perlis dan Sabah berkongsi mata selepas seri 1-1.

Gol Kedah dijaringkan oleh Farouk Hashim pada minit ke-35 sebelum penyerang import dari Syria, Marwan Saydeh menyamakan kedudukan untuk Sabah, seminit kemudian.

Sementara itu, UiTM FC gagal menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri selepas kalah 1-2 kepada DRB-Hicom FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

-- BERNAMA

ATM 'Tempang' Tanpa Empat Tonggak Utama


KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 'tempang' menjelang aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang esok selepas empat tonggak utamanya disahkan cedera.

Mereka ialah penyerang Marlon Alex James yang berdepan masalah kecederaan belakang, pemain pertahanan iaitu K. Reuben dan Amiridzwan Taj Tajuddin (lutut) manakala pemain sayap kanan, Christie Jayaseelan dilaporkan bergelut dengan kecederaan pangkal paha.

"Senarai kecederaan kami semakin panjang dengan Marlon, Reuben, Taj tidak akan diturunkan manakala Christie belum pulih 100 peratus," kata Ketua jurulatih ATM, B. Sathianathan dalam laman web pasukan itu www.atmfa.my.

Pengendali berusia 55 tahun itu bagaimanapun optimis skuad 'The Gladiators' mampu bangkit pada perlawanan esok selepas tewas 1-4 kepada Pahang di Kuantan, minggu lepas.

"Terus terang saya katakan, persembahan kami pada perlawanan lepas adalah yang paling buruk sejak saya mengambil alih sebagai jurulatih ATM (pada 2012).

"Sebelum ini, kami tidak pernah tewas dengan jurang tiga gol, paling banyak pun dua gol. Kali terakhir kami bolos empat gol ialah pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia musim lepas, yang menyaksikan kami tewas 3-4 (kepada Sime Darby FC).

"Saya menagih persembahan yang lebih baik daripada pemain pada pertemuan menentang Selangor (esok)," kata Sathianathan.

Rekod kedua-dua pasukan menyaksikan ATM menang empat daripada lima pertemuan termasuk kemenangan dramatik 3-2 dalam saingan kumpulan Piala Malaysia musim lepas di Stadium Shah Alam manakala satu lagi pertemuan berakhir dengan keputusan seri 1-1.

-- BERNAMA

Liga Super: Obinna Nwaneri Mampu Sekat Kemaraan Dickson Nwakaeme

KOTA BAHARU, 14 Mac (Bernama) -- Kapten Kelantan Mohd Badri Mohd Radzi menyifatkan pemain import mereka, Obinna Nwaneri mampu menyekat kelincahan penyerang Pahang Dickson Nwakaeme dalam pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV esok.

Mohd Badri yang lebih mesra dengan panggilan Piya berkata ini kerana selaku bekas rakan sepasukan Obinna tahu corak permainan Nwakaeme.

"Kita tahu yang dia (Nwakaeme) memang berbahaya walaupun bermain di pasukan lain, tetapi kita tahu Nwaneri yang telah lama bermain dengannya tahu cara untuk menyekatnya daripada menjaringkan gol," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Beliau juga mengakui selain gandingan Nwakaeme dan Matias Conti di bahagian serangan, Pahang mempunyai pemain lain seperti R. Gopinathan dan Hafiz Kamal yang mampu memberi masalah kepada Red Warriors.

Akan tetapi katanya, Kelantan mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri yang harus dimanfaatkan untuk kekal sebagai peneraju liga.

Ketika ditanya mengenai jadual ketat yang dilalui pasukannya apabila perlu beraksi enam perlawanan dalam tempoh 17 hari termasuk pertemuan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Asia), beliau berkata situasi itu menuntut persediaan mental dan fizikal pemain.

"Musim lepas pun macam ini jadi kami perlu menghadapinya dan apa yang penting kita tidak melakukan kesilapan ketika perlawanan," katanya.

Kelantan menjadi pendahulu liga selepas enam perlawanan dengan empat kemenangan dan tewas dua.



-- BERNAMA

Thursday, March 13, 2014

PBSNT Tumpu Aspek Keselamatan Menjelang Terengganu Menentang JDT Esok


KUALA TERENGGANU, 13 Mac (Bernama) -- Bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku ketika Terengganu menentang Johor Darul Takzim (JDT) di sini esok, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memberi jaminan isu keselamatan pemain dan penyokong diutamakan.

Naib Presidennya Abdullah Sulong berkata bagi tujuan itu hampir 600 anggota keselamatan termasuk petugas akan ditempatkan di dalam dan luar stadium sepanjang perlawanan Liga Super itu berlangsung.

Katanya anggota terbabit terdiri Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan beberapa agensi berkaitan.

"Kita (PBSNT) telah mendapat arahan awal supaya meningkatkan aspek keselamatan khususnya di stadium termasuklah mengawal serta mengiring pemain, pegawai serta penyokong JDT ketika dalam perjalanan ke stadium atau keluar dari stadium jika mereka perlukan khidmat kami," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PBSNT mengenai aspek keselamatan di sini.

Mengenai pemasangan pagar tambahan di stadium yang disifatkan ramai pihak sebagai langkah keselamatan menjelang perlawanan `panas' menentang JDT, Abdullah berkata perkara itu sebenarnya telah lama dirancang dan hanya dipasang beberapa hari lepas.

"Secara kebetulan ia bertembung dengan perlawanan menentang JDT. Jadi, tidak timbul sebarang isu dalam hal ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Samsuddin berkata 250 hingga 300 anggota polis akan ditugaskan berkawal di stadium esok dan tindakan tegas akan diambil terhadap penyokong yang melakukan provokasi.

-- BERNAMA

Thursday, December 12, 2013

FAM Minta K.Devan, Felda United, Selesai Tuntutan Di Luar Jawatankuasa Status


KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Pengendali baharu skuad Liga Premier Pulau Pinang musim depan K. Devan akan berunding sendiri dengan Felda United untuk menyelesaikan tuntutannya.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Takiyuddin Hassan berkata jawatankuasa itu memutuskan Devan dan Felda United perlu berunding bagi menyelesaikan masalah itu.

"Boleh jadi mereka akan cuba mencari penyelesaian atas dasar penamatan kontrak pekerjaan secara persetujuan bersama. Ia telah dimaklumkan oleh kami dan Felda United sedia menerimanya.

"Kita harap mereka akan berunding untuk menentukan keputusan terbaik bagi kedua-dua belah pihak. Itu antara mereka. Kalau ia tidak dapat diselesai secara sendiri, baru datang balik kepada jawatankuasa," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Status Pemain FAM di Wisma FAM Khamis.

Takiyuddin berkata Felda United masih membayar gaji kepada Devan sebagai jurulatih walaupun telah melantik Irfan Bakti sebagai pengendali baharu pasukan itu untuk saingan musim depan.

"Felda United boleh melantik Irfan, dua jurulatih dalam satu pasukan tidak menjadi masalah. Seorang jurulatih bagi dua pasukan memang tidak dibenarkan. Sebab itu Felda United bersedia jika Devan menamatkan kontrak secara persetujuan bersama," katanya.

Devan akan menggantikan Merzagua Abderrazak yang tidak mempunyai sijil kejurulatihan Kelas A, untuk melatih Pulau Pinang.



-- BERNAMA

FAS Gugur Tuntutan, Nazri Ahmad Milik KAFA


Nazri Ahmad (kiri)

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Pemain pertahanan Nazri Ahmad menjadi milik Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) apabila Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) secara rasmi menarik balik tuntutan untuk mendapatkan khidmat pemain itu.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan FAS telah menghantar surat menggugurkan tuntutan itu kepada FAM pada Rabu.

"Kami telah menerima surat tarik balik tuntutan daripada pengadu (FAS) melalui Setiausaha Agung FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) kerana mereka dapat menyelesaikan perkara ini dengan KAFA sendiri.

"Hari ini, Setiausaha Agung KAFA mengesahkan bahawa isu itu sudah selesai. Nazri menjadi milik KAFA bagi musim 2014," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa itu di Wisma FAM Khamis.

Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA Azman Ibrahim berkata kemelut berhubung pemain itu diselesaikan dengan cara baik kerana tidak mahu hubungan erat antara kedua-dua persatuan terjejas.

Azman berkata Nazri telah menghantar surat permohonan maaf kepada FAS.

Bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) berusia 23 tahun itu dikatakan menandatangani kontrak bersama FAS tetapi membuat keputusan menyertai The Red Warriors pada musim akan datang.



-- BERNAMA

Friday, December 6, 2013

Pemain Dari Brazil, Burkina Faso Antara Yang Ikat Kontrak Dengan Skuad Seladang

IPOH, 5 Dis (Bernama) -- Tiga pemain import dari Brazil, Burkina Faso dan Myanmar adalah antara tiga pemain import yang sudah mengikat kontrak untuk bermain dengan Perak musim depan.

Mereka ialah Kyaw Zayar Win dari Myanmar yang dijangka diletak di bahagian midfield, Wendwoga Didier Martin (Burkina Faso) di bahagian pertahanan dan Anderson Rodrigues Cardosa (Brazil) selaku penyerang.

Pengurus Skuad Liga Super Perak Datuk Azhar Ahmad berkata Perak dijangka mengikat seorang lagi pemain import dari New Zealand untuk diletak bermain di bahagian penyerang.

Pemain ini dijangka tiba di Perak sebelum 10 Dis.

"Corak permainan pemain-pemain import sangat meyakinkan dan kita berpuas hati dengan mereka," katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani kontrak 23 pemain di sini malam tadi.

Beliau berkata Perak juga telah mengikat kontrak selama dua hingga tiga tahun seramai 10 pemain Piala Presiden yang elaun mereka turut dinaikkan kepada RM5,000.

"Mereka ini telah menunjukkan komitmen yang sangat baik. Jika kita tidak ikat pemain ini, saya yakin mereka akan dicuri oleh negeri lain seperti sebelum ini," katanya.

Azhar berkata Perak akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Kelantan pada 10 Dis ini di Stadium Perak.

Pada Januari depan para pemain akan memulakan latihan dengan turut beraksi pada perlawanan persahabatan di beberapa daerah, katanya.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...