Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Dickson Nwakaemi. Show all posts
Showing posts with label Dickson Nwakaemi. Show all posts

Friday, March 14, 2014

Liga Super: Obinna Nwaneri Mampu Sekat Kemaraan Dickson Nwakaeme

KOTA BAHARU, 14 Mac (Bernama) -- Kapten Kelantan Mohd Badri Mohd Radzi menyifatkan pemain import mereka, Obinna Nwaneri mampu menyekat kelincahan penyerang Pahang Dickson Nwakaeme dalam pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV esok.

Mohd Badri yang lebih mesra dengan panggilan Piya berkata ini kerana selaku bekas rakan sepasukan Obinna tahu corak permainan Nwakaeme.

"Kita tahu yang dia (Nwakaeme) memang berbahaya walaupun bermain di pasukan lain, tetapi kita tahu Nwaneri yang telah lama bermain dengannya tahu cara untuk menyekatnya daripada menjaringkan gol," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Beliau juga mengakui selain gandingan Nwakaeme dan Matias Conti di bahagian serangan, Pahang mempunyai pemain lain seperti R. Gopinathan dan Hafiz Kamal yang mampu memberi masalah kepada Red Warriors.

Akan tetapi katanya, Kelantan mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri yang harus dimanfaatkan untuk kekal sebagai peneraju liga.

Ketika ditanya mengenai jadual ketat yang dilalui pasukannya apabila perlu beraksi enam perlawanan dalam tempoh 17 hari termasuk pertemuan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Asia), beliau berkata situasi itu menuntut persediaan mental dan fizikal pemain.

"Musim lepas pun macam ini jadi kami perlu menghadapinya dan apa yang penting kita tidak melakukan kesilapan ketika perlawanan," katanya.

Kelantan menjadi pendahulu liga selepas enam perlawanan dengan empat kemenangan dan tewas dua.



-- BERNAMA

Monday, April 1, 2013

Kelantan Azam Pertahan Rekod Tanpa Kalah, Kata Jurulatih


KOTA BAHARU, 1 April (Bernama) -- Kelantan berharap untuk mempertahankan rekod tanpa kalah apabila bertemu pasukan Vietnam, SHB Da Nang FC dalam perlawanan Kumpulan G Piala Persekutuan Bola Sepak Asia (Piala AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini esok.

Ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak berkata pasukan bimbingannya berazam meraih tiga mata daripada perlawanan itu walaupun ia mungkin tugas sukar kerana pasukan pelawat merupakan pasukan terbaik dalam liga di negara mereka.

"Saya percaya perlawanan pasti sengit kerana mereka merupakan pasukan terbaik di Vietnam. Penyerang utama mereka merupakan penjaring terbanyak dalam Liga Vietnam. Mereka juga dibarisi banyak pemain handal yang bermain dalam pasukan kebangsaan mereka.

"Mereka merupakan pasukan amat berpengalaman dan pemain telah bermain bersama-sama sejak beberapa tahun lamanya. Mereka tidak banyak berubah dalam beberapa tahun lepas," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.

Kelantan, juara treble Liga-M musim lepas, telah beraksi dalam dua perlawanan dalam kejohanan Piala AFC, menang satu dan seri dalam satu lagi perlawanan manakala SHB Da Nang menang dalam dua perlawanan.

Bojan berkata beliau akan menurunkan kedua-dua pemain import, Dimitrios Pertratos dan Dickson Nwakaemi bagi perlawanan itu kerana prestasi kedua-dua pemain bertambah baik selepas bermain bersama-sama dalam beberapa perlawanan.

"Dickson membantu, Dimitrios melakukan jaringan, jadi saya harap mereka akan bermain seperti sebelum ini (dalam perlawanan ini)," katanya.

Ketua jurulatih SHB Da Nang, Le Huynh Duc berkata beliau akan menurunkan barisan terbaik untuk mencuba dan mengalahkan Kelantan di laman mereka sendiri untuk pulang dengan tiga mata dalam perlawanan pusingan kedua mereka.

"Tiga hari lepas kami beraksi dalam Liga Vietnam dan kini datang ke Malaysia. Semua orang letih tetapi kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk mengutip mata penuh daripada perlawanan.

"Kami telah membawa pasukan terbaik kami yang telah menang enam perlawanan dan satu seri dalam Liga Vietnam. Saya fikir prestasi pemain berada pada tahap terbaik dan saya akan cuba menurunkan semua pemain terbaik dalam perlawanan esok malam," katanya.



-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...