Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, November 8, 2012

Wajah baharu Gergasi Merah


MAHALI (kanan) antara muka baharu Selangor dalam saingan Liga M musim depan.


SELANGOR bakal berwajah baharu bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Selepas sah kehilangan khidmat kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim yang membuat keputusan menyertai Johor, Selangor telah mendapatkan beberapa muka baharu bagi memperkuatkan cabaran skuad Gergasi Merah.
Paling mencuri tumpuan apabila Selangor berjaya mendapatkan khidmat beberapa pemain kebangsaan, antaranya penjaga gol Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli, tonggak pertahanan Harimau Muda A, Mahali Jasuli dan pemain sayap Negeri Sembilan, S. Kunanlan.
Selangor turut berjaya melamar penyerang import Terengganu yang juga pemenang anugerah Kasut Emas musim ini, Francis Forkey Doe bagi menggantikan Bosko Balaban yang tidak melanjutkan kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yakin, dengan kombinasi pemain baharu dan lama, ia mampu memberikan satu keputusan positif buat Gergasi Merah bagi mengharungi saingan Liga M musim depan.

“Kami kini berwajah baharu dan saya menyeru kepada pemain-pemain baharu dan lama Selangor agar menamatkan penantian untuk memenangi trofi Liga Super musim depan.

“Apa yang pasti, saya gembira kerana berjaya mendapatkan pemain-pemain yang memiliki kualiti dan saya percaya, kami berada di landasan tepat pada musim depan.

“Justeru, saya berharap mereka dapat bekerjasama dalam usaha untuk membentuk persefahaman lebih mantap dan mengekalkan reputasi Selangor,” kata Irfan semalam.

Ketika diminta mengulas ketiadaan Safiq mulai musim depan, Irfan mengakui, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada Gergasi Merah selepas kehilangan pakar sepakan percuma itu.

“Tidak dapat dinafikan, kehilangan Safiq memberikan kesan kepada Selangor. Dia merupakan seorang ketua pasukan yang bagus serta pakar dalam gerakan set-piece.

“Namun, bola sepak adalah semangat berpasukan dan ia bukan dalam bentuk individu.

“Apa yang pasti, saya mahu membantu Selangor muncul sebagai juara Liga Super pada musim depan,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan bahawa pemain tengah, Azidan Saruddin menyertai Pahang musim depan.

--- KOSMO

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...