Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Mohammad Ghaddar. Show all posts
Showing posts with label Mohammad Ghaddar. Show all posts

Monday, March 17, 2014

Kelantan Resah Dengan Ketiadaan Ghaddar Dan Fakri Esok


KOTA BAHARU, 17 Mac (Bernama) -- Kelantan terpaksa turun tanpa kelibat dua penyerang utama menjelang pertemuan dengan kelab Vietnam, XM Vissai Ninh Binh pada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di sini, esok.

Ketua jurulatih 'The Red Warriors' (TRW) Steve Darby berkata pasukannya menghadapi krisis di barisan depan dengan ketiadaan penyerang import Mohammad Ghaddar dan Ahmad Fakfri Saarani yang mengalami kecederaan.

"Mohammad Ghaddar sudah pasti tidak dapat beraksi manakala peluang Ahmad Fakri amat tipis sekali. Bagaimanapun, Ahmad Fakri akan beraksi pada perlawanan Liga Super menentang Selangor, Sabtu ini," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Jurulatih berusia 59 tahun itu berkata beliau masih belum menentukan kesebelasan utama tetapi sudah pasti akan menurunkan Ahmad Shakir Ali kerana mahu menang setiap perlawanan.

Darby berkata beliau terpaksa menggunakan khidmat pemain yang sedia ada kerana terpaksa mengharungi jadual padat apabila anak buahnya terpaksa bermain enam perlawanan dalam tempoh 17 hari.

Dalam saingan Piala AFC, Kelantan membuka cabaran kumpulan dengan mengalahkan kelab South China dari Hong Kong 2-0 manakala XM Vissai Ninh Binh mengatasi Kelab Myanmar, Yangon United 3-2.

Sementara itu, jurulatuh kelab Vietnam itu, Nguyen Van Sy menyifatkan pertemuan dengan Kelantan adalah sengit.

"Kami datang ke sini dengan sasaran membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata," katanya.



-- BERNAMA

Tuesday, January 8, 2013

Felda United buru tiga mata

Oleh Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my

Ketua jurulatih, K Devan yakin anak buahnya dapat menterjemahkan strategi dirancang bagi meraih tiga mata walaupun beraksi di gelanggang lawan.
Katanya, selepas gigih menjalani latihan dan berjaya menunjukkan prestasi serta persefahaman baik, kini tiba masanya setiap pemain membuktikan kemampuan dengan memberikan persembahan bertenaga pada cabaran sebenar saingan berprestij ini.

“Kami sudah bersedia untuk memulakan cabaran dan saya harap pemain dapat memberikan persembahan terbaik pada aksi pembuka tirai ini dengan keputusan membanggakan sebagai suntikan semangat untuk meneruskan cabaran berikutnya.

“Walaupun Terengganu memiliki reputasi lebih baik dalam Liga Malaysia, ia tidak bermakna kami tidak boleh mencapai kemenangan. Saya sudah mengingatkan pemain supaya beraksi sebagai satu pasukan dan berikan yang terbaik,” katanya.

Mengenai pemain yang bakal diturunkan, Devan berkata, semua pemain berada pada prestasi baik dari segi fizikal dan mental dan beliau mempunyai beberapa pilihan untuk menurunkan kesebelasan terbaik petang nanti.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan menggandingkan Muhamad Ghaddar dan Razali Umar Kandasamy di posisi penyerang sambil mengharapkan mereka dapat melakukan sentuhan berbisa dengan merobek gawang Terengganu.

--- HARIAN METRO

Sunday, August 19, 2012

'FAM tidak amal sikap pilih kasih'


TAUFIK


KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dilihat menjatuhkan hukuman ‘tidak setimpal’ terhadap pemain import Kelantan, Mohammed Ghaddar, Khamis lalu jelas mengundang pertikaian beberapa pihak.

Ini kerana Ghaddar hanya digantung satu perlawanan dan didenda RM2,000 selepas didapati bersalah mengasari pemain pertahanan Selangor, Mohd. Bunyamin Umar pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 29 Jun lalu.

Selain Bunyamin yang didakwa telah menumbuk Ghaddar sebanyak dua kali, kapten Selangor, Mohd. Amri Yahyah juga didakwa melakukan kekasaran apabila memijak belakang pemain import tersebut dalam perlawanan itu.

Berbanding Ghaddar, skrip berbeza menyelubungi Bunyamin dan Amri yang akhirnya digantung tiga perlawanan serta denda RM1,500 setiap seorang selepas kedua-duanya mengaku salah atas kesalahan tiada semangat kesukanan dan berkelakuan ganas, 7 Oktober lalu.

Situasi itu menyebabkan FAM didakwa mengamalkan sikap ‘pilih kasih’, namun ia segera dinafikan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Razak.

“Tiada istilah ‘pilih kasih’ atau ‘lembut hati’ kerana setiap hukuman yang dijatuhkan berdasarkan peraturan yang termaktub dalam undang-undang FAM.

“Bagi kes Ghaddar, beliau didapati bersalah kerana memulakan ‘sentuhan fizikal’ terhadap Bunyamin.

“Namun, kekasaran itu dinilai dari sudut berbeza. Ghaddar (yang tidak mengaku bersalah) didapati bersalah kerana menggunakan fizikal terhadap pemain itu (Bunyamin).

“Ternyata tindakan Ghaddar tersebut tidak mencerminkan semangat kesukanan.

“Jadi, kami telah menilai semula dengan mengambil pendekatan ‘peruntukan istimewa’ yang mana tahap kekasaran Ghaddar itu lebih rendah,” jelas Taufik kepada Kosmo! Ahad.

Begitupun, kontroversi membabitkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM sebelum ini bukan sesuatu yang baharu.

Pada 4 April lalu, Tan Sri Annuar Musa hilang status sebagai Timbalan Presiden FAM dan juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan gara-gara digantung dua setengah tahun selepas didapati bersalah membuat kenyataan akhbar berbau negatif mengenai skuad bola sepak negara.

Ia berdasarkan Artikel 88 Statut FAM 2010-2014 apabila hanya Presiden dan Setiausaha Agung FAM yang boleh memberi komen.

Presiden Bola Sepak Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan Setiausaha Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Datuk Khaidir Buyong begitupun hanya dikenakan amaran biarpun dilaporkan turut membuat tindakan yang sama selepas itu.

Taufik juga menegaskan, mana- mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM tidak boleh mengemukakan bantahan berhubung apa-apa keputusan pihaknya.

“Ia keputusan sebulat suara ahli jawatankuasa dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak, jadi ia tidak boleh dipertikai,” jelasnya.

--- KOSMO

Wednesday, August 15, 2012

KAFA tetap mahu hukum Ghaddar

PENYERANG import Kelantan, Mohammad Ghaddar yang sebelum ini gagal melaporkan diri untuk menjalani latihan bersama The Red Warriors bakal dihadap- kan ke Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil selepas Ghaddar melanggar peraturan dengan mengambil cuti tanpa kebenaran seperti yang telah diberikan kepadanya sebelum ini.

Menurutnya, Ghaddar yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan, akan berlepas dari Beirut, Lebanon malam ini dan dijangka tiba di Kota Bharu kira-kira pukul 1.50 petang esok.

"Sejurus tiba, dia (Ghaddar) akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin KAFA. KAFA akan mengeluarkan surat tunjuk sebab dan dia perlu menjawab mengapa dia tidak melaporkan diri pada 5 Ogos lalu.

"Disiplin tetap disiplin, tiada istilah pemain emas atau sebaliknya. Peraturan tetap perlu dikuat kuasa," kata Annuar semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kegusaran penyokong The Red Warriors berikutan kegagalan Ghaddar hadir pada sesi latihan persiapan bagi menghadapi kempen Piala Malaysia yang dijadualkan bermula 22 Ogos ini.

Annuar memberitahu, tonggak utama skuad kebangsaan Lebanon itu bakal berdepan latihan intensif dalam usaha untuk mengembalikan semula kecergasannya selepas berehat lebih sebulan tanpa sebarang aksi kompetitif.

"Kita mahu dia (Ghaddar) mengemba- likan prestasinya menjelang saingan Piala Malaysia nanti.

"Jikalau dia gagal mengembalikan semula kecergasannya, dia pasti akan berada di bangku simpanan, begitu juga dengan pemain-pemain lain.

"Hukuman itu sudah menjadi amalan pasukan dan kita tidak mahu terlalu bergantung harap kepada seorang pemain sahaja memandangkan Kelantan mempunyai 30 pemain yang boleh diturunkan pada bila-bila masa," ujarnya.

Selain berdepan dengan tindakan KAFA, Ghaddar juga berkemungkinan tidak terlepas daripada hukuman Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan membicarakan kesnya esok.

Ghaddar didakwa bertelagah dengan pemain pertahanan Selangor, Mohd. Bunyamin Umar pada aksi Liga Super di Sta- dium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 29 Jun lalu.

Selain Bunyamin yang didakwa telah menumbuk Ghaddar sebanyak dua kali, kapten Selangor, Mohd. Amri Yahyah di- laporkan telah memijak belakang pemain import itu.

Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bersidang minggu lalu menghukum Bunyamin dan Amri dengan mengenakan denda RM1,500 serta digantung tiga perlawanan sebaik kempen Piala Malaysia bermula.

--- KOSMO

Friday, August 10, 2012

Ghaddar lapor diri Isnin ini


GHADDAR (tengah) pulang ke Lebanon sebaik tamat perlawanan persahabatan menentang QPR pada 20 Julai lalu.


PENYERANG import Kelantan, Muhammad Ghaddar yang hilang tanpa selepas gagal melaporkan diri untuk sesi latihan bersama pasukan itu pada pada 5 Ogos lalu akan kembali ke Kota Bharu, Isnin ini.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim memberitahu, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh ejen pemain tersebut selepas empat hari kelibatnya tidak kelihatan menjalani latihan.

Menurutnya, beliau juga difahamkan, kegagalan pemain tersebut melaporkan diri pada tarikh berkenaan berikutan kematian bapa saudaranya selepas beliau pulang bercuti sebaik tamat perlawanan persahabatan menentang Queens Park Rangers (QPR) pada 20 Julai lalu.

"Kita akan tunggu penjelasan daripada pemain itu sendiri sebaik dia tiba di sini (Kota Bharu) Isnin ini seperti yang dimaklumkan.

"Namun, dia tidak akan terlepas hukuman sekiranya gagal memberikan alasan munasabah.

"Sepatutnya isu ini tidak akan diperbesarkan kerana saya sudah berbincang dengan ketua jurulatih, Bojan Hodak, tumpuan kita kini adalah persiapan untuk menghadapi Piala Malaysia," katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya mengenai perbicaraan Muhammad Ghaddar yang sepatutnya berdepan Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, Azman memberitahu: "Kita sudah menerima surat daripada FAM meminta Muhammad Ghaddar supaya hadir pada sesi perbicaraan tersebut esok (hari ini).

"Kita sudah pun membalas surat berkenaan dan menyatakan bahawa pemain berkenaan masih belum sampai di Kota Bharu.

"Kita telah memperincikan mengenai ketiadaan Muhammad Ghaddar yang sepatutnya menyertai pasukan pada Ahad lalu tetapi beliau hanya akan kembali pada Isnin ini."

Katanya, pihaknya akan memaklumkan kepada FAM selepas pemain kebangsaan Lebanon itu kembali melaporkan diri untuk mengatur tarikh perbicaraan yang baharu.

Jelasnya, Muhammad Ghaddar perlu dan wajib menghadiri sesi perbicaraan tersebut kerana melalui surat yang dihantar kepada FAM 31 Julai lalu, pemain berkenaan mengaku tidak bersalah dengan pertuduhan yang dikenakan.

--- KOSMO

Saturday, June 30, 2012

Kelantan Rampas Posisi Pendahulu Liga Super


KOTA BAHARU, 30 Jun (Bernama) -- Kelantan berjaya merampas kedudukan persada liga daripada pasukan Lions XII apabila mengalahkan Selangor 1-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV, di sini, malam ini.

Jaringan pemain import Mohamad Ghaddar pada minit ke-25 membantu Kelantan memintas Lions XII dari Singapura dengan kelebihan satu mata selepas 22 perlawanan.

Kelantan kini mengumpul 51 mata manakala Lions XII ketinggalan satu mata di tangga kedua selepas 24 perlawanan.

Kelantan menguasai perlawanan tetapi gagal mencari gol sehingga Mohamad Ghaddar menceriakan peminat dengan tandukan, hasil sepakan sudut oleh Norfarhan Muhammad.

Selangor kini menghuni tangga keempat liga dengan 36 mata daripada 22 perlawanan.

-- BERNAMA

Monday, April 16, 2012

Ghaddar ganti Nwoha

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
16 April 2012
Ghaddar ganti Nwoha

 PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) akhirnya memilih Mohammad Ghaddar menggantikan Onyekachi Nwoha bagi mengharungi baki perlawanan Liga Super dan kempen Piala FA.

Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail berkata, keputusan menyenaraikan kembali Ghaddar dicapai dalam satu mesyuarat tertutup semalam.

“Kita yakin pengalaman yang dimiliki Mohammad Ghaddar diharap dapat menyumbangkan sesuatu kepada pasukan terutamanya dalam keadaan di mana kita perlu mengharungi jadual perlawanan padat daripada beberapa pertandingan ketika ini,” katanya yang tidak menafikan Nwoha masih diperlukan dalam kempen dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC), namun tertakluk kepada perbincangan pihak pengurusan.

Penjaring terbanyak Kelantan dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala AFC) itu dijangka diturunkan dalam perlawanan bertemu T-Team pusingan kedua Liga Super di Kuala Terengganu, Selasa ini.

Mohammad Ghaddar, 28, di awal penampilannya bersama Kelantan mencetuskan kontroversi apabila digelar ‘pakar sepakan penalti’ setelah hanya mampu menjaringkan dua gol menerusi cara tersebut dan memaksa beliau digantikan oleh Nwoha pertengahan Februari lalu.

Bagaikan sudah menemui tonik kebangkitan, Ghaddar kembali membuktikan sentuhan berbisa dengan meledakkan hatrik ketika Kelantan menewaskan Arema FC 3-0 dalam kempen Piala AFC di Kota Bharu selain turut menyumbang dua gol peribadi apabila menewaskan lawan yang sama 3-1 di Kota Malang, Surabaya pada 10 April lalu.

--- SINAR HARIAN

Ghaddar kembali disenaraikan


GHADDAR kembali disenaraikan dalam skuad liga Super Kelantan.


SEPERTI yang diramal, penyerang import dari Lebanon, Muhammad Ghaddar kini kembali menyarung jersi skuad Liga Super Kelantan selepas berjaya meledak lima gol dalam dua perlawanan terakhir.

Hatrik ketika aksi di Kota Bharu dan dua lagi gol direkodkan di Kota Malang, Indonesia ketika aksi menentang Arema FC dalam kempen Piala AFC berjaya memikat hati pihak pengurusan.

Selepas hampir dua bulan direhatkan ekoran bergelut dengan prestasi yang tidak begitu memberangsangkan, Ghaddar membuktikan beliau adalah taruhan terbaik untuk Kelantan menghadapi baki saingan Liga Super yang akan memasuki pusingan kedua.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Negeri, Rosmadi Ismail berkata, keputusan membawa masuk kembali Ghaddar menggantikan Onyekachi Nwoha berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, selepas meneliti prestasi semasa pemain berkenaan, pihak pengurusan dan jurulatih, Bojan Hodak setuju untuk menyenaraikan Ghaddar sebagai pemain import untuk aksi Liga Malaysia.

"Keputusan tersebut dibuat selepas pihak pengurusan meneliti laporan yang disediakan oleh pihak jurulatih dan kita berpendapat Ghaddar lebih baik namun, khidmat Nwoha tetap diperlukan.

"Tidak timbul campur tangan daripada pihak pengurusan dalam keputusan ini kerana sejak dulu lagi kita menyerahkan urusan pasukan kepada pihak jurulatih untuk membuat penilaian," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, keputusan untuk mengekalkan Nwoha juga tertakluk kepada perbincangan antara pihak pengurusan dan pemain tersebut. Sekiranya Nwoha bersetuju untuk kekal, beliau akan beraksi pada Piala AFC.

Katanya, setakat ini Kelantan mengekalkan empat pemain importnya termasuk dua lagi, pemain pertahanan Obinna Nwaneri untuk Liga Malaysia dan Denny Antwi yang disenaraikan untuk beraksi pada Piala AFC.

"Merujuk prestasi Ghaddar dalam perlawanan lepas, kita berharap dan yakin beliau mampu memberikan yang terbaik kepada pasukan.

"Semua tahu kita mempunyai jadual yang ketat, jadi kita memerlukan pemain yang mempunyai prestasi dan kualiti yang tinggi. Kita harap Ghaddar bersedia untuk itu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Rosmadi yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberitahu, penggantungan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa tidak menjejaskan proses pengurusan pasukan.

Jelasnya, pihak pengurusan menjalankan tugas seperti biasa dengan mengikut segala peraturan yang ditetapkan.

--- KOSMO

Friday, March 9, 2012

Kelantan lepas peluang


Pemain Navibank Saigon, Edison Fonseca Pulgarin (tengah) diasak pemain pertahanan Kelantan, Nwaneri Obinna (kanan) dalam saingan Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, semalam. - UTUSAN/hafiz johari


KUALA LUMPUR - Kelantan gagal mengikuti jejak Terengganu apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan wakil dari Vietnam, Navibank Saigon dalam pertemuan pembukaan Kumpulan H Piala AFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Walaupun diramalkan mampu meraih kemenangan, Kelantan yang membariskan keempat-empat pemain importnya termasuk Mohamad Ghaddar dan Antwi Dennis Agyare dilihat gagal memberikan persembahan cemerlang di samping ketumpulan penyudah menyebabkan Red Warriors sekadar terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata.

Di hadapan 2,000 penonton, Navibank lebih banyak menguasai bola di awal perlawanan dan hampir mendahului pada minit ke-8 melalui Edison Fonseca, namun mujur kecekapan Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan keadaan apabila bertindak bijak menampan percubaan penyerang dari Colombia itu.

Kelantan yang bermula kurang menyakinkan dalam perlawanan itu perlahan-lahan mula mendapat rentak dalam perlawanan itu apabila banyak melakukan gerakan berbahaya melalui Ghaddar dan Badri Radzi.

Peluang terbaik menerusi Ghaddar pada minit ke-26, namun rembatannya tersasar ke arah kiri pintu gol walaupun hanya berhadapan dengan penjaga gol Navibank, Santos selepas berjaya mengatasi kawalan pertahanan Navibank, Vincent Bossou.

Namun, persembahan Nwoha dan Antwi dilihat tidak banyak membantu serangan Kelantan kerana mempamerkan prestasi hambar dan sering kali gagal membaca dengan baik hantaran-hantaran yang dilakukan oleh rakan sepasukan.

Sepuluh minit sebelum separuh masa kedua tamat, perlawanan berlangsung dalam keadaan hujan lebat dan kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dalam keadaan permukaan padang yang bertakung dan becak yang mengganggu tempo permainan.

Melalui hantaran lintang Mohd. Zamri Ramli, Nwoha sepatutnya boleh memecahkan kebuntuan pada minit ke-67 tetapi tandukannya tersasar ke arah kanan.

Kelantan melakukan beberapa pertukaran memasukkan S. Chanturu, Mohd. Norfarhan Mohd. dan Mohd. Ramzul Zaini Adnan pada penghujung separuh masa kedua tetapi ia tidak merubah keputusan perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

Dalam satu lagi pertemuan, Arema Indonesia sekadar terikat 1-1 dengan wakil dari Myanmar, Ayeyawady United di Stadium Gajayana.

--- UTUSAN

Saturday, January 7, 2012

Ghaddar sedia bukti kemampuan



KOTA BHARU - Penyerang import Red Warriors dari Lebanon, Mohammad Ghaddar mahu membantu pasukannya mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah pada Perlawanan Sumbangsih menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.

Pemain kelahiran Beirut, Lebanon itu berkata, corak latihan yang diterapkan jurulatih Peter Butler sangat baik, namun dia masih berusaha mencari keserasian bersama rakan pada bahagian serangan.

Menurutnya, perlawanan esok merupakan pentas terbaik buatnya membuktikan ketajaman penyudah selepas gagal membantu Kelantan menjulang kejuaraan Piala Unity, baru-baru ini.

"Beraksi bersama pasukan baru dengan suasana yang cukup berbeza, saya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

"Saya tahu peminat meletakkan harapan yang tinggi untuk menjaringkan sebanyak gol yang mungkin.

"Saya bertekad untuk memberikan aksi terbaik buat pasukan, seterusnya membantu Kelantan meraih kejuaraan musim ini," katanya di sini, kelmarin.

Mengulas perlawanan esok, bekas Penjaring Terbanyak Piala AFC 2007 itu memberitahu, dia mengetahui mengenai kekuatan pasukan lawan, namun yakin Kelantan mampu mencatatkan kemenangan.

"Kelantan sebuah pasukan yang kuat dan kami memiliki pemain yang sentiasa hebat ketika di padang. Perlawanan Sabtu ini merupakan pentas terbaik untuk saya buktikan kemampuan.

"Sasaran saya untuk memecahkan rekod jaringan penyerang import Kelantan musim 2008, Mohamadou Mustapha yang meledak 28 gol. Dengan bantuan rakan sepasukan, saya yakin dan percaya sasaran itu mampu dicapai," ujarnya.


--- Utusan Malaysia

Karathu ramal Kelantan juara


GHADDAR, tonggak import berbisa Kelantan musim ini.


“SAYA ramal Kelantan mampu menewaskan Negeri Sembilan seterusnya mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih tahun ini.”

Demikian ramalan bekas pengendali The Red Warriors (TRW) 2011, Datuk M. Kara- thu menjelang pertemuan Kelantan dengan Negeri Sembilan dalam saingan Piala Sumbangsih di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Beliau berkata, berdasarkan ramuan pemain yang dimiliki oleh TRW musim ini, skuad bimbingan Peter Butler itu dilihat lebih ampuh berbanding musim lalu dengan memiliki ramai pemain yang berkualiti.

“Saya lihat musim ini TRW mempunyai ramai pemain yang berkualiti dan mampu menjaringkan gol. Ditambah pula dengan pemain sedia ada, Kelantan mampu membentuk gandingan mantap di semua posisi.

“Kemasukan beberapa pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahyuddin, Azizi Mat Rose, Nor Farhan Mohammad serta dua tonggak import iaitu Mohammad Ghaddar dan Danny Antwi memberikan banyak pilihan kepada ketua jurulatihnya Butler untuk merencanakan ramuan terbaik bagi menghadapi Negeri Sembilan pada perlawanan Sumbangsih kelak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, kemasukan pemain tersebut bakal mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pemain seterusnya membantu membentuk sebuah pasukan yang mantap.

Karathu memberitahu, penghijrahan beberapa tonggak utama Negeri Sembilan ke pasukan lain musim ini dilihat memberi sedikit kele- bihan kepada Kelantan.

“Begitupun kemampuan skuad bimbingan Mohd. Azrai Khor Abdullah itu tidak boleh dipandang remah oleh Kelantan. Mereka pasti mempunyai perancangan yang tersendiri untuk menghadapi perlawanan ini. Namun saya percaya Kelantan juga ada ramuan untuk menghadapi lawan mereka itu yang juga juara Piala Malaysia musim lalu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Karathu berkata, beliau sempat sempat menonton dua aksi bekas pasukannya itu ketika menentang Persabaya baru-baru ini.

Menurutnya, berdasarkan pengamatannya sepanjang menyaksikan perlawanan tersebut, Kelantan dilihat mampu mencabar pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

“Beraksi dengan lapan pemain dalam perlawanan pusingan pertama, Kelantan masih mampu mempamerkan corak serangan dan tidak mudah hilang fokus.

“Begitu juga dalam aksi kedua, walaupun beraksi di atas padang yang tidak berapa baik, namun mereka masih mampu mempamerkan persembahan yang bagus,” jelasnya.


--- Kosmo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...