16 April 2012
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) akhirnya memilih Mohammad Ghaddar
menggantikan Onyekachi Nwoha bagi mengharungi baki perlawanan Liga Super
dan kempen Piala FA.
Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail berkata, keputusan menyenaraikan
kembali Ghaddar dicapai dalam satu mesyuarat tertutup semalam.
“Kita yakin pengalaman yang dimiliki Mohammad Ghaddar diharap dapat
menyumbangkan sesuatu kepada pasukan terutamanya dalam keadaan di mana
kita perlu mengharungi jadual perlawanan padat daripada beberapa
pertandingan ketika ini,” katanya yang tidak menafikan Nwoha masih
diperlukan dalam kempen dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (Piala
AFC), namun tertakluk kepada perbincangan pihak pengurusan.
Penjaring terbanyak Kelantan dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak
Asia (Piala AFC) itu dijangka diturunkan dalam perlawanan bertemu T-Team
pusingan kedua Liga Super di Kuala Terengganu, Selasa ini.
Mohammad Ghaddar, 28, di awal penampilannya bersama Kelantan
mencetuskan kontroversi apabila digelar ‘pakar sepakan penalti’ setelah
hanya mampu menjaringkan dua gol menerusi cara tersebut dan memaksa
beliau digantikan oleh Nwoha pertengahan Februari lalu.
Bagaikan sudah menemui tonik kebangkitan, Ghaddar kembali membuktikan
sentuhan berbisa dengan meledakkan hatrik ketika Kelantan menewaskan
Arema FC 3-0 dalam kempen Piala AFC di Kota Bharu selain turut
menyumbang dua gol peribadi apabila menewaskan lawan yang sama 3-1 di
Kota Malang, Surabaya pada 10 April lalu.
--- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.