Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Piala Malaysia 2013. Show all posts
Showing posts with label Piala Malaysia 2013. Show all posts

Saturday, October 5, 2013

Kelantan Perlu Jaringkan Dua Gol Separuh Masa Pertama - Bojan Hodak

KOTA BAHARU, 4 Okt (Bernama) -- Kelantan perlu menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama dalam perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok untuk berada dalam zon selesa, kata jurulatih Bojan Hodak.

Beliau berkata walaupun sukar untuk dicapai kerana Johor DT mempunyai barisan pemain seimbang baik dari segi penyerang dan pertahanan, The Red Warriors mampu melakukannya kerana bermain di laman sendiri dengan sokongan padu peminat.

"Saya tahu sukar untuk menjaringkan dua gol (dalam seprauh masa pertama) dan kami mempunyai kelebihan sekiranya dapat bermain sepertimana di Johor dalam perlawanan pertama...kami mencipta banyak peluang dalam babak kedua.

"Jadi buat masa ini saya pasti sekiranya stadium penuh, kami boleh menang dengan dua gol. Saya sentiasa percaya setiap kali kami bermain di Kota Baharu kami boleh kalahkan siapa sahaja," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam perlawanan pertama peringkat suku akhir di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor, Sabtu lepas, Johor DT meningkatkan peluang untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas mencatatkan kemenangan selesa 4-2 ke atas juara bertahan Kelantan.

Namun Kelantan turut berdepan masalah kerana Mohd Daudsu Jamaluddin dan Zairul Fitree Ishak cedera dan pasukan kini bergantung kepada pemain import mereka Obinna Nwaneri dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim untuk mengawal gawang.

Hodak juga mengingatkan pemain supaya berwaspada dengan Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali dan Nurul Izwan Roya kerana gandingan ketiga-tiga pemain itu berjaya mencipta kemahiran unik dan amat serasi.

"Pemain paling bahaya pastinya Awe (Nurul Izwan), Mat Yo (Norshahrul) dan Safee Sali. Safee Sali beraksi dengan baik di Johor manakala Mat Yo ialah pemain yang sentiasa bersemangat tinggi...begitu juga dengan Awe.

"Awe bagi saya ialah seorang pemain yang baik...antara pemain pilihan saya, jadi saya rasa mereka bertiga adalah teras utama...Safiq Rahim juga bahaya," kata Hodak.

-- BERNAMA

Sarawak Yakin Kelebihan Untuk Langkah Ke Separuh Akhir Piala Malaysia

KUCHING, 4 Okt (Bernama) -- Demam bola sepak yang kini melanda Sarawak dan kelebihan melayan Sime Darby FC di laman sendiri pada suku akhir kedua Piala Malaysia esok sudah pasti menyemarakkan semangat anak buah Robert Alberts.

Alberts, selaku ketua jurulatih skuad Sarawak, sudah melaungkan amaran bahawa pasukan itu mempunyai kelebihan di Stadium Negeri di Petra Jaya di sini untuk melangkah ke separuh akhir.

"Kami mempunyai peluang baik untuk mencapai sasaran...lebih-lebih lagi dengan bantuan semangat demam bola sepak yang melanda di seluruh negeri.

"Kejayaan bakal dicapai ini bukan sahaja untuk pasukan malah untuk rakyat Sarawak," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Minggu lepas, Sarawak, selaku juara Liga Perdana musim ini dan naib juara Sime Darby FC mencapai keputusan seri tanpa jaringan pada pertemuan suku akhir pertama di Stadium Selayang, Selangor.

Untuk rekod, pada saingan Liga Perdana musim ini, Sarawak menundukkan Sime Darby FC 1-0 di sini dan seri tanpa jaringan di gelanggang lawan.

-- BERNAMA

ATM Dan Pahang Tempah Tiket Ke Separuh Akhir Piala Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pahang mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia 2013 selepas menundukkan lawan masing-masing pada perlawanan suku akhir kedua, Jumaat.

Pada perlawanan kedua, pasukan ATM kendalian B. Sathianathan menumpaskan Lions X11 4-1 untuk menang agregat 5-2 selepas ketinggalan 1-0 pada suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, Sabtu lepas.

Penyerang berbisa skuad 'The Gladiators', Marlon Alex James menjadi wira pasukan selepas meledak jaringan hatrik masing-masing pada minit ke-33, 75' dan 83' untuk membawa ATM ke separuh akhir.

Pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu, pemain Lions XII, Hariss Harun 'menghadiahkan' gol pertama untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-23.

Gol tersebut berpunca daripada hantaran silang Marlon yang ditampan oleh Hariss sebelum menuju ke dakapan penjaga gol pelawat, Mohd Izwan Mahbud yang gagal menangkap bola dengan kemas sebelum melintasi garisan gol.

Marlon menggandakan kedudukan pada minit ke-33 selepas beliau memanfaatkan hantaran daripada kapten pasukan, Hairuddin Omar sebelum beliau mudah menolak bola masuk untuk menewaskan Mohd Izwan.

Bersambung separuh masa kedua, pasukan Lions XII menyamakan kedudukan agregat selepas Muhammad Hafiz Abu Sujad melakukan rembatan kencang kaki kiri yang menerjah penjuru kanan gol ATM pada minit ke-49.

Marlon memastikan tiket ke separuh akhir menjadi milik ATM dengan meledak dua lagi gol bagi menyekat hasrat Lions XII yang merupakan juara Liga Super untuk mara lebih jauh.

ATM bagaimanapun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada masa kecederaan separuh masa kedua selepas pemain pertahanan, Amirizwan Taj Tajuddin dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana melakukan kekasaran ke atas penyerang Lions XII, Fazrul Nawaz.

Dalam pada itu, juara dua kali, Pahang turut mengikuti jejak langkah ATM selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Selangor PKNS FC di Stadium Shah Alam.

Pahang mara ke separuh akhir dengan keputusan agregat 5-3.

Skuad Tok Gajah kendalian Dollah Salleh yang menumpaskan pasukan tuan rumah 3-2 pada suku akhir pertama, Jumaat lepas, bermula garang dengan membuka tirai jaringan hasil sepakan penalti Matias Ruben Conti pada minit ke-28.

Azamuddin Mohd Akil terus menambah duka untuk skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim menerusi gol kedua pada minit ke-60 sebelum Muhammad Khairu Azrin Khazali merapatkan jurang jaringan untuk Selangor PKNS FC pada minit ke-65.

ATM dijadualkan bertemu pemenang perlawanan antara Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Kelantan yang bakal membuat perhitungan pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Sabtu.

Pahang pula bakal menanti pemenang satu lagi aksi suku akhir kedua antara Sarawak dan Sime Darby FC di Stadium Negeri, Kuching.

Johor DT mengalahkan Kelantan yang merupakan juara bertahan dengan kemenangan 4-2 pada suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, manakala Sarawak dan Sime Darby FC terikat seri tanpa jaringan di Stadium MPS, Sabtu lepas.

-- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...