KUALA LUMPUR - Bintang skuad Olimpik yang semakin menyinar, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria akan lebih berwaspada dengan gaya permainan fizikal Pakistan pada pertemuan timbal balik kedua pusingan pertama kelayakan Olimpik di Lahore, esok.
Mengakui cara permainan Pakistan yang agak kasar ketika beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini, dia sudah bersedia menangani sebarang tekanan atau helah yang cuba dimainkan oleh lawan pada perlawanan kedua itu nanti.
Malah, melalui pengalamannya pada perlawanan lalu, Wan Zaharulnizam berkata, dia sering menjadi mangsa terjahan kasar lawan yang cuba menyekatnya melakukan larian pantas sehingga membuatkan dia sering berada di dalam risiko untuk dicederakan lawan.
''Masa perlawanan tempoh hari, saya sering menjadi sasaran pemain Pakistan dalam usaha menyekat pergerakan saya daripada melakukan hantaran kepada rakan sepasukan.
''Cara mereka bermain memang sedikit membimbangkan saya memandangkan mereka mempunyai kelebihan fizikal yang agak ketara walaupun tidak boleh dinafikan daripada skil, kita sedikit lebih baik.
''Pada pertemuan kedua di Lahore nanti, saya akan memperkuatkan ketahanan mental kerana sudah tentu mereka akan menerapkan taktik yang sama supaya kami tidak beraksi mengikut rentak sebenar.
''Saya dan rakan-rakan lain sendiri tidak tahu bagaimana tahap kualiti padang atau suasana stadium di sana tetapi bagi diri saya, saya sudah bersedia apa sahaja kemungkinan yang akan timbul," katanya yang dihubungi, semalam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.