KETUA pasukan Harimau Malaya, Safiq Rahim tidak menghiraukan setiap kritikan yang dilemparkan ke atas skuad bola sepak negara.
Sebaliknya, bekas pemain tengah Selangor itu menegaskan, dia bersama
rakan-rakan sepasukannya mahu menjadikan setiap kritikan sebagai
penyuntik semangat sebelum mengharungi Kejohanan Piala AFF Suzuki yang
bakal membuka tirai pada 25 November ini.
Pakar sepakan percuma negara itu memberitahu, sudah tiba masanya skuad negara membuktikan tanggapan para pengkritik itu silap.
“Sebelum ini kami juga pernah melalui situasi yang lebih teruk tetapi kami tetap mengharunginya dengan tabah.
“Kami akan mengambil setiap kritikan sebagai satu cabaran dan sebagai
pemain profesional kami harus memiliki ketahanan dari segi mental.
“Skuad negara mahu mengambil setiap kritik tersebut sebagai suntikan
semangat dan berazam untuk membuktikan bahawa kritikan terhadap
keupayaan skuad negara itu salah,” katanya kepada pemberita selepas
pelancaran jersi baharu skuad Harimau Malaya di Wisma FAM Kelana Jaya
semalam.
Pemain berusia 25 tahun itu menyeru rakan-rakan sepasukannya agar
terus bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan menjelang perlawanan
persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam esok.
“Dalam dua perlawanan sebelum ini yang menyaksikan kami tewas 0-1
kepada Vietnam dan 0-2 kepada Thailand, merupakan keputusan biasa dalam
bola sepak. Tidak semua pasukan mampu mengekalkan konsistensi. Ada
kalanya prestasi turun.
“Saya berharap kami akan memperbaiki segala kelemahan selain
memberikan komitmen seratus peratus bagi meraih keputusan terbaik,”
katanya.
--- KOSMO
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.