12 September 2012
JURULATIH Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menganggap kekalahan 0-2 di tangan Vietnam dalam aksi perlawanan persahabatan malam tadi sebagai sesuatu yang "bagus" buat anak buahnya.
Jelasnya, dengan kekalahan itu, ia memberi peluang kepada dirinya untuk memperbaiki setiap kelemahan yang dihadapi oleh anak buahnya.
"Bagi saya, kekalahan ini satu perkara yang bagus.
"Ini kerana dengan kekalahan itu, ia memberi pengajaran kepada pemain untuk bangkit dan mempamerkan aksi bertenaga pada perlawanan seterusnya," kata Rajagobal ketika sidang media di Stadium Shah Alam.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai nasib Malaysia untuk mempertahankan Piala Suzuki AFF November ini selepas kalah kepada Vietnam, Rajagobal menegaskan, beliau tidak mahu terlalu awal menekan butang panik.
Sebaliknya, beliau menganggap peluang Malaysia masih terbuka berikutan mempunyai lebih banyak masa untuk menghadapi saingan tersebut.
"Kenapa saya perlu tekan butang panik. Bagi saya, kalah atau menang adalah adat perlawanan.
"Lagipun, apa yang penting kita perlu sentiasa yakin yang kita mampu mempertahankan kejuaraan itu.
"Saya kenal pemain saya dan saya tahu mereka mampu bangkit nanti," kata Rajagobal yang menganggap kekalahan semalam memberi peluang kepadanya untuk mengatur strategik menjelang Piala Suzuki AFF.
Mengulas lanjut prestasi semalan, Rajagobal mengakui pemainnya tidak mempamerkan aksi bertenaga.
"Rentak permainan pemain agak perlahan berbanding Vietnam yang mempamerkan aksi bertenaga.
"Malah, boleh dikatakan pemain agak sedikit tertekan untuk menghasilkan sebarang gol.
"Tapi, kekalahan ini perlu diterima. Dan jadikan ia satu pengajaran untuk terus bekerja keras mencipta kemenangan," kata Rajagobal yang sentiasa yakin dengan kemampuan pemainnya.
--- SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.