|
|
PENYERANG berbisa Sabah, Rozaimi Abdul Rahman mengakui semakin bersemangat apabila diserapkan dalam skuad Harimau Muda musim depan.
Pemain yang meledak 10 gol pada kempen kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun (B-22) mendedahkan, dia sudah tidak sabar untuk kembali ‘bernaung’ dengan jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee.
Jelas Rozaimi, dia berazam untuk mengulangi prestasi cemerlang sebaik kembali menyarungkan jersi skuad bawah B-22 negara itu kelak.
Pemain berusia 20 tahun itu telah mendapat 'lampu hijau' daripada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) untuk meneruskan karier bersama skuad kendalian Kim Swee itu.
“Jawapan saya mudah, saya mahu beraksi bersama Harimau Muda.
“Selepas berbincang dengan pihak SAFA, mereka telah membenarkan saya untuk kembali beraksi bersama Harimau Muda.
“Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SAFA kerana sentiasa memberikan kerjasama terhadap karier bola sepak saya.
“Saya mengakui teruja untuk membantu Harimau Muda dan berharap dapat
mengekalkan prestasi terbaik sebagaimana yang telah saya buktikan
sebelum ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Skuad Harimau Muda kehilangan khidmat Mahalli Jasuli musim depan yang
akan menyertai Selangor pada musim depan kerana sudah melepasi had umur
yang ditetapkan untuk beraksi dengan pasukan remaja negara itu.
Ditanya sama ada dia bersedia untuk menjadi 'watak penting' dalam
skuad Harimau Muda, Rozaimi menegaskan dia masih perlu bekerja keras
bagi memastikan prestasinya berada pada tahap terbaik.
“Masih terlalu awal untuk mengatakan saya boleh memegang peranan
penting dalam skuad tetapi saya akan berusaha ke arah itu,” katanya.
Selain Rozaimi, lapan lagi pemain yang ditawarkan kontrak oleh
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyertai Harimau Muda ialah
Muhammad Nurridzuan Abu Hassan (Perak), D.Kenny Pallraj (Perak),
Muhammad Zubir Mohd. Azmi (Terengganu), Nik Mohd. Shahrul Azim Ab Halim
(Kelantan), Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (PKNS FC), Mohamad
Firdaus Muhamad (Harimau Muda B), Saiful Ridzuwan Selamat (UITM FC) dan
Adam Nor Azlan (SSBJ).
--- KOSMO
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.