|
|
PRESTASI hambar peledak muda kebangsaan, Rozaimi Abdul Rahman dalam saingan Piala Malaysia musim ini sedikit sebanyak mengundang resah dalam kalangan peminat fanatik juara 32 kali, Selangor.
Menggalas tanggungjawab sebagai pencetak gol utama skuad Gergasi Merah gara-gara ketiadaan kapten, Amri Yahyah yang digantung tiga perlawanan, sentuhan penyudah Rozaimi, 20, sebagai pemain pinjaman Selangor sepanjang edisi Piala Malaysia kali ini dilihat tidak setajam mana.
Situasi itu sangat berbeza jika dibandingkan dengan kehebatan Rozaimi yang berjaya meledak 11 gol semasa membantu Harimau Muda mengharungi saingan Piala AFC Bawah 22 Tahun di Myanmar, Jun lalu.
Pada masa sama, dia juga masih gagal meletakkan nama selaku penjaring skuad Merah Kuning setakat ini apabila seolah-olah 'tenggelam' dengan persembahan bertenaga penyerang import, Bosko Balaban dan seorang lagi penyerang pinjaman daripada USM FC, S. Veenod.
Disebabkan itu, sudah ada 'kata-kata sumbang' di luar padang yang mula mempertikaikan kemampuan penyerang muda Sabah itu berdasarkan persembahannya setakat ini.
Begitupun, pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim masih percaya dengan kredibiliti Rozaimi yang dilihat masih relevan bagi membantu Selangor merealisasikan 'misi 33' tahun ini.
"Berikan Rozaimi masa, dia masih dalam proses menyesuaikan diri dengan pasukan. Saya percaya, Rozaimi akan kembali menemui sentuhannya dalam beberapa perlawanan lagi," kata Irfan Bakti.
Selepas dua perlawanan setakat ini, Gergasi Merah yang sekadar mengutip satu mata kini ketinggalan di belakang Sarawak dan Pahang yang berkongsi empat mata dalam saingan Kumpulan D.
Untuk rekod, Selangor sebelum ini dikejutkan Sarawak dengan kekalahan 1-2 dalam aksi pembuka tirai kumpulan sebelum sekadar seri 2-2 dengan skuad Tok Gajah di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.
Dalam masa sama, Irfan Bakti kekal berteka-teki sama ada mahu menurunkan Rozaimi ataupun tidak semasa berdepan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini ekoran persembahan bertenaga yang dipamerkan Veenod semasa menentang Pahang, Sabtu lalu.
"Prestasi Veenod dilihat cukup cemerlang (semasa menentang Pahang), jadi kita tengok dahulu macam mana (sama ada menurunkan Rozaimi ataupun Veenod) menentang T-Team nanti.
"Yang paling utama, saya harap kami dapat memenangi kedua-dua perlawanan menentang T-Team tidak kira di tempat lawan (malam ini) ataupun di gelanggang sendiri (Sabtu ini) bagi mengelak terlalu jauh ketinggalan di belakang Pahang dan Sarawak," katanya optimis.
--- KOSMO
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.