Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Datuk M. Karathu. Show all posts
Showing posts with label Datuk M. Karathu. Show all posts

Saturday, January 7, 2012

Karathu ramal Kelantan juara


GHADDAR, tonggak import berbisa Kelantan musim ini.


“SAYA ramal Kelantan mampu menewaskan Negeri Sembilan seterusnya mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih tahun ini.”

Demikian ramalan bekas pengendali The Red Warriors (TRW) 2011, Datuk M. Kara- thu menjelang pertemuan Kelantan dengan Negeri Sembilan dalam saingan Piala Sumbangsih di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Beliau berkata, berdasarkan ramuan pemain yang dimiliki oleh TRW musim ini, skuad bimbingan Peter Butler itu dilihat lebih ampuh berbanding musim lalu dengan memiliki ramai pemain yang berkualiti.

“Saya lihat musim ini TRW mempunyai ramai pemain yang berkualiti dan mampu menjaringkan gol. Ditambah pula dengan pemain sedia ada, Kelantan mampu membentuk gandingan mantap di semua posisi.

“Kemasukan beberapa pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahyuddin, Azizi Mat Rose, Nor Farhan Mohammad serta dua tonggak import iaitu Mohammad Ghaddar dan Danny Antwi memberikan banyak pilihan kepada ketua jurulatihnya Butler untuk merencanakan ramuan terbaik bagi menghadapi Negeri Sembilan pada perlawanan Sumbangsih kelak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, kemasukan pemain tersebut bakal mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pemain seterusnya membantu membentuk sebuah pasukan yang mantap.

Karathu memberitahu, penghijrahan beberapa tonggak utama Negeri Sembilan ke pasukan lain musim ini dilihat memberi sedikit kele- bihan kepada Kelantan.

“Begitupun kemampuan skuad bimbingan Mohd. Azrai Khor Abdullah itu tidak boleh dipandang remah oleh Kelantan. Mereka pasti mempunyai perancangan yang tersendiri untuk menghadapi perlawanan ini. Namun saya percaya Kelantan juga ada ramuan untuk menghadapi lawan mereka itu yang juga juara Piala Malaysia musim lalu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Karathu berkata, beliau sempat sempat menonton dua aksi bekas pasukannya itu ketika menentang Persabaya baru-baru ini.

Menurutnya, berdasarkan pengamatannya sepanjang menyaksikan perlawanan tersebut, Kelantan dilihat mampu mencabar pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

“Beraksi dengan lapan pemain dalam perlawanan pusingan pertama, Kelantan masih mampu mempamerkan corak serangan dan tidak mudah hilang fokus.

“Begitu juga dalam aksi kedua, walaupun beraksi di atas padang yang tidak berapa baik, namun mereka masih mampu mempamerkan persembahan yang bagus,” jelasnya.


--- Kosmo

Thursday, January 5, 2012

Karathu hadiah koleksi medal untuk peminat


MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
January 3, 2012

“Hadiah istimewa untuk rakyat Kelantan,” begitulah komen ringkas bekas Ketua Jurulatih Kelantan musim lalu, Datuk M Karathu yang menyerahkan tiga medal peribadi milik beliau sepanjang meraih kejayaan bersama The Red Warriors untuk dipamerkan di Muzium Negeri Kelantan bagi tatapan rakyat negeri ini.

Menurutnya, beliau cukup gembira kerana dapat menunaikan janjinya dengan menyerahkan ketiga-tiga medal tersebut kepada Kerajaan Negeri Kelantan meskipun tidak lagi membimbing pasukan The Red Warriors pada musim ini.

“Sebelum saingan Liga Malaysia musim lalu berakhir lagi saya sudah berjanji untuk menyerahkannya. Hari ini saya menunaikan janji dengan menyerahkan ketiga-tiga medal ini kepada Kerajaan Negeri untuk tatapan umum rakyat negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Karathu berkata, kejayaan Kelantan merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih dan Liga Super merupakan satu sejarah baru dalam landskap bola sepak negeri ini.

“Jadi ini merupakan hadiah istimewa saya kepada rakyat negeri ini yang banyak memberikan sokongan sepanjang saya berada di sini.

“Mungkin 30, 40 atau 100 tahun lagi rakyat negeri ini dapat mengetahui bahawa pasukan Kelantan pernah bergelar juara. Ini merupakan satu sejarah dan menjadi motivasi kepada generasi akan datang,” katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood; Timbalannya, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Sementara itu Abdul Fattah berkata, pihak Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada Karathu yang banyak berjasa kepada negeri ini dengan membawa pasukan bola sepak Kelantan meraih dua kejuaraan tahun lalu.

--- Sinar Harian

Saturday, June 11, 2011

Irfan berang, Karathu tetap bertenang

JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim meluah- kan rasa marah dan kecewa apabila sesi latihan terakhir pasukannya di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam ‘diintai’ lawan mereka, Kelantan.

Kehadiran para pemain Kelantan lebih awal daripada waktu ditetapkan bagi Irfan telah mengganggu sesi latihan pasukan Terengganu, terutamanya untuk mereka membuat latihan sepakan penalti.

“Sepatutnya mereka (pasukan Kelantan) tiba di stadium pada pukul 5.30 petang kerana sesi latihan kami patut berakhir pada pukul 5.45 petang. Tetapi mereka sudah tiba ketika kami baru saja mula latihan.

“Saya cukup kecewa. Bukan sebab kami nak buat taktikal saat akhir pun tetapi ia menyebabkan perasaan tidak selesa. Ia sesuatu yang tidak beretika, melihat pasukan lawan berlatih.

“Sebab itulah juga saya terpaksa membatalkan latihan sepakan penalti kerana nanti Kelantan akan tahu pemain mana akan sepak ke kiri atau kanan,” kata Irfan ketika ditemui selepas sesi latihan itu.

Biarpun ia mungkin dianggap perkara remeh, namun harus diingat bahawa lima final terakhir Piala FA (2006- 2010) menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti kecuali pada final 2008.

Namun Irfan tetap melaungkan keyakinan bahawa Terengganu akan bergelar juara Piala FA musim ini seterus- nya menempah tiket beraksi di Piala AFC 2012.

“Insya-Allah kami akan menang. Saya cukup yakin dan optimis ditambah kehadiran semula Ashari Samsudin dan Zubir Azmi yang tidak beraksi pada Isnin lalu.

“Lagipun kami sudah melupakan kekalahan 0-3 kepada Kelantan pada aksi Liga Super itu. Ketika itu, lima pemain kami keletihan kerana baru pulang dari Hong Kong beraksi untuk skuad kebangsaan,” jelas Irfan.

Sementara itu, jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu tampak lebih tenang dari raut wajahnya tetapi tidak mahu para pemainnya terlalu yakin dengan kemenangan pada aksi Liga Super itu.

“Perlawanan itu sudah berlalu dan ini final, satu perla- wanan yang berbeza. Memang kami akan turun dengan pendekatan berbeza untuk menghadapi 90 minit yang cukup penting ini.

“Tetapi dari segi permainan dan taktikal, kita tidak akan melakukan perbezaan. Cuma saya harap para pemain dapat beraksi pada tahap sebenar,” ujar Karathu.

----- Kosmo Online

Karathu sedia hadapi harimau luka

KETUA Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu menyifatkan Terengganu ibarat harimau terluka yang bersedia membaham pasukannya pada final Piala FA, malam ini selepas lawan mengalami kekalahan 3-0 pada perlawanan Liga Super, Isnin lalu.

Namun itu bukan bermakna pemain skuad The Red Warriors itu ‘kecut perut’ kebangkitan ingin dicipta Terengganu yang dipimpin jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim itu sebaliknya Karathu yakin inilah detik terbaik untuk membawa pulang Piala FA ke Kota Bharu buat kali pertama sejak dipertandingkan pada 1990.

“Saya tahu Terengganu pasti lebih bahaya selepas kalah kepada Kelantan dalam perlawanan Liga Super sebelum ini. Mereka pasti akan mengubah strategi.

“Tapi kami akan bermain dengan kekuatan yang ada dan tidak memandang rendah pasukan lawan. Pemain saya sedar mereka berpeluang mencipta kejayaan kali ini tapi menasihatkan mereka supaya jangan terlalu yakin sebaliknya bermain seperti biasa.

“Yang penting Kelantan akan turun beraksi dengan sikap ingin menang,” kata Karathu yang ditemui sebelum sesi latihan bersama pasukannya di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menjadi venue perlawanan, semalam.

Pertemuan dua pasukan gergasi Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu buat kali pertama dalam sejarah final Piala FA di anggap sengit berdasarkan prestasi kedua-dua pasukan yang kini menghuni tangga pertama dan ketiga Liga Super musim ini.

Semangat Kelantan pastinya lebih membara untuk menebus kekecewaan ketika tumpas pada final 2009 kepada Selangor menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas terikat 1-1.

Menurut Karathu, beliau tidak akan melakukan banyak rombakan kepada pasukannya sebaliknya hanya menuntut pemain-pemain memberikan komitmen yang tinggi dalam tempoh 90 minit perlawanan itu.

----- Harian Metro Online

Sunday, February 27, 2011

Karathu tetap berpuas hati (Berita Harian Online)

Oleh Syed Riduan Ahmad

smriduan@nstp.com.my
2011/02/27

JURULATIH Kelantan, Datuk M Karathu tetap berpuas hati walaupun pasukan kendaliannya sekadar mengutip satu mata selepas seri 1-1 ketika menentang Kedah di Stadium Darulaman, Alor Setar, kelmarin.

“Bagi saya ia masih satu pencapaian baik kerana Kedah malam tadi (kelmarin) buat pertama kali dapat menurunkan kesebelasan terbaiknya,” kata Karathu ketika dihubungi, semalam. “Secara keseluruhan, kami mengawal permainan dan sepatutnya pulang dengan kemenangan.
“Pada babak pertama, beberapa percubaan dihasilkan tetapi gagal. Rentak sama dipamerkan pada babak kedua tetapi kerana kelekaan pertahanan, Kedah membuka jaringan hasil hantaran cantik Baddrol (Bakhtiar).

“Namun kami bangkit menyamakan kedudukan dan kembali mengasak tuan rumah dan mendapat tiga peluang keemasan untuk menambah jaringan menerusi Piya (Mohd Badri Radzi) dan Mohd Ramzul (Zahini Adnan).”

Friday, February 25, 2011

‘Semangat pemusnah’ sandaran Karathu (Berita Harian Online)

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

2011/02/25

KELANTAN akan turun ke Stadium Darulaman menentang Kedah, malam esok dengan jentera serangan yang memiliki ‘semangat pemusnah’ dan ketua jurulatih, Datuk M Karathu yakin rentak dimiliki The Red Warriors mampu membuat lawan terkulai nanti.

“Dalam pertemuan menentang Kedah ini, saya mahu melihat penyerang yang diturunkan nanti menyempurnakan semua peluang yang dimiliki.
“Tidak ada guna kita mempunyai banyak peluang sekiranya penyerang gagal untuk menyudahkan dengan baik,” katanya.

Ditanya mengenai peluang Kelantan pada perlawanan esok, Karathu berkata walaupun Kelantan bermain di tempat lawan namun peluang untuk menumpaskan pasukan 'Kenari' tetap ada.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan tentang kekuatan mereka tetapi akan lebih menumpukan kepada kekuatan dan strategi sendiri. Pemain perlu bekerja kuat dan ikut semua arahan taktikal yang diberi, tidak mustahil kita mampu untuk menumpaskan mereka,” katanya.

Monday, January 31, 2011

Karathu lulus ujian sulung (Sinar Harian Online)


SHAH ALAM – Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu selain daripada perasaan gembira setelah pasukannya berjaya menjulang Piala Sultan Ahmad Shah buat pertama kali dan turut mengakhiri badi tidak pernah menang ke atas pasukan Selangor di Stadium Shah Alam sejak sekian lama.

Kelmarin, gelanggang keramat Gergasi Merah Kuning menjadi saksi apabila Karathu bukan sahaja berjaya melepasi ujian sulung membantu Kelantan mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Selangor, malah menjadi jurulatih pertama membantu skuad The Red Warriors menjulang piala selepas 72 jam diberi tanggungjawab menjadi pengendali baru.

Khamis lalu, Karathu, 67, dilantik sebagai pengendali baru Kelantan menggantikan B Sathianathan yang digantung selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gara-gara mengeluarkan kenyataan bersifat mengkritik badan induk bola sepak kebangsaan itu kepada pihak media.:

“Saya percaya kekuatan pasukan ini walau baru tiga hari bersama mereka, kita mempunyai kebolehan dan serangan berkualiti.

“Pasukan kita ada kekuatan tersendiri selain kita ada barisan pemain pertahanan muda dan penjaga gol yang beraksi cukup bagus,” katanya sejurus perlawanan berakhir.

Beliau berkata, hanya mengerahkan benteng tengah untuk bekerja keras mengekang asakan Amri (Yahyah) dan Hardi (Jaafar) dan saya fikir mereka telah melakukan tugasan tersebut cukup baik pada separuh masa pertama.

“Kita mempunyai dua pemain sayap yang cukup bagus iaitu Nurul Azwan (Roya) dan Solehin (Kannasian Abdullah), mereka memberi 100 peratus dalam perlawanan ini walau saya hanya sempat bersama mereka selama tiga hari, ini sesuatu yang bagus untuk Kelantan,” katanya.

Menurut Karathu, kemenangan ini tentunya melonjak moral pasukan dalam menghadapi perlawanan mendatang.

“Ini adalah perlawanan pertama dan saya fikir tiga mata adalah cukup penting bagi kita.

“Kita akan teruskan momentum ini, kita akan bina tahap keyakinan tinggi kepada pemain kita bagi menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, kemenangan pasukan Kelantan terhadap Selangor memberikan motivasi yang tinggi kepada pemain.

“Sebagai pemain, mereka harus percaya kepada diri, saya selalu cakap kepada pemain bahawa mereka lebih hebat daripada pemain lain, jangan terlampau merendah diri kepada pemain lawan.

“Saya memuji persembahan keseluruhan pemain Kelantan dalam perlawanan ini, mereka berhak menang dalam perlawanan ini, mereka tidak tertekan sebaliknya memberi tekanan pula kepada pemain lawan,” katanya.

Saturday, January 29, 2011

Sentuhan Karathu jadi sandaran Red Warriors (Berita Harian Online)

2011/01/29

MAHU dianggap sebagai 'underdog', Kelantan yang gah menjulang Piala Malaysia, musim lalu tidak mahu terlalu yakin dalam perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah 2011 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pertama kali dapat beraksi dalam perlawanan sumbangsih, keresahan persiapan pasukan The Red Warriors adalah berikutan kecederaan tiga tonggak utama pasukan itu.

“Kami akui Selangor sangat kuat namun pemain Kelantan akan cuba memberi sepenuh tumpuan dalam perlawanan sumbangsih ini untuk memberi kejutan. Kecederaan pemain utama kita - S Subramaniam (pertahanan), S Chanturu (penyerang) dan Norshahrul Idlan Talaha (penyerang) mungkin mengganggu rentak perlawanan,” kata pengurus Kelantan, Azman Ibrahim di sidang akhbar, semalam.
Azman berkata status Norshahrul yang sebelum ini membantu skuad Harimau Malaya membawa pulang Piala Suzuki AFF bagaimanapun belum diketahui dan mungkin dia masih boleh menyertai dalam perlawanan pembukaan musim baru Liga Super itu.

Mengenai jurulatih baru, Datuk M Karathu yang baru saja dua kali berkesempatan menjalani latihan bersama skuad Kelantan, Azman berkata motivasi dan komitmen pemain terhadap jurulatih yang pernah membimbing Kelantan 18 tahun lalu, adalah baik.

“Pelantikan Karathu tidak menjadi masalah buat pemain, lagi pun Karathu pernah membimbing skuad Kelantan pada 18 tahun lalu ,” katanya mengenai Karathu yang baru dilantik menggantikan B Sathianathan yang digantung selama enam bulan.

Perlawanan Sumbangsih, Ujian Pertama Karathu Bimbing Kelantan

KOTA BAHARU, 27 Jan (Bernama) -- Perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara Kelantan dengan Selangor Sabtu ini menjadi ujian pertama bagi ketua jurulatih baru pasukan The Red Warriors, Datuk M Karathu yang mengambil alih tempat B Sathianathan yang menjalani penggantungan enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ujian yang dianggap berat oleh Karathu itu bagaimanapun tidak menjadi penghalang buat bekas jurulatih kebangsaan tersebut untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kepadanya.

"Saya tahu bukan mudah untuk saya kembali semula ke Kelantan dan ini tanggungjawab yang sangat berat untuk dipikul selepas kejayaan Sathianathan yang berjaya membawa Kelantan menjuari Piala Malaysia musim lalu.

"Namun ini semua akan dipikul dengan baik dan dengan kerjasama semua pihak, Kelantan mampu untuk beraksi cemerlang menentang Selangor nanti," katanya kepada pemberita di Wisma Kafa di sini Khamis.

Karathu pernah membimbing Kelantan pada 1993 yang ditangannya pasukan itu layak ke separuh akhir Piala Malaysia.

Selain itu jurulatih itu juga pernah membimbing Negeri Sembilan, Perak, Kelab Woodlands Wellington FC (Singapura) dan Sri Lanka.

Disebabkan pengalaman luasnya itu, Kafa mengambil keputusan memilih semula Karathu yang mula melapor diri pagi tadi.

"Saya mohon kerjasama semua pihak termasuk penyokong Kelantan agar bersama saya untuk menjadikan Kelantan pasukan terbaik pada musim baru ini," katanya.

Beliau berkata buat masa ini belum boleh buatnya memberikan sebarang komen terhadap pasukan Kelantan dan memerlukan masa dalam tempoh sehari dua sebagai proses mengenali pemain seterusnya mengetahui kelemahan dan kelebihan pemain.

"Saya mahu mereka jadi pemain berdisiplin dan bermain seperti mana pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang lalu dan jika itu dapat dilakukan, Kelantan boleh menjadi juara lagi," katanya.

Sathianathan pula berkata nama Karathu sememangnya dicadangkan oleh beliau kepada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berdasarkan pengalaman Karathu melatih beberapa pasukan tempatan dan luar negara.

"Karathu adalah yang paling layak kerana pengalamannya yang lama dalam sukan ini dan saya yakin beliau boleh mengisi dengan baik tempat yang terpaksa dikosongkan oleh saya," katanya.

"Saya akan membantu Karathu buat permulaan bagi mengenal pemain dan apabila sudah biasa saya akan serahkan sepenuhnya kepada beliau melatih Kelantan," katanya yang kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Akademi The Red Warriors.

Beliau juga berkata ada jurulatih lain yang dicadang untuk malatih Kelantan tetapi mereka mahukan gaji yang tidak munasabah.

Naib Presiden Kafa, Rosmadi Ismail menegaskan Karathu bukanlah calon terdesak bagi Kafa tetapi beliau dipilih disebabkan pengalaman luas dan diyakini boleh meneruskan legasi Sathianathan sebelum ini.

"Kita ambil Karathu kerana pengalamannya selain pernah melatih Kelantan dan bukan kita terdesak untuk mengambilnya menjadi jurulatih," katanya.



-- BERNAMA

Karathu kembali ke Kelantan (Kosmo Online)


KARATHU (dua dari kiri) pernah menjadi jurulatih Perak pada tahun 1990 sekali gus membawa skuad tersebut menjuarai Piala FA.


IBARAT sirih pulang ke gagang. Itulah peribahasa yang sesuai buat ketua jurulatih bola sepak Kelantan yang baru, Datuk M. Karathu yang pernah membimbing skuad Kelantan pada tahun 1993.

Menurutnya, kembali melatih Kelantan merupakan sesuatu yang cukup mengembirakannya selepas hampir 18 tahun meninggal pasukan tersebut.

"Saya gembira dapat kembali semula melatih Kelantan, terima kasih kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terutama Tan Sri Annuar Musa kerana masih lagi mempercayai kemampuan saya untuk membimbing pasukan musim ini.

“Walaupun sudah lama meninggalkan Kelantan, namun sebaik sahaja kembali semula ke sini, saya masih lagi terasa bahang membimbing pasukan sewaktu tahun 1993 dulu," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, Kelantan merupakan pasukan yang diminatinya sejak tahun 1993 sewaktu beliau menjadi jurulatih.

“Pasukan Kelantan sama seperti pasukan Brazil yang mempunyai keghairahan yang memuncak dalam bola sepak selain turut mempunyai pemain yang berbakat.

"Walaupun saya tidak tahu banyak mengenai pemain pasukan ini dan perlu mengambil sedikit masa, namun itu bukan masalah besar bagi saya untuk mengendalikan pasukan,” ujarnya.

Karathu sebelum ini berjaya membimbing pasukan Perak menjulang Piala FA pada tahun 1990 selain membawa Kelantan melangkah ke perlawanan separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia pada tahun 1993.

Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa iaitu menjadi ketua jurulatih pasukan Sri Lanka, kelab Woodlands Wellington FC (Singapura) dan pernah membimbing skuad Negeri Sembilan.

Karathu memberitahu, beliau akan mendapatkan maklum balas daripada bekas jurulatih, B. Sathianathan selain dua pembantunya iaitu Hashim Mustapha dan Sidek Samsudin bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan ini.

“Saya kena mengambil sedikit masa untuk mengenal pasti kelemahan pasukan kerana jadual perlawanan cukup padat dan termasuk juga bagaimana corak taktikal yang akan saya gunakan.

"Sasaran saya untuk musim ini ialah memastikan Kelantan berada di tiga kelompok yang terbaik selain memburu dan mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lepas," ujarnya.

Mengulas mengenai perlawanan pembukaan tirai menentang Selangor bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam esok, Karathu menganggap perlawanan tersebut merupakan ujian pertama buatnya.

"Ini ujian pertama saya. Saya belum tahu keadaan fizikal pasukan dan difahamkan Kelantan mengalami banyak kekalahan sepanjang perlawanan persahabatan, ini adalah sebahagian daripada proses membentuk sebuah pasukan baru ke arah yang lebih mantap.

“Untuk itu, saya menuntut disiplin yang tinggi daripada semua pemain. Mereka juga perlu menunjukkan karakter serta kebolehan yang tinggi apabila bersama pasukan ini kerana kita akan bermain dalam satu liga yang kompetetif bermula Sabtu ini,” katanya.

Karathu mengikat kontrak sebagai pengendali Kelantan untuk tempoh setahun bermula semalam.

Karathu kembali warnai Liga Malaysia (Utusan Malaysia Online)


M. Karathu (kiri) bersalam dengan pemain-pemain Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Bharu, semalam selepas dilantik sebagai jurulatih baru pasukan itu. Turut kelihatan B. Sathianathan (dua dari kiri).


KOTA BHARU - Selepas menyepi selama setahun daripada kancah bola sepak tempatan, bekas jurulatih Perak musim 2008-2009, Datuk M. Karathu kembali mewarnai saingan Liga Malaysia dengan melatih juara Piala Malaysia musim lalu Kelantan.

Kembalinya Karathu ke pangkuan Kelantan diibaratkan 'sirih pulang ke gagang' kerana beliau pernah melatih skuad yang terkenal dengan laungan 'gomo kelate gomo' itu pada 1993.

Menurut Karathu, kesediaannya kembali melatih Kelantan merupakan sesuatu yang cukup menggembirakan dirinya selepas hampir 18 tahun meninggalkan pasukan tersebut.

"Saya gembira dapat kembali semula melatih Kelantan, terima kasih kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terutamanya Tan Sri Annuar Musa kerana masih lagi mempercayai kemampuan saya untuk membimbing pasukan musim ini.

"Walaupun sudah lama meninggalkan Kelantan, namun sebaik sahaja kembali semula ke sini saya masih lagi terasa bahang membimbing pasukan sewaktu tahun 1993," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma KAFA, Kampung Chicha dekat sini, semalam.

Tambah Karathu, Kelantan merupakan pasukan yang diminatinya sejak 1993 sewaktu beliau menjadi jurulatih.

"Pasukan Kelantan sama seperti pasukan Brazil yang mempunyai keghairahan yang memuncak dalam bola sepak selain turut mempunyai pemain berbakat. Walaupun saya tidak tahu banyak mengenai pemain pasukan ini dan perlu mengambil sedikit masa, namun itu bukan masalah besar bagi saya untuk mengendalikan pasukan," ujarnya yang mengikat kontrak selama setahun dengan pasukan Kelantan.

Karathu sebelum ini berjaya membimbing skuad Seladang menjulang Piala FA pada 1990, selain membawa Kelantan melangkah ke perlawanan separuh akhir Piala FA dan Malaysia pada 1993.

Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa iaitu menjadi ketua jurulatih pasukan Sri Lanka dan kelab Woodlands Wellington FC (Singapura).

Karathu memberitahu, beliau akan mendapatkan maklum balas daripada bekas jurulatih, B. Sathianathan selain dua pembantunya iaitu Hashim Mustapha dan Sideek Samsuddin bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan ini.

"Saya kena mengambil sedikit masa untuk mengenal pasti kelemahan pasukan kerana jadual perlawanan cukup padat dan termasuk juga bagaimana corak taktikal yang akan saya gunakan.

"Sasaran saya musim ini ialah memastikan Kelantan berada di tiga kelompok terbaik selain memburu dan mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lepas," ujarnya yang memulakan tugas semalam.

Mengulas mengenai perlawanan pembukaan tirai bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah Sabtu ini menentang Selangor, Karathu menanggap perlawanan tersebut merupakan ujian pertama buatnya.

"Ini ujian pertama saya. Saya belum tahu keadaan fizikal pasukan dan difahamkan Kelantan mengalami banyak kekalahan sepanjang perlawanan persahabatan, ini adalah sebahagian daripada proses membentuk sebuah pasukan baru ke arah yang lebih mantap.

"Untuk itu, Saya menuntut disiplin yang tinggi daripada semua pemain. Mereka juga perlu menunjukkan karakter serta kebolehan yang tinggi apabila bersama pasukan ini kerana kita akan bermain dalam satu liga yang kompetitif bermula Sabtu ini," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...