PENYERANG import Kelantan, Muhammad Ghaddar yang hilang tanpa selepas gagal melaporkan diri untuk sesi latihan bersama pasukan itu pada pada 5 Ogos lalu akan kembali ke Kota Bharu, Isnin ini.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim memberitahu, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh ejen pemain tersebut selepas empat hari kelibatnya tidak kelihatan menjalani latihan.
Menurutnya, beliau juga difahamkan, kegagalan pemain tersebut melaporkan diri pada tarikh berkenaan berikutan kematian bapa saudaranya selepas beliau pulang bercuti sebaik tamat perlawanan persahabatan menentang Queens Park Rangers (QPR) pada 20 Julai lalu.
"Kita akan tunggu penjelasan daripada pemain itu sendiri sebaik dia tiba di sini (Kota Bharu) Isnin ini seperti yang dimaklumkan.
"Namun, dia tidak akan terlepas hukuman sekiranya gagal memberikan alasan munasabah.
"Sepatutnya isu ini tidak akan diperbesarkan kerana saya sudah berbincang dengan ketua jurulatih, Bojan Hodak, tumpuan kita kini adalah persiapan untuk menghadapi Piala Malaysia," katanya ketika dihubungi semalam.
Ditanya mengenai perbicaraan Muhammad Ghaddar yang sepatutnya berdepan Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, Azman memberitahu: "Kita sudah menerima surat daripada FAM meminta Muhammad Ghaddar supaya hadir pada sesi perbicaraan tersebut esok (hari ini).
"Kita sudah pun membalas surat berkenaan dan menyatakan bahawa pemain berkenaan masih belum sampai di Kota Bharu.
"Kita telah memperincikan mengenai ketiadaan Muhammad Ghaddar yang sepatutnya menyertai pasukan pada Ahad lalu tetapi beliau hanya akan kembali pada Isnin ini."
Katanya, pihaknya akan memaklumkan kepada FAM selepas pemain kebangsaan Lebanon itu kembali melaporkan diri untuk mengatur tarikh perbicaraan yang baharu.
Jelasnya, Muhammad Ghaddar perlu dan wajib menghadiri sesi perbicaraan tersebut kerana melalui surat yang dihantar kepada FAM 31 Julai lalu, pemain berkenaan mengaku tidak bersalah dengan pertuduhan yang dikenakan.
--- KOSMO
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.