Penyerang Manchester City, Edin Dzeko tidak menunggu lama untuk mencetuskan permusuhan dengan seteru utama kelab barunya Manchester United.
Pemain antarabangsa Bosnia itu mengambil kesempatan pada majlis rasmi memperkenalkannya sebagai pemain baru City apabila memperlekehkan United dengan mengeluarkan kenyataan kelabnya mempunyai lebih ramai peminat di England dan seluruh dunia.
“Saya mendengar kebanyakan peminat di Manchester menyokong Manchester City,” kata Dzeko sambil ketawa pada sidang media.
Kenyataan itu pastinya tidak disenangi United yang kini mendahului pasukan di tangga kedua City dengan dua mata untuk menghuni tangga teratas Liga Perdana selepas separuh musim.
Dzeko yang melengkapkan perpindahan dari kelab Jerman Wolfsburg minggu lalu dengan yuran perpindahan AS$42 juta (RM128.5 juta) berkata, dia amat teruja dengan cita-cita besar kelab berbelanja besar itu.
“Saya melihat sesuatu yang berbeza di City. Ia kelab besar dan saya pemain yang mempunyai cita-cita tinggi. Saya fikir kami boleh melakar kejayaan bersama-sama.
“Ini satu projek yang dibimbing jurulatih bagus. Saya gembira di Wolfsburg namun mahu berubah, mencuba sesuatu yang baru dan lebih baik, itu sebabnya saya berada di sini,” katanya.Dzeko menandatangani kontrak empat setengah tahun dengan City dan akan membuat penampilan pertama dalam perlawanan Liga Perdana menentang Wolverhampton, Sabtu ini.
“Bagi saya, dia salah seorang penyerang terbaik di Eropah,” kata pengurus City, Roberto Mancini.
Pengendali dari Itali itu berkata, pemain pertahanan kiri City, Wayne Bridge akan melakukan ujian perubatan di West Ham yang kini berada di tangga tercorot Liga Perdana dan berkemungkinan akan dipinjamkan ke Upton Park.
Pemain pertahanan England itu gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama City berikutan kehadiran pemain antarabangsa Serbia, Aleksandr Kolarov. - AP
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.