GANDINGAN dua penyerang, Hairuddin Omar dan Ahmad Fakhri Saarani, bakal menjadi kunci kepada misi Negeri Sembilan untuk bangkit mencipta kemenangan apabila bertemu Selangor, dalam saingan Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini.
Sekalipun setakat ini persembahan kedua-dua pemain itu belum begitu menyerlah dengan Hairuddin baru saja menyumbang dua gol termasuk satu pada saingan Piala FA manakala Ahmad Fakri masih buntu menemui sentuhan, namun kelibat mereka bakal menjadi penentu kepada kebangkitan yang diharapkan nanti.
Ini diakui ketua jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan, yang menyifatkan kematangan dan kebijaksanaan kedua-dua pemain terbabit akan terus ditagih dalam misi mencapai kemenangan selepas prestasi tidak konsisten dipamer pasukan itu terutama di halaman sendiri.
“Walaupun kedua-dua pemain terutama Hairuddin tidak konsisten dalam menyumbang gol kepada pasukan setakat ini tetapi mereka sudah berusaha keras dalam setiap perlawanan, sebagai contoh banyak percubaan ke pintu gol lawan dilakukannya ketika saingan Piala FA bertemu Kuala Lumpur di Paroi, Jumaat lalu, tapi tidak menepati sasaran.
“Hakikatnya, Hairuddin dan Ahmad Fakri yang tidak beraksi ketika bertemu Kuala Lumpur tetap menjadi sandaran kami untuk merobek gawang Selangor dan saya harap mereka mempamerkan gandingan mantap demi memastikan kutipan mata berharga disasar di halaman sendiri kali ini tidak lagi tercicir,” katanya semalam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.