PENYERANG skuad Olimpik negara, Ahmad Fakri Saarani (gambar) mahu membalas kepercayaan yang diberikan dengan menjadikan perlawanan kedua pusingan kelayakan Olimpik 2012 dengan Pakistan, malam ini sebagai titik tolak kebangkitannya.
Walaupun sentuhannya belum menjadi musim ini apabila masih gagal menghasilkan gol dalam kempen liga tempatan dan juga perlawanan antarabangsa, pemain berusia 21 tahun itu yakin mampu meledak gawang lawan sekali gus menamatkan badi kekecewaannya itu.
“Saya berterima kasih kepada jurulatih (Ong Kim Swee) kerana masih memberi tempat kepada saya dalam skuad ini. Jika diberi peluang pada perlawanan kedua menentang Pakistan, saya akan menggunakan peluang itu sebaik mungkin.
“Mungkin tak ada rezeki lagi untuk saya menjaringkan gol tapi saya saya yakin masih boleh melakukan tugas dengan baik,” katanya.
Fakri antara tonggak di barisan serangan skuad Olimpik negara tiba bersama 17 pemain lagi di Lahore, kelmarin bagi menghadapi perlawanan kedua menentang Pakistan di Stadium Punjab, malam ini untuk merebut tiket ke pusingan kedua.
Selain Fakri, Kim Swee turut mempertaruhkan tiga lagi penyerang, Ahmad Shakir Ali, Syahrul Azwari Ibrahim dan A Thamil Arasu. Bagi perlawanan kali ini, jurulatih negara itu mungkin akan meletakkan Fakri penyerang tunggal berbanding ketika Malaysia menang 2-0 pada aksi pertama di Stadium Shah Alam di mana dia bergandingan dengan Shakir.
Pada perlawanan itu, Fakri gagal menjaringkan gol meskipun mempunyai beberapa peluang terbaik berdepan Pakistan yang beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua.
“Peluang untuk menang masih 50-50 dan kami perlu beri komitmen 100 peratus. Kami tidak boleh pandang rendah pihak lawan. Saya tidak ada masalah untuk bermain dengan Shakir dan juga pemain lain. Saya amat berharap dapat diturunkan sekali lagi,” katanya.
Kali terakhir Fakri, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan menjaringkan gol di peringkat antarabangsa adalah ketika skuad kebangsaan tewas 1-2 kepada kelab Qatar, Al-Jaish, Ogos tahun lalu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.