Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, January 27, 2013

Siapa pukul Afiq?

SITI ZUBAIDAH MAT ISA
FOTO: SAFWAN MANSOR

27 Januari 2013
Piala FA
Shukur (kiri) menjadi ‘mangsa’ kesilapan pengadil selepas dilayangkan kad kuning kedua.
 
SELANGOR akan siasat pemain yang cuba memukul dan melemparkan botol ke arah penyerang mereka, Muhammad Afiq Azmi sebaik tamat pertemuan kontroversi antara Red Giants dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Piala FA, kelmarin.

“Biasalah selepas perlawanan, pemain akan pergi ke tempat duduk lawan untuk bersalaman. Mungkin kerana keadaan masih tegang, berlaku pertelingkahan dan tolak-menolak antara pemain.

“Kita akan buat laporan, sepatutnya perlawanan sudah tamat dan kekecohan yang tercetus selepas tamat permainan tidak sepatutnya terjadi.

“Mengenai Afiq. Kita sudah kenal pasti siapa yang memukul dan melemparkan botol ke mukanya,” kata Jurulatih Red Giants, Irfan Bakti Abu Salim kepada media sebaik tamat perlawanan.

Mengenai kesilapan pengadil perlawanan Mohd Amirul Izwan Yaccob, Irfan Bakti tidak menyalahkan sepenuhnya keputusan tersebut, sebaliknya berkata, kekeliruan mungkin timbul sehingga layangan kad merah diberikan.

“Shukur (Abd Shukur Jusoh) sememang layak menerima kad kuning, tetapi bukanlah kad kuning kedua. Tetapi dia memang salah kerana  masuk padang tanpa kebenaran pengadil.

“Mungkin dia (pengadil) hendak beri kepada Nasriq (Mohd Nasriq Baharom, jersi No 6), tetapi kerana Shukur memakai jersi nombor 8, dia berikan kad kuning kedua kepada Shukur.

“Ini kesilapan biasa dan dia (pengadil) mungkin tidak mencatat dengan betul, jadi sebab itu Amirul Izwan bertindak memanggil semula Shukur masuk ke dalam padang dan kad merah ditarik balik,” katanya.

Mengulas mengenai pertembungan pusingan pertama kelmarin, Irfan Bakti berpuas hati dengan kebangkitan ditunjukkan pemain setelah ketinggalan 0-2 kepada ATM.

“Mereka tidak berputus asa untuk menyamakan kedudukan seterusnya memenangi penalti.

“Pada pertemuan ini, seramai enam pemain utama tidak diturunkan dan saya bangga dengan pencapaian pemain gantian. Mereka menunjukkan persembahan terbaik untuk bangkit.

“Pemain perlu bersedia kerana kita kehilangan Amri Yahyah, Bunyamin Omar dan S Kunalan dan keputusan mengeluarkan Francis Forkey Doe sedikit pun tidak melemahkan pasukan,” katanya.

Kelmarin, Selangor kembali bangkit selepas ketinggalan 0-2 pada babak pertama untuk mengekalkan kedudukan 2-2 sehingga tamat 120 minit masa permainan.

Pertemuan yang diakhiri dengan sepakan penalti memihak Selangor (3-2) untuk bertemu Sabah di Stadium Likas, 12 Februari depan.

--- SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...