SHAH ALAM - Bukan masalah besar buat beberapa pemain senior skuad kebangsaan untuk bergabung dengan pemain baru yang dipanggil jurulatih negara, K. Rajagobal menjelang perlawanan persahabatan menentang Hong Kong Jumaat ini, jelas ketua pasukan, Safiq Rahim.
Menurut pemain Selangor itu, ia seolah-olah satu semangat baru yang disuntik ke dalam skuad kebangsaan dengan kehadiran pemain seperti Hisyamudin Shaari, Helmi Remeli, Shahrom Kalam, Farisham Ismail, Ismail Faruqi Ashari dan Abdul Hadi Yahaya.
"Sekarang ini semua pemain yang dipanggil jurulatih perlu merebut tempat untuk beraksi dalam kesebelasan utama, ia adalah persaingan yang sihat dalam skuad kebangsaan, semua pemain mempunyai kelebihan masing-masing," katanya ketika ditemui media pada pelancaran Liga Komuniti MiziSports di sini, semalam.
Jelasnya, rata-rata pemain yang dipanggil Rajagobal beraksi baik dalam saingan Liga Malaysia musim ini, malah kesemua pemain juga dilihat berada pada tahap kecergasan yang sama kerana mengharungi jadual yang padat.
"Apa yang membezakan antara pemain baru dan lama adalah dari segi faktor pengalaman, jika hendak diukur dari segi fizikal dan mental semuanya masih lagi letih bermain dalam jadual liga yang padat, peluang antara pemain amat terbuka.
"Selepas dipanggil menyertai kem latihan Ahad lalu kami banyak menjalani latihan ringan bagi memulihkan semula kecergasan masing-masing, mungkin petang ini (semalam) kami akan menjalani latihan berat," kata Safiq.
Safiq, 23, membayangkan dengan mulanya latihan yang lebih berat maka 'peperangan' bakal bermula antara pemain baru dan lama, di mana masing-masing akan cuba untuk memikat jurulatih menjelang perlawanan persahabatan bertemu Hong Kong.
"Saya rasa pemain baru tidak berdepan masalah untuk mengikuti corak latihan yang diterapkan oleh jurulatih, saya juga lebih senang melihat skuad Malaysia mempunyai pemain yang boleh dipanggil pada bila-bila masa menyarung jersi kebangsaan.
"Kita mempunyai banyak perlawanan selepas ini termasuk yang paling penting, kelayakan Piala Dunia, jika dalam senarai keseluruhan kita mempunyai antara 50 hingga 60 pemain yang bakal dipanggil menyertai kem latihan pada bila-bila masa ia adalah sesuatu yang mengagumkan," katanya.
Ditanya harapannya bertemu Hong Kong pada perlawanan persahabatan nanti, Safiq berkata, seluruh pasukan meletakkan harapan yang tinggi walaupun kali kedua bertemu Hong Kong dan pertemuan pertama mereka menang 2-0.
"Kami mahu mengekalkan prestasi terbaik ini, kemenangan demi kemenangan perlu diteruskan, bukan sahaja penyokong dan seluruh rakyat Malaysia, pemain juga menaruh harapan yang tinggi, tiada sasaran lain iaitu mencatatkan mengalahkan Hong Kong," katanya.
Skuad negara dijangka berlepas ke Hong Kong pagi ini dan mereka akan bertemu dengan Myanmar dalam satu lagi perlawanan persahabatan 18 Jun ini di Kota Bharu.
- Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.