Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my
PENYERANG sensasi negara, Mohd Safee Sali diingatkan supaya membuat pertimbangan sewajarnya berhubung kemelut Liga Super Indonesia (ISL) dengan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang masih belum menemui jalan penyelesaian, terutamanya sebelum membuat keputusan melanjutkan kontraknya yang berakhir 31 Januari ini.
Kapten Pelita Jaya FC (PJFC) itu berdepan kemungkinan beraksi di liga haram apabila berakhirnya tempoh dua minggu bermula 28 Disember tahun lalu yang diberikan PSSI terhadap pasukan beraksi dalam ISL.
“Menerusi perbincangan saya dengan pegawai tertinggi PSSI minggu lalu, kelab yang beraksi dalam ISL diberi tempoh dua minggu untuk menyertai Liga Primier Indonesia (IPL) dan sekiranya gagal, mereka akan diharamkan.
“Kami tidak mahu mencampuri urusan PSSI, namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terpaksa bertindak mengikut situasi semasa kerana arahan PSSI itu diiktiraf sah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ,” kata Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, petang semalam.
Sekiranya PJFC diharamkan Fifa, ia bakal menghalang penjaring terbanyak pada Piala AFF 2010 itu untuk mewakili Malaysia selepas ini.
Hamidin bagaimanapun menjelaskan sekiranya bekas penyerang Selangor itu berhasrat kembali ke saingan tempatan selepas kontraknya berakhir hujung bulan ini, ada jalan penyelesaian yang membolehkannya beraksi atas kapasiti pemain kebangsaan walaupun tempoh pendaftaran kedua pemain Liga Malaysia hanya bermula pada April.
“Sebagai pemain kebangsaan, kami tidak mahu dia tidak beraksi dalam saingan kompetitif untuk tempoh dua atau tiga bulan. Situasi ini mungkin boleh dirujuk kepada mesyuarat Exco FAM bagi mendapat perhatian sewajarnya.
“Namun ia terpulang kepada dirinya sendiri kerana saya difahamkan PJFC mahu menawarkan kontrak baru selama dua tahun kepadanya,” katanya.
Hamidin sebelum itu meninjau padang Stadium Nasional Bukit Jalil dan mempengerusikan mesyuarat berhubung perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara Kelantan dan Negeri Sembilan, Sabtu ini dengan harga tiket RM30 untuk tempat duduk utama dan RM15 terbuka dengan tiket di Stadium Nasional mula dijual pada pagi hari perlawanan.
--- Harian Metro
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.