Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, April 2, 2012

Kelantan kukuhkan cengkaman


NWOHA (kiri) meledak dua gol ketika membantu Kelantan membelasah Felda United di Kota Bharu, malam kelmarin.


KELANTAN terus mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Super apabila membelasah pasukan di tangga kedua tercorot Felda United 5-1 dalam aksi liga di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Kemenangan terbesar yang dicatatkan oleh skuad bimbingan Bojan Hodak itu membuktikan pasukan tersebut mempunyai ramuan lengkap dalam usaha mempertahankan gelaran yang diraih musim lalu.

Tanpa berselindung, jurulatih berusia 41 tahun itu menyifatkan kemenangan besar itu adalah hasil disiplin tinggi yang dijelmakan oleh barisan pemainnya sepanjang 90 minit perlawanan tersebut.

Katanya, meskipun pada awalnya dia risau barisan pemainnya akan mengalami kepenatan pada perlawanan tersebut selepas mengharungi ujian getir sebelum ini, namun jangkaannya itu meleset apabila pemain bangkit mempamerkan sentuhan juara.

“Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan kemenangan ini dan kita berjaya menjaringkan lima gol. Kita tidak sepatutnya memberikan jaringan kepada pasukan lawan.

“Walaupun bolos satu gol, namun saya tetap gembira dengan persembahan barisan pemain terutama pada babak kedua.

“Jadi saya harap pemain dapat meneruskan persembahan mantap ini kerana kita mahu bergelar juara," ujarnya ketika ditemui pemberita sejurus tamat perlawanan.

Pada perlawanan tersebut, Kelantan yang beraksi di gelanggang keramat mereka tidak perlu menunggu lama apabila berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi Nwoha Onyekachi.

Gol tersebut hanya bertahan seminit apabila Azrul Ahmad yang tidak dikawal berjaya melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.

Nwoha terus membuktikan ketajaman penyudahnya apabila meledakkan gol kedua Kelantan dan peribadinya di minit akhir separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Kelantan terus mengamuk dengan menjaringkan tiga lagi gol menerusi Nor Farhan Mohammad (minit ke-66), Indra Putra Mahyuddin (minit ke-67) dan Mohd. Badri Radzi (minit ke-80).

Mengulas mengenai persembahan Nwoha, pengendali kelahiran Croatia itu menghamburkan pujian kepada pemain tersebut yang telah mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan.

“Seperti yang saya katakan dulu, dia (Nwoha) semakin mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan yang diharungi.

“Mengenai masa depannya, saya akan jumpa dengan Tan Sri Annuar dan pengurusan dalam beberapa hari lagi, barulah kita akan buat keputusan,” tegasnya.

--- KOSMO

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...