Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Lionel Messi. Show all posts
Showing posts with label Lionel Messi. Show all posts

Tuesday, September 24, 2019

Messi Terbaik

Oleh: e-bolasepak.blogspot.com

Pemain sensasi Argentina Lionel Messi menewaskan pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk dan pemenang lima kali Cristiano Ronaldo untuk memenangi anugerah pemain terbaik FIFA tahun ini untuk catatan peribadi keenam beliau.

Foto: the daily star

Messi, yang membantu Barcelona memenangi kejuaraan La Liga Sepanyol pada musim lalu serta penjaring terbanyak Eropah, memenangi anugerah itu kali terakhir pada tahun 2015.

Kemenangan Messi kali ini dianggap mengejutkan kerana pemain Liverpool, Van Dijk dikatakan menjadi calon paling hampir untuk anugerah tersebut. Sebagai catatan Van Dijk membantu Liverpool menjuarai Liga Juara-juara UEFA selain memenangi anugerah pemain terbaik PFA.

Foto: sports yahoo


Sementara untuk katogeri wanita, dimenangi oleh Megan Rapinoe  yang menewaskan rakan sepasukan dari England iaitu Alex Morgan dan Lucy Bronze.


Tahniah Messi dan Rapinoe!.

Tuesday, January 8, 2013

Messi dinobat Pemain Terbaik Dunia kali keempat

ZURICH 8 Jan. - Penyerang Barcelona dan Argentina, Lionel Messi memenangi Anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA buat kali keempat berturut-turut pada majlis di sini, hari ini.
Jurulatih skuad kebangsaan Sepanyol, Vicente del Bosque pula dinamakan sebagai Jurulatih Terbaik 2012. - AFP

Monday, May 30, 2011

Magis Messi memukau

Sumber: Harian Metro Online
LONDON: Lionel Messi memastikan statusnya sebagai pemain terbilang dalam generasinya ketika dua sentuhan magis daripada bintang Argentina itu mendorong kejayaan Barcelona pada Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.
Messi hadir di Wembley digembar-gemburkan sebagai bintang paling cemerlang dalam sukan bola sepak tetapi pemain seperti Cristiano Ronaldo dari Real Madrid dan pemain Manchester United, Wayne Rooney turut mendakwa sebagai pemain terbaik dunia.
Perbalahan mengenai siapa yang terbaik kini boleh dilupakan ketika Messi menghasilkan persembahan sang juara pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang United dalam tempoh hanya tiga tahun.
Pada 2009, Messi mengesahkan kehadirannya sebagai pemain hebat dengan gol menerusi tandukan ketika kemenangan 2-0 Barca ke atas United di Rome.
Kali ini dia sekali lagi menjadi pemusnah dengan jaringan cantik untuk mengembalikan pendahuluan Barca awal pada babak kedua sebelum larian solo menakjubkan menjurus kepada David Villa menjaringkan gol ketiga.
Bagaimanapun Messi enggan menerima pujian secara bersendirian sebaliknya ingin berkongsi bersama rakan sepasukannya.
“Untuk menjadi pemain terbaik perlawanan bukanlah amat penting, kerana kami bermain secara menakjubkan. Kami bagus di semua bahagian.
“Kami gembira untuk menjulang satu lagi trofi. Ia musim yang sukar tapi kami tampilkan siapa kami. Kami pasukan yang lebih bagus,” katanya.
Catatan menakjubkan dengan 56 gol dalam 62 perlawanan buat kelab dan negaranya musim ini membolehkan Messi berhak berdiri seiring Pele, Diego Maradona, Johan Cruyff, Alfredo di Stefano dan George Best dalam senarai pemain terbilang sepanjang zaman.
Tidak hairan Maradona kagum dengan warga senegaranya ketika dia mengkucar-kacir dan merobekkan pertahanan United berkali-kali.
Messi dinafikan gol oleh terjahan tepat Nemanja Vidic pada awal saingan.
Pemain berusia 23 tahun itu tidak pernah menjaringkan gol di England dan dia tidak bernasib baik sekali lagi apabila gagal menyempurnakan hantaran lintang David Villa sebaik sebelum rehat.
Dia turun untuk bergabung dengan pemain tengah beberapa kali dan memulakan larian yang memukau di tengah-tengah benteng United tanpa menemui hantaran pemusnah walaupun rembatannya akhirnya menerjah jaring gol lawan pada minit ke-54. - AFP

Friday, March 11, 2011

Messi kunci Barca gemilang (Harian Metro Online)

BARCELONA: Biarpun Barcelona mempamerkan corak menyerang untuk menyingkir Arsenal dari saingan Liga Juara-Juara, hanya Lionel Messi yang membezakan kedua-dua pasukan selepas dia menjaringkan gol pembukaan perlawanan.

Gol pertama dan gol ketiga Messi menerusi sepakan penalti membolehkan Barca menang 3-1 ke atas Arsenal, kelmarin.

David Villa dan Pedro Rodriguez menggunakan kelajuan dan larian-larian kencang menerima hantaran tepat daripada Xavi Hernandez dan Andres Iniesta membuatkan pertahanan Arsenal hilang tumpuan mengawal Messi.

Dia menjaringkan gol pertama dengan menolak bola tinggi gagal digapai penjaga gol Arsenal, Manuel Almunia.

Arsenal banyak berkampung di kawasan sendiri hampir keseluruhan tempoh permainan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri Sergio Busquets sebelum Robin van Persie dibuang padang, yang menjadi topik perbincangan mengenai mutu pengadilan.

Sewaktu Arsenal berjaya mengekalkan kedudukan 1-1 dengan 11 pemain, mereka seakan pasti mara ke peringkat seterusnya selepas memegang agregat 2-1 di perlawanan pertama, namun Xavi dan Messi menafikannya dengan menjaringkan gol kemenangan Barca.

Messi kini sudah mengumpul 45 jaringan daripada 39 perlawanan. Dia menjaringkan lapan gol di Liga Juara-Juara manakala dalam saingan La Liga, 27 jaringan dihasilkannya daripada 23 perlawanan.

Dua jaringan ketika menentang Arsenal membolehkannya kini berada di tangga teratas penjaring terbanyak dalam sejarah penampilan Barcelona di kejohanan Eropah, ketika hanya berusia 23 tahun.

Messi kini mengumpul 33 jaringan, mengatasi rekod yang dirakam Rivaldo, 31 gol, manakala Luis Enrique yang menjadi tonggak pasukan pada 1990-an, 27 gol.

Messi masih boleh mencatat kejayaan lebih besar selepas menjejakkan kaki di Nuo Camp sejak berusia 13 tahun lagi. - AFP

Tuesday, March 8, 2011

Messi tetap jadi dalang Arsenal (Berita Harian Online)

2011/03/08

LONDON: Dua bekas juara - Barcelona FC dan AC Milan ada tugasan getir untuk kembali dalam buruan mahkota kejuaraan apabila kedua-dua kelab gergasi itu perlu mengatasi cabaran kelab Inggeris - Arsenal dan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Arsenal pimpinan Arsene Wenger akan berkunjung ke Barcelona, hari ini (awal pagi Rabu waktu Malaysia) dalam perlawanan kedua kelompok 16 terakhir untuk mempertahankan pendahuluan 2-1 yang dirakamkan di Stadium Emirates pada 16 Februari lalu.

Milan akan menentang Spurs di White Hart Lane keesokannya dengan tuan rumah bakal tampil mempertahankan kemenangan 1-0 di San Siro.

Perancang Arsenal, Samir Nasri menyahut cabaran untuk mengekang Barcelona diketuai Lionel Messi kerana percaya dia dan rakan sepasukan cintakan bola sepak.

“Kami ke sana hanya mahu main bola sepak yang cantik. Kami akan ke Nou Camp untuk bermain cara kami. Kami yakin dapat menewaskan mereka,” katanya.

Apapun, Arsenal tetap gelisah menyedari Messi yang sudah menyumbat 43 gol dan mencipta 21 lagi daripada 39 perlawanan musim ini akan menjadi ancaman terbesar dalam menggapai cita-cita besar mereka. - Agensi

Friday, March 4, 2011

Messi menjadi

MADRID: Bintang sensasi Argentina, Lionel Messi melengkapkan koleksi gol ke-27 liga musim ini apabila membantu Barcelona menumpaskan Valencia 1-0 di Stadium Mestalla, semalam sekali gus menjarakkan jurang 10 mata dengan pencabar utama, Real Madrid di puncak liga.

Messi menjaringkan gol kemenangan di minit ke-76 bagi memastikan Barcelona mengekalkan rekod tanpa kalah dan memberi tekanan kepada Real yang perlu menewaskan Malaga di laman sendiri, awal pagi tadi.

Messi, pemain terbaik dunia terlepas beberapa peluang pada babak pertama namun beraksi cemerlang ketika permainan berbaki 14 minit dengan menolak masuk hantaran lintang Adriano bagi meraih kemenangan penting Barca.

Kemenangan itu yang pertama buat jurulatih Pep Guardiola di Mestalla, satu-satunya gelanggang di mana beliau masih gagal memungut tiga mata dalam kejohanan besar.

Bagi Valencia yang kini menduduki tangga ketiga, ia kekalahan liga pertama sejak awal Disember lalu dan Villarreal kini hanya ketinggalan satu mata di tempat keempat.

Aksi itu penampilan pertama bintang Piala Dunia Sepanyol, David Villa di Mestalla selepas beraksi di situ selama lima tahun sebelum berpindah ke Barcelona dengan yuran perpindahan sebanyak �40 juta Euro (RM167.8 juta) pada musim panas lalu. Kehadiran semula penyerang berbisa itu mendapat penghormatan daripada penyokong tuan rumah.

Pemain perancang antarabangsa Sepanyol, Xavi kembali dalam kesebelasan utama Barca selepas pulih daripada kecederaan betis untuk bergandingan bersama Javier Mascherano dan Sergi Busquets di bahagian tengah.

Valencia menggunakan Juan Mata yang selalu beraksi di bahagian sayap untuk mengetuai jentera serangan kali ini. Tuan rumah memulakan aksi dengan tempo pantas dan berjaya menghalang Barcelona daripada menguasai permainan.

Eric Abidal dan Dani Alves menyelamatkan pintu gol Barcelona daripada dibolosi sebelum pasukan juara bertahan itu menemui rentak.

Pada minit kesembilan, Messi berjaya meloloskan diri namun pemain Argentina itu mensia-siakan peluang yang terhidang. - AFP

--- HARIAN METRO

Wednesday, February 9, 2011

Messi, Ronaldo berentap (Metro Online)

GENEVA: Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo berpeluang memperaga kehebatan masing-masing di peringkat antarabangsa apabila Argentina bertemu Portugal, awal pagi esok.

Kelab diwakili kedua-dua bintang itu sudah lama bermusuhan dalam Liga Juara-Juara dan Liga Sepanyol. Bagaimanapun, kedua-duanya belum pernah bertemu di arena antarabangsa kerana pertemuan persahabatan Argentina-Portugal yang berlangsung di gelanggang berkecuali di Switzerland itu adalah yang pertama dalam tempoh hampir 40 tahun.


Pertemuan itu hadir tatkala Messi dan Ronaldo menguasai carta penjaring terbanyak Sepanyol dengan 24 gol.

Jurulatih Portugal, Paulo Bento enggan menghangatkan pertemuan kedua-dua bintang itu yang pernah dianugerah pemain terbaik FIFA.


“Sepanjang pengetahuan saya, ini adalah pertemuan antara Portugal menentang Argentina,” kata Bento. “Ia bukannya mengenai perbalahan peribadi. Saya yakin Ronaldo atau Messi juga sependapat dengan saya.” Kali terakhir Ronaldo beraksi menentang Messi ialah ketika Madrid dibelasah 5-0 oleh Barcelona, November lalu.


Aksi mengagumkan Messi membolehkannya dinobatkan selaku pemenang anugerah FIFA Ballon d’Or dan ia adalah gelaran kedua berturut-turut buat penyerang berusia 23 tahun itu.

Ronaldo pernah mengatasi Messi dalam perebutan anugerah itu apabila muncul pemenang pada 2008 manakala Messi menduduki tempat kedua. Anugerah itu diberikan selepas dia menjaringkan 42 gol semusim untuk Manchester United yang kemudiannya muncul juara Liga Juara-Juara.


Messi bangkit mempertahankan kredibilitinya menjaringkan gol pada 2009 termasuk di perlawanan akhir Liga Juara-Juara yang juga menjadi aksi terakhir Ronaldo sebelum ke Madrid.

Penganjur perlawanan persahabatan itu berkata, sekurang-kurangnya 85 negara akan menyaksikan perlawanan itu.


Ronaldo, 26, Sabtu lalu, menjaringkan dua gol ketika membantu Madrid menewaskan Real Sociedad, 4-1, hujung minggu lalu.


Messi pula meledak hatrik ketika Barcelona menewaskan Atletico Madrid, 3-0, sekali gus melebarkan rekod kemenangan kelab itu kepada 16 perlawanan. - AP

Tuesday, February 8, 2011

Tekad pamer aksi terbaik (Metro Online)

LISBON: Penyerang sensasi Argentina, Lionel Messi serta kapten Portugal, Cristiano Ronaldo menjadi tumpuan utama dan meneruskan permusuhan mereka di saingan Liga Sepanyol pada perlawanan persahabatan di Switzerland, esok.

Messi yang baru dinobat pemain terbaik dunia mempamerkan aksi cemerlang bersama pendahulu liga, Barcelona dengan meledakkan 24 gol manakala Ronaldo yang terus gah dengan reputasi pemain termahal dunia, beraksi bersama Real Madrid.


“Bagi saya, ia bukan soal pertembungan antara Ronaldo dan Messi tapi lebih kepada Portugal menentang Argentina. Pertembungan individu demi keseronokan peminat,” kata jurulatih Portugal, Paulo Bento.

“Kami perlu mempamerkan aksi terbaik dengan menggunakan khidmat Ronaldo serta rakan-rakannya,” katanya.


Bento yang mengambil alih tugas sebagai jurulatih September lalu selepas Carlos Queiroz dipecat diharap mampu membantu Portugal mengharungi pusingan kelayakan Euro 2012 selepas mereka mempamerkan aksi mengecewakan pada awal saingan.


Aksi menarik ketika membelasah juara Piala Dunia, Sepanyol, 4-0, November lalu, menyaksikan Bento menerapkan corak permainan menyerang berbanding Queiroz.

Pemilihan pemain sayap, Ricardo Quaresma untuk diturunkan pada perlawanan persahabatan esok, Bento memberi isyarat mahu Portugal meneruskan rentak cemerlang pada aksi antarabangsa.


“Kami mahu menang dan beraksi sebaik mungkin. Ia perlawanan penting untuk pusingan kelayakan menentang Norway, Jun ini,” katanya.

Perlawanan itu juga penting bagi Argentina dengan jurulatihnya, Sergio Batista menggunakan kesempatan untuk mencuba beberapa pemain menjelang saingan Copa America di tempat sendiri, Julai ini.


Batista berkata, Carloz Tevez dan Sergio Aguero serta dua pemain pertahanan, Gabriel Heinze serta Martin Demichelis tidak dipanggil bukan kerana dihukum.


Batista dijangka memberi peluang kepada penyerang kelab Velez Sarsfield, Juan Manuel Martinez untuk penampilan pertama di pentas antarabangsa.


Beliau yang mengambil alih tugas itu daripada Diego Maradona selepas tamat kempen Piala Dunia lalu, dijangka menggunakan khidmat Messi pada bahagian serangan untuk bergandingan dengan pemain perancang, Javier Pastore. - Reuters

Monday, February 7, 2011

Barca cipta rekod (Metro Online)

BARCELONA: Barcelona mencatatkan kemenangan ke-16 berturut-turut dalam liga Sepanyol apabila menewaskan Atletico Madrid 3-0 hasil hatrik Lionel Messi, kelmarin.

Kemenangan bersejarah itu meletakkan Barcelona mengatasi Real Madrid buat sementara waktu dengan 10 mata untuk berada di tangga teratas liga menjelang pertembungan musuh utamanya itu dengan Real Sociedad.


Messi meledak dua gol sebelum masa permainan memasuki setengah jam dan menambah gol ketiga pada babak kedua.

Rekod ini mengatasi kemenangan 15 kemenangan era Alfredo Di Stefano di Real Madrid 50 tahun lalu.


“Ini satu penghormatan kepada pasukan untuk mengatasi rekod yang sudah lama bertahan,” kata Messi.


Pasukan bimbingan Pep Guardiola itu memiliki rekod jaringan 60-6 yang juga ke-10 terpanjang dalam sejarah Eropah.

Jurulatih Atletico, Quique Sanchez Flores menyisihkan penyerang Diego Forlan daripada kesebelasan utama dengan memberi tumpuan kepada bekas produk akademi remaja Barcelona, Fran Merida. Namun, percaturan beliau tidak berhasil apabila Barcelona mengawal bola sejak wisel permulaan.


Atletico bertahan hingga Messi membuka jaringan untuk juara bertahan dua kali itu pada minit ke-17 hasil larian daripada sebelah kanan yang menewaskan tiga pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan dengan kaki kiri ke kanan penjuru gol dikawal David De Gea.

Jaringan kedua Messi hasil kerjasama hebat sepasukan. Selepas sentuhan Antonio Lopez gagal mengeluarkan bola, Pedro Rodriguez bergandingan dengan David Villa untuk membuka peluang buat Messi meledak gol kedua.


“Kami tidak akan menjadi seperti ini jika Messi tidak berada dalam pasukan,” kata Guardiola. “Untuk menjadi pasukan hebat anda perlu mempunyai pemain yang menonjol. Kami sudah menang 16 perlawanan kerana mempunyai Messi.” - AP

Monday, January 31, 2011

Messi mengganas (Harian Metro Online)

MADRID: Lionel Messi menjaringkan dua gol pada lewat permainan untuk membantu pendahulu La Liga, Barcelona menewaskan Hercules, 3-0, di gelanggang lawan, semalam.

Ia kemenangan ke-15 berturut-turut buat kelab Catalan itu bagi menyamai rekod La Liga yang dilakukan Real Madrid pada musim 1960-61.

September lalu, Hercules mengejutkan juara bertahan itu dengan kemenangan 2-0 di Nou Camp, kekalahan tunggal dialami Barca dalam kempen liga musim ini.

Hercules memberi tentangan sengit kepada pasukan pelawat hinggalah Pedro membuka tirai jaringan sebelum babak pertama tamat.


Pemain terbaik dunia, Messi meledak dua gol di hujung permainan selepas pasukan tuan rumah beraksi dengan 10 pemain berikutan Francisco Farinos menerima kad kuning kedua pada minit ke-85.

Barca kini mengumpul 58 mata daripada 21 perlawanan, mengatasi Real Madrid yang berkunjung ke Osasuna, awal pagi tadi, dengan tujuh mata.

“Jaringan sebelum rehat banyak membantu kami namun kedudukan tidak terjamin dan kealpaan pasti dihukum. Kad merah kepada Farinos membantu kami,” kata jurulatih Barca, Pep Guardiola.

Keputusan pasti berbeza di Rico Perez jika David Trezeguet berjaya menyempurnakan peluang terbaik di minit ke-20 ketika Hercules sukar menembusi pertahanan pelawat.

Barca gagal mendominasi permainan hinggalah Xavi melorongkan hantaran kepada Pedro yang melepaskan rembatan menerjah ke gawang bagi meneruskan rekod cemerlang menjaringkan gol dalam enam perlawanan liga berturut-turut.

Barca kemudian terpaksa menunggu hingga Farinos dibuang padang untuk menggandakan jaringan menerusi percubaan Messi pada minit ke-87.

Dua minit kemudian, Dani melakukan hantaran lintang kepada bintang Argentina itu yang mudah menolak masuk gol ketiga sekali gus mengumpul 21 gol, di belakang penyerang Real, Cristiano Ronaldo dengan 22 gol.

Sementara itu, Deportivo Coruna menafikan kemenangan Sevilla yang beraksi dengan 10 pemain apabila menghasilkan gol lewat permainan untuk seri 3-3 di laman sendiri.

Sporting Gijon dan Real Zaragoza turut mencatat kemenangan untuk keluar daripada kelompok pasukan bawahan.

Sporting mencatat peningkatan dengan meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan Real Mallorca 4-0. - Reuters

Thursday, January 27, 2011

‘Messi dihukum kerana jersi’ (Berita Harian Online)

2011/01/27

Lionel Messi
Lionel Messi

MADRID: Penyerang Barcelona, Lionel Messi dikenakan hukuman denda dan kad kelmarin kerana mendedikasikan satu jaringan gol kepada ibunya sempena hari jadi.

Selepas menjaringkan penalti ketika kemenangan 3-0 ke atas Racing Santander Sabtu lalu, penyerang Argentina itu menyelak jersi dipakainya di depan kamera televisyen untuk mendedahkan baju-T yang dipakainya yang memaparkan perkataan “Selamat Hari Jadi, Mama!”

Pemenang terbaru anugerah “Ballon d’Or” itu tidak dilayangkan kad oleh pengadil ketika perlawanan tetapi aksi itu dimuatkan dalam laporan perlawanan oleh pengadil.
Messi dikenakan hukuman mengikut artikel 91.1 jawatankuasa disiplin Persekutuan Bola Sepak Sepanyol berhubung meraikan jaringan gol.

Messi mungkin dikenakan hukuman denda antara 2,000 euro hingga 3,000 euro (AS$2,736-AS$4,105) serta akan menerima hukuman kad kuning. - AP

Saturday, January 15, 2011

Messi tidak dabik dada (Harian Metro Online)

BARCELONA: Bintang Argentina, Lionel Messi menafikan kejayaannya menerima anugerah Ballon d’Or dengan mengetepikan rakan sepasukan di Barcelona, Andres Iniesta dan Xavi menjejaskan hubungan dengan dua pemain Sepanyol itu.

“Saya tidak kisah apa orang kata. Rakan sepasukan hormat dan mengiktiraf saya. Mereka mengucapkan tahniah dan gembira bagi pihak saya, itu paling penting,” kata Messi dalam sidang media.

“Tanpa mereka, saya pasti tidak menang. Hubungan kami masih kekal mesra. Saya tiada masalah dengan Iniesta dan Xavi. Hubungan saya dengan kedua-duanya baik.” Messi dipilih mengatasi dua rakan sepasukan di Barcelona pada majlis yang berlangsung di Switzerland.

Ini adalah tahun kedua berturut-turut Messi menerima anugerah Ballon d’Or.

Penyerang Argentina itu dijangka tewas kepada salah seorang rakannya yang menjulang Piala Dunia bersama Sepanyol Julai tahun lalu, tambahan pula gagal menjaringkan gol di kejohanan itu.

Messi, Iniesta dan Xavi menerima tepukan gemuruh peminat Barca, Rabu lalu sebelum memulakan perlawanan yang menyaksikan mereka menewaskan Betis 5-0 pada perlawanan Piala Raja Sepanyol.

Penyerang Argentina itu meledak hatrik pada perlawanan pertama selepas menerima anugerah itu.

Anugerah dianjur majalah Bola Sepak Perancis sejak 1956 buat kali pertama digabung dengan anugerah Pemain Terbaik Tahunan Fifa. - AFP

Thursday, January 13, 2011

Media Sepanyol luah kecewa (Harian Metro Online)

Lionel Messi

Media Sepanyol meluahkan rasa kecewa selepas pasangan Barcelona, Xavi dan Andres Iniesta tewas kepada Lionel Messi untuk meraih anugerah Ballon d’or manakala jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque turut kecundang kepada jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho bagi anugerah jurulatih terbaik.

“Emas untuk Messi dan kekecewaan buat Sepanyol. Messi dan Mou meninggalkan wira ‘Roja’ tanpa Ballon d’or,” lapor akhbar sukan AS.

Akhbar sukan Marca turut menyiarkan tema sama: “Fifa memandang rendah juara dunia sehingga menyebabkan Xavi, Iniesta dan del Bosque pulang tanpa sebarang anugerah sekali gus mengakibatkan bola Sepak Sepanyol tewas teruk dalam acara anugerah tahunan Ballon d’or tahun ini.” Mourinho meraih anugerah jurulatih terbaik untuk Real biarpun secara keseluruhan dibayangi kejayaan Barcelona, menafikan kejayaan musuh mereka, Catalan dengan penyerang Cristiano Ronaldo antara pemain paling gembira menemani pengurusnya ke majlis yang berlangsung di Zurich itu.

“Saya tahu Mourinho akan menang anugerah itu - apapun yang lain semuanya akan menjadi tidak adil. Dia meraih tiga gelaran penting, tiada sesiapapun boleh merangkul gelaran hadiah Fifa itu. “Mourinho sudah meraih banyak gelaran sepanjang tempoh lima atau enam tahun lalu. Banyak yang saya pelajari pada waktu singkat bersamanya,” kata bekas penyerang Manchester United itu.

Ronaldo berkata, dia berharap melihat Mourinho membimbing Real ke peringkat lebih tinggi selepas membawa Porto, Chelsea dan Inter Milan sebelum ke Bernabeu dengan kejayaan membawa gelaran Liga Juara-Juara, Serie A dan Piala Itali, yang belum pernah diraih serentak pada satu musim sebelum ini.

Mourinho bagaimanapun berkata, dia tidak setuju dengan pemilihan Messi.

“Messi, Xavi dan Iniestia tidak sepatutnya dicalonkan. Saya lebih suka jika pemain lain menang - Wesley Sneijder atau Diego Milito ketika mereka bersama Inter. Tapi undian sudah dikira dan anda tidak boleh menukarnya.” Katanya, dia harap satu hari nanti pemainnya mampu menewaskan Messi.

“Satu hari nanti akan ada penjaga gol yang menang dan saya harap dia adalah (Iker) Casillas kerana dia yang terbaik. Ronaldo pula harus menang empat atau lima Ballons d’Or begitu juga dengan Casillas.” - AFP

Wednesday, January 12, 2011

Messi terbaik (Berita Harian Online)

2011/01/12

Foto
Jose Mourinho

ZURICH: Ikon bola sepak Argentina, Lionel Messi sekali lagi menjadi pilihan apabila dinobatkan selaku Pemain Terbaik Dunia 2010, kelmarin buat kali kedua berturut-turut manakala Jose Mourinho pula pulang membawa anugerah jurulatih terbaik buat memaksa barisan pemenang Piala Dunia, Sepanyol menggigit jari.

Messi berjaya mengatasi dua calon pilihan sebelum ini yang juga rakan sepasukan Barcelona - Andres Iniesta dan Xavi - untuk memenangi anugerah FIFA Ballon D'or yang baru diper­kenalkan.

"Saya mahu berkongsi gemilang ini bersama rakan sepasukan kerana tanpa mereka saya tidak akan berada di sini....dan juga semua rakyat Argentina," kata Messi yang menang mudah dengan undian 22.65 peratus berbanding Iniesta 17.36 dan Xavi (16.48).
Mourinho kini bersama Real Madrid memenangi anugerah Jurulatih Terbaik selepas membim­bing Inter Milan menjuarai Liga Juara-Juara Eropah, Serie A dan Piala Itali.

"Trofi paling penting bagi saya adalah kemenangan bersama sebagai satu pa-sukan dan bukan individu, tapi ini satu trofi bersejarah bagi saya dan bola sepak Portugal," katanya yang menewaskan Del Bosque dengan perkiraan 35.92 peratus berbanding lawan 33.08.

Monday, November 1, 2010

Ronaldo, Messi ledak 2 gol (Utusan Malaysia Online)


CRistiano Ronaldo dengan gaya tersendiri ketika meraikan kejayaan menjaringkan gol buat Real Madrid pada perlawanan Liga Sepanyol, semalam. Real membenam Hercules 3-1.


MADRID - Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi masing-masing menjaringkan dua gol dalam perlawanan berasingan pada kempen Liga Sepanyol, semalam. Ronaldo membantu Real Madrid bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan pendatang baru, Hercules 3-1, manakala Messi membantu Barcelona membelasah 10 pemain Sevilla 5-0.

Bintang Portugal, Ronaldo, yang kehilangan mahkota Pemain Terbaik Dunia kepada Messi, kini sudah menyumbat 10 gol dalam empat penampilan terakhir liga untuk menjadikan 11 gol dihasilkan sepanjang musim ini.

Selepas menjaringkan empat gol ketika membenam Racing Santander hujung minggu lalu, dia menambah dua lagi ketika berdepan Hercules untuk memastikan Real kekal di tangga teratas liga dengan 23 mata daripada sembilan perlawanan.

Penyerang Argentina, Messi pula menjaringkan gol keenam dan ketujuhnya musim ini dalam perlawanan yang menyaksikan bintang Piala Dunia Sepanyol, David Villa turut menyumbat dua gol, manakala bekas pemain Sevilla, Daniel Alves menambah satu gol untuk Barcelona terus menghambat Real dengan hanya dipisahkan satu mata di belakang.

Dalam satu lagi perlawanan, aksi buruk Valencia berterusan apabila terikat 1-1 dengan kelab bermasalah, Real Zaragoza di gelanggang sendiri, manakala Villarreal mampu berkongsi 22 mata dengan Barca sekiranya mengalahkan Sporting Gijon dalam perlawanan lewat pagi ini.

Hercules yang mengejutkan Barcelona 2-0 di Nou Camp, Setember lalu, kelihatan seperti bakal mengejutkan satu lagi gergasi Sepanyol apabila mendahului saingan seawal minit ketiga di Stadium Jose Rico Perez. Bekas penyerang Perancis dan Juventus, David Trezeguet, membuka jaringan tuan rumah dengan menanduk hantaran David Cortes untuk menewaskan penjaga gol terbaik Piala Dunia, Iker Casillas.

Hajat Hercules, kelab dengan bajet kecil, 40 juta euro (RM174 juta) untuk melakar kejutan ke atas gergasi Sepanyol itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan apabila Real menyamakan kedudukan tujuh minit memasuki babak kedua. Jaringan berpunca hasil rembatan jarak jauh Ronaldo yang gagal ditepis kemas oleh penjaga gol, Juan Calatayud untuk membolehkan Angel Di Maria menyambut bola dan melepaskan sepakan ke penjuru gawang.

Tuan rumah seperti akan berkongsi mata dengan Real, namun Ronaldo mengecewakan mereka dengan menyambut rembatan muntah Karim Benzema untuk meletakkan pasukannya mendahului 2-1 pada minit ke-82, sebelum dia memastikan kemenangan 3-1 dibawa pulang hasil jaringan lewat minit ke-88.

"Kami bermain dengan corak permainan sendiri pada babak kedua. Apa yang penting adalah mengutip tiga mata dan terus kekal di tangga teratas liga,'' ujar pengurus Real, Jose Mourinho.

Sementara itu di Nou Camp, Messi meletakkan penyandang juara, Barca di depan seawal minit keempat, sebelum Villa melebarkan kedudukan 2-0 pada minit ke-24.

Malang terus menimpa Sevilla apabila tonggak pertahanannya, Abdoulay Konko dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua, beberapa minit sebelum tamat separuh masa pertama. Beraksi dengan 10 pemain nyata membuka banyak kelemahan pelawat, akhirnya Alves melebarkan kedudukan 3-0 buat Barce, lapan minit memasuki babak kedua.

Messi menggamatkan lagi suasana di Nou Camp dengan menyumbat gol keempat pasukannya selepas melepaskan rembatan rendah yang menewaskan Javi Varas pada minit ke-64, sebelum Villa melengkapkan gol kelima pada minit terakhir perlawanan. - Reuters

Sunday, May 23, 2010

Messi bikin kem Argentina tersentak (Kosmo)


MESSI dianggap senjata utama Argentina bagi menggempur gawang pasukan lawan pada kempen Piala Dunia 2010.


BUENOS AIRES - Kem Argentina tersentak seketika menjelang kempen Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung di bumi Afrika Selatan bulan depan.

Semuanya gara-gara kecederaan yang menimpa bintang sensasi Barcelona, Lionel Messi pada kem latihan skuad kebangsaan Argentina kelmarin.

Messi dilapor mengalami kecederaan di bahagian lutut kanan selepas bertembung dengan Javier Mascherano.

"Kami semua takut selepas insiden itu," kata jurulatih Argentina, Diego Maradona kepada stesen televisyen Canal 13.

"Saya tidak melihat insiden itu dengan jelas. Dia (Messi) dan Masche telah berlanggar antara satu sama lain dan kemudiannya, saya lihat Messi berhenti.

"Bagaimanapun, kami semua kembali menghela nafas lega apabila diberitahu kecederaan yang menimpa Messi tidak begitu serius.

"Dia boleh diturunkan ketika kami menentang Kanada pada aksi persahabatan Isnin ini (esok)."

Pada kempen Piala Dunia kali ini, Argentina begitu mengharapkan sentuhan Messi yang berjaya muncul penjaring terbanyak Liga Sepanyol musim ini dengan merekodkan 34 gol.

Argentina yang turut diletakkan antara pasukan pilihan bagi menjuarai Piala Dunia 2010 dijadual menentang Nigeria, Korea Selatan dan Greece dalam saingan Kumpulan B.

Tuesday, March 23, 2010

Messi buat lagi (Utusan Malaysia)

MADRID - Jaringan hatrik kedua Lionel Messi dalam tempoh lapan hari membantu Barcelona menang 4-2 ke atas Zaragoza dalam saingan Liga Sepanyol, kelmarin.

Jentera serangan Argentina itu yang mencipta hatrik ketika menentang Valencia, minggu lalu, kini mendahului senarai penjaring dengan 25 gol.

''Dia merupakan pemain terbaik dalam sejarah bola sepak,'' kata Presiden Barcelona, Joan Laporta.

Messi menanduk kemas bola hantaran Pedro Rodriguez seawal minit kelima sebelum muncul dengan satu lagi jaringan minit ke-66 yang dianggap antara jaringan terbaiknya.

''Saya tidak tahu sama ada jaringan kedua itu yang paling cantik pernah saya buat. Ia berlaku sangat pantas. Saya bernasib baik dapat melakukannya,'' kata Messi.

Dia kemudian muncul dengan rembatan serong pada minit ke-78 sekali gus mengecapi hatrik kelima sepanjang kariernya.

''Sukar untuk menerangkan tentang Messi. Saya tidak tahu apa untuk diperkatakan,'' kata jurulatih Barcelona, Pep Guardiola.

Sementara itu, pemain Zaragoza, Adrian Colunga mengambil kesempatan daripada kealpaan benteng pertahanan Barcelona untuk menjaringkan dua gol di saat-saat akhir permainan.

Bagaimanapun, Barcelona sempat melengkapkan jaringan keempat selepas Messi dijatuhkan pada minit ke-90 dan Zlatan Ibrahimovic mudah menyempurnakan sepakan penalti.

Real dan Barcelona kini berkongsi 68 mata tetapi Real masih mendahului berdasarkan perbezaan jaringan gol.

Dalam pada itu, Mallorca mara ke saingan kelayakan Liga Juara-Juara selepas menewaskan Atletico Madrid 4-1 manakala David Silva membantu pasukan tangga ketiga, Valencia menang 2-0 ke atas Almeria.

Dalam satu lagi perlawanan, Racing Satander bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-1 ke atas Osasuna manakala Nabil Baha menjaringkan dua gol untuk membantu Malaga menewaskan Villarreal 2-0.

Tuesday, March 16, 2010

Messi berhak dapat pujian menggunung (Utusan Malaysia)

MADRID - Jaringan hatrik Lionel Messi ketika menentang Valencia kelmarin bukan sahaja mengesahkan penyerang Argentina itu memegang status pemain FIFA Terbaik Dunia Tahun ini malah mendapat pujian melangit daripada Presiden Barcelona, Joan Laporta.

Penjaring terbanyak Liga Sepanyol itu menjaringkan golnya yang ke 20, 21 dan 22 musim ini, sekali gus membantu kelab Juara Eropah itu menumbangkan Valencia 3-0.

"Dia begitu hebat dan menakjubkan. Hari ini, Leo berhak menerima semua pujian walaupun perlawanan begitu sengit.

"Dia memang pemain yang bijak tetapi pada masa yang sama kekal merendah diri dan menghormati orang lain.

Minggu lalu, Barca terpaksa menyerahkan kedudukan paling atas ke tangan Real Madrid setelah mereka seri 2-2 di Almeria, minggu lalu memerlukan prestasi menyakinkan untuk kembali menguasai takhta dan Messi telah melakukannya.

Dia berjaya merobek tembok pertahanan Valencia pada minit ke-56 dan melakukan rembatan jarak dekat melepasi Cesar Sanchez.

Minit ke-56 menyaksikan penyerang itu sekali lagi melepasi tembok pertahanan Valencia dan menyumbat gol melepasi Cesar Sanchez.

Thierry Henry turut memainkan peranan dengan membantu gol kedua dan ketiga Messi

Jurulatih Valencia, Unai Emery tetap memuji pemain-pemain kerana berjaya mengawal pemain Barca tetapi berkata, Messi begitu berbeza.

"Dia mungkin pemain terbaik di dunia dan menjadi sebahagian daripada pasukan yang hebat seperti Barcelona," katanya dalam satu sidang akhbar.

Sementara itu, pembantu jurulatih Barca, Tito Vilanova, turut memberikan penghargaan kepada Henry yang turun sebagai pemain gantian, yang mana pemain itu juga melakukan hatrik sama ketika menentang Valencia musim lalu.

"Membawa masuk Henry memberi lebih kelebihan kepada kami dan kami telah memberi lebih tekanan kepada Valencia, terutama apabila mereka tidak berjaya mengawal bola di kawasan pertahanan.

"Henry mencipta banyak kebebasan bergerak (kepada Messi)," kata Vilanova. - REUTERS

Tuesday, March 2, 2010

Messi dinobat pemain paling berpengaruh (Berita Harian)

MADRID: Bintang Barcelona dan pemain sayap Argentina, Lionel Messi dinamakan pemain paling berpengaruh dari segi nilai media menewaskan Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney, menurut satu kajian dikemukakan di Sepanyol kelmarin.

Satu pasukan kajian dari Universiti Navarra mentakrifkan pemenang Bola Emas La Liga, tahun lalu itu sebagai pemain paling berprofil tinggi dunia untuk tahun kedua berturut-turut menewaskan bintang Real Madrid yang juga pemain termahal dunia, Ronaldo dan penyerang Manchester United, Rooney berdasarkan kajian dijalankan selama setahun.

Perancang Brazil dan Real, Kaka berada di kedudukan keempat dan pemain dari Sepanyol dan England, kedua-duanya dari Liverpool iaitu Fernando Torres dan Steven Gerrard berada di kedudukan kelima dan keenam.

Penyerang Chelsea dan Ivory Coast, Didier Drogba, pemain sayap Brazil, Ronaldinho, dan pemain tengah Sepanyol, Xavi serta penyerang Sweden dan Barca, Zlatan Ibrahimovic melengkapkan senarai pemain 10 terbaik.

Juara Eropah dan Sepanyol, Barcelona berada di tangga teratas bagi kategori kelab di atas Real, United, Chelsea, AC Milan dan Liverpool. - AFP

Monday, March 1, 2010

Messi hadiahkan kemenangan (Kosmo)


MESSI menjaringkan gol kemenangan Barca pada aksi menentang Malaga semalam.


MADRID - Jaringan lewat Lionel Messi membantu Barcelona menewaskan Malaga 2-1 awal pagi semalam untuk terus memastikan juara bertahan itu mengatasi Real Madrid dalam saingan Liga Sepanyol.

Real terus mengekori rapat Barcelona setelah membelasah Tenerife 5-1 dengan mereka kini masih ketinggalan dua mata di belakang Barcelona untuk berada di tangga kedua.

Pedro Rodriguez meletakkan Barcelona di hadapan pada minit ke-58 sebelum pemain gantian Malaga, Valmiro Valdo menyamakan kedudukan pada minit ke-80.

Namun tiga minit kemudian, Messi menjaringkan gol kemenangan Barcelona yang juga jaringan peribadi ke-17 musim ini bagi menyamai penyerang Valencia, David Villa.

"Perlawanan ini cukup sukar biarpun kami berjaya menjaringkan dua gol. Ia kemenangan yang penting dan kami perlu terus mengutip tiga mata kerana Real juga terus beraksi dengan baik," kata Messi.

Sementara itu, Real terus garang apabila mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi dua jaringan penyerang Argentina, Gonzalo Higuain.

Biarpun Tenerife merapatkan kedudukan menerusi jaringan Garcia Perez Ayoze pada awal babak kedua, Real menambah tiga lagi gol selepas itu menerusi Kaka (48), Cristiano Ronaldo (80) dan Raul (90).

"Saya sangat gembira dengan apa yang dipamerkan pasukan secara keseluruhannya. Kami memiliki kepelbagaian pemain yang menghasilkan satu perbezaan.

"Inilah keputusan atas segala kerja keras yang kami lakukan," kata jurulatih Real, Manuel Pellegrini. - AFP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...