Sumber: Harian Metro Online
LONDON: Lionel Messi memastikan statusnya sebagai pemain terbilang dalam generasinya ketika dua sentuhan magis daripada bintang Argentina itu mendorong kejayaan Barcelona pada Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.
Messi hadir di Wembley digembar-gemburkan sebagai bintang paling cemerlang dalam sukan bola sepak tetapi pemain seperti Cristiano Ronaldo dari Real Madrid dan pemain Manchester United, Wayne Rooney turut mendakwa sebagai pemain terbaik dunia.
Perbalahan mengenai siapa yang terbaik kini boleh dilupakan ketika Messi menghasilkan persembahan sang juara pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang United dalam tempoh hanya tiga tahun.
Pada 2009, Messi mengesahkan kehadirannya sebagai pemain hebat dengan gol menerusi tandukan ketika kemenangan 2-0 Barca ke atas United di Rome.
Kali ini dia sekali lagi menjadi pemusnah dengan jaringan cantik untuk mengembalikan pendahuluan Barca awal pada babak kedua sebelum larian solo menakjubkan menjurus kepada David Villa menjaringkan gol ketiga.
Bagaimanapun Messi enggan menerima pujian secara bersendirian sebaliknya ingin berkongsi bersama rakan sepasukannya.
“Untuk menjadi pemain terbaik perlawanan bukanlah amat penting, kerana kami bermain secara menakjubkan. Kami bagus di semua bahagian.
“Kami gembira untuk menjulang satu lagi trofi. Ia musim yang sukar tapi kami tampilkan siapa kami. Kami pasukan yang lebih bagus,” katanya.
Catatan menakjubkan dengan 56 gol dalam 62 perlawanan buat kelab dan negaranya musim ini membolehkan Messi berhak berdiri seiring Pele, Diego Maradona, Johan Cruyff, Alfredo di Stefano dan George Best dalam senarai pemain terbilang sepanjang zaman.
Tidak hairan Maradona kagum dengan warga senegaranya ketika dia mengkucar-kacir dan merobekkan pertahanan United berkali-kali.
Messi dinafikan gol oleh terjahan tepat Nemanja Vidic pada awal saingan.
Pemain berusia 23 tahun itu tidak pernah menjaringkan gol di England dan dia tidak bernasib baik sekali lagi apabila gagal menyempurnakan hantaran lintang David Villa sebaik sebelum rehat.
Dia turun untuk bergabung dengan pemain tengah beberapa kali dan memulakan larian yang memukau di tengah-tengah benteng United tanpa menemui hantaran pemusnah walaupun rembatannya akhirnya menerjah jaring gol lawan pada minit ke-54. - AFP
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.