BARCELONA: Biarpun Barcelona mempamerkan corak menyerang untuk menyingkir Arsenal dari saingan Liga Juara-Juara, hanya Lionel Messi yang membezakan kedua-dua pasukan selepas dia menjaringkan gol pembukaan perlawanan.
Gol pertama dan gol ketiga Messi menerusi sepakan penalti membolehkan Barca menang 3-1 ke atas Arsenal, kelmarin.
David Villa dan Pedro Rodriguez menggunakan kelajuan dan larian-larian kencang menerima hantaran tepat daripada Xavi Hernandez dan Andres Iniesta membuatkan pertahanan Arsenal hilang tumpuan mengawal Messi.
Dia menjaringkan gol pertama dengan menolak bola tinggi gagal digapai penjaga gol Arsenal, Manuel Almunia.
Arsenal banyak berkampung di kawasan sendiri hampir keseluruhan tempoh permainan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri Sergio Busquets sebelum Robin van Persie dibuang padang, yang menjadi topik perbincangan mengenai mutu pengadilan.
Sewaktu Arsenal berjaya mengekalkan kedudukan 1-1 dengan 11 pemain, mereka seakan pasti mara ke peringkat seterusnya selepas memegang agregat 2-1 di perlawanan pertama, namun Xavi dan Messi menafikannya dengan menjaringkan gol kemenangan Barca.
Messi kini sudah mengumpul 45 jaringan daripada 39 perlawanan. Dia menjaringkan lapan gol di Liga Juara-Juara manakala dalam saingan La Liga, 27 jaringan dihasilkannya daripada 23 perlawanan.
Dua jaringan ketika menentang Arsenal membolehkannya kini berada di tangga teratas penjaring terbanyak dalam sejarah penampilan Barcelona di kejohanan Eropah, ketika hanya berusia 23 tahun.
Messi kini mengumpul 33 jaringan, mengatasi rekod yang dirakam Rivaldo, 31 gol, manakala Luis Enrique yang menjadi tonggak pasukan pada 1990-an, 27 gol.Messi masih boleh mencatat kejayaan lebih besar selepas menjejakkan kaki di Nuo Camp sejak berusia 13 tahun lagi. - AFP
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.