Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, May 31, 2011

Puas walau menang tipis

Sumber: Sinar Harian Online

KOTA BHARU - Tiga mata penting yang diraih ketika mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang memberi kelegaan buat pengendali pasukan Kelantan, Datuk M Karathu dalam mencongak untung nasib pasukannya memburu kejuaraan liga setelah hanya mampu meraih satu mata dalam dua perlawanan lalu.

Karathu berkata, kemenangan tersebut membuka ruang kepada Kelantan kembali bersaing bersama Terengganu dan Selangor dalam memburu kejuaraan ketika saingan liga semakin menghampiri penamatnya.

“Saya gembira walaupun sekadar menang tipis.

“Walau kita mempunyai sekurang-kurangnya lima peluang terbaik termasuk sepakan penalti, yang penting kita mengutip tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

Beliau berkata, seperti yang dikatakannya sebaik tewas kepada T-Team tempoh hari, pasukan Kelantan masih mempunyai baki empat perlawanan dan dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku.

“Kita menang di sini 1-0 (ke atas Pahang) tetapi Terengganu tewas 0-1 kepada Kedah, jadi saingan masih terbuka bagi kedua-dua pasukan.

“Pada separuh masa kedua, saya akui tekanan berpihak kepada kita biarpun sedang mendahului ketika itu. Kita mencipta banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol.

“Pahang pula sentiasa memberi tentangan sengit kerana mereka menyedari mereka juga berpeluang untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di sini,” katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai persembahan keseluruhan anak buahnya dalam perlawanan itu, Karathu ternyata kurang berpuas hati dengan aksi tidak konsisten pemainnya sambil mengakui faktor beraksi 10 perlawanan dalam tempoh 28 hari sememangnya menjejaskan prestasi pasukan Kelantan.

“Saya terpaksa membuat pertukaran dua atau tiga pemain bagi mempertahankan defisit satu gol yang dimiliki. Inilah masalahnya apabila pemain kita melalui sindrom keletihan yang berpanjangan.

“Mereka hilang keyakinan setiap kali berada di depan pintu gol, malah sepakan penalti juga tidak menepati sasaran. Kita sebenarnya berhadapan dengan tekanan, kehilangan tenaga dan segala-galanya.

“Saya fikir tempoh rehat selama 10 hari perlu diisi dengan perancangan untuk meningkatkan kembali mental pemain. Dengan berbaki tiga perlawanan, kita masih berpeluang memenangi kejuaraan liga dengan syarat memenangi kesemua perlawanan itu ,” katanya.

Kelantan ‘hutang budi’ Kedah

Sumber: Berita Harian Online
Oleh Mohd Nor Asri Yaacob

2011/05/30

Red Warriors hanya menang tipis 1-0 tewaskan Pahang di Kota Bharu

KELANTAN berterima kasih kepada Kedah yang menundukkan Terengganu (1-0), sekali gus membawa The Red Warriors kembali ke persada Liga Super selepas turut menang tipis ke atas Pahang 1-0 di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Bharu, kelmarin.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, biarpun kemenangan memihak Kelantan, beliau masih belum berpuas hati kerana prestasi permainan yang ditunjukkan anak buahnya tidak mencapai tahap diingininya.
Sekalipun mencipta banyak peluang jaringan, kelemahan pada jentera serangan nyata memberikan kesan hinggakan sukar memecah benteng pelawat yang dibimbing Dollah Salleh.
“Pemain gagal mempamerkan aksi yang saya mahukan dan saya yakin jika rentak sebenar ditunjukkan, kami mampu menjaringkan lebih daripada satu gol,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Mohamad ke-IV itu.

Kelantan memperoleh gol tunggal menerusi kapten, Mohd Badri Radzi pada minit kelapan tetapi jaringan awal itu gagal menyuntik semangat rakan sepasukan untuk menambah jaringan termasuk sepakan penalti Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-24 yang ditepis penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizol.

Karathu berkata, dia sekadar lega sebaik permainan berakhir dan akur masih wujud kelemahan dalam pasukan itu yang harus diperbaiki segera untuk mengutip mata maksimum pada baki tiga perlawanan liga.

“Kami bernasib baik kerana mendapat gol pada awal permainan dan saya lega lawan gagal mencari gol penyamaan tetapi jika tidak memperbaiki kelemahan yang masih ada, Kelantan mungkin kehilangan mata selepas ini.”

Monday, May 30, 2011

Irfan sedih rekod laman sendiri berakhir

Sumber: Berita Harian Online
Oleh Hamid Salleh

2011/05/30

TIADA yang lebih pedih buat Terengganu apabila tewas buat kali pertama di depan penyokong sendiri dan kehilangan cengkaman di tangga teratas Liga Super apabila tewas kepada Kedah 0-1, kelmarin.

Kegagalan anak buah Irfan Bakti Abu Salim untuk mempamerkan persembahan mantap seperti beberapa perlawanan lalu menjadi punca kekalahan tipis kepada pelawat yang dibimbing Wan Jamak Wan Hassan.
Sebaik wisel penamat, terpancar wajah kehairanan Irfan Bakti yang melihat anak buahnya bermain di bawah keupayaan sebenar sehingga lawan meleburkan rekod tanpa kalah Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
“Saya harian dan tidak dapat memberi jawapan mengenai perlawanan malam kelmarin kerana pemain seperti hilang punca dan banyak memberikan ruang kepada lawan mengatur serangan,” katanya yang turut melihat barisan depannya mensia-siakan beberapa peluang untuk bangkit.

“Memang sukar untuk menewaskan Kedah, sama ada di tempat sendiri mahupun di tempat lawan tetapi saya terkilan kerana saya menggunakan barisan pemain yang sama ketika menewaskan Pahang,” katanya.

Sementara itu, Wan Jamak cukup ceria beroleh tiga mata untuk dibawa pulang sekalipun tidak dapat menurunkan kesebelasan utama lantaran enam pemain yang masih cedera.

“Saya memuji kesungguhan pemain terutama Baddrol (Bakhtiar) yang dapat menjaringkan gol. Walaupun ini kemenangan tipis, tiga mata ke atas Terengganu cukup bermakna bagi Kedah,” katanya.

PAFA tamatkan kontrak Razali lebih awal

Sumber: Berita Harian Online

Oleh Azizan Hashim

2011/05/30

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) menamatkan kontrak pemain bermasalah, Razali Umar Kandasamy mulai Rabu ini (1 Jun) kerana masih mengulangi perbuatan ponteng latihan buat kali ketiga musim ini.

Presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, keputusan itu diambil dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan PAFA Jumaat lalu.
“Razali boleh lupakan saja musim bola sepak 2011. PAFA mengambil keputusan menamatkan kontraknya. Keputusan dibuat selepas mempertimbang segala aspek termasuk betapa banyak peluang diberikan kepada Razali selama ini.
“Banyak janji dan pengakuan diberikannya tetapi tiada perubahan, malah dia masih mengulangi perbuatan yang sama. Ini adalah tindakan wajar yang difikirkan semasak-masaknya supaya tidak merosakkan pasukan.

“Ia bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya mengikut prosedur dan ketetapan dalam kontrak,” kata Zainol.

Begitupun, katanya, PAFA akan membayar gaji bulan Mei berdasarkan potongan kedatangan ketika latihan pemain itu yang melebihi 50 peratus walaupun mula ponteng selepas perlawanan dengan Pahang di Ipoh, 6 Mei lalu.

Sementara itu, Presiden PAFA itu lega dengan kejayaan 2-0 Perak ke atas T-Team kelmarin, sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga keempat Liga Super, mengatasi Kedah dengan kelebihan jaringan walaupun masing-masing terikat 38 mata.

Karathu belum puas

Sumber: Harian Metro Online

Oleh Mohd Nor Asri Yaacob

KETUA jurulatih, Datuk M Karathu, mengotakan janjinya untuk mengembalikan semangat The Red Warriors selepas berjaya menewaskan Pahang 1-0 di Stadium Sultan Mohamad VI, Kota Bharu, kelmarin.

Bagaimanapun, beliau masih belum berpuas hati dengan kemenangan yang dicapai itu kerana tahu anak didiknya belum mempamerkan aksi terbaik.

Katanya, Kelantan mempunyai banyak peluang menjaringkan gol namun kelemahan jentera serangan menyebabkan The Red Warrior ketandusan jaringan.

“Saya lega kita menang namun ia tetap tidak memadai kerana pemain tidak mempamerkan aksi pada tahap sebenar dan saya yakin mereka boleh melakukan lebih hebat untuk kejayaan pasukan.

Karathu menambah, walaupun Kelantan kembali menguasai takhta liga, beliau masih mengharapkan pemainnya mempersembahkan aksi konsisten selain tidak melakukan kesilapan dalam baki tiga perlawanan lagi.

Ini kerana kedudukannya kini masih lagi belum selesa kerana Terengganu masih lagi menjadi pencabar terdekat dengan berkongsi mata.

Magis Messi memukau

Sumber: Harian Metro Online
LONDON: Lionel Messi memastikan statusnya sebagai pemain terbilang dalam generasinya ketika dua sentuhan magis daripada bintang Argentina itu mendorong kejayaan Barcelona pada Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.
Messi hadir di Wembley digembar-gemburkan sebagai bintang paling cemerlang dalam sukan bola sepak tetapi pemain seperti Cristiano Ronaldo dari Real Madrid dan pemain Manchester United, Wayne Rooney turut mendakwa sebagai pemain terbaik dunia.
Perbalahan mengenai siapa yang terbaik kini boleh dilupakan ketika Messi menghasilkan persembahan sang juara pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang United dalam tempoh hanya tiga tahun.
Pada 2009, Messi mengesahkan kehadirannya sebagai pemain hebat dengan gol menerusi tandukan ketika kemenangan 2-0 Barca ke atas United di Rome.
Kali ini dia sekali lagi menjadi pemusnah dengan jaringan cantik untuk mengembalikan pendahuluan Barca awal pada babak kedua sebelum larian solo menakjubkan menjurus kepada David Villa menjaringkan gol ketiga.
Bagaimanapun Messi enggan menerima pujian secara bersendirian sebaliknya ingin berkongsi bersama rakan sepasukannya.
“Untuk menjadi pemain terbaik perlawanan bukanlah amat penting, kerana kami bermain secara menakjubkan. Kami bagus di semua bahagian.
“Kami gembira untuk menjulang satu lagi trofi. Ia musim yang sukar tapi kami tampilkan siapa kami. Kami pasukan yang lebih bagus,” katanya.
Catatan menakjubkan dengan 56 gol dalam 62 perlawanan buat kelab dan negaranya musim ini membolehkan Messi berhak berdiri seiring Pele, Diego Maradona, Johan Cruyff, Alfredo di Stefano dan George Best dalam senarai pemain terbilang sepanjang zaman.
Tidak hairan Maradona kagum dengan warga senegaranya ketika dia mengkucar-kacir dan merobekkan pertahanan United berkali-kali.
Messi dinafikan gol oleh terjahan tepat Nemanja Vidic pada awal saingan.
Pemain berusia 23 tahun itu tidak pernah menjaringkan gol di England dan dia tidak bernasib baik sekali lagi apabila gagal menyempurnakan hantaran lintang David Villa sebaik sebelum rehat.
Dia turun untuk bergabung dengan pemain tengah beberapa kali dan memulakan larian yang memukau di tengah-tengah benteng United tanpa menemui hantaran pemusnah walaupun rembatannya akhirnya menerjah jaring gol lawan pada minit ke-54. - AFP

Hajat Van der Sar punah

Sumber: Harian Metro Online

LONDON: Edwin van der Sar mengakui Barcelona menjejaskan penampilan terakhirnya sebagai penjaga gol Manchester United apabila tewas 1-3 pada final Liga Juara-Juara.

Van der Sar mengumumkan awal musim ini dia akan bersara pada hujung musim dan dia terpaksa menamatkan karier dengan episod duka apabila Barca merobek gawang United di Stadium Wembley.

Kenangan terakhir pemain berusia 40 tahun dari Belanda itu pasti pahit selepas ditewaskan tiga kali melalui sentuhan penyudah yang sempurna menerusi Pedro Rodriguez, Lionel Messi dan David Villa.

“Saya beraksi pada satu perlawanan namun terlalu banyak yang difikirkan, adalah tidak bagus untuk tewas pada aksi ini. Mereka mempunyai peluang yang lebih baik dan kami melakukan satu atau dua kesilapan yang membolehkan mereka menghukum anda,” kata Van der Sar.

“Ia mengecewakan namun itu adalah kehidupan. Adalah lebih baik jika mencipta kemenangan.

“Saya tidak emosional. Ini adalah masa yang sesuai untuk saya (bersara).

Van der Sar berasakan gol Messi pada minit kesembilan separuh masa kedua adalah titik perubahan yang menyebabkan United terpaksa mengejar lawan menentang lawan yang lebih hebat.

“Ia mengambil masa 20 minit untuk mereka menguasai permainan dan kemudian selepas gol penyamaan serta menuju separuh masa pertama dengan kedudukan terikat anda berharap peluang masih terbuka namun kami tidak bermula dengan baik dan melepaskan satu lagi gol,” kata Van der Sar.

“Ia memihak kepada mereka. Anda boleh menghalang mereka, mereka pernah tewas musim ini namun mereka mempunyai pemain yang hebat dan ia tidak berlaku malam ini.” Van der Sar dikritik kerana posisi dan tindak balasnya apabila lambat melayangkan badannya bagi menghalang percubaan jauh Messi namun pemain veteran itu menegaskan dia tidak melakukan sebarang kesilapan.

“Saya fikir sudah berada dalam posisi betul,” katanya. “Dia cenderung menyepak ke arah penjuru gol namun tidak melakukannya.” Selepas karier hebat bersama Ajax, Juventus, Fulham dan United, Van der Sar bercadang untuk menjauhkan diri daripada permainan itu untuk seketika. - AFP

Merah Kuning tekad bangkit

Sumber: Harian Metro Online

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

KEBANGKITAN Selangor selepas tiga kekalahan berturut-turut membolehkan skuad Merah Kuning itu terus bersaing merebut kejuaraan Liga Super musim ini yang berbaki tiga perlawanan lagi.

Saingan Liga Super kini terarah kepada tiga penjuru dengan Selangor di bawah bimbingan ketua jurulatih K Devan berada di tempat ketiga dengan mengumpul 45 mata, ketinggalan dua mata kepada dua seteru dari pantai timur, Kelantan dan Terengganu yang dibezakan dengan jaringan gol.

Menurut kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah kemenangan itu hadir tepat pada masanya bagi membangkitkan kembali moral dan tahap keyakinan rakan sepasukannya yang lain.

“Hasrat kami untuk mencatatkan kemenangan selepas tiga kekalahan akhirnya tercapai dan lebih menggembirakan ia hadir di gelanggang sendiri (Stadium Shah Alam) sekali gus menunjukkan kami masih tidak berputus asa mempertahankan gelaran liga.

“Semua rakan sepasukan menunjukkan komitmen yang tinggi termasuk beberapa pemain yang tidak mencapai tahap kecergasan yang sepenuhnya seperti Mohd Rudie Ramli, Mohd Fadzli Saari dan Mohd Hardi Jaafar namun tetap turun beraksi untuk merealisasikan impian meraih tiga mata,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selangor menewaskan Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan ke-23 Liga Super menerusi dua jaringan separuh masa kedua sumbangan Mohd Rudie dan Mohd Fadzli. Kapten Selangor berusia 30 tahun juga berharap mereka akan dapat mengutip mata penuh apabila mengharungi baki tiga perlawanan terakhir selepas liga bersambung semula 6 Jun ini menentang Perlis, Felda United (14 Jun) dan Perak (6 Julai).

“Kami memang mengharapkan tiada akan tercicir sebarang mata lagi manakala Kelantan dan Terengganu mungkin akan tercicir mata kerana bertemu sesama sendiri serta perlu menghadapi lawan yang lebih sukar berbanding kami,” katanya.

Selangor kini memburu gelaran hatrik Liga Super musim ini selepas terlepas Piala Sultan Ahmad Shah dan Piala FA.

Penyu hadapi laluan berliku

Sumber: Harian Metro Online

Oleh Abdul Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my

SKUAD Terengganu memilih laluan berliku untuk mencatat sejarah buat kali pertama menjulang Piala FA selepas tunduk 0-1 kepada Kedah di laman sendiri, malam kelmarin.

Lebih malang, rekod tanpa kalah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sejak awal musim lalu lebur menyaksikan Kedah pulang dengan senyuman selepas mengutip tiga mata penuh.

Pada perlawanan itu, Terengganu sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana tidak beraksi dengan baik di laman sendiri walaupun mendapat suntikan semangat layak ke pentas final Piala FA.

Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim yang jelas kecewa tidak menganggap kekalahan itu menutup peluang Terengganu untuk muncul juara liga, sebaliknya menguatkan lagi semangat pemain untuk mencipta sejarah.

Selain itu, bekas pengendali Kelab Persipura, Indonesia, itu tidak berasa risau dengan keputusan itu sebaliknya yakin anak buahnya bakal bangkit dalam aksi seterusnya.

“Memang kekalahan ini sedikit sebanyak menyulitkan pasukan tetapi saya masih optimis Terengganu mampu menggugat dua pencabar lain untuk menjuarai liga kerana baki saingan masih ada tiga perlawanan menentang Kelantan, T-Team dan terakhir Felda United,” katanya.

Bagaimanapun Irfan Bakti mengakui kekalahan itu berpunca daripada prestasi pemain yang sedikit longlai berbanding perlawanan sebelum ini.

“Walaupun pemain keletihan, mereka harus sentiasa fokus kepada perlawanan kerana sebarang kesilapan akan merugikan pasukan. Apapun saya harap pemain akan bangkit kembali pada pelawanan berikutnya selepas ini,” katanya.

Sunday, May 29, 2011

Rajagobal Uji Pemain Kebangsaan Di Hong Kong


29 Mei, 2011 21:52 PM

KELANA JAYA, 29 Mei (Bernama) -- Perlawanan persahabatan antara skuad bola sepak Malaysia dan Hong Kong Jumaat ini akan menjadi medan pemilihan mengisi kekosongan pasukan kelayakan Piala Dunia.

Ketua Jurulatih skuad bola sepak kebangsaan K. Rajagobal berkata pemilihan pemain akan dibuat berdasarkan persembahan mereka ketika beraksi menentang Hong Kong.

Beliau berkata sehubungan itu, pemain perlu bermain bersungguh-sungguh jika ingin dipilih.

"Saya ingin melihat sejauh mana kemampuan setiap pemain sebagai persiapan untuk menghadapi Piala Dunia 2014 di Brazil nanti," katanya kepada pemberita di sini.

Rajagobal berkata tujuan beliau menyenaraikan sepuluh pemain baru adalah untuk memberi peluang kepada mereka dan melihat sama ada sesuai diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.

Seramai 21 orang yang dipanggil Rajagobal melaporkan diri bagi menyertai kem latihan petang ini kecuali pemain kebangsaan Safee Sali, Baddrol Bakhtiar dan Abdul Hadi Hamid, yang akan hadir esok.

Rajagobal berkata beliau tidak akan memberi tekanan kepada Safee pada perlawanan itu nanti, sebaliknya yakin pemain yang kini bermain untuk Kelab Pelita Jaya Indonesia tersebut mampu beraksi dengan baik, walaupun telah lama tidak bersama skuad kebangsaan.

"Saya yakin Safee tahu cara permaian yang kita kehendaki, dan saya tidak perlu bimbang dan beri tekanan kepada beliau," katanya.

Beliau berkata daripada 24 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan bermula petang ini, hanya 22 orang akan dibawa ke Hong Kong.

Antara pemain yang menyertai kem itu ialah Nasril Nourdin, Syed Adney Syed Hussein, Nasriq Baharom, Hisyamudin Shaari, Helmi Remeli, Shahrom Kalam, Farisham Ismail, Ismail Faruqi Ashari, Abdul Hadi Yahaya dan Safee Sali.

-- BERNAMA

Kelantan Kembali Rampas Takhta Liga Super

28 Mei, 2011 23:47 PM


Pemain Kelantan, Nor Azwan Roya (kanan) cuba melepasi benteng pertahanan pasukan Pahang dalam perlawanan Liga Super, Kelantan menentang Pahang di Stadium Sultan Muhammad Ke IV. KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kelantan kembali merampas kedudukan teratas Liga Super setelah berjaya mengutip tiga mata penuh apabila mengalahkan Pahang 1-0 di Stadium Sultan Mohamad Ke-4, Kota Baharu Sabtu malam.


Berbaki tiga lagi perlawanan, Skuad bimbingan M.Karathu kini berkongsi 47 mata bersama Terengganu namun mempunyai kelebihan dari sudut jaringan.

Gol kemenangan Kelantan dijaringkan oleh Mohd Badri Radzi seawal minit ke-8.

Terengganu gagal meneruskan rentak kemenangan setelah dikecewakan Kedah 0-1 di hadapan penyokong sendiri pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Badrol Baktiar menjadi wira bagi skuad Hijau Kuning apabila menjaringkan gol pada minit ke-43.

Turut mencatat kemenangan pada malam ini ialah Selangor yang berjaya menumpaskan Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Shah Alam.

Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan tuan rumah berjaya mengunakan kelebihan bermain di tempat sendiri setelah berjaya mengalahkan T-Team 2-0.

Dua gol Perak dijaringkan oleh Mohd Syazwan Mohd Roslan minit ke-45 dan Shazuan Ashraf (minit ke-87).

Pasukan tercorot, Perlis sekali lagi tumpas 0-1 kepada Felda United pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan tuan rumah gagal mengunakan kelebihan bermain di tempat sendiri setelah tumpas 1-2 kepada Johor FC.

Dua gol bagi pasukan pelawat disumbangkan oleh Azizan Baba pada minit ke-8 dan minit ke-35.

Gol saguhati Kuala Lumpur pula dijaringkan oleh Khairul Anuar Shafie pada minit ke-84.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Harimau Muda A mengalahkan Sabah 2-0.

-- BERNAMA

Kelantan kembali terajui liga


Artikel: Sinar Harian Online

KOTA BHARU – Kelantan kembali merampas gelaran pendahulu liga biarpun hanya mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Kekalahan tipis jiran tetangga, Terengganu 0-1 kepada Kedah membolehkan Kelantan mengungguli carta liga menerusi kelebihan jumlah jaringan walaupun berkongsi jumlah mata yang sama.

Seawal minit kedua, Kelantan menjelmakan kegarangannya untuk memburu gol pertama apabila hantaran lintang Mohd Nurul Azwan Roya ke dalam kotak penalti pantas disambut Norshahrul Idlan Talaha namun rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizul Azuar Ali.

Selang seminit kemudian, pemain pertahanan Pahang, Mohd Shahrizan Salleh yang meluru ke atas sempat melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti namun tersasar jauh daripada pintu gol Kelantan.

Pada minit kelima, hantaran cantik ke belakang oleh Norshahrul Idlan kepada Mohd Nurul Azwan di dalam kotak penalti juga berakhir dengan kekecewaan apabila rembatannya hanya melintasi di depan pintu gol Pahang biarpun Mohd Rosfaizul Azuar sudah tertewas dalam situasi tersebut.

Pada minit ketujuh, Pahang kembali mencemaskan pintu gol Kelantan apabila Azamuddin Mohd Akil bijak melakukan lantaran lintang ke dalam kotak penalti namun Mohd Munir Amran gagal menampan hantaran tersebut biarpun pintu gol sudah ternganga.

Selang seminit kemudian, Ketua Pasukan, Muhd Badhri menceriakan penyokong The Red Warrior apabila menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan malam tadi. Sepakan lambung Mohd Nurul Azwan dari sebelah kiri pintu gol ditampan kemas Muhd Badhri sebelum tolakannya berjaya menewaskan Mohd Rosfaizul di gawang golnya.

Biarpun ketinggalan, pemain Pahang tidak mudah tertekan sebaliknya turut mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan. Hasil pada m-21, rembatan Mohd Munir Amran dari luar kotak penalti hanya sedikit melewati pintu gol Kelantan.

Pada m-24, tindakan Azamuddin Mohd Akil menjatuhkan Mohd Nurul Azwan di dalam kotak penalti mengundang padah apabila pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan. Namun Norshahrul Idlan gagal merembat tepat apabila sepakannya ditepis keluar Mohd Rosfaizul Azuar.

Pada m-28, kesilapan penjaga gol, Mohd Rosfaizul Azuar menyepak lemah pantas direbut Norshahrul Idlan yang sempat melorongkan bola kepada S Chanturu namun percubaannya pula dihadang pemain pertahanan pasukan pelawat.

Pada m-43, Azamuddin sekali lagi gagal menyempurnakan peluang terbaik bagi pasukannya apabila rembatan sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol setelah berlaku situasi kelam kabut di depan pintu gol Kelantan.

Seminit babak kedua bersambung, pasukan pelawat nyaris menyamakan kedudukan apabila hantaran lintang Mohd Munir gagal ditangkap kemas Khairul Fahmi namun tolakan Famirul Asraf Sayuti cukup lemah apabila Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid sempat menyepak keluar di atas garisan gol.

Malah, pada m-51, Mohd Munir sekali lagi menjadi duri dalam daging merencanakan corak serangan Pahang apabila sepakan percumanya dari jarak 25 meter nyaris menghasilkan gol namun kecekapan Khairul Fahmi menafikan hajat Pahang untuk menyamakan kedudukan.

Selang seminit kemudian, Kelantan kembali menggandakan asakan dan hasilnya Chanturu turut mempunyai peluang terbaik untuk menjarakkan kedudukan namun rembatan kencangnya dari luar kotak penalti sekadar menerjah jaring sisi sebelah kanan pintu gol Pahang.

Dua minit kemudian, Norshahrul Idlan yang kian dahagakan gol dalam usahanya memburu gelaran penjaring terbanyak liga sekali terlepas peluang apabila kuisannya diselamatkan Mohd Rosfaizul Azuar setelah Mohd Zaiza Zainal Abidin tertolak ke gawang sendiri dalam usahanya menyelamatkan situasi kelam kabut di depan pintu gol pasukannya.

Terdesak untuk mengukuhkan kedudukan, Datuk M Karathu pantas memasukkan Muhammad Ramzul Zahini Adenan pada m-57 untuk menambahkan sengat di bahagian serangan namun aksi mantap benteng pertahanan Pahang sentiasa menyukarkan rangkaian penyerang Kelantan untuk membawa masuk bola ke dalam kotak penalti.

Pemain sayap kiri, Mohd Nurul Azwan turut mempunyai dua peluang terbaik untuk mengukuhkan kedudukan Kelantan namun rembatannya pada m-61 tersasar di sebelah kanan sementara percubaannya empat minit selepas itu tersasar di sebelah kiri pintu gol Pahang.

Begitu di sebalik asakan menggila pemain Kelantan, Azamuddin yang menerima umpanan Ketua Pasukan, Jalaluddin Abu Jaafar sekali lagi turut mencuri tumpuan apabila sempat melakukan rembatan kencang yang melewati pintu gol pada m-69 perlawanan.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizul Azuar yang beraksi cemerlang malam tadi termasuk menyelamatkan percubaan Muhd Badhri dari luar kotak penalti pada m-74.

Sisa perjuangan anak buah Datuk M Karathu untuk menambahkan jaringan tertutup apabila tipu helah Norshahrul Idlan yang memperdayakan Mohd Hazri Rozali di sebelah tepi pintu gol Pahang berakhir dengan hantaran lintangnya gagal ditampan Muhd Badhri di dalam kotak penalti pada m-81 perlawanan.

Sementara percubaan terakhir Kelantan pada perlawanan hanya berbaki tujuh minit untuk ditamatkan juga hampa setelah hantaran silang yang dilakukan Mohd Nurul Azwan hasil serangan balas sempat dikeluarkan Mohd Shahrizan di depan pintu golnya.



Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, S Subramaniam (Wan Rohaimi Wan Ismail), Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Solehin Kanasian Abdullah (Mohd Izuan Salahuddin), S Chanturu (Muhammad Ramzul Zahini Adenan) dan Norshahrul Idlan Talaha.
FORMASI : 4-4-2


PAHANG : Mohd Rosfaizul Azuar Ali, Mohd Saiful Nizam Miswan, Jalalludin Abu Jaafar (KP), Mohd Shahrizan Salleh, Mohd Zaiza Zainal Abidin (Muhammad Syawal Norsam), Mohd Hazri Rozali, R Surendran (Mohd Faizol Hussin), Famirul Asraf Sayuti, Mohd Munir Amran, Azammuddin Mohd Akil dan Mohd Shafie Zahari.
FORMASI : 4-4-2

Piya wira Red Warriors

Artikel: Berita Harian Online
Oleh Hamid Salleh, Kamudin Baharom, Azizan Hashim dan Mohd Nor Asri Yaacob
bhsukan@bharian.com.my
2011/05/29

NORSHAHRUL (kanan) melonjak merebut bola mengatasi pemain Pahang, Zaiza Zainal Abidin pada saingan Liga Super di Kota Bharu, malam tadi.
NORSHAHRUL (kanan) melonjak merebut bola mengatasi pemain Pahang, Zaiza Zainal Abidin pada saingan Liga Super di Kota Bharu, malam tadi.

Gol jaringannya bantu Kelantan rampas persada liga, Terengganu gigit jari tewas 0-1 di halaman sendiri

KELANTAN kembali mendahului persada Liga Super dengan kelebihan jaringan selepas mengutip mata penuh mengatasi Pahang 1-0, sementara pendahulu sebelumnya, Terengganu tersentak apabila tewas 0-1 kepada Kedah di halaman sendiri, malam tadi.
Kedua-dua pasukan mengumpul 47 mata tetapi skuad kendalian Datuk M Karathu merampas puncak liga atas kelebihan jaringan - 46 gol berbanding anak buah Irfan Bakti Abu Salim yang hanya meledak 45 gol. Perbezaan jaringan dan bolos kedua-dua pasukan turut terikat pada 26 gol.
Jaringan ketua pasukan Kelantan, Mohd Badri Radzi pada minit kelapan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, sudah cukup untuk membantu tuan rumah merampas kembali kedudukan teratas yang terlepas ke tangan Terengganu, Rabu lalu.

Norshahrul Idlan Talaha berpeluang menambah jaringan pada minit ke-24 apabila pengadil menganugerahkan sepakan penalti selepas Nurul Azwan Roya dijatuhkan dalam kotak penalti, tetapi pemain dengan jolokan Mat Yo itu gagal menyempurnakan sepakan.

  • Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, ketumpulan barisan serangan tuan rumah menyaksikan harapan untuk mengukuhkan kedudukan di persada liga tidak kesampaian apabila tewas tipis kepada Kedah menerusi jaringan tunggal pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-43 - membolehkan skuad bimbingan Wan Jamak Hassan pulang ceria dengan tiga mata.

  • Di Stadium Shah Alam, Selangor kembali mencatat kemenangan menundukkan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Fadzli Shaari (m-50) dan Rudie Ramli pada minit terakhir permainan.
  • Di Stadium Perak, tuan rumah mengukuhkan kedudukan di tangga keempat liga selepas menewaskan T-Team 2-0. Mohd Syazwan Roslan meletak tuan rumah di depan minit ke-45 dan sekali lagi menembusi gawang pelawat pada minit ke-87.

  • Di Stadium Utama Negeri, Kangar, FELDA United menambah derita buat pasukan tercorot liga, Perlis apabila menang tipis 1-0 hasil jaringan Mohd Lot Abu Hassan tiga minit sebaik babak kedua bermula.

  • Di Stadium MP Selayang, Harimau Muda A kendalian jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee meneruskan rentak cemerlang sebelum rehat perlawanan antarabangsa menewaskan Sabah 2-0 hasil jaringan K Gurusamy pada setiap babak permainan manakala di Stadium KLFA Cheras, Kuala Lumpur tumpas 1-2 kepada Johor FC
  • Kelantan rampas kedudukan tapi belum selamat

    Artikel: Utusan Malaysia Online

    KUALA LUMPUR - Kelantan berjaya merampas kedudukan pendahulu Liga Super 2011 apabila berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Pahang manakala Terengganu gagal meneruskan rentak cemerlang turun ke tangga kedua apabila tewas 0-1 di tempat sendiri, semalam.

    Bagaimanapun saingan sengit terus berlaku di antara tiga pasukan Kelantan, Terengganu dan Selangor tatkala saingan liga berbaki tiga perlawanan.

    Di Stadium Sultan Muhammed IV, ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Mohd. Radzi muncul wira selepas menjaringkan gol tunggal pada minit kelapan seterusnya membantu pasukannya menerajui liga atas kelebihan jaringan gol walaupun berkongsi 47 mata bersama Terengganu.

    Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 0-1 kepada Kedah yang memperolehi jaringan melalui rembatan dari luar petak penalti oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-42.

    Di Stadium Shah Alam, Selangor kembali mendapat semula rentak kemenangan apabila mengalahkan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Fadzli Shaari pada minit ke-48 dan Rudie Ramli pada minit akhir perlawanan.

    Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pasukan pelawat tidak mempunyai masalah untuk menumbangkan Kuala Lumpur 2-1 dengan Azizan Baba berjaya menyumbat dua gol pada minit kelapan dan 35 manakala gol sagu hati tuan rumah disumbangkan oleh Khairul Anuar Shafie enam minit sebelum perlawanan tamat.

    Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan bimbingan Norizan Bakar berjaya meraih tiga mata apabila mengalahkan T-Team 2-0 hasil jaringan Mohd. Syazwan Mohd. Roslan minit 45 dan Mohd. Shazuan Mohd. Ashraf Mathews minit 87.

    Perlawanan lain menyaksikan Perlis tewas 0-1 kepada Felda United, manakala Harimau Muda berjaya menumbangkan Sabah 2-0.

    Saturday, May 28, 2011

    The Red Warriors tetap hormat penampilan Pahang (Berita Harian Online)

    Oleh Ismail Muhamad
    bhsukan@bharian.com.my
    2011/05/28

    KELANTAN yang akan melayan kunjungan Pahang, malam ini tetap menghormati lawan walaupun pasukan bawah bimbingan Dollah Salleh itu dibelasah Terengganu, 5-0, pada perlawanan Rabu lalu.

    Barisan The Red Warriors itu perlu menang di stadium keramatnya, Sultan Muhammad Ke-IV bagi memulihkan kembali maruah tercalar di hadapan penonton sendiri selepas diaibkan T-Team, yang menang tipis, 2-1.
    Rekod menunjukkan Kelantan tewas 0-2 kepada Pahang pada pusingan pertama Liga Super di gelanggang lawan dan malam ini tiada lagi istilah kalah dalam kamus Kelantan bagi memastikan tidak terus tergelincir sekali gus meranapkan harapan menguasai takhta liga.
    Pemain muda Kelantan, Izuan Salahuddin, yang kini sudah mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Datuk M Karathu, yakin Kelantan mampu mencipta kemenangan selepas mendapat suntikan baru akibat tewas, Rabu lalu.

    “Saya akui masih lagi baru dalam pasukan Kelantan, namun tuah tidak akan datang bergolek begitu saja dan akan terus berusaha membaiki kelemahan diri dengan memberi kemenangan kepada Kelantan, esok (malam ini).

    “Misi malam ini sudah tentu mengutip tiga mata untuk terus berada dalam kelompok teratas dan saya akan buktikan Kelantan tetap pasukan harus disegani,” kata pemain skuad Piala Presiden Kelantan itu.

    Dia turut mengharapkan rakan sepasukan lebih berpengalaman seperti Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo mampu memberi semangat kepada pemain lain dengan menjaringkan gol pertama Kelantan.

    Terengganu turun pemain sama (Berita Harian Online)

    Oleh Hamid Salleh
    bhsukan@bharian.com.my
    2011/05/28

    TERENGGANU harus terasa tekanan selaku pendahulu baru Liga Super dan tetap akan menurunkan barisan kesebelasan sama yang membelasah Pahang tempoh hari apabila turun ke gelanggang sendiri menentang Kedah, malam ini.

    Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti percaya anak buahnya mampu mengalas tugas penting itu dengan baik dalam usaha menyekat lawan daripada mencuri sebarang mata di hadapan penyokong setianya.

    “Saya sudah mengarahkan barisan serangan menggunakan setiap peluang di depan gawang Kedah berhasil menjaringkan gol dan yakin mereka mampu berbuat demikian,” katanya yang yakin trio penyerangnya - Abdul Hadi Yahya, Manaf Mamat dan Ashaari Samsuddin mampu meledakkan gol di laman sendiri.

    “Saya yakin dengan kemampuan mereka untuk mendapat gol membantu kami mengutip mata penuh,” katanya sambil menambah Abdul Hadi pasti akan cuba menambah koleksi jaringan peribadinya yang setakat ini sudah menghasilkan 15 gol.

    Sementara itu, Abdul Hadi bertekad menghadiahkan kemenangan penting untuk Terengganu seterusnya mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri.
    “Saya tetap berusaha untuk menjaringkan gol dan yakin mampu berbuat demikian dengan bantuan rakan sepasukan,” katanya.

    Abdul Hadi berkata, dengan semangat juang yang ada pada setiap pemain Terengganu sudah pasti Kedah dapat ditewaskan dan pulang dengan tangan kosong.

    Hadi, Manaf tekad julang Terengganu (Harian Metro Online)

    Oleh Hamid Saleh

    PENJARING terbanyak Terengganu, Abdul Hadi Yahya berazam memberikan persembahan terbaik untuk membantu pasukannya menewaskan Kedah pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini, sekali gus memastikan kedudukan skuad Penyu di tangga teratas Liga Super tidak tergugat.

    “Saya sudah sedia menggalas tugas sebagai penggempur dan yakin mampu menjaringkan gol bagi membantu pasukan mencapai kemenangan,” katanya.

    Abdul Hadi berkata, sebagai penyerang dia sentiasa berusaha memastikan setiap peluang diperoleh di depan gawang lawan mampu diterjemahkan sebagai jaringan.

    Dia juga mengaku cukup serasi bergandingan bersama Manaf Mamat di barisan serangan dan memahami corak permainan masing-masing.

    “Saya harap kami dapat membolosi gawang lawan seberapa banyak yang boleh.

    “Yang penting seluruh pasukan berusaha bersungguh-sungguh memastikan matlamat memburu kemenangan tercapai.

    “Saya sudah menjaringkan 15 gol liga dan mahu menambah koleksi jaringan supaya menjadi penjaring terbanyak musim ini,” katanya.

    Sementara itu, Manaf yang sudah menjaringkan 10 gol turut bertekad menghasilkan jaringan bagi membantu pasukannya meraih kemenangan.

    “Sebagai pemain barisan serangan, saya akan cuba sedaya upaya membolosi gawang lawan,” katanya.

    Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim mahu anak buahnya mempamerkan persembahan terbaik supaya matlamat mengutip tiga mata penuh tercapai.

    “Saya yakin pemain bertambah semangat selepas mencapai kemenangan besar ke atas Pahang dan mereka mampu mengulangi pencapaian itu dalam pertemuan dengan Kedah,” katanya.

    Wednesday, May 25, 2011

    Karathu buru tiga mata (Sinar Harian Online)

    PENGENDALI Kelantan, Datuk M Karathu menggesa anak didiknya meneruskan rentak kemenangan menjelang pertemuan dengan T-Team pada perlawanan bola sepak Liga Super 2011 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

    Menurutnya, perubahan formasi terpaksa dilakukan kerana khidmat penyerang utama, Khalid Jamlus dan pemain pertahanan, Mohd Daudsu Jamaludin tidak dapat diturunkan akibat digantung dua perlawanan.

    “Saya tidak rela pasukan kehilangan tiga mata penting selepas baru sahaja mencicirkan dua mata pada perlawanan menentang Harimau Muda A, Ahad lalu.

    “Kami mesti mencatat kemenangan bagi mengekalkan status pendahulu Liga Super sehingga penghujung saingan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

    Kelantan kini berkongsi takhta liga bersama Terengganu hasil 13 menang, 5 seri dan 3 kalah untuk mengumpul 44 mata, namun memiliki kelebihan jaringan untuk berada di persada liga.

    Paling membanggakan, ayam tambatan Kijang, Norshahrul Idlan Talaha sudah menggegar jaring sebanyak 14 gol setakat ini sekali gus menghampiri gelaran Kasut Emas bagi musim 2011.

    Motivasi tinggi benam T-Team (Sinar Harian Online)


    KOTA BHARU – Pertemuan menarik dua musuh baru bola sepak tempatan, Kelantan menentang T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini dijangka membuka dimensi baru bagi kedua-dua pasukan bagi melebarkan rekod kemenangan masing-masing.

    Rekod pertemuan sepanjang musim ini seimbang di mana kedua-dua pasukan masing-masing menang sekali daripada dua pertemuan sebelum ini. Dalam perlawanan pusingan pertama Liga Super, skuad kendalian Ahmad Yunus Aliff menang tipis 4-3 di Kuala Terengganu sementara aksi pusingan pertama kalah mati kempen Piala FA, Kelantan berjaya menyingkirkan T-Team menerusi sepakan penalti 6-5 setelah terikat seri 1-1.

    Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, pertemuan menentang T-Team memberikan signifikan tersendiri sambil perjuangan The Red Warriors dalam mengejar kejuaraan liga sudah pasti dihimpit dengan dua pencabar terdekatnya, Terengganu dan Selangor yang turut mengintai peluang untuk memintas Kelantan.

    “Kekalahan 4-3 pada pusingan pertama masih lagi dirasai. Jelas saya tidak mahu kecewa lagi dan pertemuan ini harus menjadi medan kebangkitan pemain Kelantan untuk memadamkan keegoan T-Team dengan mencipta kemenangan.

    “Saya tidak mahu merendah diri kali ini dan penting saya katakan betapa Kelantan harus menang di hadapan penyokong sendiri. Biarpun T-Team bersemangat tinggi untuk menghadapi kita, namun kita juga mempunyai motivasi tinggi untuk menang pada pertemuan kali ini. Saya fikir sokongan peminat tempatan juga bakal menyemarakkan pemain kita untuk beraksi cemerlang malam ini.

    “Satu perkara yang saya ingatkan kepada pemain, walaupun kadang-kala aksi T-Team tidak konsisten, namun kebangkitan dengan mereka mengalahkan Selangor 2-1 dan mengatasi Sabah 3-1 membuktikan pasukan kelab yang dibarisi rata-rata pemain berpengalaman itu tidak boleh dipandang mudah,” katanya.

    Karathu berkata, kegagalan mengutip mata penuh di Shah Alam tempohari memberi ilham kepada beliau untuk melakukan sedikit rombakan terhadap pasukan bagi merangka strategi ampuh.

    “Mohd Daudsu (Jamaluddin) terpaksa diketepikan kerana menjalani penggantungan satu perlawanan. Tempat dia akan diisi oleh Mohd Farisham (Ismail) yang akan bermain di posisi bek kanan sementara Mohd Rizal Fahmi (Ab Rosid) kembali menerajui pertahanan tengah bergandingan bersama S Subramaniam.

    “Besar kemungkinan Solehin Kanasian (Abdullah) bakal kembali di posisi sayap kanan sambil tugas penggempur digalas S Chanturu yang akan berpasangan dengan Norshahrul Idlan (Talaha). Ada kemungkinan juga saya merehatkan Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) yang melepaskan banyak peluang dalam pertemuan menentang Harimau Muda tempohari,” katanya.

    'Kelantan lunas hasrat balas dendam' (Berita Harian Online)

    Oleh Ismail Muhamad
    bhsukan@bharian.com.my
    2011/05/25

    MISI membalas dendam jelas terpancar pada wajah Datuk M Karathu dan anak didiknya apabila Kelantan turun menentang T-Team dalam perlawanan penting Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, malam ini.

    Hakikat itu terbit daripada mulut pemain sayap kiri Kelantan, Nurul Azwan Roya yang melaungkan tekad betapa dia dan rakan sepasukan The Red Warriors mahu menebus detik kecewa tewas kepada kelab dari Terengganu itu, 3-4 dalam perlawanan pusingan pertama pada 5 April lalu.
    “Saya dan rakan sudah bersedia sepenuhnya menanti kunjungan T-Team yang dianggap pasukan yang kuat dan menunjukkan kebangkitan selepas pasukan itu menewaskan Selangor 2-1 di Kuala Terengganu, Khamis lalu.

    “Kita tidak boleh pandang mudah keupayaan T-Team walaupun beraksi di laman sendiri kerana kesilapan akan membawa padah kepada pasukan dalam mengukuhkan kedudukan takhta Liga Super,” katanya di Kota Bharu, semalam.

    Sementara itu, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menganggap perlawanan berdepan T-Team akan menjadi penentu kebangkitan Red Warriors selepas terikat 2-2 dengan Harimau Muda A di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.

    “Saya akui cabaran pasti sengit diberi T-Team tetapi saya sudah bersedia menggalas tugas sebagai penjaga gol dan harap tumpuan sepenuhnya rakan sepasukan membenam T-Team nanti,” kata pemain kelahiran Kampung Cherang, Kota Bharu itu.

    Devan bengang (Harian Metro Online)

    Oleh Azlan Muhammad Zain
    azlanmz@hmetro.com.my

    “KENAPA saya harus letak jawatan. Dalam tempoh dua tahun, saya sudah membawa lima piala untuk Selangor, ada jurulatih lain boleh memberikannya?”

    Persoalan itu dilontar ketua jurulatih Selangor yang juga pengurus pasukan, K Devan berikutan khabar angin peminat Merah Kuning itu yang hilang sabar akibat kekalahan 2-1 kepada Pahang, Jumaat lalu ketika skuad itu memerlukan kemenangan untuk terus bersaing merebut kejuaraan Liga Super musim ini.

    “Kalau saya letak jawatan, adakah jurulatih lain mampu memberikan kejayaan seperti yang saya bawa dalam tempoh dua tahun lalu.

    “Semua kesilapan termasuk tersingkir dari saingan Piala FA adalah kerana barisan pertahanan, tiada kaitan unsur lain. Malah Selangor baru ketinggalan dua mata, bukannya berada dalam pasukan bawahan liga,” katanya.

    Jurulatih berusia 50 tahun itu membawa Selangor menjulang tiga piala iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Sultan Ahmad Shah pada 2009 yang juga tahun pertamanya membimbing Selangor dan disusuli kejayaan mempertahankan dua daripada kejuaraan itu pada 2010.

    Beliau bagaimanapun tidak terganggu dengan khabar angin dan sebaliknya memberikan tumpuan penuh dalam misi meraih tiga mata apabila berdepan Harimau Muda A di Stadium Shah Alam malam ini.

    “Saya akui kami perlu menang perlawanan ini bagi memulihkan kembali keyakinan serta moral pemain dan saya yakin peluang mempertahankan kejuaraan masih ada kerana Kelantan dan Terengganu bakal tercicir mata (kedua-dua pasukan itu bertemu pada 6 Julai ini),” katanya.

    Devan bagaimanapun perlu memikirkan strategi terbaik untuk aksi itu kerana tidak dapat menggunakan khidmat beberapa pemain utama seperti Khairul Anuar Baharom, Mohd Razman Roslan, Mohd Hardi Jaafar, Mohd Amirulhadi Zainal dan Mohd Fadzli Saari manakala nasib Mohd Safiq Rahim, Mohd Rudie Ramli dan P Gunalan yang mengalami kecederaan ringan belum dapat dipastikan.

    Selangor yang memburu gelaran hatrik Liga Super musim ini berada di tempat ketiga dengan 42 mata di belakang Kelantan dan Terengganu yang kini berkongsi 44 mata namun dibezakan jumlah jaringan.

    Tuesday, May 24, 2011

    ‘Saya sudah lihat sinaran baru’ - Piya (Berita Harian Online)

    Oleh Mohd Fitrie Muhamad

    2011/05/24

    Piya yakin Red Warriors calon paling layak julang Piala FA musim ini

    KAPTEN skuad Kelantan, Mohd Badhri Rahdzi sudah melihat satu sinaran baru betapa pasukannya kini berada dalam landasan terbaik untuk mengungguli lebih daripada satu trofi, musim ini.

    Dengan kedudukan selaku pendahulu Liga Super berbekal 44 mata - walaupun seri 2-2 ketika menentang Harimau Muda A di Shah Alam, kelmarin - pemain berpengalaman itu beranggapan The Red Warriors memiliki segala ramuan buat mencipta gemilang di bawah pengendalian Datuk M Karathu.
    “Kami sudah pun berjaya menjulang Piala Sumbangsih awal musim ini. Saya rasa musim ini menjadi musim terbaik kepada Kelantan untuk terus merangkul gelaran tambahan, termasuk Piala FA dan Liga Super.
    “Kejayaan layak ke final Piala FA (11 Jun ini) menjadi satu lagi petanda baik kepada kita untuk melihat Kelantan menjulang baki kejuaraan dalam liga tempatan (Piala Malaysia, Piala FA, Liga Super). Namun ia perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat,” katanya yang lebih dikenali dengan panggilan Piya.

    Esok, Kelantan akan bertemu T-Team di tempat sendiri dan pemain itu jelas ghairah mahu membimbing rakan sepasukan merakamkan kemenangan penting di hadapan penyokong setia.

    Ketika disentuh mengenai peluang pasukannya pada final Piala FA, Piya yang mula menyertai Kelantan sejak 2009 lalu berkata kejayaan menumpaskan Selangor dengan jaringan besar di separuh akhir lalu jelas menunjukkan kesungguhan semua pihak untuk melihat The Red Warriors menjulang lebih banyak kejuaraan dalam satu musim.

    “Saya masih beranggapan peluang Kelantan dan Terengganu masih seimbang, 50-50 tetapi kami perlu berwaspada dengan ancaman mereka terutama jentera serangannya yang begitu konsisten dalam pemburuan gol musim ini,” katanya.

    Karathu kecewa kongsi mata (Sinar Harian Online)


    KOTA BHARU –“Saya kecewa’. Begitulah luahan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu setelah melihat anak buahnya dipaksa berkongsi mata setelah terikat seri 2-2 dengan Harimau Muda ‘A’ dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam semalam.

    Karathu ketika dihubungi berkata, beliau tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya tatkala melihat barisan pemainnya mensia-siakan peluang terbaik untuk meraih kemenangan seterusnya menjarakkan kedudukan dalam carta liga ketika ini.

    “Seri lebih baik daripada kalah, namun dalam perlawanan sebegini kita hanya mendapat satu mata tetapi kehilangan dua mata. Saya sedih dan kecewa kerana kehilangan mata dalam perlawanan ini.

    “Memang Harimau Muda A menunjukkan persembahan bagus dengan mempamerkan serangan balas pantas dan tempo permainan mereka juga begitu laju. Namun itu tidak bererti kita tidak mampu menyaingi corak permainan mereka. Saya tidak nampak mengapa kita harus mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan ini.

    “Saya fikir sekiranya dua peluang terbaik yang diperoleh menerusi Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) dimanfaatkan sepenuhnya, sudah pasti keputusan perlawanan akan berubah. Namun itu tidak berlaku dan inilah hasilnya (keputusan seri),” katanya.

    Menurutnya, kegagalan pemainnya memanfaatkan peluang dan ditambah aksi tidak konsisten menjadi punca mengapa Kelantan hanya mampu mencuri satu mata dalam perlawanan malam semalam.

    “Dalam bola sepak, anda tidak boleh mengharapkan sepuluh peluang datang kepada kita. Kadang-kala kita hanya mempunyai dua peluang dan kita harus memanfaatkan kedua-dua peluang tersebut.

    “Itulah masalah kita. Kita tidak boleh bergantung kepada seseorang penyerang sahaja untuk menjaringkan gol. Sukar untuk kita mencapai kemenangan kalau kita masih mengharapkan perkara seperti itu.

    “Saya tidak gembira dengan keputusan ini. Keputusan ini menyukarkan kita untuk menjarakkan kedudukan daripada pencabar terdekat. Dengan berbaki lima perlawanan, kita tidak ada pilihan selain perlu menang kesemua perlawanan itu,” katanya.

    Dalam aksi pertemuan menentang Harimau Muda A malam semalam, Kelantan terselamat daripada menerima kekalahan apabila bangkit menyamakan kedudukan setelah dua kali ketinggalan. Gol penyamaan empat minit sebelum perlawanan berakhir menyelamatkan maruah Kelantan daripada diaibkan Harimau Muda A.

    Penyu optimis rangkul Liga Super (Sinar Harian Online)


    WALAUPUN saingan Liga Super 2011 berbaki lima perlawanan, namun Terengganu yakin mampu memintas pasukan di pucak liga sekali gus muncul juara buat julung kalinya.

    Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim berkata Skuad Penyu mempunyai kelebihan kerana empat daripada lima perlawanan terakhir membabitkan pasukannya berlangsung di laman sendiri.

    “Kami tidak akan mensia-siakan aksi di laman sendiri kerana ia merupakan peluang terbaik untuk mengutip mata semaksimumnya.

    “Dengan komitmen yang ditunjukkan pemain, saya yakin kami mampu melakukannya,” katanya yang pernah membimbing kelab Persipura di Liga Super Indonesia.

    Pada aksi Liga Super kelmarin, Terengganu mudah menumpaskan Negeri Sembilan yang dibimbing Azraai Khor Abdullah dengan jaringan 3-0.

    Selepas mengharungi 21 perlawanan, Terengganu mengutip 44 mata untuk berkongsi kedudukan dengan Kelantan di puncak liga yang dibezakan melalui jumlah jaringan gol.

    UiTM Shah Alam hampiri gelaran (Sinar Harian Onloine)


    PASUKAN Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam membenam cabaran Politeknik Kota Bharu (PKB) 2-1, kelmarin sekali gus mengungguli carta Liga Bola Sepak Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

    Juara bertahan itu hanya memerlukan tiga mata pada perlawanan terakhir menentang Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) minggu depan untuk dinobatkan sebagai juara musim ini.

    Tetapi jika perlawanan menentang UTHM berkesudahan seri dan wakil Kedah Kolej Komuniti Kedah (KKK) mampu mengutip tiga mata, KKK mampu memintas UiTM untuk merangkul kejuaraan Liga IPT 2011.

    Sementara itu, pasukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) terselamat dari tersingkir ke Divisyen 2 musim depan.

    Meskipun mencatat keputusan seri 2-2 UTHM di Kota Kinabalu kelmarin, UMS tetap bertahan di Divisyen 1 kerana dua pasukan tercorot liga, UiTM Sarawak dan Kolej Komuniti Pulau Pinang (KKPP) tidak mampu mengejar kedudukan mereka walaupun menang dalam perlawanan terakhir masing-masing hujung minggu ini.

    Kuasa Pantai Timur (Sinar Harian Online)


    SKUAD Terengganu memintas Selangor untuk berada di tangga kedua Liga Super selepas membenam cabaran skuad Rusa pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, kelmarin.

    Namun, pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu gagal menguasai takhta liga walaupun mengumpul mata yang sama dengan pasukan The Red Warriors, iaitu 44 mata kerana dibezakan dengan jaringan gol.

    Sementara itu, kedudukan juara Piala Malaysia itu tetap utuh di persada liga meskipun sekadar seri 2-2 menentang Harimau Muda A.

    Kedua-dua pasukan berjiran itu akan berentap di Kuala Terengganu pada pertemuan pusingan kedua pada 6 Jun ini selepas terikat 1-1 pada aksi pertama di Kota Bharu.

    Dengan perlawanan berbaki lima perlawanan untuk ditamatkan, ia menjadikan satu persaingan paling sengit perebutan Liga Super sejak beberapa tahun lalu.

    Terdapat kemungkinan besar, gelaran juara liga bagi musim ini akan ditentukan pada aksi terakhir perlawanan yang di jadual berlangsung pada 6 Julai depan.

    Malah, persaingan memburu anugerah Kasut Emas 2011 juga semakin mendebarkan kerana lima tempat teratas dikuasai pemain dari Kelantan dan Terengganu yang ternyata mendominasi kelompok teratas musim ini.

    Peledak berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha mengetuai senarai penjaring terbanyak apabila menggegar 14 gol dan turut mencabar penyerang Terengganu, Abd Hadi Yahya dengan catatan 12 jaringan setakat ini.

    Terengganu semakin garang (Utusan Malaysia Online)


    Pertahanan Negeri Sembilan, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak (kiri) mengasak penyerang Terengganu, Mohd. Ashaari Samsuddin dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu, kelmarin. Terengganu menang 3-0. – UTUSAN/AZLAN BAHRUM


    KUALA TERENGGANU – Skuad Penyu perlu melupakan seketika Piala FA dengan memberi tumpuan bagi mengharungi baki empat perlawanan liga Super yang dianggap getir.

    Pengurus Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh mengingatkan anak-anak buahnya tidak boleh tersalah langkah dan tersilap catur dalam persaingan sengit ketika semakin hampir melangkah ke atas teratas.

    "Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai final Piala FA menentang Kelantan 11 Jun buat masa ini, kita tumpuan baki perlawanan liga Super" katanya.

    Terengganu kini di tangga kedua liga dan hanya dipisahkan dengan kelebihan jaringan berbanding pendahulu, Kelantan selepas mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Negeri Sembilan 3-0 di laman sendiri, kelmarin.

    Menurut Che Mat, beliau berpuas hati dengan aksi para pemainnya yang mendengar arahan dan berjaya mendominasi perlawanan sejak dari awal permainan hingga wisel penamat ditiupkan.

    "Masalah keletihan dan kecederaan nyata tidak menghalang pemain kita daripada mempamerkan aksi terbaik malam ini (kelmarin).

    "Walaupun pemain mensia-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol tapi Alhamdulillah, keputusan 3-0 ini sudah mencukupi," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

    Terengganu berpeluang muncul juara berganda (Kosmo Online)


    IRFAN (depan) mengakui Terengganu berada pada landasan yang tepat untuk memenangi trofi Liga Super dan Piala FA musim ini.


    BUKAN bercakap besar tetapi secara realitinya Irfan Bakti mengakui pasukan Terengganu kini berada pada landasan yang betul untuk memenangi trofi Liga Super dan Piala FA.

    Malah, Irfan yang pernah mengendali kelab Indonesia, Persipura turut menjelaskan pertembungan liga menentang Kelantan pada 6 Jun ini bakal menjadi penentu kepada peluang pasukannya untuk meraih kejuaraan berganda.

    Keyakinan itu disuarakan selepas anak-anak buahnya membelasah Negeri Sembilan 3-0 untuk melonjak ke tangga kedua dalam carta Liga Super kelmarin.

    Tiga mata yang diraih di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu meletakkan Terengganu berkongsi 44 mata bersama pendahulu, Kelantan dan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.

    Selangor pula mengekori rapat di tempat ketiga dengan 42 mata.

    "Atas kertas, memang tidak mustahil untuk kami menjuarai Liga Super dan Piala FA, namun masih terlalu awal untuk menentukan keputusan ini.

    "Kami masih berbaki lima perlawanan liga untuk dilalui dengan empat daripada perlawanan itu menyaksikan kami akan turun sebagai tuan rumah termasuk pertemuan menentang Kelantan pada 6 Jun ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

    Bagaimanapun, Irfan menjelaskan dia enggan terlalu memikirkan soal cabaran yang bakal diberikan Kelantan terutamanya pada aksi final Piala FA 11 Jun ini.

    Katanya, setiap perlawanan yang dilalui bermula dari pertemuan menentang Pahang esok adalah penting bagi memastikan skuad kendaliannya tidak keciciran mata.

    "Saya mahu pastikan semua pemain tidak terlalu memikirkan perlawanan akhir Piala FA kerana masih banyak cabaran yang perlu kami lalui sebelum 11 Jun ini.

    "Kami akan menentang pasukan-pasukan hebat seperti Pahang, Kedah, T-Team dan Kelantan sebelum aksi final di Bukit Jalil itu.

    "Jadi, saya tidak mahu pemain hilang tumpuan walaupun saya sedar tekanan kini semakin kuat dirasai oleh mereka," ujarnya lagi.

    Mengulas mengenai prestasi positif yang dipamerkan Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Shamsudin dalam beberapa perlawanan terakhir ini, Irfan menganggapnya sebagai bonus tambahan kepada pasukan untuk terus kekal dalam kelompok teratas liga.

    "Saya lebih suka jika semua pemain dalam pasukan ini mampu menjaringkan gol tidak kira mereka berada di posisi pertahanan atau tengah kerana ia akan memberi kelebihan kepada pasukan.

    "Namun, sentuhan penyudah daripada Manaf dan Ashaari termasuk Abdul Hadi Yahya tetap ditagih penting untuk memberikan kemenangan kepada pasukan," jelasnya.

    Harimau Muda A masih simpan kuku (Kosmo Online)


    NORSHAHRUL (depan) meledakkan gol penyamaan Kelantan ketika seri 2-2 dengan Harimau Muda A pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam kelmarin.


    PERSEMBAHAN Harimau Muda A ketika mengikat Kelantan 2-2 di Stadium Shah Alam malam kelmarin dianggap aksi terbaik skuad Olimpik negara itu sepanjang saingan Liga Super musim ini.

    Namun jurulatihnya, Ong Kim Swee tidak mahu anak-anak buahnya terlalu cepat sampai ke kemuncak prestasi pada ketika ini.

    Sebaliknya dia mahu para pemainnya mengekalkan rentak tersebut secara konsisten sehingga aksi pusingan kedua Kelayakan Sukan Olimpik 2012 menentang Lebanon pada 19 dan 23 Jun depan.

    "Inilah persembahan terbaik kami setakat ini. Cuma saya tidak mahu para pemain mencapai kemuncak prestasi terlalu awal.

    "Kita masih ada dua perlawanan Liga Super bulan ini iaitu bertemu Selangor pada Rabu ini (esok) dan Sabah pada Sabtu ini sebelum mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja pada 7 Jun dan Qatar pada 13 Jun.

    "Saya harap kami berada pada landasan yang betul ketika ini untuk menuju ke perlawanan sebenar menentang Lebanon nanti," kata Kim Swee ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

    Pada aksi tersebut, Harimau Muda A mendahului dua kali menerusi dua jaringan Izzaq Faris Ramlan sebelum Kelantan menyamakan kedudukan hasil jaringan S. Chanthuru dan Norshahrul Idlan Talaha.

    "Semua posisi masih perlu diperbaiki. Kami sekali lagi dibolosi pada 10 minit terakhir permainan. Tapi tak dinafikan Norshahrul sememangnya penyerang terbaik negara.

    "Jadi saya anggap perlawanan menentang Selangor selepas ini sebagai titik kebangkitan kami untuk kembali mencatat kemenangan," jelas Kim Swee.

    Kem latihan skuad Olimpik negara bakal bermula Ahad ini dengan 26 pelatih iaitu 20 pemain Harimau Muda A dan enam pemain luar iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Ahmad Fakri Saarani, Faizal Abu Bakar, D. Saarvindran, Fandi Ahmad dan Zubir Azmi.

    Sarawak layak Liga Super (Berita Harian Online)


    Oleh Amin Ridzuan Ishak dan M Hifzuddin Ikhsan

    2011/05/24

    SELEPAS PKNS, giliran Sarawak pula mengesahkan tempat ke Liga Super musim depan apabila berjaya menumpaskan USM FC 4-1 di Stadium Negeri, Petra Jaya, petang semalam.

    Dengan baki dua perlawanan, Bujang Senang yang sudah mengumpulkan 42 mata dan berada di kedudukan kedua carta Liga Perdana, tidak mampu lagi dikejar pasukan di kedudukan ketiga ketika ini - Sime Darby.
    Sarawak di bawah kendalian Robert Alberts, terpaksa menunggu sehingga separuh masa kedua bagi menghasilkan jaringan pada minit ke-47 melalui Ashri Chuchu yang berjaya melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran Syaiful Sabtu.
    Tiga lagi gol tuan rumah disumbang Ashri (minit ke-50), Bobby Gonzales (m-69) dan Benedict Martin (m-85) manakala gol tunggal pelawat oleh Muhd Afzan Zainal Abidin (m-87).

    Di Stadium Negeri, Batu Kawan, jaringan minit ketujuh, Abdul Rahman Abdul Kadir memberi tiga mata penuh buat juara Liga Perdana musim ini, PKNS FC untuk kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan tercorot, Pulau Pinang.

    Gol tunggal perlawanan itu diperoleh selepas Abdul Rahman menolak mudah bola ke gawang Pulau Pinang selepas menerima hantaran lintang daripada ketua pasukan PKNS FC, Mohd Fadhil Mohd Hashim dari sebelah kiri tiang gol lawan.

    Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Harimau Muda B terus ditimpa kekalahan apabila kali ini, Tentera mengambil kesempatan di atas skuad muda kendalian Ismail Ibrahim itu mengutip tiga mata menerusi kemenangan 2-0.

    FAM boleh tampung kos penalti RM500,000 (Berita Harian Online)

    Oleh Jumiati Rosly

    2011/05/24

    LAMPU hijau bagi penggunaan Stadium Nasional, Bukit Jalil sudah diperoleh, namun persoalan pihak mana yang perlu menanggung kos penalti akibat penangguhan kerja membaiki trek masih belum dipastikan, apa lagi dengan sikap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang seolah-olah ‘lepas tangan’ dalam soal itu.

    Bukan sedikit perlu ditanggung. Kos penalti berjumlah RM500,000 dan FAM yang memohon menggunakan stadium itu berkata kos dikenakan tiada kaitan dengan badan induk itu, sebaliknya perlu diselesaikan antara Perbadanan Stadium Malaysia dengan kontraktor terbabit.
    Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perkara itu akan dibincangkan semula memandangkan kerja pembaikan di stadium itu ditangguhkan semata-mata memberi laluan kepada FAM.

    “Kita akan runding lagi dengan semua pihak yang terbabit sebab kita tidak mahu membebankan duit rakyat. Kalau FAM nak tampung kos itu, ia adalah satu perkara yang wajar,” katanya, selepas menghadiri majlis tajaan program Rentap Futsal yang akan diadakan bersempena Himpunan Sejuta Belia pada Hari Belia Negara, hujung minggu ini.

    Sebelum ini, FAM meminta Stadium Nasional digunakan bagi perlawanan persahabatan antarabangsa skuad negara menentang tiga kelab Inggeris - Chelsea, Liverpool dan Arsenal, perlawanan kelayakan Piala Dunia serta final Piala FA yang akan berlangsung pada Jun dan Julai ini.

    Ahmad Shabery juga mengingatkan FAM supaya memberi jadual program mereka lebih awal pada masa hadapan supaya kejadian seperti ini tidak berlaku lagi memandangkan kerja membaik pulih trek di stadium itu sudah ditangguhkan beberapa kali.

    Pahang belum selamat (Harian Metro Online)

    Oleh Asrol Awang

    BIARPUN mencatat kemenangan 2-1 ke atas Selangor, kelmarin, kedudukan Pahang masih belum selamat jika mahu kekal bersaing dalam kancah saingan elit itu musim depan.

    Selepas 21 perlawanan, Pahang kini menduduki tangga ke-12, kedudukan ketiga tercorot liga dengan mengumpul 22 mata hasil daripada lima kemenangan, tujuh seri dan tewas sembilan kali.

    Ini diakui pengurus pasukan, Datuk Che Nasir Salleh yang mahu pemain mengekalkan prestasi terbaik bagi meletakkan Pahang di kedudukan selesa dan terlepas daripada situasi sukar yang dilalui kini.

    Katanya, kejayaan mengutip tiga mata sememangnya dinantikan kerana segala-galanya kini bergantung kepada pemain jika mahu pasukan kekal beraksi dalam saingan Liga Super.

    “Apapun kedudukan Pahang masih lagi kritikal dan saya harap kebangkitan selepas menewaskan Selangor terus bertahan pada baki lima perlawanan,” katanya semalam.

    Mengulas kemenangan ke atas Selangor, Che Nasir memuji permainan dipamer anak buahnya yang menunjukkan peningkatan membanggakan terutama selepas menewaskan musuh tradisi itu.

    Monday, May 23, 2011

    Kelantan kekal status pendahulu (Kosmo Online)


    NORSHAHRUL (tengah) mengelak daripada diterjah pertahanan Harimau Muda A, Gary Steven Robbat pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.


    KELANTAN kekal di tangga teratas Liga Super meskipun sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Harimau Muda A di Stadium Shah Alam malam tadi.

    Izzaq Faris Ramlan meletakkan Harimau Muda A di hadapan pada minit ke-13 menerusi lambungan cantik menewaskan Khairul Fahmi Che Mat hasil hantaran jauh penjaga golnya, Izham Tarmizi Roslan.

    Namun Kelantan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-31 setelah S. Chanthuru menanduk masuk sepakan sudut Badhri Radzi.

    Harimau Muda A kembali di hadapan pada minit ke-69, juga hasil ledakan Izzaq Faris yang menyudahkan hantaran cantik Fandi Othman dari sebelah kiri.

    Bagaimanapun, Norshahrul Idlan Talaha muncul penyela- mat Kelantan apabila berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-86 hasil rembatan dari dalam kotak penalti mene- waskan Izham Tarmizi.

    Sementara itu, Terengganu berjaya merampas tangga kedua daripada Selangor setelah mudah menewaskan Negeri Sembilan 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

    Abdul Manaf Mamat mele- dak dua gol pada minit ke-26 dan 57, manakala satu lagi gol disumbang Ashari Samsudin minit ke-64.

    Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Selangor terus bernasib malang apabila tewas 1-2 kepada Pahang.

    Pahang membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi Azamuddin Mohd. Akil yang merembat kencang bola ke gawang Selangor bagi menewaskan penjaga gol, Mohd. Iqbal Suhaimi.

    Pahang kian bersemangat dan menggandakan usaha untuk menambah gol, namun keputusan 1-0 kekal sehingga berakhir babak pertama.

    Di babak kedua, Pahang menambah derita Selangor apabila Mohd. Munir Ahmad meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-80.

    Selangor mendapat gol sagu hati menerusi jaringan D. Surendran yang mengambil sepakan percuma pada masa kecederaan.

    Berbaki lima perlawanan, Kelantan dan Terengganu kini berkongsi 44 mata tetapi Kelantan berkelebihan dari segi perbezaan gol, manakala Selangor turun ke tangga ketiga dengan kekal 42 mata.

    Mat Yo penyelamat Kelantan (Berita Harian Online)

    Oleh Ahmad Fiesal Othman dan Asrol Awang

    2011/05/23

    Red Warriors kekal dahului liga selepas Selangor tewas di Kuantan


    PENYERANG prolifik kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha tampil menjadi penyelamat pasukan apabila jaringannya tiga minit sebelum tamat perlawanan membantu Kelantan pulang berbekal satu mata berharga selepas seri 2-2 dengan Harimau Muda A dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.
    Keputusan ini membolehkan Red Warriors terus kekal selaku pendahulu pada hari yang menyaksikan Selangor gagal menghambat pencabar mereka itu selepas tersentak tewas kepada Pahang 2-1 di Kuantan. Lebih perit, anak didik K Devan tertekan apabila finalis Piala FA, Terengganu yang menang 3-0 ke atas Negeri Sembilan di halaman sendiri melonjak memintas mereka di tangga kedua - berkongsi himpunan 44 mata bersama Kelantan tetapi dipisahkan di atas perbezaan empat gol.

    Dibantu sorakan padu kira-kira 10,000 penyokongnya, keghairahan Kelantan mencari kemenangan terserlah dari awal apabila terus mengasak Harimau Muda A sebaik wisel dibunyikan.

    Namun, mereka tersentak dengan gol pembukaan pada minit ke-14 oleh Harimau Muda A menerusi Izzaq Faris Ramlan sebelum Kelantan bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan S Chanturu pada minit ke-32.

    Izzaq Faris ternyata menjadi duri dalam daging kepada Kelantan apabila sekali lagi berjaya menewaskan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-69, dan usaha Kelantan untuk menyelamatkan mata berhasil apabila Norshahrul atau Mat Yo tampil gah menyamakan kedudukan tiga minit sebelum tamat saingan.
    Di Stadium Darulmakmur, Azamudin Mohd Akil yang bertindak selaku penyerang akibat kecederaan R Surendran dan Mohd Faizol Hussain memastikan tuan rumah mendahului 1-0 yang kekal hingga separuh masa tamat.

    Ketinggalan 1-0 menyaksikan Selangor bangkit mengasak di babak kedua tetapi gawang mereka dikawal Mohd Iqbal Suhaimi robek lagi, kali ini menerusi Mohd Munir Amran pada minit ke-80.

    Bagaimanapun, anak buah Devan mendapat gol sagu hati menerusi sepakan percuma R Surendran pada minit terakhir permainan.

    Terengganu rampas tangga kedua liga (Berita Harian Online)

    Oleh Hamid Salleh, Rizar Md Noor dan Bashah Zainol Abidin

    2011/05/23

    DUA jaringan Abdul Manaf Mamat membantu Terengganu mencipta kemenangan besar 3-0 buat skuad Penyu di laman sendiri mengatasi Negeri Sembilan - sekali gus memintas Selangor di tempat kedua Liga Super.

    Sekalipun menguasai sebahagian besar permainan dengan beberapa percubaan berbahaya, gol pertama Terengganu hanya hadir pada minit ke-24 menerusi Manaf selepas menerima hantaran cantik Abdul Hadi Yahya yang berjaya menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Fadli Idris.
    Masuk separuh masa kedua, Terengganu terus menggandakan asakan dan hasilnya Manaf sekali lagi meledak gol kedua pada minit ke-54 sebelum menjadi watak penting gol ketiga apabila hantarannya berjaya disudahkan Mohd Ashaari Shamsuddin pada minit ke-63.
    Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Johor FC memastikan pelawat Perlis terus kekal di zon bahaya penyingkiran selepas menewaskan pasukan Singa Utara itu jaringan 2-1.

    Begitupun, Johor FC yang dibimbing Azuan Zain terlebih dulu dikejutkan dengan jaringan pelawat pada minit ke-32 menerusi jaringan mudah Mohd Hafiszuan Salehudin sebelum bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-41 menerusi penalti kapten pasukan Rezal Zambery Yahya.

    Rezal memastikan tuan rumah meraih mata penuh apabila sepakan percumanya pada minit ke-75 berjaya menerjah gawang lawan.

    Di Stadium KLFA Cheras, pertemuan panas di antara FELDA United menentang Perak akhirnya memihak dengan kemenangan kepada pelawat hasil jaringan tunggal penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang menerima hantaran cantik Mohd Shazuan Mohd Ashraf pada minit ke-10.
    Di Stadium Darulaman, Kedah yang melayan kunjungan Kuala Lumpur sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan manakala dalam satu-satunya perlawanan di Borneo, Sabah yang melayan kunjungan pelawat dari Pantai Timur, T-Team mencipta kekalahan besar apabila tumbang 3-1 di Stadium Likas.

    Kelantan sekadar seri (Sinar Harian Online)

    SHAH ALAM - Harimau Muda A berjaya mengikat Kelantan 2-2 pada perlawanan Liga Super 2011 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

    Keputusan seri 2-2 Kelantan menentang Harimau Muda A itu, ternyata memberi ruang kepada Terengganu merapatkan jurang untuk berkongsi takhta Liga Super setelah mengalahkan Negeri Sembilan 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

    Keputusan itu membolehkan Terengganu memintas Selangor yang kini di tangga ketiga dengan kekal 42 mata dan berkongsi 44 mata bersama Kelantan yang dibezakan dengan jaringan gol dalam kedudukan liga selepas 21 perlawanan.

    Ini kali keempat, Kelantan seri musim ini.

    Anak Didik Ong Kim Swee bermula dengan baik sejak awal permainan mendahului seawal m-13, menerusi jaringan solo Izzaq Faris Ramlan menumpaskan Khairul Fahmi Che Mat.

    Jaringan itu sememangnya menggugat semangat Kelantan, namun Kelantan mula membuat serangan balas.

    Pada m-18 jaringan Norshahrul Idlan Talaha tidak dikira oleh pengadil kerana offside. Pada minit ke-22 tendangan percuma Mohd Ramzul Zahini Adenan sedikit tersasar daripada gawang gol.

    Pada m-32, pemain yang terkenal dengan jolokan ‘Kelantan Ekspres’ S Chanturu berjaya menjaringkan gol pertama bagi Kelantan hasil tandukannya.

    Kelantan terus menyerang untuk menambah gol sehingga tamat separuh masa pertama.

    Separuh masa kedua, Kim Swee membuat pertukaran dengan mengeluarkan Gary Steven Robbat dan digantikan dengan Wan Zack Haikal Wan Nor.

    Kelantan menguasai bola pada separuh masa kedua tetapi buntu untuk menambah gol. Percubaan Mohd Daudsu pada m-56 daripada luar kotak penalti gagal.

    Pada m-60, Mohd Daudsu menerima kad kuning daripada pengadil. Datuk M Karathu membuat pertukaran dengan mengeluarkan S Subramaniam dan digantikan dengan Mohd Izuan Solahuddin.

    Pada m-70, Izzaq Faris sekali lagi berjaya menambah gol kedua menerusi hantaran Mohd Fandi Othman.

    Pada m-78, pengadil melayangkan kad kuning kepada pemain Harimau Muda A, Izzaq Faris. Kim Swee sekali lagi membuat pertukaran dengan mengeluarkan ketua pasukan, Mohd Muslim Ahmad dan diganti dengan Mohammad Amer Saidin, serta Nazirul Naim Che Hashim dan diganti dengan Wan Zaharul Nizam Zakaria.

    Pada m-86, Kelantan melakukan serangan, Norshahrul Idlan Talaha tidak menghampakan peminat dengan menjaringkan gol kedua, stadium gamat kembali setelah jaringan gol itu, Kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat permainan.



    Kesebelasan utama:


    KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaludin, S Subramaniam (Mohd Izuan Solahuddin),Zairul Fitree Ishak, Mohd Farisham Ismail, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, S Chanturu, Mohd Ramzul Zahini Adenan dan Norshahrul Idlan Talaha

    Harimau Muda A: Mohd Izham Tarmizi Roslan, Mahali Jasuli, Mohd Fadhli Mohd Shas, Mohd Muslim Ahmad (KP)(Mohammad Amer Saidin) , Nazirul Naim Che Hashim (Wan Zaharul Nizam Zakaria), Mohd Fandi Othman Gary, Steven Robbat (Wan Zack Haikal Wan Nor), Abdul Shukur Jusoh, Mohd Irfan Fazail, A Thamil Arasu dan Izzaq Faris Ramlan.

    Sunday, May 22, 2011

    Tugas sukar jinak Harimau Muda (Sinar Harian Online)


    KOTA BHARU – Pendahulu liga, Kelantan dijangka berhadapan tugas sukar untuk menjinakkan Harimau Muda ‘A’ apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

    Kejayaan pasukan kendalian Ong Kim Swee mengalahkan T-Team dengan kemenangan 3-1 dan mengatasi Sabah 2-0 di gelanggang lawan, sebelum tunduk melawan 1-2 kepada Terengganu di Shah Alam tempoh hari, memberi isyarat hasrat meraih tiga mata tidak semudah disangkakan.

    Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui, pertemuan menentang Harimau Muda ‘A’ malam ini, merupakan antara ujian terpenting baginya dalam menentukan hala tuju Kelantan memburu kejuaraan pertama, tatkala saingan liga hanya berbaki enam perlawanan untuk ditamatkan.

    “Saya sesekali tidak memandang rendah kemampuan pasukan berstatus skuad kebangsaan ini. Buktinya kita pernah menghadapi kesukaran mengalahkan mereka di Kota Bharu pada pertemuan pusingan pertama tidak lama dulu.

    “Biarpun dibarisi rata-rata pemain muda, namun saya melihat ini merupakan satu cabaran getir kepada pemain senior Kelantan untuk mencatatkan kemenangan malam ini. Standard pasukan ini, sama seperti dengan pasukan yang lain. Jelas mereka mempunyai ramai pemain muda yang berkualiti dan mampu memberi saingan kepada pemain kita.

    “Anda sendiri pun dapat lihat, mereka mampu mengalahkan pasukan yang kuat seperti T-Team dan Sabah di gelanggang lawan. Saya tidak mahu mimpi buruk seperti itu, terjadi kepada pasukan kita pada saat persaingan sengit bagi memburu kejuaraan liga kian hangat. Cuma saya berdoa, kita tidak boleh tercicir mata lagi dalam baki perlawanan selepas ini,” katanya.

    Menurutnya, beliau dijangka melakukan sedikit rombakan terhadap kesebelasan utama pemain dengan watak penyerang veteran, Muhammad Khalid Jamlus sudah pasti disisihkan kerana mengalami kecederaan, sementara peluang pemain muda, Muhammad Ramzul Zahini Adenan tampak begitu cerah untuk disenaraikan.

    “Segala-galanya hanya dapat ditentukan selepas sesi latihan pasukan pada petang ini (semalam). Sudah pasti Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) akan diturunkan bergandingan dengan Norshahrul Idlan (Talaha). Selebihnya saya masih mengkaji formasi pasukan dan mencongak strategi yang akan kita gunakan untuk perlawanan ini.

    “Saya perlukan pemain yang cergas dan mampu memberikan lebih daripada 100 peratus dalam perlawanan ini. Kita mengharungi tiga perlawanan yang sengit sejak seminggu lalu. Cuma yang melegakan saya ialah semua pemain utama bebas daripada dibelenggu masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan.

    “Apa yang penting, saya mahu pemain saya bekerja keras sepanjang tempoh 90 minit sekiranya kita tidak mahu kecewa pulang ke Kota Bharu. Amat penting kita meraih tiga mata dalam perlawanan ini kerana saingan liga hanya tinggal enam perlawanan lagi untuk ditamatkan,” katanya.

    Dalam perlawanan pusingan pertama di Kota Bharu pada 1 April lalu, Kelantan mengalahkan Harimau Muda ‘A’ 2-1 menerusi jaringan Solehin Kanasian Abdullah dan S Chanturu sebelum dibalas menerusi jaringan Mohd Irfan Fazail pada minit-minit akhir babak pertama.

    KAFA sedia bantu penyokong (Kosmo Online)

    PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersedia membantu menguruskan pembelian tiket untuk peminatnya menyaksikan perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 11 Jun ini.

    Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya juga telah berunding dengan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk mengadakan perkhidmatan tempahan khas bagi penyokong negeri itu bertandang ke Stadium Nasional.

    "Ini bagi memastikan 60,000 penyokong Kelantan yang bakal menyaksi dan memberi sokongan kepada pemain dari negeri ini," katannya pada majlis orientasi dan pendaftaran Pelatih-Pelatih Akademi Red Warriors Al-Amra (Army) di Pangkal Kala, dekat Kota Bharu semalam.

    Pada majlis itu, seramai 320 pelajar pelbagai peringkat umur menyertai akademi itu yang bertujuan melahirkan pemain pelapis yang bakal mewarisi kegemilangan pasukan bola sepak Kelantan.

    Annuar berkata, penyokong yang ingin ke Kuala Lumpur secara rombongan supaya menghubungi KAFA bagi mendapatkan tiket.

    Katanya, tempahan tiket juga boleh dibuat melalui Internet dan setiap orang boleh membeli empat tiket secara online dengan melayari www.redwarriors@tiket.com.my.

    Perebutan Kasut Emas (Utusan Malaysia Online)

    KOTA BHARU - Penggempur sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha berada pada landasan terbaik untuk dinobat Penjaring Terbanyak saingan Liga Super 2011 apabila mendahului dengan carta senarai penjaring dengan 13 gol setakat ini.

    Jaringan terbaru Norshahrul dijelmakan ketika dia membantu The Red Warriors menang menang 3-1 ke atas Felda United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur kelmarin.

    Gol jaringannya menerusi sepakan penalti pada minit ke-89 perlawanan, sekali gus menamatkan kemarau jaringan selama 360 minit dalam saingan Liga Supe,r selepas kali terakhir melakukannya ketika menumbangkan juara bertahan Liga Super, Selangor pada 26 April lalu.

    Jaringan tersebut menyaksikan penyerang kebangsaan itu mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Super dengan 13 gol mengatasi pencabar terdekat, penggempur Terengganu, Abdul Hadi Yahya dengan kelebihan tiga jaringan dan rakan sepasukan yang juga ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Razhi.

    Norshahrul menganggap gol ke-13 di Cheras kelmarin sebagai pembakar semangat untuk menghasilkan lebih banyak jaringan sekali gus muncul penjaring terbanyak liga musim ini.

    "Gol tersebut cukup bermakna buat saya selepas gagal menghasilkan jaringan dalam perlawanan sebelum ini.

    "Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak jaringan selepas ini dan memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki.

    "Baki perlawanan selepas ini saya akan gunakan sebaik mungkin untuk meneruskan cita-cita muncul selaku penjaring terbanyak liga musim ini," katanya.

    Mengulas saingan memburu penjaring terbanyak musim ini antara beliau dengan Abdul Hadi, Norshahrul memberitahu peluang masih lagi terbuka.

    "Walaupun saya berkelebihan tiga jaringan, ia tidak mustahil untuk dikejar. Apa yang penting saya perlu fokus dan cuba menjaringkan gol.

    "Selain itu, saya juga akan berusaha membantu pasukan mendapatkan tiga mata penting dalam setiap perlawanan dan memastikan Kelantan berjaya muncul juara Liga Super buat kali pertama," katanya.

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...