10 Mac, 2011 01:26 AM
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Malaysia mara ke pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 walaupun seri tanpa jaringan 0-0 menentang Pakistan pada perlawanan kedua, pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Punjab, Lahore, Pakistan lewat Rabu malam (waktu Malaysia).
Terikat seri tanpa jaringan bagaimanapun membolehkan Malaysia mara ke pusingan kedua dengan kelebihan agregat 2-0.
Pada 23 Feb lepas, skuad anak buah Ong Kim Swee membawa bekal 2-0 apabila menewaskan Pakistan pada perlawanan pertama, pusingan pertama di Stadium Shah Alam.
Lawan Malaysia pada pusingan kedua akan ditentukan kemudian melalui undian pada 30 Mac ini di Rumah Persekutuan Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil dan perlawanan kalah mati tersebut akan berlangsung pada 19 dan 23 Jun depan.
Pada pusingan kedua, 13 negara yang menduduki kedudukan tertinggi Asia akan beraksi bersama 11 negara yang menang dari pusingan pertama dan 12 pemenang dari pusingan kedua akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dan akan bermain enam perlawanan bermula 21 Sept depan hingga 14 Mac 2012.
Pasukan yang menduduki tangga teratas dari setiap kumpulan secara automatiknya layak ke temasya itu di London.
Skuad bolasepak kebangsaan pertama kali layak ke pusingan akhir temasya sukan terbesar dunia itu pada Sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972 dan kali terakhir pada Sukan Olimpik Moscow pada 1980.
Malaysia bagaimanapun tidak beraksi di Moscow kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan pada ketika itu.
Pada kelayakan Olimpik Beijing 2007, Malaysia berada di tempat ketiga di belakang Syria dan Jepun dalam saingan peringkat kumpulan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.