Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, March 18, 2011

Fifa tolak idea Asean (Harian Metro Online)

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

SIMBOLIK...Sultan Ahmad menerima cenderamata daripada  Blatter di Istana Pahang.
SIMBOLIK...Sultan Ahmad menerima cenderamata daripada Blatter di Istana Pahang.

CADANGAN Asean untuk membida hak tuan rumah bersama Piala Dunia 2030 kini bagaikan impian yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

Ini berikutan kenyataan Presiden Fifa, Datuk Seri Sepp Blatter yang menyifatkan idea Menteri Luar Asean di Lombok Januari lalu sukar untuk dilaksanakan selepas pihaknya memutuskan tidak berminat menerima bidaan mana-mana negara yang mahu berkongsi menganjurkan kejohanan bola sepak terbesar itu selepas Piala Dunia 2018.

“Saya dimaklumkan mengenai cadangan ini oleh Setiausaha Persatuan Bola Sepak Singapura (Winston Lee) sebelum ini, apa yang saya boleh katakan ia satu cadangan yang bagus tapi secara realitinya ia bukan mudah untuk dilakukan.

“Secara prinsipnya selepas Korea Selatan dan Jepun menjadi tuan rumah bersama pada 2002, tidak ada lagi negara yang menganjurkan secara bersama dan Fifa lebih berminat memilih satu negara saja menjadi tuan rumah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah di Istana Pahang semalam.

Pada majlis itu yang turut dihadiri Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Blatter turut dianugerah darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Cadangan Asean membida hak penganjuran tuan rumah Piala Dunia 2030 diumum Menteri Luar, Datuk Anifah Aman selepas mempengerusikan mesyuarat bersama rakan sejawatnya di Lombok Januari lalu.

Anifah berkata, menerusi kesepakatan yang dicapai, Malaysia diberi mandat menyediakan kertas kerja yang akan dibentangkan kepada pemimpin 10 negara Asean pada sidang kemuncak di Jakarta Mei depan.

Sementara itu, Blatter turut mengumumkan kesediaannya untuk bertanding bagi menerajui Fifa buat penggal keempat biarpun dikhabarkan bakal ditentang Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia, Mohamad Hammam pada sesi pemilihan yang dijadual berlangsung pada 1 Jun ini di Zurich.

“Banyak spekulasi mengenai siapa yang bakal bertanding tapi saya bersedia untuk dicabar oleh sesiapa saja. Saya baru saja melepasi usia 75 tahun. Namun, saya masih bertenaga dan banyak kerja perlu dilakukan dalam membangunkan bola sepak dan penganjuran kejohanan,” katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa masih mendapat sokongan kuat termasuk negara Asia dan Timur Tengah.

Beliau yang akan ke Singapura sebelum berlepas ke Zurich hari ini berkata, hasratnya untuk bertemu Hammam tidak kesampaian apabila Presiden AFC itu memberi alasan sibuk dengan mesyuarat.

Hammam yang berusia 61 tahun akan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat AFC di Bukit Jalil hari ini bagi mengumumkan pendiriannya untuk bertanding merebut jawatan tertinggi Fifa.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...