DOHA: Bintang Korea Selatan dan Manchester United, Park Ji-Sung berkata dia menikmati edisi istimewa Piala Asia kali ini yang bakal menjadi penyertaan terakhirnya dalam kejohanan serantau itu.
Jika Korea mahu memenangi Piala Asia buat kali pertama sejak 1960 sudah tentunya mereka memerlukan sentuhan terbaik Park, iaitu antara pemain bintang dunia yang beraksi di Doha. “Ia adalah Piala Asia yang cukup istimewa bagi saya,” kata Park, 29 yang juga kapten pasukan itu.
“Saya tidak mempunyai banyak masa lagi untuk menyertai kejohanan antarabangsa. Ia membuatkan saya lebih inginkan Piala Asia lebih daripada sebelumnya,” katanya.
Pasukan Korea Selatan adalah antara pasukan pilihan tetapi mereka perlu memastikan perjuangan mereka di dalam Kumpulan C tidak terganggu, di mana mereka akan bersaing dengan Australia untuk merebut tangga teratas.
“Mereka mempamerkan gaya bola sepak Eropah dan kami mempunyai ramai pemain yang berpangkalan di Eropah jadi kami tidak takut dengan mereka,” kata Park, yang tidak sabar menantikan perlawanan hebat menentang Socceroos pada 14 Januari ini.
Korea Selatan akan memulakan perlawanan mereka Isnin ini menentang Bahrain, diikuti Australia empat hari kemudian dan India pada 18 Januari. Jurulatih, Cho Kwang-Rae mengakui Korea Selatan mempunyai peluang cerah untuk kembali merangkul Piala Asia.
“Saya percaya kepada 23 pemain kami. Kami melakukan yang terbaik untuk persiapan kejohanan ini dengan latihan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Kami menerima banyak tekanan kerana sudah 51 tahun tidak menjuarai kejohanan ini. Ia juga peluang yang besar buat kami memenanginya.
Bagaimanapun, pasukan yang layak ke separuh akhir Piala Dunia 2002 tidak dapat menurunkan penyerang utama mereka, Park Chu-Young.
Chu-Young, yang beraksi selaku penyerang tunggal ketika Piala Dunia tahun lalu cedera di lututnya ketika meraikan kemenangan kelabnya di Perancis, Monaco pada masa kecederaan ke atas FC Sochaux, 23 Disember lalu. -AFP
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.