WIRA...Akhmedov (tengah) dan rakan sepasukan meraikan gol yang dijaringkannya.
DOHA: Odil Akhmedov dan Server Djeparov meranapkan impian Qatar menerusi jaringan separuh masa kedua untuk membolehkan Uzbekistan menang 2-0 ke atas pasukan tuan rumah ketika perlawanan pembukaan Piala Asia, awal pagi semalam.
Pertahanan tengah, Akhmedov mencatat rekod sebagai penjaring pertama kejohanan itu tahun ini apabila sepakan lambung sejauh 27 meter berjaya membolosi gawang lawan pada minit ke-58.
Kapten pasukan, Djeparov memastikan kemenangan 18 minit kemudian apabila dia memanfaatkan hantaran lemah ke belakang oleh Ibrahim Majed, sekali gus merembat kencang melepasi penjaga gol Qasem Burhan.
Kejohanan bola sepak itu yang mempertaruhkan aksi 16 pasukan terbaik Asia, diadakan selama tiga minggu sehingga 29 Januari di mana perlawanan pembukaan diadakan di Stadium Khalifa yang membuatkan 40,000 penonton di ibu negara Qatar itu.
Ia menerima sambutan meriah penyokong ketika negara itu cuba membuktikan kemampuannya selepas pemilihannya sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022 disifatkan cukup kontroversi.
“Ia satu perlawanan yang sukar buat penyokong tuan rumah dan saya simpati kepada rakyat Qatar tetapi inilah adat permainan,” kata jurulatih Uzbekistan, Vadim Abramov.
“Bagaimanapun saya bangga dengan Uzbekistan. Saya fikir pasukan kami lebih baik,” katanya.
Terlalu banyak yang ingin dibuktikan Qatar dalam perlawanan itu di mana persembahan terbaik mereka ialah di peringkat suku akhir pada edisi 2000, selepas tewas di tangan China.
Jurulatih Qatar, Bruno Metsu amat kecewa dengan persembahan anak buahnya.
“Hari ini adalah hari malang buat pasukan kami. Kami mahu menampilkan permainan cemerlang untuk rakyat Qatar sebaliknya, permainan kami begitu teruk.
“Saya meminta maaf kepada penyokong dan orang ramai kerana mereka mahu kami memberi yang terbaik tetapi kami gagal melakukannya. Saya harap permainan akan lebih baik selepas ini,” katanya.
Pasukan tuan rumah bermula garang dengan pemain tengah kelahiran Brazil, Fabio Cesar meraih peluang pertama tetapi tandukannya ketika menyambut hantaran Hussain Yaser tersasar.
Uzbekistan mula menyertai Piala Asia sejak 1996 tetapi mutu permainan mereka semakin meningkat dalam setiap penyertaan mereka. -AFP
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.