LONDON: Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti mengingatkan juara bertahan Piala FA itu, kemenangan besar 7-0 ke atas Ipswich Town tidak bermakna jika mereka gagal mengulangi kehebatan itu dalam saingan Liga Perdana.
Chelsea, juara Liga Perdana yang merangkul gelaran berganda musim lalu kini menduduki tangga kelima, sembilan mata di belakang pendahulu Manchester United.
Kedudukan itu mendorong kepada spekulasi mengenai masa depan Ancelotti di Stamford Bridge namun reda seketika apabila membelasah pasukan divisyen dua Ipswich.
Tapi pengendali dari Itali itu sedar tekanan kembali menghantui dirinya jika kelab London itu tumpas kepada Blackburn, hujung minggu ini.
“Kami perlu menunjukkan prestasi seperti ini. Keputusan ini bagus dan kami melakukan banyak perkara baik dalam perlawanan ini. Tapi kami tidak mahu terlalu gembira kerana perlu memberikan aksi serupa ketika menentang Blackburn. Kemenangan ini meningkatkan keyakinan dan kami boleh membuat persediaan lebih baik.
“Kami perlu menunggu semua kembali OK. Ada beberapa perkara yang boleh kami lakukan dengan baik namun sangat penting untuk beraksi dengan baik dalam perlawanan hari ini (semalam),” katanya.
Tindakan Ancelotti menurunkan Daniel Sturridge untuk mencabar kedudukan penyerang Didier Drogba selaku penyerang utama berhasil selepas pemain muda itu meledak dua gol menentang Ipswich.
Sturridge disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas Drogba mengalami kecederaan kecil pada sesi latihan dua hari sebelum Chelsea memulakan kempen menjulang kejuaraan Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.
“Setiap pemain perlu bersedia menghadapi perlawanan. Bagi Sturridge, dia menjaringkan banyak gol dalam perlawanan terakhir bersama pasukan simpanan. Dia berhak untuk mendapat tempat. Dia bermain baik, menjaringkan gol dan amat merbahaya.
“Selepas ini dia akan mempunyai peluang lagi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kedudukan pemain bawah 21 tahun England itu.
“Kami mempunyai banyak perlawanan selepas ini. Saya fikir dia perlu bersaing dengan penyerang lain untuk mendapat tempat di bahagian serangan.
“Saya perlu menilai satu perlawanan ke satu perlawanan tapi saya perlu memilih pemain terbaik untuk disenaraikan,” kata Ancelotti.
Gol jaringan Salomon Kalou, Nicolas Anelka, dua daripada Frank Lampard dan satu jaringan sendiri Carlos Edwards melengkapkan kemenangan ke atas Ipswich yang tidak mempunyai pengurus serta kini menduduki tangga ke-19 Liga Kejuaraan. - AFP
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.