Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Showing posts with label Carlo Ancelotti. Show all posts
Showing posts with label Carlo Ancelotti. Show all posts

Monday, February 21, 2011

Ancelotti kecewa (Harian Metro Online)

LONDON: Carlo Ancelotti mengaku hanya kejuaraan Liga Juara-Juara boleh menyelamatkan Chelsea musim ini selepas peluang memenangi Piala FA untuk kali ketiga berturut-turut berakhir apabila tumpas kepada Everton menerusi penentuan sepakan penalti, semalam.

Skuad juara bertahan kendalian Ancelotti kalah sepakan penalti 3-4 selepas seri 1-1 dalam aksi sebenar pada perlawanan ulangan pusingan keempat di Stamford Bridge.

Dengan Chelsea kini ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Manchester United, The Blues yang belum pasti boleh menamatkan kempen di tangga keempat perlu menjulang trofi Liga Juara-Juara bagi mengelakkan daripada kecewa tanpa sebarang kejuaraan.

Mereka bakal berdepan FC Copenhagen pada perlawanan pertama peringkat kalah mati Liga Juara-Juara di Denmark, minggu ini dan Ancelotti tetap menaruh keyakinan cabaran pasukannya musim ini belum berakhir.

“Kami perlu memandang ke depan dan menggunakan tempoh yang ada untuk membuat persiapan menghadapi perlawanan Liga Juara-Juara.

“Saya fikir kami mempunyai cukup masa. Ia bukan mudah tapi kami mempunyai masa. Kami mampu segera bangkit dari kekalahan ini. Kami mempunyai perlawanan penting selepas ini dan perlu bersedia dari segi mental.

“Setiap masa bila pasukan gagal mencipta keputusan baik, pengurus akan mengalami tekanan namun saya mempunyai sokongan padu dari kelab, pemain-pemain,” katanya.

Penyerang termahal, Fernando Torres akan beraksi menentang Copenhagen selepas tidak diturunkan ketika berdepan Everton.

Dengan Manchester United berkunjung ke Stamford Bridge pada minggu berikutnya, Ancelotti berharap dua kemenangan daripada perlawanan penting itu akan membuktikan kehebatan sebenar pasukannya.

“Kami akan menggunakan Torres bagi perlawanan Selasa ini (awal pagi esok) dan sememangnya kami mempunyai ramai pemain untuk menjaringkan gol. “Saya fikir kami boleh menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan teratas. Ia bukan tugas mudah kerana terpaksa berdepan perlawanan sukar namun kadang kala lebih baik bermain dalam perlawanan sukar kerana anda lebih fokus.

“Kami tidak perlu takut berdepan Copenhagen atau United. Saya fikir ia akan menjadi musim cemerlang untuk kami kerana masih kekal bersaing dalam Liga Juara-Juara dan kami mahu memenanginya.

“Ia pencapaian hebat apabila memenangi dua kejuaraan tahun lalu. Tahun ini kami tidak mencapai tahap terbaik namun perlu memperbaikinya selepas ini,” kata Ancelotti. - AFP

Sunday, February 6, 2011

Chelsea berahsia jumpa Liverpool (Kosmo Online)

LONDON - Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti masih belum memutuskan untuk menurunkan Fernando Torres pada pertemuan menentang Liverpool dalam saingan Liga Perdana England malam ini.

Sebelum ini, Ancelotti mengesahkan bahawa Torres yang dibeli dengan harga £50 juta (RM246.5 juta) akan diturunkan pada aksi di Stamford Bridge itu.

"Fernando dalam keadaan baik," kata Ancelotti.

"Dia boleh bermain menentang Liverpool tetapi saya tidak pasti sama ada menurunkannya dalam kesebelasan pemain atau meletakkannya di bangku simpanan.

"Semuanya terpulang kepada saya dan saya akan memutuskannya beberapa jam sebelum perlawanan esok (malam ini)."

Jika Torres diturunkan dalam kesebelasan utama, Ancelotti sudah pasti akan mengubah corak taktikalnya.

Ketika menentang Sunderland sebelum ini, Didier Drogba bergandingan bersama Salomon Kalou manakala Nicolas Anelka berada di belakang kedua-dua penyerang itu.

"Dia (Torres) bukan pemain sayap, dia seorang penyerang. Kami harus mengenalpasti posisi yang sesuai untuk menggandingkan kesemua pemain di posisi serangan.

"Semua orang tahu dia penyerang yang hebat, jadi saya masih ada masa untuk memikirkan strategi bagi menghadapi Liverpool," kata Ancelotti.

Satu lagi keputusan juga perlu dibuat Ancelotti mengenai situasi pemain pertahanan baru Chelsea, David Luiz yang dijangka tidak sempat tiba di London hari ini selepas dia pulang semula ke Portugal bagi menyelesaikan isu permit kerja dan visanya.

Dengan krisis kecederaan melanda Chelsea setelah Alex menjalani pembedahan lutut, Yury Zhirkov (betis) dan Yossi Benayoun (buku lali), Ancelotti mungkin akan menggunakan Luiz sebagai pemain perancang.

Pemain berharga £25 juta (RM123 juta) dari Benfica itu berkebolehan bermain di mana-mana posisi, namun Ancelotti percaya dia boleh menggunakan bakat Luiz sebagai perancang yang lebih banyak bertahan.

Situasi itu sekali gus menyaksikan tempat John Mikel Obi dan Ramires kini dalam keadaan bahaya. - Agensi

Tuesday, January 11, 2011

Amaran Ancelotti (Metro)

LONDON: Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti mengingatkan juara bertahan Piala FA itu, kemenangan besar 7-0 ke atas Ipswich Town tidak bermakna jika mereka gagal mengulangi kehebatan itu dalam saingan Liga Perdana.

Chelsea, juara Liga Perdana yang merangkul gelaran berganda musim lalu kini menduduki tangga kelima, sembilan mata di belakang pendahulu Manchester United.


Kedudukan itu mendorong kepada spekulasi mengenai masa depan Ancelotti di Stamford Bridge namun reda seketika apabila membelasah pasukan divisyen dua Ipswich.

Tapi pengendali dari Itali itu sedar tekanan kembali menghantui dirinya jika kelab London itu tumpas kepada Blackburn, hujung minggu ini.


“Kami perlu menunjukkan prestasi seperti ini. Keputusan ini bagus dan kami melakukan banyak perkara baik dalam perlawanan ini. Tapi kami tidak mahu terlalu gembira kerana perlu memberikan aksi serupa ketika menentang Blackburn. Kemenangan ini meningkatkan keyakinan dan kami boleh membuat persediaan lebih baik.


“Kami perlu menunggu semua kembali OK. Ada beberapa perkara yang boleh kami lakukan dengan baik namun sangat penting untuk beraksi dengan baik dalam perlawanan hari ini (semalam),” katanya.

Tindakan Ancelotti menurunkan Daniel Sturridge untuk mencabar kedudukan penyerang Didier Drogba selaku penyerang utama berhasil selepas pemain muda itu meledak dua gol menentang Ipswich.


Sturridge disenaraikan dalam kesebelasan utama selepas Drogba mengalami kecederaan kecil pada sesi latihan dua hari sebelum Chelsea memulakan kempen menjulang kejuaraan Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.

“Setiap pemain perlu bersedia menghadapi perlawanan. Bagi Sturridge, dia menjaringkan banyak gol dalam perlawanan terakhir bersama pasukan simpanan. Dia berhak untuk mendapat tempat. Dia bermain baik, menjaringkan gol dan amat merbahaya.


“Selepas ini dia akan mempunyai peluang lagi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kedudukan pemain bawah 21 tahun England itu.


“Kami mempunyai banyak perlawanan selepas ini. Saya fikir dia perlu bersaing dengan penyerang lain untuk mendapat tempat di bahagian serangan.


“Saya perlu menilai satu perlawanan ke satu perlawanan tapi saya perlu memilih pemain terbaik untuk disenaraikan,” kata Ancelotti.


Gol jaringan Salomon Kalou, Nicolas Anelka, dua daripada Frank Lampard dan satu jaringan sendiri Carlos Edwards melengkapkan kemenangan ke atas Ipswich yang tidak mempunyai pengurus serta kini menduduki tangga ke-19 Liga Kejuaraan. - AFP

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...