|
|
LONDON - Pertahanan Liverpool, Jamie Carragher yakin kebangkitan pasukannya akan membantu Reds merapatkan perbezaan mata dengan Arsenal, yang kian goyah sejak kebelakangan ini.
Arsenal hanya sempat menduduki takhta liga selama beberapa minggu, sebelum tewas kepada Manchester United dan Chelsea.
Dua kekalahan itu menyebabkan Arsenal jatuh ke tangga ketiga liga.
Lantaran itu, pengkritik meramalkan Gunners bakal terlepas peluang untuk merebut kejuaraan musim ini.
Sebaliknya, Liverpool yang pernah dilabel sebagai kelab yang mengalami krisis, sebaliknya semakin kukuh, walaupun masih ketinggalan kepada Arsenal.
Perkembangan itu cukup positif bagi anak buah Rafa Benitez menjelang pertembungan kedua-dua pasukan, esok.
Menang 1-0 ke atas musuh ketat, Everton pada perlawanan Merseyside hujung minggu lepas, turut menyaksikan Liverpool mengutip 17 mata daripada tujuh perlawanan.
Carragher berkata: ''Sejak empat hingga lima tahun kebelakangan ini, pertahanan kami mungkin antara yang terbaik di dunia.
''Anda perlu melihat rekod kami secara menyeluruh, kami mencatat rekod yang hebat sejak kelab ini di bawah pengendalian Rafa Benitez, dan kami melakukannya sekali lagi.
''Pada awal musim, ramai pemain yang masuk keluar, dan mungkin cara permainan kami sedikit berbeza.
''Kini kami baru sahaja mendapat semula rentak permainan, dan berharap ini akan dikekalkan.
''Jika anda mengekalkan permainan tanpa dibolosi, anda pasti akan mencapai kemenangan, kerana anda hanya perlu menjaringkan satu gol untuk menang.''
Liverpool, yang terkeluar daripada kedudukan empat pasukan teratas liga sejak Oktober, kini kembali mendapatkan semula kedudukan tersebut, hasil jaringan Dirk Kuyt.
Pemain Belanda itu yang menjaringkan gol kemenangan ke atas Everton, berkata: ''Daripada tujuh perlawanan, kami mengumpul 17 mata dan mengekalkan perlawanan tanpa bolos.
''Jadi, anda boleh melihat keputusan yang kami peroleh, kerana kami bermain baik dan keyakinan kami semakin meningkat.
''Sekarang kami perlu mengekalkannya dan memastikan kami benar-benar bersedia untuk perlawanan menentang Arsenal." - AFP
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.