LONDON – Didier Drogba berjaya membawa Chelsea kembali ke puncak Liga Perdana selepas membenam Arsenal, dan penyerang Ivory Coast itu berikrar untuk melakukan perkara yang sama apabila bertemu Everton, esok.
Drogba menjaringkan kedua-dua gol pada perlawanan Ahad lalu, apabila mereka menang 2-0 ke atas Arsenal di Stamford Bridge.
Ini memberikan pasukan Carlo Ancelotti berkelebihan dua mata ke atas Manchester United, yang akan bertemu Aston Villa, juga esok
Walaupun hanta meraih satu mata di Goodison Park, ia tidak akan mengaibkan, tetapi Drogba tahu ia belum cukup baik untuk pasukannya kekal di tangga teratas, jika United menang di Villa Park.
“Sekarang ini sentiasa ada tekanan, ia membuatkan kami begitu teruja dengan perlawanan besar seperti ini.
“Kami berada di tangga teratas liga sekali lagi dan Manchester United akan cuba mengerah keringat bagi mempertahankan kejuaraan.
“Sekarang kami perlu ke Everton dan menang di sana jika kami mahu kekal di tangga teratas, seterusnya memenangi saingan ke atas Manchester United,” katanya.
Penyokong Everton sudah pasti akan mengejek ketua pasukan Chelsea, John Terry berikutan masalah peribadinya, yang menyebabkan dia dilucutkan tugas sebagai ketua pasukan England, minggu lepas.
Terry diberi sambutan wira oleh penyokong Chelsea ketika menang ke atas Arsenal tempoh hari, tetapi dia akan melangkah dengan suasana persekitaran yang suram, hari ini.
Drogba, bagaimana pun tidak sangsi terhadap kemampuan rakan sepasukannya itu.
“Tidak kira apa yang berlaku di luar padang, di atas padang dia merupakan seorang pemain yang hebat dan dia melakukan apa sahaja yang dia mampu.
“Dia adalah ketua pasukan kami, dia amat hebat,’’ kata Drogba.
Michael Ballack pula menggangap kepulangan Drogba dari kejohanan Piala Negara-Negara Afrika, telah memberikan keyakinan buat Chelsea untuk muncul juara.
“Dalam perlawanan yang besar seperti menentang Arsenal, dia beraksi dengan baik dan itu yang membuatkan dia dianggap sebagai pemain bintang.
“Didier mempunyai kekuatan fizikal yang luar biasa, juga teknik yang hebat.
‘‘Dia juga seorang pemain yang bagus ketika mengambil sepakan percuma, dan mempunyai sentuhan penjaring. Dia mempunyai kualiti dan tidak ramai pemain seperti ini.
“Bagaimanapun, kami mempunyai ramai pemain yang bagus dan itu yang menyebabkan kami mempunyai pasukan yang bagus.
“Ia satu pengalaman yang menarik beraksi bersama pasukan seperti ini. Semua orang berusaha keras, ia satu semangat yang bagus dan pengalaman banyak mengajar dalam pasukan ini.
“Kami sudah beraksi bersama sejak bertahun-tahun dan mempunyai kualiti permainan tersendiri bagi setiap pemain.
“Walaupun anda tidak bermain dengan cemerlang, kami mempunyai pemain yang boleh menentukan arah tuju perlawanan dengan satu gerakan,” kata ketua pasukan Jerman itu.
Sementara itu, Leighton Baines percaya, Everton mampu menggunakan kekecewaan kalah dalam pertemuan tetangga ke atas Liverpool, untuk mengatasi pendahulu liga itu.
Pemain pertahanan kiri itu yakin, kemenangan dapat diraih walaupun mereka beraksi tanpa Marouane Fellaini dan Steven Pienaar, yang cedera dan digantung, selepas kehadiran semula perancang utama, Mikel Arteta.
“Kami sangat kuat beraksi di tempat sendiri dan berasa yakin kami boleh mengalahkan sesiapa sahaja di Goodison.
‘‘Beberapa perlawanan sebelum ini termasuk menentang Chelsea, kami bermain dengan baik dan mampu menewaskan mereka.
“Perlawanan menentang empat pasukan gergasi liga berlangsung dalam suasana yang sama, apabila kami hanya mengutip satu mata.
‘‘Jika kami beraksi seperti di Stamford Bridge sebelum ini, kami mampu meraih mata penuh.
“Kami akan merasai ketiadaan Steven, yang digantung dan Maroune, bermakna kami tidak mempunyai dua pemain yang berpengaruh.
‘‘Namun, Mikel akan menjadi tonggak dan Jack Rodwell akan kembali pada tahap kecergasan yang baik, itu yang penting,” katanya. – AFP
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.