Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, March 31, 2011

Malaysia jumpa Taiwan (Kosmo Online)


SKUAD negara akan melawan Taiwan pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014.


MALAYSIA dilihat mampu melangkah ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 apabila diundi bertemu Taiwan pada pusingan pertama.

Malaysia akan menerima kunjungan Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 Jun sebelum bertandang ke negara itu untuk perlawanan timbal balik pada 3 Julai.

Sekiranya berjaya melepasi halangan Taiwan, skuad bimbingan K. Rajagobal itu akan menentang Singapura pada pusingan kedua dengan perlawanan pertama di republik tersebut pada 23 Julai.

Perlawanan timbal balik pula dijadual berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Julai.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis undian yang berlangsung di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil semalam, Rajagobal yakin skuad bimbingannya itu dapat melepasi Taiwan.

“Kita ada keyakinan yang lebih kuat apabila diundi bertemu dengan pasukan Taiwan yang dikira sebagai pasukan yang boleh kita atasi,” katanya.

Malaysia kini menduduki ranking ke-138 dunia manakala Taiwan berada di tangga ke-147.

Bagaimanapun, Rajagobal berkata, fokus utama skuad negara buat masa ini adalah pada perlawanan pertama menentang Taiwan di gelanggang sendiri.

“Kita perlu beri tumpuan satu perlawanan kepada satu perlawanan dan tidak terlampau ghairah dalam menghadapi saingan.

“Jika mampu mara ke pusingan kedua, ia akan menjadi satu rekod bagi Malaysia,” kata jurulatih yang membimbing skuad negara menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah mara ke pusingan akhir Piala Dunia sejak pertama kali beraksi dalam pusingan kelayakan pada 1974 di Jerman.

Pusingan akhir Piala Dunia 2014 akan berlangsung di Brazil.

Perhitungan dengan Lebanon (Kosmo Online)


SKUAD Olimpik kebangsaan diundi menentang Lebanon pada pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012.


MALAYSIA akan bertemu Lebanon pada pusingan kedua kelayakan bola sepak Sukan Olimpik 2012 London.

Skuad bimbingan jurulatih Ong Kim Swee (gambar kecil) itu akan bertandang ke Lebanon pada 19 Jun dan akan menanti kedatangan lawan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 23 Jun.

Negara Timur Tengah itu memperoleh kelayakan terus ke pusingan kedua berdasarkan pencapaiannya pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2008 di Beijing bersama 11 lagi negara iaitu Korea Selatan, Korea Utara, Australia, China, Jepun, Iraq, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan dan Vietnam.

Atad kertas, dalam ranking Fifa, Malaysia berkemungkinan tiada masalah bertandang ke bumi Lebanon kerana Malaysia kini berada di tangga ke-138 dunia dan ke-21 Asia sementara lawan mereka itu berada dalam ranking ke-169 dunia dan ke-32 di Asia.

Kim Swee ketika ditemui pemberita selepas majlis undian di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil semalam bagaimanapun mengakui perlawanan menentang Lebanon pastinya getir kerana kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu sebelum ini.

“Kita tidak tahu corak permainan mereka dan akan membuat analisis terlebih dahulu serta membuat perancangan latihan pusat.

“Selain itu kita juga akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Syria ataupun Bahrain bagi memantapkan skuad Olimpik negara.

“Bagaimanapun ia masih dalam perancangan. Masih belum muktamad. Kita memilih Syria atau Bahrain kerana mahu membiasakan pemain dengan keadaan cuaca di sana, yang sama seperti cuaca di Lebanon,” katanya.

Beliau berkata, terdahulu pihaknya mempunyai cadangan untuk membuat latihan pusat di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) atau Qatar tetapi terpaksa melupakan hasrat itu kerana cuaca yang terlalu panas di sana tidak sesuai untuk anak-anak buahnya.

Menurut Kim Swee, jika salah satu negara sama ada Syria atau Bahrain bersetuju dengan permohonan Malaysia untuk mengadakan latihan di sana, skuad Olimpik negara akan berlepas pada 8 Jun untuk membuat latihan pusat sehingga ke hari perlawanan itu.

Ditanya mengenai persediaan skuad bimbingannya itu, beliau berkata kesemua pemain kini berlatih di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya.

“Saya akan menumpang enam atau tujuh pemain saya bermain bersama skuad K. Rajagobal (Harimau Malaya) pada perlawanan persahabatan menentang Hong Kong pada awal Jun depan.

Namun, beliau tidak menyatakan nama-nama pemain yang akan bersama skuad Harimau Malaya nanti yang akan bertanding pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan pada Julai.

Skuad kebangsaan, di bawah bimbingan Ong Kim Swee, melangkah ke pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0.

Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

Razali Umar berdepan tindakan disiplin (Sinar Harian Online)


TEKA-teki status Razali Umar Kandasamy terjawab setelah pemain itu mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin di pejabatnya, kelmarin.

Razali sebelum ini telah menghilangkan diri sejak 9 Mac lepas dan hanya menghantar SMS kepada seorang pegawai pasukan menyatakan dia mengalami cirit birit dan tidak dapat turun berlatih.

Menurut Zainol, Razali turut membawa sepupunya menjadi saksi kepada pertemuan itu dan saksi ikrar janji yang disuarakan.

Namun, tindakan disiplin tetap dikenakan terhadap Razali kerana dia telah melanggar syarat–syarat kontrak berikutan kegagalannya hadir ke sesi latihan harian.

“Saaya ingin tegaskan di sini pertemuan saya dan Razali tidak bermakna dia boleh terus bermain. Semuanya terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan.

“Berdasarkan kontrak, tiada kompromi bagi mana-mana pemain yang didapati melanggar peraturan, jika terpaksa potong gaji, kita akan potong,” katanya.

Beberapa ahli Majlis Pafa sebelum ini mencadangkan supaya penyerang berusia 25 tahun ini dikenakan tindakan yang keras.

Pada awal musim, Pafa memotong gaji Razali selama dua bulan kerana gagal menghadiri latihan selama tiga minggu.

Karathu tak ambil mudah Harimau Muda A (Berita Harian Online)

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
bhsukan@bharian.com
2011/03/31

PENERAJU Liga Super, Kelantan akan memastikan dua penyerang utama kebangsaan - Norshahrul Idlan Talaha dan S Chanturu - merobek gawang Harimau Muda A, malam esok bagi memastikan The Red Warriors terus kukuh menguasai tangga liga.

Namun begitu, ketua jurulatih, Datuk M Karathu tetap menaruh rasa bimbang dengan keupayaan pasukan di bawah kendalian Ong Kim Swee itu kerana kemampuan pemain mereka kini sudah menunjukkan peningkatan.

Katanya, gandingan Norshahrul dan Chanturu amat ditagih untuk meledak jaringan memandangkan penyerang muda The Red Warriors, Ramzul Zahini Adenan kini dibelenggu kecederaan.

“Saya akan memastikan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV akan bergegar dengan jaringan The Red Warriors memandangkan mata kemenangan ini akan menguguhkan kedudukan kami di persada liga.

“Kita akan memastikan dua pesaing terdekat, FELDA United dan Selangor tidak mampu menggugat kedudukan The Red Warriors,” katanya, semalam.

Bagaimanapun Karathu berkata, Kelantan tetap tidak akan mengambil mudah terhadap skuad Harimau Muda A walaupun pasukan pelawat kini kebanyakannya dianggotai ramai pemain muda.

“Saya sudah mengarahkan semua pemain ditugaskan untuk mengambil serius pada perlawanan malam ini selain dinasihatkan supaya jangan pandang rendah dengan keupayaan pasukan pelawat itu.

PBNS harap Azraai buka lembaran baru (Berita Harian Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my
2011/03/31

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menaruh harapan tinggi terhadap pengendali baru skuad Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah untuk memulihkan kembali maruah pasukan yang tercalar.

Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata rekod cemerlang bekas jurulatih Kedah dan kebangsaan itu amat ditagih untuk meletakkan Negeri Sembilan pada kedudukan asal selaku pencabar terkuat Liga Super.

“Memang kita amat menaruh harapan tinggi kepada Mohd Azraai memulihkan reputasi Negeri Sembilan yang sedikit terjejas selepas mengalami beberapa kekalahan dalam siri perlawanan sebelum ini.

“Sebagai jurulatih berpengalaman serta mempunyai rekod cemerlang apabila memimpin Kedah menjuarai gelaran hatrik pada musim 2006-2007 dan 2007-2008, saya berharap beliau dapat membuktikan kemampuan dan kepakarannya untuk membantu Negeri Sembilan mencapai kemenangan sekali gus menjadi pasukan yang disegani,” katanya di Seremban semalam.

Mohd Azraai dipilih menggantikan Wan Jamak Wan Hassan dan mula membimbing skuad Hoben Jang Hoben, 22 Mac lalu untuk tempoh dua tahun, selepas pasukan juara Piala Malaysia musim 2009 itu mempamerkan persembahan hambar dalam siri perlawanan Liga-M termasuk gagal mempertahankan kejuaraan Piala FA.

Mohamad berkata, Negeri Sembilan sepatutnya kembali bangkit daripada persembahan yang kurang memberangsangkan kerana selain sudah memiliki barisan pemain yang berwibawa, kini pasukan itu dibimbing jurulatih berpengalaman dan memiliki rekod cemerlang dalam saingan liga peringkat domestik.

Wednesday, March 30, 2011

Apek harap jumpa pasukan Asia Barat (Utusan Malaysia Online)


Penjaga gol skuad Olimpik negara, Khairul Fahmi Che Mat sudah bersedia untuk menerima siapa sahaja lawan Malaysia pada pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 apabila majlis undian dilangsungkan di Rumah AFC, Kuala Lumpur hari ini.


KUALA LUMPUR - Berilah pasukan mana sekali pun, kapten skuad Olimpik negara, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek tidak gentar sebaliknya bersedia memberikan yang terbaik bagi membantu Malaysia melangkah lebih jauh dalam kelayakan Olimpik London 2012.

Mengakui sudah tidak boleh memilih lawan apabila sampai di peringkat pusingan kedua, penjaga gol No. 1 negara itu tekad memberikan yang terbaik walaupun Malaysia diundi pasukan yang lebih handal seperti Jepun, Korea Selatan atau Australia.

"Jika boleh memang kami mahu berdepan pasukan yang tidak terlalu kuat tetapi apabila berada pada tahap ini, saya rasa kami semua harus bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk menerima siapa sahaja lawan kami.

"Mana-mana pasukan sekali pun, saya tidak kisah sebaliknya saya menganggap ia sebagai cabaran untuk mendapatkan kemenangan.

"Saya akan melakukan kerja rumah mengenai lawan, tidak terlalu menghormati atau memikirkan sangat mengenai keputusan, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Majlis pengundian kelayakan Olimpik dan kelayakan Piala Dunia 2014 akan dijalankan di Rumah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil, hari ini.

Malaysia yang mara ke pusingan kedua kelayakan Olimpik selepas menyingkir Pakistan dengan agregat 2-0, bakal diundi dengan salah satu pasukan pilihan yang mendapat bye pada pusingan pertama.

Antara pasukan yang bakal menjadi lawan skuad negara pada pusingan kedua nanti ialah Jepun, Australia, Korea Selatan, China, Bahrain, Arab Saudi, Qatar, Iraq, Syria, Uzbekistan, Korea Utara dan Lebanon.

Jika berjaya melepasi pusingan kedua dalam perlawanan kalah mati yang diadakan secara timbal balik pada 19 dan 23 Jun depan, Malaysia bakal beraksi pada peringkat kumpulan yang dibahagikan kepada tiga dengan empat pasukan yang merupakan pusingan kelayakan terakhir.

Juara setiap kumpulan akan layak secara automatik manakala naib juara akan bersaing sesama sendiri bagi merebut satu slot ke Sukan Olimpik.

Apek memberitahu pendedahan skuad Harimau Muda A ke Slovakia selama beberapa tahun, bakal menjadi azimat berguna seandainya Malaysia diundi menentang pasukan dari Asia Barat.

"Corak permainan fizikal yang diamalkan oleh pasukan negara Arab tidak menjadi masalah besar kepada pemain muda Olimpik kerana mereka sudah ada pengalaman ketika di Slovakia.

''Saya yakin kami mampu memberikan aksi terpuji jika negara Asia Barat menjadi lawan kami dan tidak mustahil kami mampu mencatatkan kemenangan jika semua pemain memberikan yang terbaik, " katanya.

Rizal akui gugup penampilan pertama (Sinar Harian Online)

PEMAIN pertahanan Kelantan, Rizal Fahmi Abdul Rosid menyifatkan peluang beraksi bersama pasukan Harimau Malaya merupakan satu pengalaman berharga yang dikutipnya sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional.

Menurutnya, panggilan daripada ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal untuk memperkasa benteng Malaysia tidak mungkin dilepaskan begitu sahaja.

“Ini satu permulaan baik untuk saya agar terus meningkatkan corak permainan bola sepak selepas ini.

“Saya menjalani latihan pusat di Wisma FAM sejak 21 Mac lalu dan tidak menyangka mendapat peluang diturunkan pada pertemuan menentang FC Etoile, Sabtu lalu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Rizal Fahmi mengakui dirinya agak gementar selepas dimasukkan pada babak kedua kerana bimbang gagal memberikan aksi cemerlang untuk skuad negara.

Katanya, perasaan itu hilang selepas beraksi beberapa minit dan kembali yakin untuk mengekang serangan daripada pemain FC Etoile.

“Saya kembali menemui rentak sebenar dan tampak yakin menyerap asakan pemain lawan,” katanya.

Pemain berusia 25 tahun itu mencuri perhatian Datuk M Karathu untuk membarisi kesebelasan utama The Red Warriors selepas mempamerkan aksi memberangsangkan sepanjang perlawanan Liga Malaysia, musim ini.

Katanya, misi terdekatnya selepas ini adalah membantu pasukan Kelantan menjulang Piala FA buat pertama kali dalam sejarah penyertaan sejak 1990.

Karathu cari keserasian pemain (Sinar Harian Online)


KOTA BHARU – Biarpun mencatatkan keputusan memberangsangkan setelah membelasah pasukan Wakaf Aik FC menerusi kemenangan 6-0 dalam perlawanan persahabatan petang semalam, namun Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu tidak melihat keputusan tersebut, sebaliknya sedang menilai keserasian pemain bagi menghadapi pasukan Harimau Muda ‘A’ di Kota Bharu, Jumaat ini.

Karathu berkata, perlawanan persahabatan itu menjadi penanda aras kepada beliau untuk menilai sejauh mana corak permainan anak buahnya setelah aksi liga terhenti selama hampir dua minggu.

“Walaupun pasukan lawan yang dihadapi tidak berapa kuat, apa yang penting saya dapat melihat bagaimana cara hantaran bola dan pergerakan pemain dilakukan. Tidak ada tekanan di bahagian pertahanan kerana ini merupakan perlawanan persahabatan biasa sahaja.

“Keputusan perlawanan tidak penting. Saya mahu mendapat idea bagaimana cara kita hendak bermain. Esok (hari ini) kesemua empat pemain yang bersama skuad kebangsaan akan melaporkan diri bersama pasukan.

“Kita ada masa tiga hari bagi melakukan persiapan menghadapi pasukan Harimau Muda setelah berehat sekian lama. Dari segi kecergasan pemain itu tidak ada masalah. Memang saya bagi rehat tiga hari kepada semua pemain selepas perlawanan suku akhir Piala FA tempoh hari,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, sebagai pemain profesional, mereka mesti memanfaatkan cuti tersebut dengan mengekalkan tahap kecergasan masing-masing kerana Kelantan terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang cukup padat pada bulan depan.

“Perlawanan akan datang, kita memang tidak boleh ambil mudah kerana kita akan bermain sebanyak sembilan perlawanan. Selepas berehat panjang, pemain kini giat menjalani latihan sebelah pagi dan petang bermula Jumaat lalu bagi mengekalkan tahap kecergasan pemainnya.

“Pasukan Harimau Muda ini berorientasikan corak permainan laju. Mereka merupakan pasukan kebangsaan yang menghimpunkan ramai pemain terbaik. Saya sudah mengkaji corak persembahan mereka ketika menentang pasukan lain.

“Ini satu perlawanan (menentang Harimau Muda) yang cukup sukar. Pemain kita mesti memahami corak permainan mereka dan berusaha keras dalam sesi latihan untuk menghadapi corak permainan seperti ini.

“Masalah kita hanya di bahagian serangan kerana kita kehilangan beberapa tonggak utama. Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) masih berehat panjang, Muhammad Khalid (Jamlus) juga mengalami kecederaan.

“Sebab itu saya mencuba Danial Fadzly dalam perlawanan persahabatan ini. Tidak banyak pilihan, yang tinggal Mohd Nizab dan S Chanturu sesuai digandingkan dengan Norshahrul Idlan di bahagian serangan,” katanya.

Kelantan ada ramuan terajui Liga Super (Berita Harian Online)

2011/03/30

SAINGAN Liga Super bersambung, Jumaat ini dengan pendahulu, Kelantan akan cuba mempertahankan kedudukannya yang hanya dibezakan dengan jaringan gol apabila melayan kunjungan Harimau Muda A di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV.

Kemenangan ke atas skuad kendalian Ong Kim Swee akan memastikan Kelantan terus menghuni tangga teratas liga selepas lapan perlawanan, tetapi dua pesaing rapatnya, FELDA United dan Selangor yang mengumpul 14 mata, berpeluang memintas sekiranya berpesta gol, hari berikut.

FELDA berdepan lawan yang belum pernah tewas - Perak - di Stadium Ipoh pada Sabtu, manakala Selangor bakal menguji salah satu daripada tiga pasukan Pantai Timur yang mara ke separuh akhir - Pahang - di Stadium Shah Alam.

Ketiga-tiga perlawanan ini sebagai peluang untuk kelompok tiga pasukan teratas menjarakkan diri, manakala Perak yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah, dihidangkan peluang terbaik memintas FELDA sekali gus merapatkan diri dengan pendahulu liga.

Bagi Negeri Sembilan, pertemuan dengan Terengganu di laman sendiri esok adalah ujian pertama buat pengendali, Mohd Azraai Khor Abdullah yang baru dilantik menggantikan Wan Jamak Wan Hassan yang meletak jawatan minggu lalu.

Senarai penjaring, penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha menguasai Liga Super dengan ledakan berbisanya tujuh gol. Dua penjaring prolifik Terengganu, Abdul Hadi Yahya dan Mohd Ashaari Samsuddin di tangga kedua meledak empat gol.

Kim Swee jejak pemain wibawa (Harian Metro Online)

TIDAK mahu cepat berpuas hati dengan pemain sedia ada, jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee akan memulakan usaha menjejaki pemain baru Sabtu ini bagi diserapkan dalam skuadnya.

Malah, usaha itu diibarat serampang dua mata kerana pencarian pemain itu bukan saja untuk memperkuatkan skuad Olimpik yang akan mengharungi pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012 sebaliknya akan turut memikul tugas mencabar mempertahankan pingat emas Sukan Sea Palembang November depan.

Buat masa ini, teras utama skuad Olimpik negara dibarisi ramai pemain Harimau Muda A dengan Kim Swee hanya memanggil empat pemain luar, Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Ahmad Shakir Ali, Faizal Abu Bakar (Kedah) dan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan) dalam dua perlawanan pusingan pertama menentang Pakistan sebelum ini.

Walaupun terikat dengan jadual padat Harimau Muda A dalam kancah Liga Super, Kim Swee bersedia untuk turun padang menjejaki pemain lain yang layak menyertai skuadnya.

“Selepas perlawanan Harimau Muda A dengan Kelantan Jumaat ini, keesokannya saya akan terus ke Ipoh bagi menyaksikan perlawanan Perak dengan Felda United bagi mencari pemain yang boleh di serapkan dalam skuad Olimpik dan juga Sukan Sea. “Perak mempunyai beberapa pemain bawah 23 tahun yang masih layak untuk beraksi bagi dua kejohanan itu dan saya akan melihat sendiri prestasi pemain itu.

“Saya turut dibantu penolong jurulatih Hassan Sazali yang akan menyaksikan perlawanan Kuala Lumpur dengan Kedah di Cheras manakala jurulatih penjaga gol, Yong Wai Hwang pula akan ke Seremban. Kami semua akan berpecah-pecah dan usaha mencari pemain ini akan dilakukan secara berterusan,” katanya.

Mengikut senarai, masih terdapat 81 pemain bawah 22 tahun yang masih layak beraksi dalam skuad Olimpik negara mahupun ke Sukan Sea Palembang.

Kesemua pemain ini mewakili pasukan negeri dan kelab dalam kancah Liga Super dan Liga Perdana.

Jika ada pemain yang berjaya memikat Kim Swee, mereka akan dipanggil menyertai latihan pusat skuad Olimpik pada 25 Mei ini sebelum mengharungi perlawanan pusingan kedua pada 19 dan 23 Jun depan.

Lawan skuad negara pada pusingan itu akan diketahui awal petang ini pada majlis undian di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia di Bukit Jalil.

Friday, March 18, 2011

Harimau Malaya lawan kelab Singapura

Harimau Muda lawan kelab Singapura (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - Penantian akhirnya terjawab apabila lawan Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa 26 Mac ini bukan pasukan berstatus kebangsaan, sebaliknya hanya sebuah kelab iaitu dari Liga Singapura.

Biarpun nama kelab itu tidak diketahui, sumber mengesahkan perlawanan tersebut telah ditetapkan dengan gelanggang perlawanan adalah di Singapura.

Ia adalah perlawanan kedua buat skuad bimbingan K. Rajagobal musim ini, selepas menewaskan Hong Kong 2-0 di Stadium Shah Alam 9 Februari lalu.

Namun, apa jua keputusan perlawanan itu nanti, ia tidak memberikan kesan kepada ranking negara dalam kedudukan FIFA, kerana perlawanan itu tidak diiktiraf sebagai perlawanan persahabatan berdasarkan syarat yang dikenakan.

Menurut peraturan FIFA, hanya pertemuan antara negara dengan menggunakan skuad berkelas A (pasukan senior) sahaja akan diambil kira sebagai rekod di dalam kedudukan ranking.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah berusaha sedaya upaya mengatur satu perlawanan berkualiti tinggi dengan menjemput beberapa pasukan dari Asia Barat seperti Iran, Oman dan Jordan namun tidak berjaya.

Kuala Lumpur tidak patah semangat (Sinar Harian Online)

TEWAS 1-2 kepada Pahang pada pertemuan suku akhir pertama di laman sendiri Selasa lalu, tidak mematikan semangat pasukan Kuala Lumpur untuk bangkit pada perlawanan timbal balik di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Pengendali skuad Warga Kota, Mohamed Razip Ismail mengakui anak buahnya bakal berhadapan kesukaran menentang skuad kendalian Dollah Salleh kerana tidak mempunyai kelebihan gol di samping beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah.

Bagaimanapun, beliau berkata, peluang anak buahnya untuk ke pusingan separuh akhir masih terbuka.

“Saya akui perlawanan malam ini amat sukar buat kita, tapi tiada yang mustahil sekiranya pemain berusaha dan bermain bersungguh-sungguh kita mampu membuat kejutan.

“Saya berpendapat, Pahang belum selesa dengan kemenangan 2-1 dan tekanan lebih terarah kepada mereka kerana beraksi di laman sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pasukannya berkunjung ke Stadium Darul Makmur tanpa kehadiran pertahanan kiri, Mohd Farid Ramli yang terpaksa diketepikan akibat cedera.

Namun katanya, ketiadaan Farid tidak menjejas rentak pasukan yang bersemangat untuk layak ke separuh akhir.

Penyu janji kebangkitan (Sinar Harian Online)


BEKAS juara, Terengganu menjanjikan kebangkitan luar biasa pada aksi kedua suku akhir saingan bola sepak Piala FA apabila menentang skuad Seladang, malam esok.

Tewas 2-3 kepada Perak di Ipoh Selasa lalu tidak menggusarkan pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim yang optimis mampu mara ke peringkat seterusnya.

“Peluang kami masih ada sekalipun kalah pada pertemuan pertama. Pemain membazirkan beberapa peluang keemasan dan kini kesempatan untuk mereka menebus kembali di Kuala Terengganu,” katanya.

Terengganu dijangka bermain berhabis-habisan untuk memadamkan defisit satu gol sambil menegaskan kelibat penyerang Perak, Akmal Rizal Rakhli dan Shahrul Nizam Mustafa perlu diawasi dengan lebih ketat.

“Ketika ini, pemain dalam mood terbaik dan kelincahan penyerang berbisa Perak, Akmal Rizal dan Shahrul Nizam tidak akan dibiarkan bergerak bebas,” katanya.

Khabar gembira buat pasukan Terengganu apabila kaptennya, Marzuki Yusof pulih daripada kecederaan dan dijangka memperkasakan pasukan pada pertemuan itu nanti.

Jika Terengganu melepasi halangan skuad kendalian Norizan Bakar, lawan yang menanti mereka pada separuh akhir adalah Kuala Lumpur atau Pahang.

Kali terakhir skuad Peteh Ganu Peteh mara ke perlawanan akhir adalah pada 2004 , namun tewas 3-0 kepada Perak.

Tiada rombakan drastik: Devan (Sinar Harian Online)


SELANGOR akan mengekalkan corak permainan biasa dalam aksi kedua perlawanan timbal balik Piala FA menentang Johor di Stadium Larkin malam esok.

Jurulatihnya, K Devan berkata beliau juga tidak berhasrat melakukan rombakan besar pada pasukan kerana bimbang ia tidak membuahkan hasil positif.

“Saya tidak mahu membuat pertukaran drastik dan mahu pemain bermain seperti biasa dan fokus pada perlawanan itu nanti.

“Jika ada pertukaran, mungkin posisi penjaga gol sahaja yang berubah,” katanya.

Pada masa sama, pengendali skuad Merah Kuning itu mahu anak buahnya supaya tidak terlalu selesa dengan kelebihan gol dimiliki.

Devan berkata, pasukan Johor yang dibimbing Azmi Mohamed itu sudah pasti mahu menang di laman sendiri.

“Kemenangan yang kami peroleh adalah kemenangan yang baik tetapi ia belum cukup kerana tiga gol itu tidak menjamin kami ke separuh akhir.

“Kami masih ada 90 minit sebelum melangkah ke pusingan berikutnya, oleh itu kami akan cuba menyerang dan bertahan dengan baik,” katanya.

Pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Shah Alam Selasa lalu, Selangor berjaya mengatasi Johor 3-1.

Gol-gol Selangor dijaringkan oleh Rudie Ramli, Mohd Hardi Jaafar dan kapten pasukan, Mohd Amri Yahyah.

Manakala, gol sagu hati Johor dihasilkan Mohd Alif Mohd Yusof.

Perlis, NS tagih khidmat Azraai (Sinar Harian Online)


PASUKAN bola sepak Liga Super Perlis dan Negeri Sembilan berminat mendapatkan khidmat bekas pengendali Harimau Muda, Mohd Azraai Khor Abdullah sebagai jurulatih.

Perkara itu didedahkan sendiri Azraai namun, beliau belum membuat sebarang keputusan mengenai tawaran berkenaan.

“Saya menerima panggilan daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai tawaran untuk mengendalikan pasukan Perlis. Namun, saya masih meneliti tawaran berkenaan.

“Saya ingin pastikan pengurusan persatuan mengikuti terma dan syarat yang ditetapkan. Saya tidak mahu sebarang masalah berlaku selepas saya memegang jawatan sebagai jurulatih kelak,” katanya.

Pada masa sama, beliau bersedia membimbing pasukan Hijau Kuning jika mendapat tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Azraai yang baru dilepaskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima banyak sokongan daripada penyokong agar diberi kepercayaan untuk mengakhiri kemelut yang melanda pasukan Hijau Kuning.

“Saya memang terharu apabila ramai penyokong meletakkan kepercayaan kepada saya untuk kembali membimbing Kedah. Namun, biarlah KFA yang putuskan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Kelab Bola Sepak Kedah, Nor Hasmadi Hamzah berkata, penyokong tidak sabar untuk melihat Azraai kembali membimbing Kedah.

Namun katanya, penyokong perlu memberi peluang kepada Radhi Mat Din sebagai pemangku jurulatih untuk mengemudi pasukan.

“Banyak lagi perlawanan yang akan dilangsungkan. Jadi kita perlu menilai tahap dan prestasi Radhi Mat Din,” katanya.

PBNS cari pengganti Wan Jamak (Sinar Harian Online)


Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) sedang menimbang untuk mengambil jurulatih baru bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Wan Jamak Wan Hassan yang meletak jawatan berkuat kuasa semalam.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata beberapa nama jurulatih tempatan termasuk luar negara sedang diteliti pihaknya.

“Persatuan sudah mempunyai beberapa senarai nama individu yang menawarkan diri untuk menjadi jurulatih pasukan Negeri Sembilan.

“Bagaimanapun, kita harus membuat penelitian sebaik-baiknya agar rombakan baru itu dapat memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Mohamad berkata, PBNS tidak mahu membuat keputusan yang tergesa-gesa kerana ia melibatkan masa depan skuad Rusa.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Pengurus Pasukan Liga Super Negeri Sembilan, Datuk Abd Halim Abd Latif berhasrat meletakkan jawatan sebagai pengurus.

Namun, katanya, PBNS terpaksa menangguhkan hasrat Abd Halim itu kerana mahu menumpukan perhatian menyelesaikan pencarian jurulatih baru terlebih dulu.

“Peranan pengurus juga sangat penting, bagaimanapun beliau (Abd Halim) turut rasa bertanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi pasukan bola sepak kita.

“Beliau mahu mengundur diri namun, biarlah kita selesaikan satu persatu.” katanya.

Terengganu yakin sekat Seladang (Berita Harian Online)

Oleh Hamid Salleh
bhsukan@bharian.com.my
2011/03/18

BAGI menghadapi perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Perak malam esok, Terengganu membuat perancangan rapi dalam usaha memadam kelebihan pelawat dan melangkah ke separuh akhir.

Pengurus pasukan Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh yakin, ketua jurulatih Irfan Bakti Abu Salim ada strategi tertentu untuk memastikan anak buahnya mampu beraksi cemerlang, selain faktor halaman sendiri yang memberi sedikit kelebihan buat tuan rumah.

“Saya meminta pemain memberi komitmen sepenuhnya bagi perlawanan itu,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu, semalam.

Che Mat yakin barisan serangan diketuai Abdul Manaf Mamat bersama Abdul Hadi Yahya dan Ashaari Shamsuddin yang kian serasi dan menunjukkan banyak peningkatan sejak kebelakangan ini, akan menggunakan setiap peluang terhidang untuk membolosi gawang lawan.

“Jika salah seorang daripadanya dapat menjaringkan gol awal, sudah tentu rakan-rakan lain lebih bersemangat untuk menambah gol,” katanya.

Katanya, kekalahan 2-3 kepada Perak di tempat lawan, sedikit pun tidak melemahkan semangat juang pemain malah mereka bertekad menebus kekalahan itu dan menyingkirkan barisan kendalian Norizan Bakar.

Namun, katanya benteng pertahanan diketuai Marzuki Yusof bersama Ronny Harun harus bijak mengekang barisan depan Perak terutama Akmal Rizal Rakhli daripada melakukan sebarang cubaan bahaya.

Dollah tak mahu Pahang dibuai lena bertemu KL (Berita Harian Online)

Oleh Asrol Awang
bhsukan@bharian.com.my
2011/03/18

JURULATIH Pahang, Dollah Salleh mengingatkan anak buahnya tidak dibuai perasaan selesa biarpun berbekalkan jaringan 2-1 apabila bertemu Kuala Lumpur pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darulmakmur, malam ini.

Katanya, kemenangan itu belum lagi menjamin impian untuk mara ke separuh akhir saingan piala berprestij itu kerana masih ada baki 90 minit perlawanan.

“Saya harap pemain dapat mengekalkan prestasi meyakinkan kerana Kuala Lumpur pasti akan turun berhabis-habisan mengasak kubu Pahang untuk mencari kemenangan bagi memastikan mereka layak ke peringkat seterusnya.

“Oleh itu, pemain perlu lebih bijak terutama untuk memanfaatkan segala peluang jaringan dan cuba mencari gol awal sebagai penyuntik semangat,” katanya.

Dollah berkata, prestasi pemain yang ada ketikanya tidak konsisten pasti mempengaruhi corak permainan tetapi bagi perlawanan penting itu, pemain harus bingkas untuk memberikan yang terbaik demi memastikan langkahan ke separuh akhir dan seterusnya final, tidak terhalang.

“Apa yang diharapkan malam esok (malam ini), Pahang akan tidak terbawa-bawa dengan keyakinan tinggi dan lebih berwaspada dengan Kuala Lumpur yang pasti akan memberi saingan sengit.

“Pada masa sama, saya mengharapkan sokongan padu peminat setia Pahang untuk terus membakar semangat pemain seperti yang mereka berikan pada perlawanan sebelum ini,” katanya.

KL perlu dua gol ke separuh akhir (Berita Harian Online)

Oleh Sukhairi Abd Thani
sukhairi@bharian.com.my
2011/03/18

KUALA Lumpur memerlukan sekurang-kurangnya dua gol malam ini andai bercita-cita mahu meneruskan langkah ke separuh akhir Piala FA.

Itu disuarakan Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail yang mengharapkan kerjasama anak didiknya untuk memastikan pertemuan malam ini, mendatangkan hasil kepada pasukannya yang terpaksa mengharungi kedua-dua perlawanan di gelanggang lawan.

“Perlawanan kedua akan menentukannya. Kami ketinggalan dua gol (perlawanan pertama) tetapi boleh bernafas untuk kali kedua walaupun peluang nampak tipis. Jika mahu ke pusingan seterusnya, pemain perlu gandakan usaha dan bekerja lebih kuat.

“Walaupun bermain di Pahang untuk kedua-dua perlawanan, Kuala Lumpur tidak menghadapi kesan psikologi dan tidak tergugat di depan penyokong setia mereka,” kata Razip yang mengakui Kuala Lumpur perlu memperkukuhkan benteng pertahanan untuk perlawanan kedua itu.

Begitupun, Kuala Lumpur mungkin kehilangan pertahanan berusia 24 tahun, Mohd Farid Ramli yang masih belum sembuh daripada kecederaan dialami ketika menentang Johor FC dalam saingan Liga Super, minggu lalu.

Pemain Selangor keletihan (Berita Harian Online)

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my
2011/03/18

 AMRI (kiri) mungkin akan direhatkan bertemu Johor, esok.
AMRI (kiri) mungkin akan direhatkan bertemu Johor, esok.

Devan akui skuad terpaksa hadapi jadual padat Liga Super April ini

DETIK April ini disifatkan tempoh paling getir buat jurulatih Selangor, K Devan yang terpaksa membuat percaturan penuh teliti untuk memastikan skuadnya mampu meneruskan aksi cemerlang dalam saingan Liga Super.

Bagi Devan, sembilan perlawanan liga yang terpaksa diharungi dalam tempoh sebulan adalah sesuatu yang sukar dan berat, apatah lagi sebahagian besar pemainnya beraksi berterusan dalam tujuh perlawanan liga setakat ini.

“Kebanyakan pemain keletihan. Itulah sebabnya saya mengambil pendekatan merehatkan beberapa tonggak pada saingan Piala FA,” kata Devan yang yakin mampu mengekalkan kelebihan selepas kemenangan 3-1 ke atas Johor dalam suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, Selasa lalu.

“Selain itu, ada juga pemain yang cedera dan memerlukan rehat untuk pulih. Sememangnya, saya kini terpaksa memikirkan strategi terbaik untuk menghadapi situasi ini.”

Tonggak serangan, Mohd Fadzli Saari tidak diturunkan ketika menentang Johor kerana masih cedera, selain Devan mengeluarkan kaptennya, Mohd Amri Yahyah dan Mohd Hardi Jaafar pada babak kedua bagi memberikan mereka rehat untuk perlawanan suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin, malam esok.

Devan berkata, satu lagi permasalahan yang dihadapinya ialah mencatur semula strategi taktikal selepas kehilangan penyerang Mohd Safee Sali yang berhijrah ke Indonesia baru-baru ini tetapi pemain sudah mula menunjukkan tanda-tanda mampu mengisi kekosongan itu.

Fifa tolak idea Asean (Harian Metro Online)

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

SIMBOLIK...Sultan Ahmad menerima cenderamata daripada  Blatter di Istana Pahang.
SIMBOLIK...Sultan Ahmad menerima cenderamata daripada Blatter di Istana Pahang.

CADANGAN Asean untuk membida hak tuan rumah bersama Piala Dunia 2030 kini bagaikan impian yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

Ini berikutan kenyataan Presiden Fifa, Datuk Seri Sepp Blatter yang menyifatkan idea Menteri Luar Asean di Lombok Januari lalu sukar untuk dilaksanakan selepas pihaknya memutuskan tidak berminat menerima bidaan mana-mana negara yang mahu berkongsi menganjurkan kejohanan bola sepak terbesar itu selepas Piala Dunia 2018.

“Saya dimaklumkan mengenai cadangan ini oleh Setiausaha Persatuan Bola Sepak Singapura (Winston Lee) sebelum ini, apa yang saya boleh katakan ia satu cadangan yang bagus tapi secara realitinya ia bukan mudah untuk dilakukan.

“Secara prinsipnya selepas Korea Selatan dan Jepun menjadi tuan rumah bersama pada 2002, tidak ada lagi negara yang menganjurkan secara bersama dan Fifa lebih berminat memilih satu negara saja menjadi tuan rumah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah di Istana Pahang semalam.

Pada majlis itu yang turut dihadiri Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Blatter turut dianugerah darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Cadangan Asean membida hak penganjuran tuan rumah Piala Dunia 2030 diumum Menteri Luar, Datuk Anifah Aman selepas mempengerusikan mesyuarat bersama rakan sejawatnya di Lombok Januari lalu.

Anifah berkata, menerusi kesepakatan yang dicapai, Malaysia diberi mandat menyediakan kertas kerja yang akan dibentangkan kepada pemimpin 10 negara Asean pada sidang kemuncak di Jakarta Mei depan.

Sementara itu, Blatter turut mengumumkan kesediaannya untuk bertanding bagi menerajui Fifa buat penggal keempat biarpun dikhabarkan bakal ditentang Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia, Mohamad Hammam pada sesi pemilihan yang dijadual berlangsung pada 1 Jun ini di Zurich.

“Banyak spekulasi mengenai siapa yang bakal bertanding tapi saya bersedia untuk dicabar oleh sesiapa saja. Saya baru saja melepasi usia 75 tahun. Namun, saya masih bertenaga dan banyak kerja perlu dilakukan dalam membangunkan bola sepak dan penganjuran kejohanan,” katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa masih mendapat sokongan kuat termasuk negara Asia dan Timur Tengah.

Beliau yang akan ke Singapura sebelum berlepas ke Zurich hari ini berkata, hasratnya untuk bertemu Hammam tidak kesampaian apabila Presiden AFC itu memberi alasan sibuk dengan mesyuarat.

Hammam yang berusia 61 tahun akan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat AFC di Bukit Jalil hari ini bagi mengumumkan pendiriannya untuk bertanding merebut jawatan tertinggi Fifa.

Tok Gajah idam jaringan besar (Harian Metro Online)

Oleh Asrol Awang
am@hmetro.com.my

KELEBIHAN 2-1 berbanding Kuala Lumpur bukan pasport untuk Pahang bermain secara bertahan sebaliknya skuad Tok Gajah itu mahu memburu lebih banyak gol pada perlawanan timbal balik di Stadium Darulmakmur, malam ini bagi memastikan mereka layak ke kelompok empat pasukan terakhir Piala FA.

Selepas menang perlawanan pertama, skuad bimbingan ketua jurulatih Dollah Salleh itu pantas dianggap sebagai pilihan untuk mara ke separuh akhir dan bertemu sama ada Perak atau Terengganu.

Bagaimanapun, kapten Pahang, Jalaluddin Jaafar (gambar) berkata, mereka perlu berhati-hati sekali gus membenarkan Kuala Lumpur mengambil kesempatan atas kesilapan mereka.

“Saya mengingatkan semua pemain supaya bijak mengawal permainan dan jika mempunyai peluang, mereka harus memanafaatkan sepenuhnya.

“Jika boleh, segala yang diarah jurulatih disempurnakan kerana Kuala Lumpur pasti mengamalkan corak permainan menyerang untuk memastikan mereka mampu menjaringkan gol.

“Sebagai kapten, saya mahu semua pemain terutama barisan serangan menajamkan lagi sentuhan untuk mencatat kemenangan dan mengesahkan tempat di separuh akhir,” katanya.

Sementara itu, Dollah mengingatkan pemain tidak terlalu selesa biarpun memiliki kelebihan 2-1.

“Saya harap pemain mengekalkan prestasi meyakinkan kerana Kuala Lumpur pasti cuba habis-habisan mengasak kubu Pahang untuk memadamkan defisit satu gol dan bangkit pula mencatat kemenangan.

“Oleh itu, pemain perlu bijak memanafaatkan peluang dimiliki untuk menjaringkan gol seawal mungkin. Saya harap misi ke separuh akhir terlaksana,” katanya.

Azraai sedia teraju Kedah (Harian Metro Online)

MOHD Azraai Khor Abdullah sedia kembali membimbing skuad bola sepak Kedah jika menerima tawaran dan pihak Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) juga bersedia menerima beberapa syaratnya.

Azraai meninggalkan skuad Hijau Kuning pada 2009 dan dilantik sebagai jurulatih skuad bawah 21 tahun negara Harimau Muda A.

“Saya bangga dengan sokongan padu ditunjukkan penyokong Hijau Kuning yang mahu saya kembali semula membimbing Kedah, melalui laman sosial Facebook dan media.

“Bagaimanapun, saya tidak menerima surat dan panggilan daripada KFA untuk menggunakan khidmat saya semula.

“Saya akan tunggu dan lihat perkembangan semasa KFA,” katanya.

Kedah merehatkan jurulatih Ahmad Yusof dan melantik penolong jurulatih Radhi Mat Din sebagai pemangku bagi satu tempoh yang ditentukan kelak.

Langkah itu dibuat KFA ekoran peminat Kedah melahirkan rasa kecewa dengan prestasi pasukan yang tersingkir daripada saingan awal Piala FA.

Azraai berkata, sekiranya menerima tawaran KFA, beliau akan melakukan perbincangan lebih terperinci dan mahu beberapa syarat yang dimintanya dipenuhi agar peristiwa 2009 tidak berulang lagi.

“Saya akan kenakan syarat tertentu sebelum menerima sebarang tawaran. Lebih elok jika saya dan KFA capai kata sepakat barulah saya boleh terima,” katanya. - Bernama

Wan Jamak undur diri (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

NASIB Wan Jamak Wan Hassan bersama pasukan Negeri Sembilan nyata tidak berpanjangan apabila meletak jawatan selaku ketua jurulatih skuad itu semalam selepas berdepan pelbagai tekanan susulan prestasi hambar skuad bimbingannya pada saingan Liga M.

Bagi pengendali berpengalaman itu, tindakan itu jalan terbaik baginya kerana mengaku bertanggungjawab atas kemerosotan skuad Hoben Jang Hoben selepas kalah empat daripada lapan perlawanan Liga M, setakat ini.

“Saya menghantar surat meletak jawatan pagi ini (semalam) kerana bertanggungjawab atas kemerosotan pasukan dan akur dengan kehendak persatuan. “Walaupun masih ada ruang meningkatkan prestasi pasukan kerana saingan masih di peringkat awal tapi demi kepentingan pasukan, lebih baik saya berundur bagi memberi laluan kepada pengurusan memperbaiki keadaan,” katanya.

Bekas pengendali kebangsaan dari Johor itu menyifatkan langkah itu diharap memberi kepuasan kepada semua pihak demi memastikan prestasi Negeri Sembilan kembali di landasan terbaik dalam mengharungi baki cabaran saingan Liga Super yang kembali bersambung 2 April ini.

“Walaupun sudah berusaha sebaik mungkin untuk meletakkan pasukan di landasan terbaik, usaha itu belum menampakkan hasil,” katanya yang mengakui ingin berehat buat sementara waktu.

Sementara itu, Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan ketua jurulatih itu menemui beliau untuk menyerahkan surat peletakan jawatan.

“Sebagai seorang profesional, Wan Jamak ingin memikul tanggungjawab atas kemerosotan pasukan dan mohon supaya dibenar meletak jawatan,” katanya selepas majlis penyerahan tiket dan saguhati khas kepada pelajar Negeri Sembilan.

Menurutnya, walaupun berat melepaskan Wan Jamak memandangkan jasanya sebelum ini, pihaknya menghormati pendirian jurulatih itu.

Katanya, pihaknya sudah mengadakan perjumpaan tergempar dengan ahli majlis PBNS dan menimbang untuk melantik jurulatih baru serta menawarkan kepada mereka yang berminat.

“Pengurus pasukan, Datuk Abd Halim Abd Latif juga berhasrat meletak jawatan kerana turut berasa bertanggungjawab tapi saya katakan biar kami selesaikan perkara ini dulu.

“Beliau mahu PBNS melantik pengurus pasukan sepenuh masa,” katanya.

Menurutnya lagi, setakat ini ramai jurulatih termasuk dari luar negara menawarkan diri untuk mengemudi pasukan Negeri Sembilan tapi PBNS akan meneliti terlebih dulu sebelum membuat keputusan.

“Kami harap dapat memilih jurulatih terbaik kerana yang penting Negeri Sembilan kembali mantap,” katanya.

Kelmarin, Mohamad melahirkan rasa kecewa terhadap kemerosotan prestasi Negeri Sembilan hingga mendorong beliau melaungkan amaran keras untuk menyingkirkan pemain dan pegawai pasukan andai tiada perubahan sebaik saingan liga bersambung kelak.

Misi Penyu singkir Seladang (Harian Metro Online)

Oleh Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my

MISI Terengganu bukan saja mahu mencalar ego Perak yang belum tewas setakat ini malah sasaran lebih besar adalah menamatkan cabaran skuad Seladang pada pentas suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Kapten, Marzuki Yusof berkata, kelebihan satu jaringan yang dimiliki lawan selepas tumpas 2-3 pada saingan pertama lalu, tidak sukar untuk ditebus rakan sepasukan.

Katanya, pemain hanya memerlukan kelebihan jaringan satu gol secara agregat untuk mara ke separuh akhir kerana mempunyai kelebihan jaringan di tempat lawan.

“Kami sedar skuad lawan pasti bermain mati-matian untuk mengekalkan rekod kemenangan, tetapi jika menganggap Terengganu sebagai skuad yang mudah ditewaskan adalah silap kerana kami sudah sedia menggempur kubu lawan.

“Strategi diterap jurulatih ketika sesi latihan membakar semangat saya dan rakan sepasukan untuk menundukkan lawan seterusnya layak ke separuh akhir,” katanya.

Berdasarkan rekod, Terengganu muncul juara Piala FA kali terakhir pada 2000 ketika dikendali Yunus Alif manakala pada tahun lalu mereka hanya mampu melangkah ke separuh akhir sebelum tumpas kepada Kedah.

Menurut Marzuki, dengan rangkaian penyerang diketuai peledak kebangsaan, Mohd Ashari Samsudin, Abd Manaf Mamat dan Abd Hadi Yahya serta ditambah ketangkasan benteng terakhir, Mohd Sharbinne Allawee Ramli, Terengganu berada di landasan terbaik untuk mara ke separuh akhir.

Blues congak final (Harian Metro Online)

LONDON: Carlo Ancelotti menegaskan Chelsea berada pada kedudukan terbaik memenangi Liga Juara-Juara walaupun skuad bimbingannya terpaksa bekerja keras untuk menyingkirkan juara Denmark, Copenhagen pada pusingan kedua.

Skuad bimbingan Ancelotti mara ke suku akhir kejohanan elit kelab Eropah itu dengan agregat 2-0 namun mereka menjadikan situasi sukar apabila seri tanpa jaringan pada perlawanan kedua di Stamford Bridge, awal pagi semalam.

The Blues mensia-siakan sejumlah peluang untuk melenyapkan harapan Copenhagen tapi tuah menyebelahi mereka apabila sepakan percuma Dame N’Doye terkena tiang pada babak pertama.

Bagaimanapun, Chelsea kini boleh menantikan undian suku akhir, hari ini dan Ancelotti yakin tiada alasan kenapa mereka tidak boleh mara hingga ke final di Wembley.

Beliau bagaimanapun menyedari sentuhan penyudah Chelsea perlu dipertingkatkan namun pengurus dari Itali itu percaya juara Liga Perdana itu kini sudah kembali ke landasan betul selepas persembahan kurang konsisten sebelum ini.

“Pemain kini segar dan ia saat yang baik untuk kami,” katanya. “Saya fikir kami mempunyai skuad yang mampu memenanginya.

“Pada saat ini semua pemain cergas. Jika kami mampu bermain pada tahap 100 peratus, kami mampu mara ke final.

“Suasana kini bagus. Kami bergelut dalam tempoh dua bulan lalu dan kini berada dalam keadaan lebih baik.

“Kami tenang dan tenteram. Suasana kini sangat baik. Selepas menang perlawanan pertama di Copenhagen, keputusan dan persembahan menjadi bagus.” Chelsea memulakan perlawanan dengan garang namun Yuri Zhirkov terlepas dua peluang terbaik pada babak pertama manakala Nicolas Anelka gagal mengambil kesempatan selepas hantaran Didier Drogba memperdaya dua pemain pertahanan.

John Obi Mikel hampir menjaringkan gol buat Blues namun tandukan pemain tengah Nigeria itu sekadar menggegar palang pada babak kedua.

Ancelotti enggan mengkritik sentuhan penyudah Chelsea yang mensia-siakan banyak peluang namun lebih suka memberi fokus kepada jumlah peluang yang dicipta.

“Apa yang tiada hanyalah jaringan gol. Permainan bagus, semangat, serangan balas yang pantas dan pertahanan yang mantap,” kata Ancelotti. - AFP

Aksi Benzema tamat badi Real (Harian Metro Online)

MADRID: Real Madrid menamatkan badi kekecewaan di peringkat Eropah apabila mara ke suku akhir Liga Juara-Juara untuk kali pertama sejak 2004 hasil kemenangan selesa 3-0 ke atas Lyon, semalam.

Real terkandas di pusingan kedua dalam kempen Liga Juara-Juara enam musim berturut-turut namun jurulatih baru, Jose Mourinho kembali meletakkan pasukan itu ke landasan kejayaan.

Jaringan Marcelo, bekas pemain Lyon, Karim Benzema (gambar) dan Angel di Maria mengesahkan kemenangan untuk Real yang melangkah dengan agregat 4-1.

Pemain pertahanan Brazil, Marcelo meledak gol pertama peribadi dalam kancah Liga Juara-Juara pada minit ke-37 sebelum Benzema menembusi gawang Lyon di minit ke-65.

Bintang Argentina, Di Maria menambah gol ketiga pada minit ke-76 buat Real membalas dendam kekalahan kepada Lyon yang mengalahkan mereka pada peringkat sama musim lalu sekali gus menghidupkan peluang untuk merangkul kejuaraan pertama Liga Juara-Juara sejak 2002.

Mourinho yang merangkul trofi kejuaraan bersama Inter Milan di Stadium Santiago Bernabeu pada musim lalu menyimpan hasrat menghadiahkan Real koleksi kejuaraan ke-10 Piala Eropah dan mencipta sejarah sebagai pengurus pertama memenangi Liga Juara-Juara dengan tiga kelab berbeza.

Real kembali menurunkan penjaring terbanyak, Cristiano Ronaldo dalam kesebelasan utama selepas bintang Portugal itu terlepas dua perlawanan terakhir liga akibat masalah pangkal paha.

Lyon tidak pernah tewas dalam tiga kunjungan ke Bernabeu bagi perlawanan Liga Juara-Juara namun kelab dari Perancis itu menyedari mereka perlu menjaringkan gol selepas seri 1-1 pada pertembungan pertama.

“Real mampu layak ke final Liga Juara-Juara,” kata jurulatih Lyon, Claude Puel selepas perlawanan.

“Mereka mempunyai ramai pemain berkualiti dan jika benteng pertahanan mereka kekal mantap, mereka boleh melangkah ke final.” - AFP

Thursday, March 17, 2011

Presiden PBNS mula 'naik angin' (Kosmo Online)


SKUAD Negeri Sembilan menunjukkan prestasi tidak menentu sejak kebelakangan ini.


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) sudah tidak boleh berdiam diri lagi melihatkan prestasi skuad Hoben Hang Hoben sejak kebelakangan ini.

Justeru, beberapa keputusan drastik akan diambil oleh PBNS termasuk merombak, merehat, menggantung dan menyingkirkan mana-mana pegawai dan pemain yang gagal menunjukkan permainan yang diharapkan.

Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan (gambar kecil) berkata, beliau dan penyokong Negeri Sembilan sudah hilang sabar melihat persembahan skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu yang semakin merudum.

“Saya dan seluruh penyokong juga sudah hilang sabar kerana kita ada ramai pemain berpotensi di setiap posisi.

“Satu tindakan drastik perlu diambil kerana ada yang tidak kena dengan pasukan ini.

“Kita sedang menilai dan mempertimbangkan individu mana yang harus dikenakan tindakan jika masalah ini terus berulang kerana mereka sudah bermain pada tahap profesional,” jelas Mohamad di Seremban semalam.

Mohamad berkata, pada pandangan peribadinya, pemain skuad Rusa dilihat kurang mendapat latihan yang mencukupi selain lemah dalam aspek taktikal.

“Mana tidaknya, kalau depan gol pun sepak bola ke atas, tanduk pun tidak masuk, nampak sangat mereka ini kurang latihan.

“Kalau belakang parang kita asah sekali pun boleh tajam, begitulah pemain. Kita kena asah dengan betul, barulah skil pun tajam,” tegasnya.

Mohamad turut melahirkan kekecewaan terhadap pemain yang dibayar gaji yang lumayan tetapi masih gagal mempamerkan persembahan yang diharapkan.

“Kita bayar gaji mereka sampai RM17,000 hingga RM25,000, takkanlah cekak pinggang sahaja atas padang,” ujarnya.

Selaku Presiden PBNS, beliau telah mengeluarkan surat amaran kepada pemain dan pegawai termasuk Wan Jamak selepas skuad Rusa itu tersingkir dalam kempen Piala FA baru-baru ini.

Negeri Sembilan tersingkir daripada persaingan Piala FA musim ini selepas tewas 2-4 kepada Kuala Lumpur menerusi sepakan penalti pada pusingan kedua, 4 Mac lalu.

Terbaru dalam saingan Liga Super pula, Negeri Sembilan tewas 1-2 kepada Sela- ngor di gelanggang sendiri.

Setakat ini, anak-anak buah Wan Jamak hanya berjaya mengumpul sembilan mata dalam enam perlawanan untuk berada pada kedudukan kesembilan liga.

Karathu puas walau seri dengan Felda United (Utusan Malaysia Online)

KOTA BHARU - Meskipun diikat 2-2 oleh Felda United pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV kelmarin, ketua jurulatih Kelantan, Datuk M.Karathu tetap berpuas hati dengan persembahan pemain.

Malah beliau memuji pemain yang yang sentiasa bekerja keras di sepanjang perlawanan, biarpun gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri.

"Mereka main dengan cukup bagus, meskipun ketinggalan pada minit ke-31, pemain tidak mudah hilang rentak.

"Pemain tidak mudah putus asa walaupun ketinggalan, sebaliknya bangkit menjaringkan gol penyamaan sebelum tamat separuh masa pertama.

"Itulah yang kita mahukan dalam setiap kali perlawanan terutama dalam perlawanan yang amat penting. Cuma selepas mendapat gol kedua, kita gagal memanfaatkan beberapa peluang gol termasuklah menerusi Norshahrul di pada minit akhir, selepas Felda United berjaya menyamakan kedudukan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tambahnya, pada perlawanan kedua Sabtu ini, beliau mahu barisan pemain mempamerkan aksi lebih bertenaga.

"Kalau kita main macam malam semalam (kelmarin), saya yakin Kelantan mampu melakukan kejutan pada perlawanan kedua nanti.

"Pada perlawanan malam semalam (kelmarin) saya telah mengenalpasti beberapa kelemahan.

"Untuk perlawanan yang akan datang saya akan memperkemaskan kelemahan tersebut terutama pertahanan," ujarnya.

Karathu mengakui Felda United merupakan sebuah pasukan yang kuat dan mempunyai barisan pemain yang cukup berpengalaman.

"Kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan yang seimbang, namun saya percaya Kelantan tetap berpeluang meneruskan kemaraan walaupun Felda United memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan," katanya.

Mengenai pertahanan kiri, Muhammad Abdul Aziz Ismail yang pertama diturunkan, Karathu berkata: "Saya berpuas hati dengan apa yang beliau tunjukkan. Walaupun baru diturunkan, namun dia berjaya melakukan tugasan yang diberikan dengan baik.

"Cuma masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki terutama semangat perlawanan. Saya yakin dan percaya jika diberikan peluang beliau mampu mengatasi masalah tersebut," ujarnya.

Selangor 'hilang' gelanggang (Utusan Malaysia Online)


Hamidin Mohd. Amin (tengah) menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM di Kelana Jaya, semalam. - UTUSAN/Abd. Rahman Saleh


PETALING JAYA - Tiada sikap pilih kasih atau berat sebelah menjadi amalan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung penentuan venue perlawanan.

Buktinya, dua keputusan berhubung keadaan kurang memuaskan gelanggang Selangor, Stadium Shah Alam dan perlawanan Sabah dengan Harimau Muda A yang tertangguh, tetap dibuat secara tegas, telus dan wajar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Gara-gara padang yang tercabut rumputnya dalam suku akhir pertama Piala FA melibatkan Selangor-Johor, kelmarin, Stadium Shah Alam kini diarahkan ditutup selama 16 hari sehingga 2 April ini untuk diperbaiki oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pengerusi jawatankuasa, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata: "Saya sendiri tidak berpuas hati dengan rumput padang di situ dan akan meminta MBSA memperbaikinya segera dalam tempoh itu. Jika tidak, Selangor dan beberapa pasukan lain selaku tuan rumah di situ perlu bermain di tempat lawan.

"Walaupun keadaannya tidak terlalu teruk, saya diberitahu ia disebabkan rumputnya baru ditampal 10 hari lalu dan menjadi sebegitu akibat hujan lebat kebelakangan ini," katanya yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas mesyuarat jawatankuasa itu.

Hamidin juga mengakui kekerapan penggunaan oleh dua lagi pasukan tuan rumah di Stadium Shah Alam iaitu Piala Presiden Selangor dan Harimau Muda A sejak dua hingga tiga bulan lalu, memberikan kesan yang begitu ketara kepada keadaan rumput di situ.

"Selain Stadium Shah Alam (tuan rumah perlawanan akhir Piala FA, 11 Jun), jawatankuasa akan terus memantau keadaan padang dan lampu limpah di Stadium JCorp, Pasir Gudang; Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dan Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

"Malah pemeriksaan kedua gelanggang semua pasukan Liga Malaysia akan dijalankan secara mengejut pada Mei ini. Stadium Darul Makmur, Kuantan pula perlu ditutup mulai 1 April hingga tahun depan bagi dibaik pulih untuk menghadapi Sukan Malaysia 2012," katanya.

Justeru jelasnya, Pahang akan terus bermain sebagai tuan rumah di gelanggang lawan bagi baki aksinya musim ini dalam Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Presiden.

Sementara itu, jawatankuasa turut mengarahkan perlawanan Liga Super antara Sabah dengan Harimau Muda A dimainkan semula pada satu tarikh yang akan ditetapkan selepas ditangguhkan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 12 Mac lalu atas sebab teknikal.

Kata Hamidin: "Kami juga meminda tiga perlawanan Liga Super Harimau Muda A menentang Terengganu, Sabah dan Pahang pada 14, 17 dan 21 Jun bagi memberi laluan persediaan mereka dalam pusingan kedua Kelayakan Olimpik.

"Bergantung kepada undian 30 Mac ini, mereka mungkin bermain pada Julai depan yang dijamin tidak memberikan kesan besar kepada Liga Super selain beberapa pemain skuad Olimpik ini dapat bermain dengan negeri dan kelab mereka," katanya.

Pengurus pasukan Harimau Muda A, Datuk Afandi Hamzah yang juga timbalan pengerusi jawatankuasa berkenaan, bagaimanapun meninggalkan seketika mesyuarat ketika keputusan itu dibuat bagi mengelakkan pertindihan kepentingan.

Razali Umar 'hilang' lagi (Utusan Malaysia Online)


Razali Umar


IPOH - Penyerang sensasi, Razali Umar Kandasamy berdepan hukuman lebih keras daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) kerana tidak hadir latihan skuad Perak.

Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, masalah ketidakhadiran Razali dalam latihan harian skuad Liga Super akan dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan PAFA hujung bulan ini.

"PAFA memandang serius ketidakhadiran Razali dalam latihan tanpa sebab dan kami akan membincangkan perkara ini secara terperinci.

"Razali juga perlu memberikan surat tunjuk sebab tidak hadir latihan,'' kata di sini, semalam.

Penyerang berbisa skuad Seladang itu sekali lagi 'menghilang' di bawah kendalian jurulatih, Norizan Bakar sehingga gagal dikesan sejak 9 Mac lalu.

Sebelum ini, Razali juga tidak menjalani latihan selama tiga minggu selepas skuad Seladang pulang daripada menjalani latihan di Bangkok pada 26 Disember lalu.

Ekoran itu, PAFA memberi amaran terhadap penyerang tersebut.

Sebelum ini, Razali juga gagal hadir menjalani latihan pusat skuad kebangsaan apabila dipanggil oleh jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal tahun lalu.

Kehilangan terbarunya sejak 9 Mac lalu sekali lagi memeningkan PAFA. Namun Razali ada menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada salah seorang pegawai skuad Seladang baru-baru ini, dengan menyatakan dia cirit-birit.

Namun selepas itu, penyerang tersebut gagal dikesan sehingga namanya tidak disenaraikan dalam skuad Seladang ketika menentang T-Team dalam perlawanan Liga Super di Kuala Terengganu 12 Mac lalu.

Razali juga tidak disenaraikan dalam pertemuan suku akhir pertama Piala FA antara Perak dengan Terengganu di Ipoh, kelmarin.

"Saya tidak tahu mengapa Razali mengambil tindakan sedemikian yang menjejaskan perancangan jurulatih Norizan.

"PAFA juga sudah memotong gaji Razali selama dua bulan atas kesalahan ponteng latihan tetapi dia masih gagal mengubah tabiatnya," kata Presiden PAFA itu.

Zainol Fadzi meminta Razali berjumpa dengan mana-mana pegawai PAFA jika pemain itu mempunyai masalah.

"Razali mempunyai pengikut dan peminatnya tersendiri yang mahu melihat dia beraksi bersama skuad Seladang.

"Oleh itu jangan hampakan mereka," katanya.

Sementara itu, pengendali skuad Seladang, Norizan berkata, ketiadaan Razali bukan masalah besar buat pasukannya.

"Saya mempunyai ramai pemain lain yang berminat beraksi dengan pasukan ini,'' katanya.

Presiden PBNS hilang sabar (Utusan Malaysia Online)

SEREMBAN - Cakap sudah berbuih, nasihat sudah bertimbun. Amaran juga telah dikeluarkan, tetapi hasilnya masih macam itu juga, entah di mana silapnya. Itulah yang memeningkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Kita ada ramai pemain hebat di setiap posisi. Ada yang tidak kena dengan pasukan ini," katanya semalam.

Mohamad sudah tidak boleh sabar apabila prestasi pasukan Hoben Jang Hoben semakin merudum, selepas tewas dalam beberapa perlawanan termasuk kempunan Piala FA baru-baru ini.

Tegasnya, tindakan drastik termasuk memecat, menggantung serta merombak pasukan perlu dilakukan jika keadaan pasukan makin teruk.

"Kita sedang menilai dan mempertimbangkan individu mana yang harus dikenakan tindakan jika masalah ini terus berulang, kerana mereka sudah bermain pada tahap profesional," katanya.

Mohamad, yang juga Menteri Besar berkata, pada pandangan peribadinya, pemain skuad Rusa kurang mendapat latihan yang mencukupi selain lemah dalam aspek taktikal.

"Mana tidaknya, kalau depan gol pun sepak bola ke atas, tanduk pun tidak masuk, nampak sangat mereka ini kurang latihan.

"Kalau belakang parang kita asah sekali pun boleh tajam, begitulah pemain.

"Kita kena asah dengan betul, barulah skilnya pun tajam," katanya.

Mohamad turut kecewa kerana pemain yang dibayar gaji besar tetapi gagal mempamerkan persembahan yang mantap.

''Sampai bila kita hendak melihat mereka kembali 'panas'. Kita bayar gaji sampai RM17,000 hingga M25,000, takkanlah cekak pinggang sahaja atas padang," ujarnya.

Untuk itu, selaku Presiden PBNS, beliau telah mengeluarkan surat amaran kepada pemain dan pegawai termasuk kepada jurulatihnya, Wan Jamak selepas pasukan ini tersingkir dalam aksi Piala FA, apabila kalah 2-4 kepada Kuala Lumpur pada 4 Mac lalu.

Terbaru dalam saingan Liga Super pula, Negeri Sembilan tewas 1-2 kepada Selangor di gelanggang sendiri.

Pasukan itu hanya mengumpul sembilan mata dalam enam perlawanan untuk berada pada kedudukan kesembilan liga.

Jangan hanya salahkan Khazali - Presiden KFA (Utusan Malaysia Online)

ALOR SETAR - Di sebalik desakan penyokong supaya Datuk Khazali Din berundur, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula mempertahankan kedudukan pengurus tersebut.

Azizan yang juga Menteri Besar berkata, Khazali tidak boleh dipersalahkan di atas kemerosotan prestasi pasukan Hijau Kuning.

"Kalau kita ada pengurus yang baik tetapi mungkin pemain tidak baik. Kita tidak boleh tengok salah seorang sahaja kerana jika pasukan kalah, salah jurulatih, kerana pasukan kalah, salah pengurus, pemain pula macam mana?

"Atau mungkin ada pemain yang bagus dan ada yang tidak bagus, kita akan tengok perkara ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darulaman di sini, semalam.

Beliau mengulas rasa tidak puas hati penyokong Kedah terhadap keputusan KFA mengekalkan pengurus pasukan tersebut, di sebalik kemerosotan pasukan Kedah.

Desakan penyokong agar pengurus dan jurulatih pasukan itu berundur, membawa kepada pertukaran jurulatih yang kini dipikul oleh Radhi Mat Din, setelah ketua jurulatih Ahmad Yusof direhatkan.

Kedudukan Khazali pula dikekalkan oleh Jawatankuasa Eksekutif KFA yang bermesyuarat sebulat suara menolak hasrat beliau untuk melepaskan jawatan tersebut sehari selepas Kedah kepada Felda United dalam saingan Piala FA, baru-baru ini.

Kejayaan Kedah menewaskan Terengganu 2-1 dalam perlawanan saingan Liga Super Sabtu lalu juga gagal mengubat kekecewaan penyokong, apabila ada yang berdemonstrasi sejurus tamat perlawanan tersebut mendesak Khazali berundur.

Azizan memberi jaminan untuk mempertimbangkan pandangan dan desakan penyokong tersebut.

"Kita akan timbangkan segalanya, kita hargai pandangan orang ramai demi kejayaan pasukan Kedah dan keselesaan semua pihak," katanya lagi.

Sementara itu, Azizan mengumumkan ganjaran lot tanah seluas 2.02 hektar tanah kepada lima pemain Kedah yang membantu skuad negara menjulang Piala Suzuki AFF 2010.

Lima pemain terbabit iaitu Mohd. Khyril Muhymeen Zambri, Mohd. Sabre Mat Abu, Khairul Helmi Johari, Mohammad Faizal Abu Bakar serta Amar Rohidan akan menerima 0.4 hektar seorang di Pokok Sena, di sini.

Shahrul ancaman buat Felda United (Sinar Harian Online)


FELDA United harus berwaspada kehadiran penyerang berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang menjadi ancaman buat pasukan itu untuk melangkah bergaya ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala FA musim ini.

Jurulatihnya, E Elavarasan berkata, pemain bukan sahaja perlu mengawal pergerakan lawan tetapi menjadi tanggungjawab pertahanan untuk mengurangkan asakan yang berbahaya terutama di hadapan gawang sendiri.

“Kelantan memiliki penyerang berbisa seperti Norshahrul dan Mohd Badri Radzi selain pemain kebangsaan lain yang cukup berpengalaman untuk menjinakkan kita.

“Bahkan, kelebihan nyata banyak berpihak kepada pasukan itu yang terus mendapat sokongan padu penyokong mereka,” katanya.

Bagaimanapun, pendatang baru dalam Liga Super itu enggan meletakkan harapan yang tinggi dengan menyifatkan kedua pasukan mempunyai peluang sama rata pada aksi timbal balik, Sabtu ini.

Perlawanan semalam menyaksikan Felda United mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan pembukaan Mohd Zamri Chin pada minit ke-31 sebelum Kelantan menyamakan kedudukan hasil rembatan ketua pasukan Mohd Badri dari luar kotak penalti.

Pada minit ke-70, penyerang kebangsaan, Norshahrul berjaya memperdayakan penjaga gol untuk meletakkan pasukan itu di hadapan sebelum Liew Kit Kong menghampakan tuan rumah dengan gol penyamaan pada masa tambahan.

Selangor tekad ke final Piala FA (Sinar Harian Online)

WALAUPUN pertarungan sebenar baru bermula, Selangor tekad ke final Piala FA musim ini.

Ketua pasukannya, Mohd Amri Yahyah berkata, kejayaan pada suku akhir pertama menumpaskan Johor 3-1 melonjak semangat Red Giants untuk mempamerkan aksi lebih garang di perlawanan timbal balik Sabtu ini.

“Bagaimanapun, keputusan pada pertemuan pertama kelmarin tidak boleh diambil kira. Meskipun berjaya menjaringkan tiga gol, ia masih belum cukup buat kami.

“Tetapi persembahan pemain secara keseluruhannya, saya berpuas hati. Walaupun ada yang cedera, ia tidak akan menjejaskan permainan kami pada perlawanan kedua nanti,” katanya.

Mengulas mengenai pertemuan seterusnya, sekiranya skuad kendalian K Devan itu mara ke separuh akhir, Mohd Amri memilih untuk bertemu Kelantan sebagai misi membalas dendam.

“Antara Felda United dan Kelantan, saya mahu bertemu Kelantan dan membalas kekalahan 2-0 pada perlawanan Piala Sumbangsih, awal tahun lalu,” katanya.

Selangor membawa bekalan selesa melangkah ke pusingan kedua suku akhir kedua yang bakal berlangsung di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos.

Karathu hampa gagal tewaskan FELDA (Berita Harian Online)

Oleh Mohd Fitrie Muhamad
bhsukan@bharian.com
2011/03/17

DATUK M Karathu jelas belum reda dengan perasaan kecewa melihat Kelantan terlepas kemenangan pada minit terakhir perlawanan selepas seri 2-2 menentang FELDA United dalam saingan suku akhir pertama, Piala FA, kelmarin.

Ketua jurulatih itu tetap menyoal dengan sepakan penalti diberi pengadil kepada pelawat kerana pada firasatnya ia bukan kesalahan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

“Khairul terlebih dulu menangkap bola sebelum penyerang mereka jatuh. Gol itu menyentap semangat pemain saya,” katanya yang akan lebih bersedia bagi perlawanan kedua peringkat sama, esok.

“Bagaimanapun ia adalah perlawanan hebat. Saya puji pemain kerana mereka bermain sepenuh hati dan bersungguh-sungguh mengatasi saingan FELDA.

“Mereka bermain dengan baik dan mampu untuk menguasai hampir keseluruhan perlawanan walaupun terpaksa berdepan dengan pasukan yang kuat yang dianggotai ramai pemain berpengalaman dalam liga tempatan.

Apapun, Karathu tetap berpuas hati dengan pencapaian Red Warriors apabila menyebut semua semua pemain diturunkan, kelmarin tetap bersemangat walaupun ketinggalan satu gol kepada FELDA pada separuh masa pertama.

“Saya harap dapat memperbaiki kelemahan bagi mencapai kemenangan ke atas FELDA, Jumaat ini (esok),” katanya.

Kim Swee kuntum senyuman (Berita Harian Online)

Oleh Syed Riduan Ahmad
smriduan@nstp.com.my
2011/03/17

Ong Kim Swee
Ong Kim Swee

FAM setuju tangguh tiga perlawanan Liga Super sepanjang Jun

WAJAH Ong Kim Swee kembali memancar, semalam selepas menerima perkhabaran baik daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketua jurulatih skuad Harimau Muda itu berjaya dalam ‘perjuangan’ apabila badan induk bersetuju menangguhkan tiga perlawanan Liga Super sepanjang Jun membolehkan dia memantapkan barisan padu menghadapi pusingan kedua kelayakan Olimpik pada tempoh berkenaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada FAM kerana menunaikan permintaan kami untuk penangguhan ini,” kata Kim Swee semalam. “Kini kami boleh mula membuat persiapan lebih rapi untuk pusingan kedua.”

Keputusan penangguhan itu diumumkan pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Hamidin Mohd Amin selepas mesyuarat ketujuh sesi 2011. “Kami menerima permohonan Harimau Muda A untuk menangguhkan tiga perlawanan pada 14, 17 dan 21 Jun,” kata Hamidin.

Kini Kim Swee hanya perlu menunggu keputusan undian pusingan kedua kelayakan Olimpik pada 30 Mac nanti untuk mengetahui siapa lawan dari kelompok 13 pasukan terbaik Asia yang menanti mereka sebelum merangka siri perlawanan persahabatan antarabangsa.

“Cuma untuk perlawanan persahabatan antarabangsa, saya perlu mengetahui siapa lawan negara nanti bagi memastikan pemain-pemain kita mendapat pendedahan sewajarnya mengenai corak permainan mereka."
Hamidin berkata selepas meneliti jadual, jawatankuasa bersetuju menunda tiga perlawanan terbabit kepada satu tarikh yang akan diputuskan selepas keputusan undian perlawanan skuad Olimpik pada 30 Mac nanti.

“Penangguhan ini tidak akan mengganggu perlawanan Liga Super lain yang turut membabitkan beberapa pemain kebangsaan dari negeri lain, antaranya Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan) dan dua tiga pemain lagi.”

Pada mesyuarat semalam, JKPT turut membincangkan mengenai status perlawanan Liga Super antara Sabah dan Harimau Muda A di Stadium Likas Sabtu lalu. Perlawanan ini akan diadakan semula pada satu tarikh baru yang akan diumumkan nanti dengan tuan rumah perlu menanggung kos penerbangan dan tempat tinggal pasukan pelawat.

Sementara, Hamidin turut memberi peringatan kepada pengurusan pasukan kelab dan negeri untuk mengemaskinikan potongan Kumpulan Wang Simpanan Kerja serta Socso pemain sebelum pemantauan mengejut diadakan pegawai JKPT dalam masa terdekat.

PBNS beri amaran singkir pemain (Berita Harian Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
bhsukan@bharian.com.my
2011/03/17

Presiden akan bubarkan pasukan Wan Jamak andai gagal bangkit

TINDAKAN keras, termasuk menyingkir pemain dan pegawai bakal diambil ke atas skuad Negeri Sembilan andai tiada 'perubahan baru dari segi pencapaian' sebaik saingan Liga Super bersambung 2 April ini.

Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan yang jelas menyuarakan rasa kecewa prestasi barisan bimbingan Wan Jamak Wan Hassan membayangkan antara tindakan bakal diambil terhadap pasukan itu termasuk membubarkan skuad dan menukar jurulatih.

“Kita bayar gaji pemain mahal-mahal, ada sampai RM20,000, RM25,000, RM18,000 dan RM17,000 sebulan, tapi main cekak pinggang buat apa.

“Mereka bergaji tinggi tetapi tidak mempunyai kemahiran. Jika masih tidak berubah, saya akan bubarkan pasukan ini,” katanya di Seremban, semalam.

Menurut Mohamad, PBNS sudah mengeluarkan dua kali surat amaran kepada jurulatih dan pemain kali pertama ketika Negeri Sembilan tewas kepada Kuala Lumpur pada saingan Piala FA dan berikutnya selepas tewas kepada Selangor, Sabtu lalu, di Paroi.

“Mereka perlu menunjukkan persembahan terbaik bagi meletakkan kembali pasukan di landasan kemenangan jika tidak mahu disingkirkan dalam pasukan ini,” tegasnya yang mengesahkan PBNS sudah membuat beberapa perubahan kecil, termasuk menukar penolong pengurus, Faizal Zainal, mulai awal bulan ini selepas dia dikatakan kurang disenangi pemain namun tidak juga memberikan kesan positif.

Selangor selangkah lagi realisasi misi balas dendam (Harian Metro Online)

SELANGOR kini hanya selangkah lagi untuk merealisasikan impian bertemu Kelantan bagi menyempurnakan misi membalas dendam selepas gagal mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah apabila tewas kepada skuad The Red Warriors itu pada penghujung Februari lalu.

Namun skuad bimbingan jurulatih K Devan itu perlu memastikan jentera serangan Johor berjaya dikekang sambil mengharapkan Kelantan yang dilihat semakin tumpul mampu mengatasi halangan Felda United di Kota Bharu pada aksi kedua suku akhir Piala FA yang berlangsung pada Sabtu ini “Memang kami mengharapkan untuk bertemu Kelantan pada peringkat separuh akhir bagi menebus kekalahan perlawanan pembukaan Liga Super itu,” kata kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah (gambar), semalam.

Tambah pemain berusia 30 tahun itu, walaupun membawa bekalan yang selesa selepas kemenangan 3-1 di Stadium Shah Alam semalam, mereka tidak boleh memandang mudah perlawanan suku akhir kedua di tempat lawan.

“Kami perlu cuba untuk menjaringkan gol dan bermain seperti biasa kerana jika bermain secara bertahan mungkin lawan akan menggunakan kesempatan untuk menghukum kami. “Namun semuanya bergantung kepada arahan jurulatih,” katanya.

Mohd Amri bagaimanapun menggesa rakan-rakannya supaya terus mempamerkan peningkatan terutamanya dari jentera serangan yang mensia-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol.

“Kami sepatutnya membawa bekalan yang lebih banyak namun gagal memanfaatkan peluang yang ada,” katanya.

Mohd Amri bagaimanapun mungkin boleh menarik nafas lega apabila kembali menemui rentak jaringan selepas meledak gol ketiga Selangor pada minit ke-71 selepas jaringan Mohd Hardi Jaafar dan Rudie Ramli.

Irfan optimis Penyu mampu bangkit (Harian Metro Online)

BIARPUN tewas dalam saingan suku akhir pertama Piala FA kepada Perak malam kelmarin, pengendali skuad Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim tetap optimis anak buahnya mampu bangkit pada pertemuan kedua di halaman sendiri.

Menurut Irfan, kekalahan itu memberi pengajaran berguna kepada pemain untuk bangkit di Kuala Terengganu dan seterusnya layak ke separuh akhir yang bakal dipertemukan antara Kuala Lumpur ataupun Pahang.

“Saya sedar pertemuan dengan skuad Seladang pasti menghadirkan saingan sengit lebih-lebih lagi lawan belum tewas setakat ini. Kelebihan bermain di gelanggang sendiri menguatkan azam pasukan untuk memadam kelebihan satu gol Perak dan seterusnya mara ke separuh akhir,” katanya dengan penuh yakin.

Pada pertemuan suku akhir pertama malam kelmarin, Terengganu yang berhajat ke final tewas 2-3 di Ipoh.

Mengulas pertemuan itu, Irfan Bakti yang terkenal dengan ketegasannya berkata, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan corak dipamerkan pemain sepanjang 90 minit permainan.

Beliau turut mengharapkan kapten, Marzuki Yusof (gambar) yang direhatkan sejak dua perlawanan lalu akibat kecederaan dapat diturunkan bagi mengukuhkan benteng.

“Kehadiran Marzuki bakal memperkemaskan lagi kesebelasan utama Terengganu nanti,” katanya.

Dollah tetap kecewa (Harian Metro Online)

SEKALIPUN menang 2-1, ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh tetap kecewa terhadap prestasi dipamerkan pemainnya ketika melayan Kuala Lumpur pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin.

Beliau mengharapkan pemain mengulangi aksi ketika mengalahkan Kelantan minggu lalu tetapi harapannya punah apabila mereka longlai dan hambar.

“Memang kami menang tetapi pemain ia bukan yang saya harapkan. Jika persembahan seperti ini tidak diubah pada suku akhir kedua Jumaat ini, impian melangkah ke separuh akhir pasti berkubur.

“Saya berharap mereka tidak lagi beraksi sambil lewa kerana Kuala Lumpur masih berpeluang mencatat kemenangan untuk menyekat peluang Pahang,” katanya semalam.

Pada perlawanan itu, gol yang dihasilkan Mohd Azamuddin Akil (gambar) pada minit ke-64 membolehkan Pahang menang 2-1.

Sebelum itu Kuala Lumpur menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan Ahmad Azlan Zainal minit ke-55 untuk menafikan gol pendahuluan Pahang menerusi Famirul Asraf Sayuti (m-29).

Pengurus Pahang, Datuk Che Nasir Salleh memaklumkan perlawanan suku akhir kedua Jumaat ini adalah aksi terakhir Pahang di Stadium Darulmakmur kerana venue itu akan ditutup bagi kerja menaik taraf persiapan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2012.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan peminat setia Tok Gajah terus memberi sokongan kerana Pahang akan menamatkan saingan Liga-M musim ini di gelanggang luar.

“Setakat ini, kami dimaklumkan oleh Perbadanan Stadium Darulmakmur bahawa perlawanan Jumaat ini adalah aksi terakhir Pahang di gelanggang sendiri,” katanya.

Kim Swee lega (Harian Metro Online)

PERMINTAAN jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee untuk menangguhkan tiga perlawanan Liga Super yang membabitkan Harimau Muda A pada Jun depan mendapat lampu hijau daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang dipengerusikan Datuk Hamidin Mohd Amin bersetuju untuk menangguhkan perlawanan Harimau Muda menentang Terengganu (14 Jun), Sabah (17 Jun) dan Pahang (21 Jun).

“Pihak jawatankuasa sudah meneliti permintaan jurulatih Ong Kim Swee yang mahu menangguhkan tiga perlawanan dengan Terengganu, Sabah dan Pahang dan bersetuju untuk menangguhkan ke satu tarikh lain yang dijangka akan diadakan pada bulan Julai.

“Penangguhan ini tidak akan memberi kesan kepada perjalanan Liga Super musim ini malah ia akan memberi peluang kepada skuad Olimpik negara membuat persiapan memandangkan kebanyakan pemain skuad itu adalah pemain Harimau Muda A.

“Keputusan ini juga memberi peluang kepada pemain luar yang dipanggil menyertai skuad Olimpik negara untuk bermain dengan pasukan masing-masing dalam Liga Super. Bagaimanapun tarikh baru perlawanan itu akan diketahui selepas undian pusingan kedua kelayakan Olimpik diadakan pada 30 Mac ini,” katanya.

Berita baik itu pastinya menggembirakan Kim Swee yang turut mengendalikan skuad Harimau Muda mengharungi Liga Super musim ini bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi perlawanan pusingan kedua yang diadakan secara timbal balik pada 19 dan 23 Jun depan.

Dalam pada itu Hamidin yang juga Naib Presiden FAM berkata, JKPT mengeluarkan surat amaran kepada Persatuan Bola Sepak Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam supaya memperbaiki keadaan padang Stadium Shah Alam yang kini berada di tahap tidak memuaskan dalam tempoh 14 hari jika tidak mahu semua perlawanan di situ dipindah ke gelanggang lawan.

Selain Stadium Shah Alam, turut dipantau adalah Stadium JCORP Pasir Gudang dan Stadium Majlis Perbandaran Selayang yang mengalami masalah lampu dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras yang ditutup akibat keadaan padang yang teruk.

Skuad Liga Super Pahang pula akan menghabiskan semua baki perlawanan musim ini di gelanggang lawan apabila Stadium Darul Makmur akan ditutup 1 April depan bagi tujuan baik pulih sebelum Sukma 2012.

Turut diputuskan dalam mesyuarat itu, final Piala FA pada 11 Jun ini akan diadakan di Stadium Shah Alam dan jika keadaan padang di stadium itu tidak memuaskan, pihak FAM akan memilih lokasi lain sebagai venue perlawanan itu.

Azizan perhalusi tindakan (Harian Metro Online)

“SETAKAT ini keputusan memecat pengurus pasukan bukanlah satu kemestian. Kita perlu pertimbang dan kaji semua cadangan termasuk daripada penyokong.”

Begitu kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengenai desakan penyokong pasukan Kedah yang mahu Datuk Khazali Din dipecat sebagai pengurus berikutan prestasi hambar skuad Hijau Kuning dalam Liga Super.

Azizan yang juga Menteri Besar berkata, KFA akan mengadakan mesyuarat untuk mengkaji dan mempertimbangkan cadangan semua pihak untuk memantapkan pasukan termasuk keperluan menggugurkan Khazali.

“Kita nak buat keputusan yang adil untuk semua pihak. Semua ini perlu diperhalusi kerana kita tidak mahu nanti keputusan yang dibuat itu salah. Lagipun, dia (Khazali) sebelum ini pun sudah menyatakan hasrat untuk meletak jawatan.

“Saya minta semua pihak beri sedikit masa kepada KFA untuk memperbaiki kelemahan pasukan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di Alor Setar, semalam.

Harian Metro, Jumaat lalu melaporkan kenyataan Khazali yang berhasrat meletak jawatan selepas Kedah tewas 0-1 kepada Felda United pada pusingan kedua Piala FA, 4 Mac lalu sekali gus tersingkir daripada saingan itu.

Bagaimanapun, hasrat Khazali itu ditolak KFA.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Azizan berkata, kerajaan negeri bersetuju mengurniakan tanah seluas dua hektar di Pokok Sena, Alor Setar kepada lima pemain negeri ini kerana mengharumkan nama negara apabila berjaya membawa pulang Piala Suzuki AFF 2010, Disember lalu.

Katanya, lima pemain yang menerima imbuhan tanah kira-kira 0.4 hektar seorang itu ialah pemain sayap, Mohd Khyril Muhymeen Zambri; pemain pertahanan, Khairul Helmi Johari dan Mohd Sabre Mat Abu serta pemain tengah, Mohammad Faizal Abu Bakar, dan pemain kelahiran Perlis, Amar Rohidan yang kini menyertai Kedah bagi saingan Liga Super musim ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...