HUBUNGAN cinta yang disulam sejak lebih setahun lalu akhirnya dimeterai dengan ikatan perkahwinan apabila mereka selamat diijabkabulkan pada petang Jumaat lalu di Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
Dengan sekali lafaz sahaja, Ayu Raudhah bergelar isteri kepada jejaka tampan, Zaquan Adha sekali gus menjadi permulaan episod suka duka kehidupan berumah tangga.
Menurut pelakon drama Nur Kasih ini yang lebih mesra disapa Ayu, beliau sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.
"Ayu akan cuba jadi isteri yang sempurna bagi memastikan perkahwinan ini kekal bahagia sehingga ke akhir hayat," katanya usai majlis akad nikah.
Kata Ayu, dia dan Zaquan masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing dan berharap ikatan perkahwinan itu dapat menjadikan hubungan mereka lebih matang.
"Ayu bimbang kalau tidak dapat puaskan hati Zaquan dan sebagai isteri, Ayu akan cuba memahaminya demi ikatan perkahwinan ini," ujarnya.
Ketika diajukan mengenai perbezaan usia di antara dia dan suaminya itu, Ayu berkata, ia bukanlah penghalang mahupun masalah besar yang perlu dibimbangkannya.
"Kami tidak pernah mempersoalkan tentang perkara itu dan walaupun Ayu lebih tua daripada Zaquan, Ayu tidak pernah nak mengarah Zaquan itu dan ini.
"Zaquan pula matang dalam semua perkara, jadi perbezaan umur bukan satu masalah perhubungan kami suami isteri," jelasnya.
Menurutnya lagi, dia juga telah bersedia untuk menghadapi apa jua gosip liar yang mungkin melanda rumah tangganya.
"Insya-Allah Ayu bersedia untuk menghadapi semua itu dan sebagai manusia waras, Ayu dan Zaquan tidak akan cepat melatah sebaliknya berbincang dengan baik.
"Lagipun semasa kami bercinta dan bertunang pun banyak gosip yang timbul tetapi kami tidak jadikannya satu perkara serius," katanya penuh yakin.
Mengenai dunia lakonannya, Ayu berkata, pembabitannya dalam dunia seni itu akan tetap diteruskan dan ia mendapat sokongan daripada suami tersayang.
"Ayu kini sudah bergelar isteri orang, jadi beberapa perkara perlu diambil kira antaranya membataskan pergaulan dengan lelaki lain serta cara pemakaian yang tidak terlalu seksi.
"Ayu tahu batas-batas yang perlu dijaga sebagai seorang isteri," ujarnya.
Selain itu, katanya, dia juga akan memastikan hanya berlakon dalam watak-watak yang sesuai dengan dirinya yang kini sudah memegang status isteri.
"Ayu buat semua ini kerana mahu hidup bahagia dan saling menyayangi sampai ke akhir hayat," katanya.
Ketika ditanya tentang lokasi berbulan madu, Ayu belum mempunyai sebarang perancangan memandangkan Zaquan sibuk dengan latihan di padang.
"Ayu suka pulau dan jika ada kelapangan kami akan putuskan lokasi bulan madu dan ia mungkin sekitar Mac ini," jelasnya.
Mengenai anak pula, Ayu tidak merancang dan bersedia menjadi ibu pada bila-bila masa.
Zaquan yang juga pemain skuad Negeri Sembilan melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz sebelum menandatangani ikrar sebagai pasangan suami isteri.
Ia diikuti dengan acara menyerahkan mas kahwin berupa wang tunai RM1,888 dan menyarung cincin ikatan pernikahan dan acara membatalkan air sembahyang.
Pada majlis serba sederhana itu, lebih 100 jemputan termasuk ibu Ayu, Zabedah Saat; ibu bapa Zaquan, Abd. Razak Abdul Radzak Salleh dan isteri, Azizah Arshad, anggota keluarga serta rakan kedua mempelai.
Debaran
Perasaan berdebar ketika upacara akad nikah berlangsung benar-benar menguji kejantanan mempelai lelaki yang hebat menggegar gawang gol, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak. Ini kerana Zaquan mengaku debaran yang dirasakan mengalahkan ketika dia beraksi di padang.
Perasaan ketika berjaya menjaringkan gol memberi satu kepuasan kepada penyerang Negeri Sembilan itu tetapi kepuasan yang dialami sejurus jurunikah mengesahkan kabulnya amat berbeza sama sekali.
"Saat ijab dan kabul amat mendebarkan berbeza bermain di padang. Apabila jurunikah mengatakan sah, kepuasan yang dialami lain macam dan amat berbeza.
"Namun, syukur majlis akad nikah berjalan dengan lancar. Saat-saat yang saya tunggu (majlis akad nikah) berlangsung dengan baik," ujar pemain yang memakai jersi nombor 8 itu.
Sebelum upacara berlangsung jurunikah yang juga Imam Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Mustafa Kamil Abdul Jamil sempat mengusik Zaquan ketika menyebut satu per satu rukun nikah.
"Pertama lelaki, kedua perempuan, ketiga wali, keempat saksi serta kelima sighah atau lafaz (ijab dan kabul). Di sini ramai saksi, jurugambar dan wartawan juga saksi," ujarnya yang disambut senyum Zaquan.
Seperti mana Ayu yang sudah meluahkan perasaannya rela berkorban apa saja demi kebahagiaan rumah tangga mereka, Zaquan turut mempunyai ikrar yang sama.
"Saya mengharapkan kebahagian ke akhir hayat bersama dengan wanita yang kini bergelar isteri yang saya sayangi iaitu Ayu," kata adik kembar Mohd. Aidil Zafuan itu.
Air mata jantan Zaquan turut menitis ketika berpelukan dengan kembarnya selepas selesai akad nikah yang penuh bersejarah itu.
"Zafuan sempat berpesan, jadilah seorang suami yang bertanggungjawab," ujar Zaquan.
Beraksi semula
Sementara itu, bercakap tentang perkembangan kariernya, Zaquan yang digugurkan dari skuad kebangsaan pada Piala Suzuki AFF bulan lalu akibat kecederaan lutut akan turun bersama rakan sepasukan di padang minggu depan.
Namun, Zaquan masih belum boleh beraksi berikutan kecederaan yang dialami belum pulih sepenuhnya dan terpaksa menunggu sehingga Mac.
"Saya dinasihatkan doktor supaya berehat. Saya ketika ini cuma menjalani latihan ringan bagi mengekalkan ke cergasan," katanya.
Menyentuh kerjaya si isteri yang cantik itu dalam bidang lakonan selain mempunyai ramai peminat dan tidak kurang di kalangan lelaki Zaquan berfikiran terbuka.
Dunia lakonan yang tidak boleh lari dengan perasaan cemburu apabila si isteri bersama dengan artis lelaki lain mampu ditangani Zaquan menerusi rasa percayanya kepada Ayu.
"Saya mengenali Ayu sebagai seorang insan yang ber kecimpung dalam bidang lakonan, jadi saya tidak punya halangan seperti Ayu yang memahami kerjaya saya dalam bola sepak.
"Saya cuma nasihatkan Ayu, apabila sudah masuk ke alam perkahwinan perlu bijak memilih sama ada keluarga atau kerjaya. Mana yang lebih penting.
"Rasa cemburu, tipulah kalau tidak ada rasa cemburu, semua insan ada perasaan itu. Cuma terpulang kepada Ayu jika dia rasa watak (dalam lakonan) tidak menyinggung perasaan suami dia," katanya.
Apabila berbicara mengenai dunia lakonan lebih-lebih kepada pelakon yang manis seperti Ayu ini tidak boleh lari dari imej seksi.
"Saya seorang yang sangat ringkas. Terpulang kepada individu apabila bergelar isteri kena pandai untuk berpakaian. Takkan depan ibu dan bapa mertua nak berpakaian seksi. Jadi haruslah bijak membawa diri. Itu .perkara yang saya sering ingatkan Ayu," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.