am@hmetro.com.my
PENYERANG sensasi Negeri Sembilan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak berharap mendapat kepercayaan Wan Jamak Wan Hassan untuk berada dalam senarai barisan yang akan diturunkan menentang Kelantan pada saingan Liga Super, di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu, malam ini.
Selepas diturunkan buat pertama kali dan berjaya membantu skuad Hobin Jang Hobin menewaskan Sabah, Sabtu lalu, dia mengakui semangatnya kini membara untuk bersama rakan di padang.
Zaquan akui kecederaan lutut dialaminya ketika bersama skuad kebangsaan menghadapi Sukan Asia tahun lalu sudah hampir pulih, namun memerlukan masa untuk berada pada tahap kecergasan terbaik.
“Saya memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan kembali keyakinan dan berada pada tahap prestasi terbaik. Justeru, fokus berikutnya adalah untuk meningkatkan persembahan demi membantu pasukan mencapai kemenangan dan kembali ke pasukan kebangsaan.
“Buat masa ini, saya harap sekali lagi diberi kepercayaan untuk turun menentang Kelantan walaupun hanya sebagai pemain gantian,” katanya.
Mengulas pertemuan dengan barisan M Karathu yang kini mendominasi carta Liga Super, Zaquan berkata, Negeri Sembilan menghadapi tugas mencabar kerana Kelantan beraksi di halaman sendiri.
“Namun, saya yakin Negeri Sembilan mampu sekurang-kurangnya mencuri satu mata kerana pemain yang turun berada pada tahap terbaik manakala rekod kami musim lalu di gelanggang lawan itu juga membanggakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.