KUALA LUMPUR - PKNS mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Liga Perdana apabila mencatat kemenangan kelima berturut-turut dengan menjadikan SDM Kepala Batas sebagai mangsa terbaru dengan membelasah pasukan itu 5-1 di Stadium Batu Kawan, semalam.
Beraksi di laman lawan tidak menghalang PKNS meneruskan aksi konsisten mereka bagi mendapatkan mata penuh ketika menentang wakil Pulau Pinang itu.
Penyerang PKNS, Mohammad Khairul Akhyar Husain mengekalkan bisanya sebagai peledak utama apabila menjaringkan dua gol.
Begitupun, PKNS terpaksa menunggu sehingga minit ke-45 perlawanan untuk menembusi gawang lawan menerusi jaringan Mohammad Zambry Hassan.
Pesta gol PKNS bermula pada babak kedua dan ia dimulai dengan jaringan kedua PKNS menerusi Mohammad Khairul pada minit ke-48.
Sepuluh minit kemudian, tuan rumah dibolosi lagi, kali ini menerusi Muhamad Khairu Azrin Khazali untuk PKNS selesa mendahului 3-0.
Mohammad Khairul sekali lagi menghadiahkan gol keempat pada minit ke-76, sebelum Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul menjaringkan gol terakhir pada minit ke-88.
Sebelum itu, Ibrahim Ani menjaringkan gol sagu hati SDM Kepala Batas pada minit ke-80.
Dalam perlawanan lain, pasukan di tangga kedua, Sarawak kalah 0-2 kepada MP Muar di Stadium J-Corp Pasir Gudang.
ATM pula menang 2-1 ke atas Johor Pasir Gudang di Stadium MP Selayang.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.